Archive for August, 2008
Kadang-kadang
Mungkin perang saja yang boleh menutup mulut
Kadang-kadang
Mungkin perang saja yang boleh membina
Bila kita tak boleh duduk bersama
Kerana kita memang tak serupa
Kadang-kadang saja
Kerana selalunya kita sering lupa
Kita sama-sama
Setiap masa
Kalau pun Jarang-jarang
Nak merasa
Apa yang kita rasa
Kerana kadang-kadang
Kita macam tak suka
Yang di sebelah sana
Kadang-kadang saja
Yang sudah bukan jarang-jarang
Jarang-jarang yang bukan kadang-kadang
.
.
..
Nazri M. Annuar
Setapak 1228 mlm
*Untuk insiden Sabtu lepas
Baru-baru ini ada kempen di alam blog menyuruh meletak gambar bendera Malaysia terbalik. Satu sebab sebagai tanda protes terhadap kekacauan yang ada di negara kelahiran aku ini. Aku tak tahu, mungkin protes ini sebagai satu jalan memuaskan hati mereka yang marah, agaknya la. Nak kata kempen Kerajaan sempena bulan kemerdekaan, tak nampak pula iklannya dalam tv.
Eh, rumah aku tak ada tv. Macam mana nak tengok tv?
Aku fikir, perbuatan itu sungguh kebudak-budakan, laksana budak-budak yang pergi gig melaungkan rasa benci terhadap pemerintah (bukan semua) atau rasa anti-establishment atau apa-apa sajalah. (Aku tak kata semua, nanti terasa pula si anu si anu yang selalu pergi gig).
Yang kita marahkan adalah orang yang memegang tampuk mengemudi negara ini. Menterbalikkan bendera bukan satu isyarat yang simbolik atau bijaksana dalam memberitahu si anu-si anu yang kita tak suka mereka. Lantas, sama seperti budak-budak gig yang terjerit-jerit "Fuck The Police" sedangkan entah tidak ada seorang polis pun yang mendengar laungan mereka. Lantaran jeritan itu hanya mendatangkan rasa penat dan terpaksa sekali lagi meneguk arak, air mineral atau apa-apa yang penghilang dahaga badan. Laungan Fuck The Police itu sudah semacam jadi wirid-wirid pembakar semangat la pulak. Mungkin salah satu rukun gig la gamaknya. Kalau tak lengkap rukun, nanti pahala tak naik ke atas.
Sama seperti menganjingkan logo polis. Yang kita marahkan sekian-sekian polis, tapi habis semua polis kena anjing. Kalau anjing polis gamaknya kena panggil anjing kuasa dua sebab dia sudah pun anjing dan kita anjingkan anjing itu. Kita mengikut budak-budak tak tentu hala yang memang hobi mereka membenci polis. Hari mereka suka polis adalah hari di mana mereka boleh hisap ganja di kedai mamak.
Kadang-kadang aku keliru melihat "pejuang"-"pejuang" ini. Apa yang aku nampak, blogger kiri ini sama seperti budak-budak gig. Selalu mahu marah, selalu mahu menentang. Tampal poster askar pijak kepala orang. Tapi bukan askar Malaysia pun. Aku tanya bila nak ke negara situ, tolong orang yang kena pijak tu. Kita berjuang di sini saja, jawapannya. Oooo... hantar santau la kot dari sini.
Laksana seorang pemuda memakai baju Che Guevara tapi isi perjuangan mamat tu tak pernah pun mahu dia faham.
Kadang-kadang aku fikir, kemarahan itu sekadar mahu melihat diri mereka kelihatan bagus di mata kawan-kawan. Berapa kerat anak muda yang betul-betul tahu apa yang mereka perjuangkan?
Apa yang orang Melayu buat semuanya salah, apa yang ada di negara kita semuanya salah, apa yang Islam buat semuanya kolot, apa yang orang tua kita buat semuanya kena lawan... Sungguh susah nak puaskan kehendak anak-anak muda kita kan?
Lagipun kitakan betul saja.
Laksana kita memberi justifikasi kenapa mahu minum arak.
Dan keluar ayat kegemaran, "kubur lain-lain..."
Kubur memang lain-lain, tapi bila mampus nanti bukannya kome boleh melompat masuk dalam lubang kubur dan kambus sendiri.
Sempena bulan kemerdekaan ini, rentikan le kome buat kerja tak ada pekdah ni. Kita semua sayangkan negara ini. Jadi raikan kemerdekaan ini tanpa sebarang rasa mahu marah. Lagipun aku sudah melalut. Tadi cerita pasal bendera terbalik, ni apa kes pula cerita pasal kubur-kubur ni?
--------
Pemenang peraduan SETAPAK jatuh kepada MAK SU. Sila emel nombor akaun anda untuk serahan wang hadiah. Terima kasih.
-------
Emma, saya mahu....
