“Itulah dia, propaganda Amerika!” ayah Faiz menutup televisyen sambil terus membebel, “kalau filem diorang je, mesti diorang hero, mesti askar diorang paling hebat, mesti polis diorang yang paling baik, mesti diorang yang selesaikan semua masalah”
Ayah Faiz baru selesai menonton sebuah filem Blockbuster Hollywood yang mengisahkan seorang tentera Amerika yang berjaya menyelamatkan dunia dari ancaman serangan nuklear serta memperlihatkan kedunguan negara lain dalam mengatasi konflik.
Faiz yang sedang asyik di depan komputer sekadar tersenyum dan menggelengkan kepala. Ini bukan kali pertama ayahnya meluahkan sentimen anti-Amerika. Tapi dia sendiri tidak mahu melayan sangat karenah ayahnya malam ini, dia ada kerja yang perlu diselesaikan.
“Masih belum siap lakon-layar tu?” soal ayahnya tiba-tiba.
“Ya ayah, Faiz masih tak tahu samaada nak matikan karakter hero di akhir cerita atau tak.”
“Matikan hero? Kenapa mesti matikan hero? Bukankah hero itu orang Melayu yang sedang melawan pengganas Amerika? Kita mesti tunjuk hero Melayu kita kuat! Hero kena menang. Barulah jadi sumber inspirasi kepada penonton-penonton Melayu kita!” hujah ayahnya bersemangat.
“Tapi, bukankah nanti cerita saya akan nampak sama sahaja seperti filem yang baru ayah tengok tadi? Bukankah nanti cerita saya juga akan dicop propaganda?” Faiz mengusik ayahnya sambil terus tersenyum.
“Itu Amerika. Amerika memang jahat. Masuk neraka punya. Kita orang Melayu, orang Melayu masuk syurga,” balas ayahnya sambil masuk ke dalam bilik.
TAMAT
This entry was posted
on Monday, June 25th, 2007 at 1:51 pm and is filed under
Tulisan.
You can follow any responses to this entry through the
RSS 2.0 feed.
You can
leave a response, or
trackback from your own site.
*** This is a whisper message for nazri! ***