05 Aug 2008 SETIAP ADA KAMU, ADA HAIWAN TENUSU
 |  Category: jurnal

Masa sekolah, seperti ramai budak sekolah lain, selain bercita-cita nak jadi doktor, akan bercita-cita nak tubuhkan band.

Aku tak terkecuali.

Band pertama aku ditubuhkan pada tingkatan empat. 3 piece band. Bukan nak tiru Nirvana, lebih sebab tak cukup korum. Yang terer sudah tubuh satu band 5 orang. Tinggal yang terkial-kial macam aku saja. Aku, Suki dan Amar buat band. Apa nama band aku dah lupa. Suki main gitar, aku bass dan Amar dram.

Bila dah ada band, kena pergi jamming. Ada dua studio yang selalu kami pergi. Satu di Bazaar Bulat. Studio SYJ. Satu lagi di daerah Ocean. Aku dah lupa nama studio tu. Di Corner lot. Yang aku ingat aku pernah tengok MUCK praktis di situ.

Selalunya jamming lagu senang. Lagu-lagu Bad Religion, lagu Green Day, Sham 69 dan beberapa lagu yang tak payah guna skil Malsmteen. Walaupun sebenarnya aku lebih suka mendengar muzik metal, tapi terpaksa merendah diri dengan bakat yang tak seberapa. Masa tu dapat main intro American Jesus tu dah aku anggap diri aku handal. Dah rasa senang-senang saja boleh dapat awek sebakul dua dengan gorengan sebegitu.

Lepas praktis lagu orang, mesti kena buat lagu sendiri. Lepas tu mesti buat lagu Bahasa Inggeris. Barulah cool. Aku tulis lirik sebab dalam kami bertiga, aku yang boleh tulis lirik Bahasa Inggeris. Suki buat lagu.

Aku ingat lagi, lagu pertama kami berkisar perjuangan kami menentang autoriti yang tidak membenarkan kami hisap rokok di sekolah. Aku tak ingat tajuk lagu tu. Tapi Suki puji habis lirik aku.  Masa tu kira  dah “anti establishment” habis masa tu. Kami dah rasa band ni cukup syarat untuk jadi band Punk Rock.Tambah pulak ideologi Bad Religion kami hadam tiap-tiap hari.

Lepas tu kena ada lagu cinta. Ha, yang ni aku ingat tajuknya. “Stuck In Love”. Peh, inspirasi lirik tu datang dari seorang budak perempuan yang lawa gila masa tu. Mulut dia ada iras Nicole Kidman. Tapi syukur hasrat aku meraih cintanya tidak termakbul bila mengenangkan senario fizikalnya hari ini.

Dah cipta lagu, masa untuk pergi praktis dan rakam. Boleh dengar di asrama. Kami pinjam walkman budak junior kaya yang boleh rakam audio. Aku sisip di tepi pinggang dan rakam. Lepas praktis kami dengar. Satu hapah pun kami tak faham bunyi-bunyian yang keluar dari walkman itu.

Lepas tu rancang nak rakam demo. Memang masa tu perancangan tahap KLCC.

Tapi disebabkan duit tak ada dan kami menamatkan persekolahan, band itu tersadai begitu sahaja. Lagipun aku harus sedar aku tiada bakat bermain alat muzik.

Masuk UiTM, aku berkenalan dengan beberapa orang kawan yang gila muzik. Terus aku teruja kembali. Jamming di seksyen 7 (Serindit - di mana peralatannya macam sial). Nama band dah ada, DPA (Dead Politic Association), sempena nama jurusan kami, Diploma Pentadbiran Awam.

Siap tulis di whiteboard kelas. Kena tegur dengan pensyarah. Miss Glory.

Masa ini pengaruh pelbagai. Seorang ni minat hardcore ala Korn. Seorang lagi Black Metal ala Cradle Of Filth. Seorang lagi, drummer kami, aku tak pasti arah muziknya. Dia ada sebut “Aku minat KONG”. Puas kami fikir apa benda KONG tu. Dia tunjuk album “Follow The Leader”. ooooo. Masa tu aku banyak pengaruh dari Moonspell, Hayagriva, dan sudah tentulah Therion.