------
"Barangsiapa yang mempunyai filem pendek dan mahu menayangkan di hadapan umat penonton, maka hendaklah kamu pergi ke sini: MASKARA SHORTIES"
Maaf, di situ kita tak laung Fuck The Police.
Di situ ramai orang tua perut boroi yang masih merasakan Scorpion band paling hebat di alam Bumi. (Ni satu hal lagi, orang-orang tua tak sedar diri.)
Aku kini tinggal di Setapak.
Banyak kali dengar lawak "Setapak", terutama bila aku harus menjawab soalan "kau tinggal di mana?".
Malam tadi ada seseorang yang buat lawak Setapak lagi.
Dalam bentuk teka teki;
"Area mana yang paling dekat dengan KL?" soalnya.
Jawapannya, "Setapak!" (ya, sebab hanya se-tapak sahaja untuk ke KL)
Ya ya, sudah lame. Tapi aku harus beri kredit kepada penyampaiannya. Ini kali pertama lawak Setapak digubah dalam teka teki sedemikian rupa, sekurang-kurangnya yang aku dengar, dan buat aku ketawa.
Ayuh, bermain dengan lame.
Berikan lawak SETAPAK anda yang paling kreatif (TAK SEMESTINYA DALAM BENTUK TEKA TEKI).
Aku akan hadiahkan RM5 kepada lawak yang paling aku suka.
Tarikh tutup penyertaan sehingga entri yang berikutnya.
Masa sekolah, seperti ramai budak sekolah lain, selain bercita-cita nak jadi doktor, akan bercita-cita nak tubuhkan band.
Aku tak terkecuali.
Band pertama aku ditubuhkan pada tingkatan empat. 3 piece band. Bukan nak tiru Nirvana, lebih sebab tak cukup korum. Yang terer sudah tubuh satu band 5 orang. Tinggal yang terkial-kial macam aku saja. Aku, Suki dan Amar buat band. Apa nama band aku dah lupa. Suki main gitar, aku bass dan Amar dram.
Bila dah ada band, kena pergi jamming. Ada dua studio yang selalu kami pergi. Satu di Bazaar Bulat. Studio SYJ. Satu lagi di daerah Ocean. Aku dah lupa nama studio tu. Di Corner lot. Yang aku ingat aku pernah tengok MUCK praktis di situ.
Selalunya jamming lagu senang. Lagu-lagu Bad Religion, lagu Green Day, Sham 69 dan beberapa lagu yang tak payah guna skil Malsmteen. Walaupun sebenarnya aku lebih suka mendengar muzik metal, tapi terpaksa merendah diri dengan bakat yang tak seberapa. Masa tu dapat main intro American Jesus tu dah aku anggap diri aku handal. Dah rasa senang-senang saja boleh dapat awek sebakul dua dengan gorengan sebegitu.
Lepas praktis lagu orang, mesti kena buat lagu sendiri. Lepas tu mesti buat lagu Bahasa Inggeris. Barulah cool. Aku tulis lirik sebab dalam kami bertiga, aku yang boleh tulis lirik Bahasa Inggeris. Suki buat lagu.
Aku ingat lagi, lagu pertama kami berkisar perjuangan kami menentang autoriti yang tidak membenarkan kami hisap rokok di sekolah. Aku tak ingat tajuk lagu tu. Tapi Suki puji habis lirik aku. Masa tu kira dah "anti establishment" habis masa tu. Kami dah rasa band ni cukup syarat untuk jadi band Punk Rock.Tambah pulak ideologi Bad Religion kami hadam tiap-tiap hari.
Lepas tu kena ada lagu cinta. Ha, yang ni aku ingat tajuknya. "Stuck In Love". Peh, inspirasi lirik tu datang dari seorang budak perempuan yang lawa gila masa tu. Mulut dia ada iras Nicole Kidman. Tapi syukur hasrat aku meraih cintanya tidak termakbul bila mengenangkan senario fizikalnya hari ini.
Dah cipta lagu, masa untuk pergi praktis dan rakam. Boleh dengar di asrama. Kami pinjam walkman budak junior kaya yang boleh rakam audio. Aku sisip di tepi pinggang dan rakam. Lepas praktis kami dengar. Satu hapah pun kami tak faham bunyi-bunyian yang keluar dari walkman itu.
Lepas tu rancang nak rakam demo. Memang masa tu perancangan tahap KLCC.
Tapi disebabkan duit tak ada dan kami menamatkan persekolahan, band itu tersadai begitu sahaja. Lagipun aku harus sedar aku tiada bakat bermain alat muzik.
Masuk UiTM, aku berkenalan dengan beberapa orang kawan yang gila muzik. Terus aku teruja kembali. Jamming di seksyen 7 (Serindit - di mana peralatannya macam sial). Nama band dah ada, DPA (Dead Politic Association), sempena nama jurusan kami, Diploma Pentadbiran Awam.
Siap tulis di whiteboard kelas. Kena tegur dengan pensyarah. Miss Glory.
