PENGALAMAN DI MPH
MPH AUTHORS MONTH: NAZRI M. ANNUAR
Sesi aku tamat petang tadi. Ini beberapa kesimpulan;
1. Pengalaman berharga. Jika esok lusa aku jadi legenda, aku sudah boleh kata “masa saya muda-muda dulu susah, event 3,4 kerat saja yang datang, itu pun member” di hadapan 10,000 peminat fanatik, di dalam stadium. (Sebenarnya aku rasa diri aku agak bertuah berbanding penulis fiksyen sains dua minggu lepas, sekurang-kurangnya aku tak rasa sepi sangat)
2. Sebenarnya satu hikmah kerana jika aku menjadi penulis tua nanti, bila berhadapan dengan penulis muda yang mahu mengundur terlalu awal, aku sudah boleh tempelak mereka dengan kata, “Cehhh! Pak Cik masa awal-awal nak bertapak dulu lagi teruk, tak ada orang datang pun!”
3. Fiksyen Sains dan Fantasi di Malaysia masih jauh untuk membina peminat tersendiri. Maka fikirlah banyak kali barangsiapa yang menulis genre ini UNTUK POPULAR. Terutamanya yang masih baru, perjalanan masih jauh dan jangan patah semangat.
4. Penulis perlu inisiatif sendiri jika mahu acaranya ‘happening’ (bak kata budak zaman sekarang).
5. Memberi azam tersendiri untuk aku menulis lebih banyak novel Sains-Fiksyen. Di Malaysia, penulis perlu prolifik untuk membina pengikutnya tersendiri.
6. Perlu ada komuniti novel Fiksyen Sains dan Fantasi, semacam kelab peminat untuk menggerakkan genre ini.
7. Kalau pihak MPH bijak, mereka juga boleh buat post-mortem kenapa acara sebegini seolah gagal, bukan sekadar nak melengkapkan jadual acara.
8. Kedatangan penonton sebenarnya memeranjatkan juga bila difikirkan faktor aku sudah bersedia dengan kemungkinan TIDAK ADA ORANG YANG DATANG LANGSUNG.
9. Bergerak secara solo bukan pilihan aku buat masa ini. Tunggulah bila sudah ada tapak baru boleh bergerak solo.
10. Memberi semangat untuk aku menulis karya “menang anugerah” sebagai mencipta reputasi (pernah dibincangkan dengan Serunai Fakir).
PENUTUP:
Apapun pengalaman ini amat berharga. Di sebalik kurang sambutan, aku dan Mat Jan ‘berseronok’ di atas pentas. Beberapa penulis ternama sekarang pernah bercerita pengalaman yang hampir serupa ketika aku berbual dengan mereka. Makanya sahlah aku akan menjadi penulis ternama suatu hari nanti walaupun sekarang sebenarnya aku sudah mempunyai nama.
Terima kasih kepada pihak MPH untuk ruang acara, terima kasih kepada pihak PTS dan editornya Mat Jan yang bersusah payah menguruskan aku, terima kasih kepada Zafer yang menjadi jurugambar denga bayaran yang begitu murah dari harga sebenarnya (doakan saya kaya dengan menulis suatu hari nanti, InsyaAllah), terima kasih kepada Ain Maisarah dan suami yang sudi tunggu selepas acara mereka usai dan terima kasih kepada teman-teman yang datang. Esok lusa bila aku popular kamu takkan dapat duduk di kerusi itu lagi, jadi hargailah saat-saat keemasan itu.
Hola!
This entry was posted on Monday, August 18th, 2008 at 1:28 am and is filed under jurnal. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.






zakzak August 18th, 2008 at 6:33 am
x de ke karya tuan pengarang yg boleh dibaca online?aku kat luar negara ni dan x blh nak beli. trasa nak tau gak cerita opera angkasa tu camne?adakah cerita tu lebih kepada interaksi antara karakter ataupun kepada masalah scientifik?
btw, cite fantasi yg aku minat ialah karya ahmad patria abdullah(lagenda numerius etc)
faisal tehrani (1515 kombat, tp ni pun agak terlebih aspek sci fi dia, kkadang rasa terlalu imaginatif..)
apapun jangan putus harapan.all the best dan moga lahir karya sci fi fantasi yg gempak