SUNSHINE
Filem ini disyorkan sekeras-kerasnya oleh Nazim Masnawi dengan ayat cabaran “kau sebagai peminat sci-fi mesti tengok Sunshine“.
Selepas tragedi yang membuatkan aku terlepas tiga filem; 300, Pan’s Labyrith dan Teenage Mutant Ninja Turtle, maka aku berkeras hati untuk menonton Sunshine. Pada gambaran aku, filem ini mengingatkan kepada filem Pra-Apokalips seperti Armageddon, Deep Impact dan beberapa filem yang lain. Kemudiannya aku rasa ia lebih dekat kepada filem The Abyss.
Ceritanya mengenai matahari yang sudah hendak mampus. Cahayanya sudah tidak berapa sampai ke planet bumi. Fenomena yang membuatkan planet uzur itu dijangkiti musim sejuk berpanjangan. Manusia hampir binasa. Mereka menghantar sekumpulan ahli sains dengan kapal bernama Icarus yang membawa bom untuk mengaktifkan kembali matahari. Tapi Icarus hilang tanpa khabar berita. Manusia terus sejuk. Lantas Icarus II dilancarkan dengan lapan krew bersama sejumlah bom atom secara kolektifnya sebesar Manhattan. Misi: menghasilkan bintang dalam bintang.
Ada beberapa muka yang biasa anda lihat. Chris Evans (si human torch dalam Fantastic Four) adalah Mace, jurutera pesawat. Cilian Murphy (mamat 28 Days Later) adalah Capa, ahli fizik. Hiroyuki Sanada (The Last Samurai) adalah Kapten Kaneda. Selain itu kita ada Cassie (Rose Byrne) yang jadi pemandu pesawat, Harvey (Troy Garity) yang jadi pegawai komunikasi, Trey (Benedict Wong) yang jadi…err, tukang kira-kira (maaf, aku tak pasti kepakaran dia), Searle (Cliff Curtis) sebagai ahli psikologi dan sudah tentunya orang kampung aku iaitu Michelle Yeoh sebagai Corazon.
Aku rasa Chris Evans memang pelakon yang cukup best. Sejak aku tengok dia jadi mamat bangang dalam filem Not Another Teen Movie, kemudiannya mencuri tumpuan dalam Fantastic Four, dia terus bagus sebagai seorang lelaki yang macam sial dalam Sunshine. Macam sial yang aku maksudkan ialah dia ada hitam dan putihnya sendiri. Dia yang mencadangkan Capa (atas prioritinya) untuk memakai sut dan berhadapan risiko mengorbankan orang lain termasuk dirinya tapi lepas itu dia juga yang menjadi pengerusi majlis untuk sesi “kita-nak-bunuh-siapa-demi-menyelamatkan-konek-kita-sendiri?”
Satu lagi benda yang membuatkan aku teruja hendak menonton adalah kerana pengarahnya, Danny Boyle. Antara portfolionya adalah filem dadah yang paling aku suka, Trainspotting (1996). Selain itu antara filem dia yang pernah aku tengok adalah A Life Less Ordinary (1997) dan 28 Days Later (2002). Di sini aku sudah boleh agak stail yang dibawa ke dalam Sunshine.
Mula-mula kembara ke matahari ini semacam tak ada masalah. Pergi, jatuhkan bom, balik dan buat party. Tapi segala darah bermula masa Icarus II menemui Icarus I. Mereka akhirnya tahu apa sebenarnya yang terjadi kepada anak kapal malang itu. Berlaku siri kemalangan yang meragut jiwa. Kesilapan perkiraan membuatkan mereka terdedah kepada bahaya cahaya matahari. Mereka bertemu dengan Kapten Pinbacker!
Kemudian Sunshine mengingatkan aku kepada neraka dalam Event Horizon. Tak sama, tapi aku ada perasaan sedemikian. Suasana neraka yang menyelubungi Icarus I dan II menjadi suspen.
