MARI MELUKIS
Sebelum aku menceburkan diri dalam hal ehwal menulis, sebelum aku sedar yang duit makan aku dicari dengan menulis, aku suka melukis.

Gambar tiada kaitan dengan entri. Kredit gambar: Liyana M. Annuar
Bakat aku (waktu itulah) tumpah dan terpancut-pancut dari abah aku yang semasa sekolah suka melukis (dia ketua kelab melukis di sekolah. Mula -mula aku tak percaya, tapi ada bukti dalam gambar majalah sekolah dia).
Minat melukis aku disemai oleh ibu (bapak aku menjadi seperti mana dirinya, pendiam dan jarang nak berbual).
Aku kemudian terus bersemangat dan merasakan diri ini berbakat bila menang hadiah saguhati pertandingan melukis peringkat negeri Perak. aku tak menang nombor satu, dua atau tiga. Tapi hadiah saguhati itu bermakna aku berada di kalangan kelompok atas berbanding ratusan budak-budak lain (saguhati itu hanya diberi dalam dua puluh hingga tiga puluh orang sahaja).
Sudah tentu medium lukisan yang paling dekat dengan aku ketika itu adalah komik dan kartun. aku membeli Gila-gila setiap bulan. Sekali sekala Mak aku belikan Beano dan beberapa majalah British. Malah mak aku dengan bangga bercerita betapa Beano itu menjadi bahan bacaannya ketika dia bersekolah di Tun Fatimah dahulu. Aku diperkenalkan dengan lawak-lawak British. Aku juga membaca Bambino dan kemudiannya bercumbu dengan Fantasi.
Di sekolah aku terus melukis, menggunakan buku nota kosong. Buku nota itulah aku melukis cerita (seperti novel grafik dan memberi kawan-kawan baca. Aku beli kertas lukisan A3 (yang selalu digunakan untuk melukis dalam kelas Pendidikan Seni). Aku lipat dua dan voila! Jadilah komik. Siap ada masthead dan logo kompeni berserta bilangan dan bulan keluaran di sebelah kiri (macam majalah). ada kolum editorial dan nama syarikat olok-olok.
Di dalam ‘majalah’ keluaran aku itu memuatkan beberapa komik. Kesemuanya di lukis oleh aku dengan beberapa nama samaran (konon-konon macam ramai penyumbanglah) dan tambah nak kasi orang yakin, aku lukis dengan stroke berbeza. aku beri kawan-kawan baca. Aku beri Pak Ngah aku baca yang ternanti-nanti ‘keluaran’ seterusnya.
Aku ingat lagi semasa darjah enam dalam kem UPSR, aku sempat menghasilkan sebuah ‘novel grafik’ (dilukis dalam buku nota kosong) bertajuk ‘Dynamic’. Cerita sekumpulan hantu kelakar yang berlawan dengan sekumpulan hantu jahat. Kawan-kawan aku membaca dan memberi semangat.
Nah, kenapa aku tidak lagi melukis atau menghasilkan komik sekarang?
Minat aku dibunuh oleh sindiran-sindiran pesimis oleh guru-guru yang mengajar aku. aku pernah disindir “dah baca gila-gila, tulis pun nak macam kartunis”, dia menegur aku yang menjawab beberapa soalan bahasa melayu dengan salah. Walhal bila difikirkan balik, budak-budak kelas aku yang tak minat melukis pada waktu itu pun buat kesalahan sama. Kesalahan ujian itu tak ada kaitan dengan minat melukis aku.
Mentaliti pesimis bangsat-bangsat ini berterusan bila berfikiran melukis tidak menjanjikan kesejahteraan hidup. Mereka bersyarah tentang jalan yang aku mahu pilih. fikiran mereka masih memandang Peguam, doktor, saintis dan jurutera sebagai pekerjaan yang menjadikan aku sebagai manusia.
Aku masih ingat teguran demi teguran, rata-rata menolak Gila-Gila sebagai bahan tidak akademik dan merosakkan masa depan aku. Siap menyebut beberapa nama kartunis top masa itu yang dianggap tidak ‘intelek’.
Dan aku memang tak pernah percaya dengan cikgu pendidikan seni. Cikgu Pendidikan seni sebenarnya telah membunuh beratus-ratus ‘artis seni’ Malaysia. Laksana mereka menembak ibu yang sedang mengandungkan Andy Warhol, atau ibu yang mengandungkan Picasso atau ibu yang mengandungkan Roslisham Ismail (ahahahaha).
Kini, tanpa praktis, tangan aku sudah keras sekerasnya dalam hal lukis melukis.
Sebenarnya aku tidaklah menyalahkan bangsat-bangsat itu sepenuhnya. Salah aku juga kerana terlalu lemah dan tewas lebih awal. Tapi ia menjadi pengajaran kepada aku, supaya mendorong anak aku kelak. Supaya menyemarakkan lagi apa-apa bidang seni yang dia suka. Dan aku harus berhati-hati, jika, anak aku minat menulis seperti aku, datang pula bangsat di sekolah yang menyindir “menulis bukan boleh hidup senang,” kepada anak aku.
Aku kembali terfikir bila menghadiri Art for Grab di Annexe tempohari, kemudian melayang pula beberapa kawan painter aku yang sudah boleh kahwin hanya dengan menjual lukisan atau kawan aku, Ise (Roslisham) yang sudah ke Australia, Indonesia, Jepun dan sekarang berada di Vietnam dengan kerja-kerja seninya.
Mungkin kalau aku tidak cepat mati dengan tembakan-tembakan dari cikgu-cikgu bangsat itu, aku sudah boleh melukis untuk Vertgo Comics, atau lukisan aku dipamerkan di galeri atau boleh duduk minum semeja dengan ramai atis lain dan menjelajah ke seluruh dunia.
Ingatan aku untuk budak-budak yang baru hendak bermula, pakailah baju kalis peluru kerna Malaysia bukan negara seni dan orang-orangnya (tak semua) takkan menghargai seni sampai kiamat. Jangan mati sebelum kamu menjadi dewasa.
6 comments so far
Leave a reply