Entah kenapa band Dead Politic Association tu terbengkalai juga.

Mungkin sebab tiada ketua yang betul-betul menggerakkannya.

Lagipun muzik bukan passion aku. Tak pernah nak fikir untuk terkenal sebagai pemuzik walaupun dasarnya, ia adalah magnet untuk mendapatkan awek-awek groupie (Underground atau mainstream sama saja).

Sehingga kini, beberapa kawan aku, ada yang sudah lupa terus perjuangan muzik mereka dan ada juga yang masih kekal dan sudah terkenal serta dikelilingi perempuan.

Aku, paling tinggi pergi ke gig mereka dan menonton dari jauh. Dan paling tinggi pun aku hanya dapat buat senyuman tak dibalas kepada awek-awek disitu.

Gitar aku, entah ke mana. Tab bertaburan dan semenjak jadi orang tua ini, semakin kurang aku dengar lagu heavy metal.

You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

16 Responses

  1. membaca tulisan kau ni buat aku terkenang the good old days.. mana la pegi band members aku yg lain.

    ..sememangnya kita dah tua.

    .. kena selongkar balik cari demo yg rakam dulu. Teringat..

  2. masa aku kat sekolah, cikgu aku tanya aku cita-cita apa. aku cakap aku nak jadi pemandu teksi. kena marah. jadi aku cakap aku nak jadi pemandu ambulans. cikgu pun diam.

  3. budak ipoh rupanya..heheheh

  4. edd - aku punya dah hilang

    Ted - aku pernah cakap nak jadi kartunis, kena sindir. Pekerjaan tak ada masa depan katanya.

    Marj - Sekarang budak parit.

  5. aku rasa kita patut bergabung buat band baru, “band orang-orang tua yang pernah join band tapi tak ada bakat langsung dalam muzik.” pergh ! panjang betul nama kumpulan kita ni. Singkatannya, BO2TYPJBTTABLDM. Heh!

  6. chick magnet yg sebenar adalah kertas dengan gambar agung dan bertandatangan gabenor.

  7. Masa kat IPTA dulu, aku pon suka Kong dengan Lim Biskut! Ahaha…

  8. dpa? ada puan jasmine ngan encik rozali? dan juga haji musa tak?

  9. dpa = dead politic association. aku suka! sinikal! haha.

    dulu kitorang gerun dgn bebudak dpa nih. sebab kerap sangat pakai blazer hitam. macam agen fbi.

  10. Life - Tak kenal pun. DPA mana tu?

    Hegira - uh? blazer? budak law kot tu? Geng Mat Jan. Jantan-jantan DPA selalunya selekeh. Mana pakai blazer.

  11. Mat Jan satu fakulti dengan aku, tapi tak pernah tegur aku.

    Budak Law geng dengan budak Law saja. Mana kelas kawan dengan DPA. Lepas grad baru dia nak tegur, sebab kawan-kawan dah takde la tu.

  12. Salaam.
    Baru aku nak tanya kau minat Therion sebab pakai nama Vovin.
    Masih menyimpan Cd-cd Therion?

  13. Cd-cd dia ada dalam simpanan, tapi kena cari.

    Aku dah rip ke mp3 dan simpan dalam PC.

    Mau ka?

  14. Boleh juga mp3 tu.Nanti bila-bila kita boleh jumpa.Setapak dgn Tmn Melati dkt sahaja. :)
    Moonspell? Aku masih simpan t shirt yg aku order dulu.
    Itu pun satu band kegemaran dulu.Skrg dah lama tak dengar.

  15. Orang tua…hahahhaha

  16. cerita kau membawa kenangan aku msa kat ipoh…jamming di studio super kinta…lagu feberet…Holy Diver..Rio

Leave a Reply