Sunshine menggambarkan angkasa sebagai satu tempat bukan untuk manusia. Tatkala fizikal kamu berada di atas sana, harapan sebenarnya sudah tiada. Ia tidak warna warni seperti yang kamu bisa lihat dalam Star Wars atau Serenity. Lebih banyak logik sains yang terpaksa manusia tempuhi. Manusia bukan superman, maka beberapa saat jasad terdedah kepada ruang angkasa sudah cukup membuatkan manusia mati menjadi sekeras batu.
Separuh perjalanan cerita, kita sudah diberi amaran bahawa perjalanan anak kapal Icarus II ini adalah sehala. Tiada kemungkinan untuk mereka turun semula ke bumi dan memeluk sanak saudara. Tapi apa yang lebih mengujakan ialah bagaimana kita hendak merasai pengalaman mereka. Bagaimana manusia ini menghampiri matahari memberi harapan kepada bilion nyawa di bawah sana.
Aura matahari amat dahsyat sekali. Tapi tatkala manusia berada dekat dengannya, mereka melihat keindahan, walau mungkin keindahan itu cuma seketika dan membawa maut. Bagi krew Icarus, berhadapan dengan matahari merupakan satu pengalaman yang tidak boleh ditukar dengan benda lain.
Angkasa juga membuat manusia menjadi keji. Aku boleh bayangkan diri sendiri bertindak sekeji itu juga. Bayangkan jika ada empat orang dengan hanya satu sut angkasa, lorong penghubung antara Icarus II dan I sudah musnah. Satu-satu cara ialah dengan memilih seorang sahaja untuk menyarung sut itu. Maka Harvey bertindak seperti orang gila, mahu dia yang berada di dalam sut tersebut walhal Capa yang mempunyai prioriti yang lebih tinggi. Harvey menggunakan kedudukannya sebagai pegawai atasan untuk menyuruh Capa memberikan sut tersebut kepadanya. Satu fenomena biasa di atas bumi ini, tatkala orang yang berada di atas sanggup berbuat apa sahaja untuk terus kekal selamat walau mengorbankan anak buahnya. Manusia akan berubah menjadi gila bila tahu “kematian” datang mengheret.
Kemudian datang pula bala lain. Mereka kekurangan sumber oksigen dan makanan. Maka berlaku konspirasi untuk menghapuskan rakan yang lain, yang mereka rasa tidak layak hidup. Survival of the fittest. Kau lemah, maka kau harus mampus. Tidak ada lagi nilai persahabatan. Aku suka bila mereka guna tiket “satu nyawa harus dikorbankan demi manusia sejagat”. Cukup berkesan. Maka, kalau tiket itu digunakan, kenapa tidak sepenutur itu sahaja yang sukarela mengkelar leher dia sendiri? Kenapa harus bunuh kawan? Senario yang selari dengan orang-orang politik kita bila menggunakan tiket “moral” untuk mereka terus menabur tahi ke serata arah.
Satu lagi adegan yang cukup aku suka tatkala Capa menerima laporan dari suara Icarus si komputer tentang status kesihatan baki anak kapal. Berita yang dikhabarkan oleh Icarus kepada Capa membuatkan aku seakan mahu bersorak. Whoa, sudah lama aku tidak merasai kejutan dalam filem seperti ini.
Aku merasakan Sunshine tidak akan disukai oleh ramai orang. Ya, mungkin aku bersikap sedikit elitis, tapi si penggemar Star Wars yang mengidam gula-gula pop warna warni mungkin sedikit kecewa, kerana Sunshine hanya menawarkan air herba pahit. Tapi Sunshine adalah antara filem fiksyen-sains yang penting. Ia akan masuk ke dalam kelompok cult seperti filem Dark City. Mungkin. Mungkin sekali.
Apa pun, Sunshine memberi kenyataan yang cukup keras, angkasalepas bukan tempat untuk manusia. Duduk diam sahaja di Planet Bumi.
FILEM: SUNSHINE
PENGARAH: Danny Boyle
TAHUN: 2007
LAMAN WEB: http://www.sunshinedna.com/




5 comments so far
Leave a reply