RETRO: CINTA DEWA DEWI
Sebuah fiksyen pendek yang aku tulis dalam blog lama (24/03/2005)
Saja, mahu retro;
::
CINTA DEWA DEWI
::
Seorang dewa yang memerintah dunia di bawah dunia. Seorang dewi yang menghuni dunia di atas sana.
Tiadalah pernah siapa jangka yang mereka akan bertemu muka, walaupun hidup berlainan dunia, lantas si dewa terpesona dengan kejelitaan si dewi. Hati tergerak untuk mengenali dengan lebih dekat siapakah gerangan wajah rupawan yang membuatkan jantung berdegup kencang. Tertarik untuk menjadikan si dewi sebagai teman hidup selama mungkin.
Tiadalah dapat digambarkan lagi bunga-bunga riang si dewa bila mengetahui rupanya si dewi juga turut tertawan dengan kejaguhan sang dewa memerintah alam sana. Lumrah dewi seperti tentunya amat berbangga berdiri disamping seorang dewa yang amat gagah dan disegani. Dalam malu, dewi bermain madah dan menerima cinta asmara sang dewa.
Waktu itu, masing-masing bagai tidak mahu berpisah, terasa seperti tiada perkara lain yang lebih penting dari memaut rangkulan kasih cinta.
Namun tiadalah dapat disangka untung rugi sekian makhluk, bila tatkala cinta mereka menjadi mangsa dengki yang tiada sudahnya.
Si dewa dilarang bertemu dengan dewi idamannya sementara dewi itu sendiri dipenjara di dalam kayangannya, hanya tangis yang mampu diusahakan.
Apalah nasib si dewa kerana ikut adatnya, dia tidak boleh bersama si dewi kerana sudah menjadi aturan siapa yang hidup di bawah tidak akan bercampur di atas.
Namun kasih rindu sudah tidak mampu ditahan-tahan lagi, dewa datang merayu dan sanggup berbuat apa sahaja demi cinta pada si dewi.
Si dewa lantas diberi satu pilihan, hendaknya dia menjadi manusia biasa, tinggal merasa kesusahan di atas muka bumi, berpanas, berhujan, merasai perih hidup sebagai insan selama 100 tahun. Hajatnya hanya makbul selepas itu dan dewi dibenarkan bertemu dengannya.
Tidak tergambar lagi bagaimana perasaan si dewa, bila tahu bahawa peluang untuk bertemu dengan si dewi berputik kembali. Si dewa setuju lantas serta merta turun merasai azab hidup di dunia.
100 tahun dia menunggu, 100 tahun merasai pedih rindu yang lebih sengsara dari perut yang lapar atau tubuh yang sakit. 100 tahun wajah dewi terpahat tanpa lekang sedikitpun di mindanya.
Menanti dengan penuh harapan, 100 tahun itu berlalu jua. Hasrat hatinya kini bakal tercapai. Pesona si dewi bakal ditatapnya semula. Si dewi akan menjadi miliknya selama-lamanya.
Namun tidak juga si dewa sangka, tidak beliau terfikir pun, 100 tahun yang berlalu itu mengundang petaka. Hatinya sudah tiada lagi dalam simpanan perasaan si dewi. 100 tahun adalah jangka yang sungguh lama buat si dewi menunggu di dalam kayangannya. 100 tahun tidak mahu di sia-siakannya.
Luluh hati si dewa melihat si dewi duduk di mahligai paling atas dengan seorang dewa, bermesra dan bermadah, lagak seperti pasangan yang amat padan sekali. Tidak sekali pun si dewi mahu melihat si dewa yang melutut di bawah dek kerana malu, malu menyedari perbuatannya atau mungkin rasa bersalah melihat pengorbanan si dewa.
Pulang si dewa ke tempat asalnya. Merintih, menangis, meraung dan melolong walaupun sudah tiada gunanya dia berbuat sebegini.
Dia memohon hajat untuk menjadi manusia biasa, yang suatu hari nanti akan ajal jua. Dari menanggung kesedihan, yang mana lebih sakit dari tikaman pedang. Hajat tersebut ditolak.
Tinggallah si dewa di bawah, setiap hari meratap penuh hiba mengenangkan nasib diri dan kebodohan akibat cinta asmara.
Tinggallah beliau di situ selama-lamanya….
This entry was posted on Tuesday, June 19th, 2007 at 5:38 pm and is filed under karya. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.




madulebah
June 20th, 2007 at 6:23 pm
Aku menunggu 6 tahun dan penantian itu rupanya sia-sia pun dah rasa sengsara