
Okey, bagaimana aku hendak cerita mengenai Spider-Man 3?
Satu - dia adalah hero aku (pergi mampus la kalau korang kata dia fiksyen, kenapa tak ambil _____ sebagai hero atau orang betul sebagai hero).
Dua - Aku sudah tengok filem Spider-Man 3. Wohohoho!
Tiga - Aku agak ramai yang kurang suka dengan Spider-Man 3.
Buat pembaca yang baru semalam keluar dari gua setelah bertapa selama tiga puluh tahun, Spider-Man 3 adalah sinambungan dari dua filem sebelum ini. Ia adalah adaptasi dari komik terbitan Marvel dengan mana yang sama. DAN TIDAK, Spider-Man TIDAK MENIRU CICAKMAN (@#%$^%$#$&*^!). Kali ini si nerd Peter Parker sudah tak sabar-sabar nak bermalam pertama dengan awek dia, Mary Jane. Dia merancang untuk melamar. Dalam pada masa yang sama dia mengetahui bahawa pembunuh Uncle Ben adalah Flint Marko, seorang banduan yang terlepas dan mengalami mutasi sampai jadi Sandman (bukan karakter Neil Gaiman atau pun Faizal Mukhtar). Dia berhadapan dengan dua orang jahat baru iaitu The Sandman dan Venom selain Harry Osborn yang menjadi New Goblin. Kemudian pula si awek dia ada masalah dengan kerjaya nyanyian. Mary laksana seorang bintang Akademi Fantasia (baca: tak berbakat sangat). Ini membuatkan hubungan kasih sayang antara Pete dan Mary tegang (bukan dalam konteks sensual). Tambah lagi, si bangang tu boleh pula cium Gwen Stacy dalam satu upacara.

Spider-Man memberi rasa yang amat berlainan dari dua filem sebelumnya. Atmosfera yang menyelubungi filem ini lain sama sekali. Kalau orang tanya kepada aku, adakah ia lebih bagus dari Spider-Man 2, aku tak tahu hendak memberi jawapan. Kerana aku anggap Spider-Man 3 juga ada kekuatan tersendiri, ia tetap hebat, secara tersendiri, walau mungkin masih ada kelemahan.
Sut hitam itu memberi peluang kita lihat satu ruang hitam dalam diri Peter Parker. Dia jadi pemarah, pendendam dan sanggup menyakiti orang yang dia sayang. Manusia tetap manusia, termasuk Spider-Man.
Filem dibuka dengan montaj nama pelakon berlatar belakangkan adegan-adegan dalam dua filem Spider-Man terdahulu. Secara tidak langsung memberi imbasan kembali kepada penonton, seperti “the story so far” atau recap. Muzik latar bukan lagi Danny Elfman tetapi datang dari Christopher Young. Tapi nampak dia masih mengekalkan ’sound’ yang dicipta dari Elfman dalam beberapa bahagian babak.
Kesan khas dan sinematografi semasa adegan lawan-lawan memang buat aku sakit
jantung. Satu adegan yang aku suka bila shot biji-biji pasir dari jarak dekat (mula-mula aku ingat batu), ala shot mikroskop kemudian menjauhi sehingga nampak gumpalan pasir-pasir dari jauh. Lawa gila. Diikuti dengan kesan khas yang cantik tatkala Flint Marko baru jadi Sandman. Ketika dia masih belum membiasakan diri dengan keadaannya menyebabkan tubuhnya pecah, laksana istana pasir yang dilanggar orang. Jarang aku tengok kesan khas melibatkan pasir. Ketika filem lain sibuk menyempurnakan animasi air, api dan asap, Spider-Man 3 tampil dengan satu lagi elemen yang susah iaitu pasir.
Aku akui, adegan pertarungan Spider-Man dengan Dr. Ock di tren (Spider-Man 2) masih menjadi scene lawan-lawan yang paling handal. Aku rasa tak ada adegan lawan-lawan dalam Spider-Man 3 yang menandingi ‘train fighting’ itu. Tapi ketika New Goblin mengejar Spider-Man aku anggap adegan lawan yang paling best dalam Spider-Man 3. Korang boleh tengok masa batu bangunan pecah dan jatuh berpusing-pusing sambil Peter Parker melekat di situ dan bergerak untuk menjauhi New Goblin. Kemudian dia melarikan diri di celah-celah bangunan sambil di kejar oleh beberapa benda terbang dari New Goblin. Lepas tu dia melepaskan bola-bola web ke arah New Goblin. Ketika Peter Parker menggapai tangan ke arah cincin pertunangannya menjadi antara imej paling best dalam filem ini.
Okey, satu benda yang semua nak tengok dalam filem ini ialah Venom. Nak tengok bagaimana Venom di layar besar. Tapi sebenarnya aku tak hairan kalau ramai yang kecewa dengan Venom. aku agak, ramai yang mengeluh kerana Venom muncul sedikit sahaja. Lawan pun masa nak ending. Aku puas hati dengan masa yang diperuntukkan.
Sebab aku tak nampak tajuk filem ini ‘VENOM’. Ini adalah cerita Peter Parker. Venom hanyalah sebahagian dari cerita hidup Peter Parker. Aku tak mahu ia menjadi seperti filem Batman di mana ia menjadi ‘Jokercentric’. Agak aku, kekecewaan peminat datang sebab harapan sudah terlalu tinggi untuk melihat Venom. Kalau boleh, mereka mahu lihat Venom keluar lebih dari Peter Parker (mungkin sebab itu filem Magneto dibikin, sebab peminat suka tengok Magneto).
Antara benda yang aku kurang suka ialah elemen kebetulan. Mungkin, ia nampak menarik dalam lembaran komik. 1-Meteor simboit itu jatuh berdekatan taman masa Peter Parker dan Mary Jane berkhalwat, 2- Kebetulan pula masa kemalangan kren, Gwen Stacy ada buat kerja modelling di bangunan berdekatan, 3- Eddie Brock boleh masuk dalam gereja, tempat yang sama Peter Parker sedang membuang sut hitamnya, 4- kebetulan dalam telefon.
Akhirnya, aku kata Spider-Man 3 tetap hebat, tetapi susah untuk aku bandingkan dengan dua filem sebelumnya kerana ‘rasa’ yang dipersembahkan kali ini agak lain. Seperti sudah dua hari berturut-turut si kawan memasak nasi goreng kampung yang sedap, kemudian pada hari ketiga dia menjamu kamu dengan nasi goreng pattaya yang sebenarnya sedap juga, cuma rasanya agak berlainan. Whoa!

FILEM: SPIDER-MAN 3
PENGARAH: Sam Raimi
TAHUN: 2007
LAMAN WEB: Spiderman