Masa ini pengaruh pelbagai. Seorang ni minat hardcore ala Korn. Seorang lagi Black Metal ala Cradle Of Filth. Seorang lagi, drummer kami, aku tak pasti arah muziknya. Dia ada sebut "Aku minat KONG". Puas kami fikir apa benda KONG tu. Dia tunjuk album "Follow The Leader". ooooo. Masa tu aku banyak pengaruh dari Moonspell, Hayagriva, dan sudah tentulah Therion.
Entah kenapa band Dead Politic Association tu terbengkalai juga.
Mungkin sebab tiada ketua yang betul-betul menggerakkannya.
Lagipun muzik bukan passion aku. Tak pernah nak fikir untuk terkenal sebagai pemuzik walaupun dasarnya, ia adalah magnet untuk mendapatkan awek-awek groupie (Underground atau mainstream sama saja).
Sehingga kini, beberapa kawan aku, ada yang sudah lupa terus perjuangan muzik mereka dan ada juga yang masih kekal dan sudah terkenal serta dikelilingi perempuan.
Aku, paling tinggi pergi ke gig mereka dan menonton dari jauh. Dan paling tinggi pun aku hanya dapat buat senyuman tak dibalas kepada awek-awek disitu.
Gitar aku, entah ke mana. Tab bertaburan dan semenjak jadi orang tua ini, semakin kurang aku dengar lagu heavy metal.
Sebagai penganjur, tidak adil untuk aku tulis persembahan siapa yang terbaik. Lagipun ini bukan sayembara untuk merebut trofi. Juga bukan lumba egois. Juga yang datang ke sana keinginan mereka lain-lain, ada yang ingin mendengar deklamasi, ada yang mahu berhibur dan ada juga sekadar suka-suka mengikut teman. Tak kurang mungkin yang tidak sedar dia berada di tempat yang salah kerana tersalah sangka Planet PENA sebagai pusat membeli belah Ah Ho.
Tapi selamat aku katakan persembahan silat berirama oleh saudara Jimadie dan kawan-kawan adalah yang terbaik. (okey, gurau sebelum aku ditembak oleh Jimadie dan rakan-rakan).
Kedatangan penonton masih memuaskan dan sekurang-kurangnya hampir semua hadirin tunggu sampai hujung acara. Malam itu pesta bihun kerana disamping gemar bercerita tentang falsafah pseudo-intelektual, kisah hidup yang sengsara dan hati yang luka, bihun adalah kegemaran para blogger.
Malam itu orang berjoget dengan Dewangga Sakti, berpantun dengan Azree, terpegun dengan Salman Sulaiman, dendang irama dengan DEP dan terkesima dengan kata-kata Art. Selain itu asyik mahsyuk dengan monolog Republik Teater, bersubahat dengan Jonos dan Alfie serta takjub dengan melodi suara Reez dan Ajami.
Bila orang seni bercampur, ada yang melontar tentang "perjuangan". Objektif MASKARA jelas sejak kali pertama diadakan. Tempat orang-orang lepak menonton acara "seni". Tak kisah mereka di pihak mana, malam MASKARA adalah malan neutral.
Sebagai ketua projek, aku mengucapkan setinggi terima kasih kepada Selma Blair kerana memberi inpirasi. Juga kepada ahli Sindiket Sol-Jah yakni Mohammad Sabtu Bin. Idrus, Rozali Ibrahim B. Abdul Muluk, Syed Shafiq Bin. Syed Ahmad, Muhammad Zubairi Bin. Ujang, Jamal Bin Arbain, Abdul Ghani Bin Haji Yahya, Shamsul Shariffuddin Shaari bin Ali, Zaid Asmawi Bin Kamal Jauhari dan Riduan Selamat Bin. Mukhtar. Tanpa bantuan kalian, MASKARA takkan dapat membuatkan Suhaini Binti Farid tersenyum puas.
Juga kepada kawan-kawan lain yang memberi sumbangan dalam bentuk tajaan makanan , tajaan promosi dan tajaan kerahan tenaga. Kami amat menghargai sumbangan kalian. Bak kata Encik Francis Murugan, "Betul, kamu betul,"
Aku harap kawan-kawan dapat berkumpul lagi pada edisi yang akan datang.
Kepada awek baju putih yang menegur di tepi pintu mengirim salam kepada budak rumah aku tatkala selesai majlis, jemput datang lagi.
Kepada awek MPR yang datang sambil kelam kabut bertanyakan dah dapat antologi KACAK JELITA, jemput datang lagi.
Kepada awek Mat Jan, jemput datang lagi.
Saya akhiri dengan petikan kata seorang ahli falsafah bernama Fuad Tarmini bin Masikan, "apakah tujuan hidup sebatang sudu? Kenapa sudu berada di dalam gelas? Kenapa sudu tidak mahu terbang? Kenapa? Kenapa? Kenapa?"
