Kucing terbang, pari-pari, arnab, Maria, dr. love dan saya

DAH DUA MINGGU KECOH ALIH-ALIH BUAT ENTRI FAKTA CHAMPIONS LEAGUE SAJA? - YA, GUA TUJUKAN PADA LU PIPIYAPONG

April 30th, 2009

Ayat lu cerita nak tulis entri awal-awal pagi meraikan kejayaan Arsenal dalam game tadi baru keluar dari mulut lu beberapa jam lepas je. Gua faham perasaan lu, sudah la tak cukup tidur, bilik tak ada lampu, team kegemaran kalah pula tu. 

Gambar dalam blog lu tak sakit hati lagi, gambar ni lagi sakit hati, amacam?

Tafsiran gambar:

Lihat wajah O Shea yang menggambarkan beliau sebenarnya sedang memikirkan kenapa nasi lemak makcik Stadium hari ini kurang enak. Beliau tidak memikirkankan kegembiraan sudah score kerana sudah tahu beliau akan score. Lihatlah wajah Ronaldo yang poyo lantas membuatkan ramai pembenci Man U menumbuk cermin bilik air kerana sakit hati. Wajah Tevez? Tak hensem macam Torres tapi bak kata bidalan, biarlah tak hensem janji menang cup.

Siapa lelaki-lelaki yang memakai baju kuning yang blur gambarnya di belakang hero-hero kita? 

Jawapannya - tiada siapa.

++++

puisi balas miss chicken rice seperti versi remix lagu "If I were A Boy" yang diduetkan dengan R. Kelly. Boleh kita berduat ala Beyonce dan R. Kelly di Annexe 9 Mei nanti. Macam mana miss chicken rice? Kalau mahu sila e-mel saya di sini:

whymustifindyou @ buangmasa.com

 

SAJAK PUTUS CINTA DAN KUCING

April 27th, 2009

Sayang,

Saya masih miskin, tapi mengapakah kau meninggalkanku?

Sayang,

Saya masih tidak punya rumah mewah, tapi mengapakah kau meninggalkanku?

Sayang,

Saya masih tiada kereta buatan Jepun atau Jerman, tapi mengapakah kau meninggalkanku?

Tapi,

Bila saya kaya nanti, mahukah kau kembali kepadaku?

Bila saya membina istana, mahukah kau kembali kepadaku?

Bila 2.0 ku bawa depan rumahmu, mahukah kau kembali kepadaku?

Tapi sayang, 

Bila kusediakan itu semua,

Sayang sudah tentu tidak kisah kalau saya berzina dengan perempuan muda,

Bila kuberikanmu mahligai,

Sayang sudah tentu tidak kisah saya pulang mabuk-mabuk dan menamparmu,

Bila dikau memandu kereta mewahmu,

Sayang sudah tentu boleh terus senyum walau saya tiada disisi sayang saban malam,

Kerana sibuk berzina dengan perempuan lain.

Atau mabuk di tempat gelap,

Atau asyik dipejabat,

Kerana saya mahu sayang terus kaya,

Lagipun, alang-alang menderita, biarlah menderita dalam kekayaan.

Sayang, 

Saya hanya boleh beri saya

Sayang,

Saya masih miskin,

Tapi apa yang saya boleh berikan,

Hanya kucing.

Saya masih sayang, tapi saya juga masih miskin.

 

NAZRI M. ANNUAR

PWTC, 26 April 2009

 

 

* polisi pertukaran alamat talian telefon Telekom yang lahanat akan membuatkan saya putus internet pda waktu malam selama 9 hari. Sabar ya, jika rindu, dikau tahu nomborku.

PERTEMUAN DI KEDAI KUCING

April 25th, 2009

Jari saya terhiris pisau ketika menyiapkan dewan untuk Anugerah Pekomik di PWTC. 

Tapi itu bukan cerita utama saya. Ceritanya saya terpaksa menaip tanpa jari yang luka itu, kerana saya takut terlupa akan cerita ini.

Ketaksuban saya terhadap kucing mungkin sudah diketahui ramai.

Saya suka melawat ke satu kedai menjual kucing (bukan di depan pejabat PTS). Saya suka melihat dan mengacah-acah kucing di dalam sangkar, dipamerkan untuk pembeli.

Melihat kucing menjadikan saya seronok dan sedikit hilang gusar terhadap diri saya yang masih miskin. :P

Tapi suatu hari saya didatangkan dengan episod baru dalam hal ehwal melihat kucing di kedai.

Saya melutut melihat kucing-kucing di sangkar bawah, bila seorang gadis turut melutut tidak jauh dari saya. Berbaju kurung, dengan kulit sedikit gelap, agak kurus dan berambut panjang guntingan stail Cleopatra. Dia memegang beg.

Punca perbualan kami bila seorang budak yang melintas bersama ibunya bersuara, menunding jari ke arah seekor kucing "kelabu" di depannya. Setelah budak dan si ibu pergi, saya terdengar si gadis mengomel bahawa kucing itu bukannya "kelabu" tetapi "biru".

Saya tergelak dan memandangnya. Saya katakan ya, kucing itu label warnanya "biru".

Kelakar bukan, katanya, kucing berwarna biru.

Agaknya orang yang melabel warna-warna kucing ini buta warna, jawab saya.

Kami berbual tentang kucing. Takjubnya saya kerana si gadis begitu memahami kucing. Malah banyak hal ehwal kucing yang saya sendiri tidak tahu. Tapi ego lelaki mesti dijaga, saya perah otak saya untuk memberikan satu dua fakta kucing yang saya yakin dia tidak tahu.

Malah kami boleh membuat jenaka tentang kucing.

Betapa dia juga sukakan kucing hitam (laksana Salem, si kucing Sabrina), sama seperti saya.

Saya tanyakan adakah dia datang ke sini untuk membeli kucing?

Katanya tidak, dia hanya mahu melihat-lihat. How i wish i can have a cat. 

Kenapa? Bukannya susah untuk mendapatkan kucing.

Aha, inilah penumbuknya dalam cerita saya.

Jawabnya, tunangnya tidak sukakan kucing. Bukan soal alegi, cuma memang tidak sukakan kucing. Walhal dia berharap-harap sangat dapat membela kucing.

Saya hanya mampu tersenyum. Tidak mengapa, kata saya. Doakan dia akhirnya bersetuju untuk menghadirkan kucing di rumah kamu nanti.

Saya hanya angguk. Terfikir bagaimana rasanya jika ia berlaku pada saya. Jika diimbau, saya pernah mahu berkahwin dengan wanita yang tidak gemarkan kucing. Juga nyaris berkahwin dengan wanita yang membela kucing.

Mungkin, suatu hari nanti, katanya. Mungkin dia dapat membela kucing.

Kami bermain-main dengan telatah kucing-kucing di sini buat seketika, sebelum kami beredar ke arah yang berlainan.

Mungkin, suatu hari nanti, dia dapat memiliki kucingnya.

Dan saya dapat memiliki kucing yang baru.