KUCING TERBANG DI KLCC
karya dibawah enak dibaca dengan musik klasik Ride Of The Valkyries ciptaan Wagner (ada di bawah)
—————————————————–:::
Maka terbeliaklah mata pelancong dari Russia, pengsanlah lelaki Bangladesh tukang sapu sampah, lari mencicit pasangan muda yang sedang bercengkerama, seorang eksekutif muda tertelan telefon bimbitnya dan Mak Datin ketawa terbahak-bahak sehingga tertanggal gigi palsunya.
Semua gara-gara melihat kucing-kucing terbang di sekitar KLCC.
Ada berwarna kelabu, ada berbulu oren, ada juga campuran warna hitam di bahagian atas, putih di bahagian bawah. ada jantan, ada betina, ada jantan yang baru sedar dirinya betina dalam bulu-bulu jantan dan ada jantan yang baru sedar dirinya suka jantan.
“Apa tu?” tanya seorang budak lelaki yang baru selesai membeli kasut sukan hanya kerana suka heronya yang bermain dalam kelab bolasepak terkemuka Eropah (baca: England) walhal dirinya tidak berminat bermain bolasepak sungguhpun begitu emosi bila ada orang mengata kelab kegemarannya.
“Itu kucing,” jawab ibunya separa sedar, masih bingung adakah ini kesan sampingan pil kurus yang ditelannya sejak tahun 1997.
“Kucing mana boleh terbang!” jerit seorang nyonya yang sedang memegang botol bir cap harimau.
“Syaitan! Syaitan!” tingkah seorang pakcik yang usianya sama dengan kemerdekaan Malaysia lantas terjun ke dalam kolam KLCC dengan harapan air pancut itu dapat mencuci dosanya.
“Ini semua kerja Amerika. Amerika sedang menyerang kita, Allahuakbar!” laung pemudi bertudung hijau yang sedang membaca majalah hiburan mukasurat rencana tentang pelakon wanita di mana filemnya sedang hangat ditayangkan dipawangam ditangkap pencegah maksiat dengan bekas pelajar rancangan realiti tv yang terkeluar pada minggu ke-2.
“Do not stereotyping Americans!” pintas seorang lelaki kulit putih.
“Ini semua salah awak!” lelaki bersongkok biru menjerit.
“Salah awak!” perempuan berjubah hijau membalas.
“Bukan salah kami!” lelaki India tukang baik jalan menyampuk.
“Aku ingin menjadi kucing, terbang bebas mencapai langit, girang bergomol dengan awan…” seorang penyair mendepakan tangan, menutup mata dan bersajak sebelum dia dilanggar oleh sebuah teksi NGV dimana pemandunya sedang asyik membetulkan meternya.
Kucing-kucing itu terus terbang bermain disekitar KLCC sebelum beredar menghilangkan diri di celah-celah awan.
Peristiwa itu mendapat liputan akhbar, masuk ke dalam buletin televisyen, parlimen membahaskannya, cerdik pandai berforum, penyanyi membuat lagu, penulis menghasilkan memoir dan apa-apa sajalah.
Tapi sehingga seruling penamat ditiupkan pun, tiada manusia yang tahu dari mana, ke mana dan untuk siapa kucing-kucing itu terbang,
Lagipun, seminggu kemudian, satu Malaysia sudah lupa ada kucing yang pernah terbang di sekitar KLCC.
Fin
The Ride of the Valkyries
This entry was posted on Tuesday, July 29th, 2008 at 12:40 am and is filed under jurnal. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.




marjerin July 29th, 2008 at 1:14 pm
sungguh erotik. seperti membaca puisi burowski