SUMO-LAH
Coretan aku mengenai Sumo-lah ini penuh dengan spoiler.
Afdlin Shauki (Buli, Baik Punya Cilok) datang lagi dengan sebuah filem kesukanan dan semangat juang. Dia beri kita satu kejutan dengan menampilkan sukan yang ramai orang tahu tapi ramai orang tak sebenarnya tahu.
Ramlee adalah orang Melayu yang memang lahir dengan perangai Melayu. Pemalas tapi bercita-cita besar. Dia suka beri alasan atas segala benda yang terjadi. Dia dibuang kerja dan bagi alasan bos yang jahat. Itu lumrah perangai Melayu yang suka melapik dengan 1001 alasan bila diri jatuh terduduk. Kemudian ada pula satu restoran Sushi di Puchong kepunyaan Mr. Honda (Patrick Teoh) yang mencari peserta ketiga untuk melengkapkan penyertaan dalam pertandingan Sumo amatur antara restoran Sushi di Malaysia. Di bawah Mr. Honda ada dua ahli Sumo berbakat iaitu Haris (Awie) dan Andy (Radhi Khalid). Ramlee pada mulanya terperangkap dengan helah Mr. Honda lalu menjadi ‘orang ketiga’ dalam pasukan itu. Kemudian ada pula antagonis besar, Akira (Gurmit Singh), ahli Sumo amatur Malaysia yang tak terkalah, anak kepada tauke Diamond Sushi yang berjaya serta minat gila pada anak Mr. Honda, Siti yang cantik bak bidadari. Ramlee juga suka pada Siti. Maka bertarunglah mereka dalam gelanggang Sumo.
Aku agak (betulkan kalau aku salah), ini adalah filem kesukanan Melayu yang paling
bagus sekali. Ada beberapa filem Melayu sebelum ini
yang menyentuh aspek sukan sebagai tema utama. Tapi semuanya sekadar menyentuh secara dasar (malah ada antaranya yang bodoh). Tapi Sumo-lah tak begitu. Hebatnya Sumo-lah kerana memberi peluang kepada penonton tahu apa itu Sumo. Lebih bagus lagi sebab dia memberitahu kita kenapa orang Jepun bangga dengan warisan ini. Banyak aspek sukan Sumo (walau tidak menyeluruh) disentuh. Dia menjadikan aku yang tidak tahu sangat mengenai Sumo, tiba-tiba jatuh cinta dengan sukan itu (mungkin). Banyak istilah taktik bertempur Sumo yang diperkenalkan. Aku suka satu adegan, tatkala Afdlin tanya Awie (masa mereka berlatih di Jepun) kenapa orang-orang Sumo itu angkat tangan, Awie bagi jawapan. Rupanya Awie mengenakan Afdlin.
Awie sebenarnya seorang pelakon yang bagus (Itu pandangan kornea aku). Cuma pokoknya dia mesti berlakon dengan pengarah yang pandai memandunya. Afdlin tahu menggunakan kelebihan yang ada dalam Awie. Dalam Sumo-Lah boleh dilihat Awie sebagai chef sushi yang mementingkan disiplin. Jangan bagi Awie berlakon dengan pengarah yang tidak handal. Nanti sia-sia bakat Awie.
Ohhh, mak Ramlee (Kartina Aziz) kerja sebagai pengawal keselamatan (mak guard). Ini salah satu elemen kecil tapi sebenarnya jarang ada dalam filem Melayu. Karakter tinggal di rumah kongsi Kampung Baru, Si Andy hanya membawa Kancil, motor si hero kena tarik dan aku suka adegan mereka berlatih angkat berat guna tong gas. Ada aku sebut pasal Kartina Aziz jadi mak guard? Pehhhh, sukanya aku dengan elemen-elemen kecil seperti ini.
