KENALKAH KAU DENGAN NAMA BERTIH JAGUNG ATAU KAU LEBIH RELA DENGAN POPCORN?
Untuk acara kenangan masa kecil kali ini aku nak membawa pembaca sekalian kepada pengalaman tengok wayang kali pertama. Aku percaya hampir pasti sesiapa yang membaca blog aku pernah menonton wayang. Amir Mukhriz pun suka tonton wayang, takkan la kamu tak pernah tengok wayang, apake perhak sangat.
FIlem pertama yang memecahkan terunaku ialah Batman Returns (1992). Aku tonton bersama abah dan adik-adikku (aku tak ingat berapa orang adik aku yang ikut). Sebelum tengok wayang teruja dia bagai teruna sunti baru kahwin masuk dalam bilik dan melihat isterinya berada di sisi katil dengan baju kurung sambil rambut bersanggul…okey…kita kembali tentang cerita pengalaman tengok wayang tadi…
Satu benda yang aku ingat ialah propaganda mak dan abah aku tentang wayang yang tak ada gangguan iklan. Peh, hati aku berkobar-kobar. Tengok filem tanpa ada gangguan dari promo Salem High Country atau iklan pelancongan Peter Styvesant merupakan satu benda besar dalam hidup aku. Selama ini layan Dunhill Double selalu terkesima dengan perbuatan memotong adegan untuk memberi laluan iklan.
Aku sempat bertanya mak dan abah pernah menonton wayang bersama-sama tak. Aku tak ingat apa jawapan mereka.
Abah aku bawa ke panggung Cathay di Ipoh. Sekarang panggung tu dah tak ada. Berdekatan dengan pasaraya Ocean, yang aku rasa juga sudah tiada.
Masa ini aku baru tahu wayang ada dua kelas. First Class dan normal class. First Class mahal sikit, tiketnya berharga RM5 sementara kelas bawahan tiketnya RM2.50. Masa itu RM5 bermakna makan tengahari untuk seminggu. Tapi sempena meraikan kehilangan terunaku dalam hal ehwal menonton wayang laksana lelaki baru kahwin yang masuk..errr…okey, abah aku membelikan tiket kelas pertama untuk kami. Yeay!
Pintu masuk First Class pun ikut tangga lain. Naik ke atas. Sebelum masuk ada satu ruang seperti lobi yang taklah besar mana, tapi ada sofa dan meja untuk menunggu. Zaman itu, lobi tersebut sudah dikira habis eksklusif.
Pembantu panggung kemudian buka pintu yang dihias dengan tirai hitam. Kami beratur untuk masuk dengan menyerahkan tiket. Zaman itu tiket macam tiket bas yang dijual oleh ulat-ulat puduraya. (kadang kala tak ada tajuk filem pun).
Kami masuk. Aku tak ingat samada free seating atau tak. Tapi kami duduk dan hatiku berdebar-debar laksana teruna yang masuk ke dalam bilik pada malam selepas nikah sambil isteri…maaf, malam Jumaat begini memang selalu tersasul.
Kemudian suasana jadi gelap. Yay! Hatiku bersorak. Wayang sudah hendak mula. Aku sudah berkira-kira melihat BATMAN dengan skrin besar.
BOOM! TRATT! TRATT! TRATT! Cut scence berleluasa di skrin besar. Segerombolan lelaki berpakaian askar sedang berperang. Aku jadi resah. Ni apa ceritanya ni? Kata nak tayang Batman. Ni apa pula cerita perang ni? Aku jadi resah. Sekejap bergerak ke kiri, sekejap bergerak ke kanan. Aku pandang abah. Abah buat biasa. Aku jadi ragu-ragu, silap panggung ke? Abah nak control malu ke? Soalan demi soalan menyerang aku dengan laju, sama laju dengan bunyi peluru di skrin besar. Aku nak tengok Batman! Mahu sahaja aku menjerit, “Abah, kita dah salah masuk panggung!”
Apa yang aku tahu, itulah hari dimana aku diperkenalkan dengan satu benda: “movie trailer” yang ditayangkan sebelum filem yang sebenar dimainkan.
****
Cineplex telah membunuh panggung tradisional. Satu demi satu panggung tradisional di Ipoh mati atau mengalami perubahan dalam bentuk pasaraya menjual kain dan sebagainya.
Kali terakhir aku ke panggung tradisional di Ipoh pada tingkatan 4, di Odeon (kalau tak silap), menonton Flubber bersama Azmi Suki. Wayang hendak bermula 10 minit lagi dan kami orang yang pertama masuk. Diikuti seorang apek yang tertidur sepanjang tayangan dan sepasang kekasih yang duduk di satu penjuru menjalankan urusan rasmi nafsu syaitan.
Aku dan Suki hisap rokok sepanjang tayangan. (semasa tingkatan 4, menghisap rokok selain di atas loteng tandas asrama merupakan pencapaian yang sama tarafnya dengan penemuan ubat bius).
****
Dan kadang-kadang terasa rindu nak pergi menonton panggung wayang tradisional sebegitu.
This entry was posted on Friday, August 22nd, 2008 at 12:33 am and is filed under jurnal. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.




nazri

















August 22nd, 2008 at 12:50 am
Ted - Jurassic Park juga ada pengalaman tersendiri. Aku pergi Cathay dengan kawan-kawan lepas tournament badminton. Orang ramai macam tengok konsert. Aku menyusup potong line untuk beli tiket first class. Masa tu RM5 dah kira mahal, tapi demi “dinosaur”…