HUJAN MALAM
Aku suka kalau hujan turun waktu malam. Atau waktu subuh.
Semalam sejurus selepas aku habis menyedut Sampoerna Hijau buat kali kedua selepas tiga minit (rutin harian bulan Puasa sejurus sebelum waktu imsak), angin tiba-tiba menggila, langsir bilik berkibar keras laksana puntianak yang mahu melengkapkan kuota menyakat manusia pada malam itu. Tidak lama kemudian hujan turun dengan lebat diserta sekali kombo ribut mega menyentak alam. Cuma yang tiada hanyalah paluan guruh dan hentakan kilat ke muka bumi.
Usai melayan Sampoerna dan meneguk air, aku baring sambil berselimut. Tiba-tiba aku teringat semasa kecil, semasa duduk di rumah beratapkan zink di kampung.
Lantas hujan subuh itu memberitahuku yang aku pernah suka dengan hujan pada waktu malam atau pada waktu sejurus sebelum azan subuh. Aku suka bunyi zink dengan melodi orkestra rintik hujan yang menjengkelkan. Dengan dentuman guruh, kilat serta hembusan angin maha yang seola-olah mahu mencabut paku alam.
Aku suka kerana pada waktu itu aku baring berselimut kesejukan dan aku akan tertidur untuk pergi bermain dengan makhluk mimpi.
Duduk di apartmen, kondo hatta rumah teres berbumbung bukan zink TIDAK AKAN SAMA SEKALI memberi perasaan yang sama seperti berlindung di bawah atap zink.
Aku suka kalau hujan ribut pada waktu malam.
7 comments so far
Leave a reply