Aku puji sangat-sangat penciptaan karakter antagonis Akira. Tipikal ‘template’ filem Melayu ialah orang jahat mesti jahat serba serbi. Dari lahir mesti sudah mewarisi segala
semangat jahat, malah kalau Firaun masih hidup, dia terpaksa sembah karakter ‘orang jahat’ Melayu kerana mereka lebih jahat darinya. Karakter jahat filem Melayu memang mesti serba serbi jahat, itu kehendak penonton Melayu. Tapi aku puji Afdlin sebab mencipta Akira. Akira jatuh dalam kategori karakter jahat, tapi kita masih boleh melihat satu sisi manusia di dalamnya. Akira sebenarnya jatuh dalam ‘grey area’. Dia menghormati lawannya. Dia masih menghormati Mr. Honda (adegan dia tunduk hormat masa di Jepun). Satu punca dia betul-betul hendak mengalahkan Ramlee hanya sebab cemburu melihat Siti lebih tertarik dengan mamat gemuk berbanding dirinya yang lebih hensem. Adegan akhir merumuskan lagi fakta aku bila dia melihat kawannya bermain kotor dengan muka tidak puas hati. Dia ada ego, dia mahu jadi jaguh tak terkalah, tapi bukan dengan taktik kotor. Malah di akhir cerita dia masih jahat, tapi jahat dia bukan jahat membabi buta (sekali lagi - bukan ‘template’ filem Melayu) Aku harap ada penulis skrip filem yang membaca coretan aku dan mula berhenti mencipta karakter jahat acuan orang Melayu. Sudah-sudahlah menyogok penonton Melayu dengan karakter hitam putih. Aku tak suka.
Penampilan produk-produk seperti Celcom dan Ogawa di sepanjang cerita memang agak menjengkelkan sebenarnya. Tapi sekurang-kurangnya si pengarah sudah cuba sedaya upaya memasukkan benda-benda itu selari dengan cerita. Tak seperti ada satu filem itu yang sarat dengan penampilan produk makanan yang tak ada kaitan dengan jalan cerita pun.
Kali ini banyak cameo. Aku rasa elemen cameo membuatkan sesebuah filem itu ‘menarik’. Cuma aku tak faham dengan cameo Natasha Hudson tu. Maksud aku apa relevan adegan kodok (anak Andy) berborak dengan Natasha Hudson ni? Entah, mungkin aku yang tak faham agaknya.
Bila aku bandingkan dengan filem-filem Afdlin sebelum ini, aku katakan Sumo-lah telah menaikkan tahap si pengarah ke satu peringkat lagi. Mungkin orang membandingkan Baik Punya Cilok. Tapi Baik Punya Cilok ada kelemahan ketara semasa proses klimaks
(mungkin, pre-mature ejaculation lantas meninggalkan sang gadis kegersangan dan frust). Tidak dalam Sumo-lah. Filem ini terkawal sehinggalah babak akhir. Penciptaan pertandingan Sumo itu sendiri menarik. Perhatikan banner pertandingan di depan stadium yang dicipta dengan serius (Banyak produksi filem Melayu, Banner itu akan kelihatan buat ala kadar sahaja). Adegan-adegan dalam pertandingan itu begitu kemas, kita merasai hangat dan tekanan setiap peserta. Oh, ada Hasbullah Awang membuat laporan selari, seolah-olah seperti kita menonton lintas langsung acara sukan. Penciptaan adegan pertandingan itu dibuat dengan sempurna sekali.
Kesimpulan, panggung di IOI Mall Ahad lepas, jumlah yang datang tak sampai separuh. Aku agak, sebab itu kawasan Cina (aku tak sembur petrol dalam api perpaduan, tapi kena faham, orang Cina tak ramai yang berminat tengok filem Melayu - awww, lepas ni habislah aku ditikam oleh nasionalis, habis segala statistik disembur ke muka aku). Jadi, aku cadangkan kamu semua tengok Sumo-lah. Pergi mampus dengan si bodoh-si bodoh yang tiba-tiba mempersoalkan “kenapa nak buat filem budaya Jepun?” sebab dalam filem Sumo-lah itu sendiri ada terselit sindiran bagaimana orang Melayu yang mengaku tahu budaya Melayu, tapi sebenarnya tak tahu apa-apa pun.
Buka laman web GSC dan TGV dan tempah tiket sekarang. (Pehh, rasa macam aku kerja dengan Afdlin pulak).
Nota: Aku tunggu Los Dan Faun, adakah sehebat Sumo-lah?
Gambar diambil dari laman web Sumo-Lah
9 comments so far
Leave a reply