WAWA DIPINANG ORANG
Wawa adalah gadis kampung yang tidak duduk di kampung. Dia teringin hendak kahwin. Dia sudah empat belas kali putus cinta (7 diputus, 5 diminta putus dan 2 tidak diketahui statusnya sehingga cerita ini ditulis).
Wawa berkenalan dengan Fendi, seorang jejaka kacak yang bekerja di Alor Setar. Mereka berkenalan melalui Friendster. Satu tahap demi satu tahap dilalui sehinggalah enam bulan kemudian, Fendi yang suka kemaruk mahu memperisterikan Wawa merancang untuk masuk meminang.
Wawa suka bukan main. Akhirnya dia kahwin juga.
Pada hari yang ditetapkan, datang satu rombongan meminang (3 kereta). Wawa duduk dalam bilik. Sebagai seorang gadis pemalu, dia tidak mahu keluar melihat proses yang berlaku antara keluarganya dan keluarga rombongan itu.
Apa yang dia tahu, keluarganya menerima dengan hati yang terbuka (lagipun Wawa sudah menjalankan kempen sejak lama lagi).
Selepas rombongan meminang itu pulang dan tarikh kahwin sudah ditetapkan, barulah Wawa keluar. Melompat-lompat si dara kegirangan kerana dapat berkahwin dengan Fendi.
Tapi kemudian Wawa berhenti melompat bila kedengaran suara lelaki yang lengkap berbaju Melayu memberi salam. Kata lelaki itu, mereka datang ada hajat, mahu meminang Wawa. Lelaki itu juga memohon maaf kerana terlewat, jalan jam.
Wawa jenguk keluar tingkap dan melihat satu rombongan meminang (5 kereta) dimana kelihatan Fendi di dalam salah sebuah kenderaan itu.
Keluarga Wawa saling pandang memandang.
Habis tu rombongan yang tadi wakil siapa? Rombongan yang baru pulang dengan tarikh dan segala persetujuan yang diberi dari pihak perempuan?
Wawa pengsan.
Wawa akan kahwin.
Tapi dengan orang lain.
TAMAT
(Ini adalah treatment yang sedang aku usahakan untuk skrip drama TV, agak-agak boleh jual?)
10 comments so far
Leave a reply