ARKIB

FAVOURITE + AMBIL HATI

Archive for April, 2009

Apa yang berlaku beberapa ketika dahulu menghentak kepala saya dengan kuat, bahawa, saya nyaris hanyut dengan perasaan tidak sedar diri, bahawa saya anak orang miskin.

Bukanlah maksudnya saya tidak boleh berusaha untuk menjadi kaya, tapi jika menjadi kaya itu, tetaplah saya mesti pandang ke bawah dan ingat dari mana asal saya, agar kehidupan saya semasa menjadi kaya nanti lebih sederhana dan disenangi.

Semasa membelek sms-sms dari emak, saya perasan satu benda,

Yakni emak tidak pernah mendoakan saya menjadi kaya. Mungkin dia tahu, atau tidak mahu saya hanyut dengan kekayaan. Mungkin dia mahu mengingatkan, saya membesar dalam keluarga yang miskin.

Pertamanya dia akan mendoakan saya bahagia,

Dan sudah tentulah yang kedua amat klise, mahu doakan saya cepat mendapat jodoh.

Berkali-kali juga saya mengatakan, "mak, doakan orang jadi kaya!"

Mak tak pernah doakan. Apa yang dia doakan ialah, tetap mahu saya bahagia. Saya percaya, mungkin itu yang terbaik. Mungkin dalam hidup saya, tidak akan sempat mengecap nikmat memandu kereta Subaru Impreza. Mungkin tidak dapat menikmati wang berkoyan-koyan. Mungkin saya tidak akan dapat hidup dalam rumah banglo.

Tapi bila lama berfikir, betapa terharunya saya bila mengenangkan doa mak sebenarnya begitu makbul.

Benar saya tidak kaya, tiada kereta mewah.

Tapi punyalah banyak impian dan cita-cita saya yang sudah tercapai, dan semuanya berkat doa mak, sudah pasti.

Saya sudah menulis novel, itu berkat doa emak. Itu impian saya sejak kecil.

Saya bekerja dalam lapangan yang saya suka, doa emak sejak dahulu, Juga impian sejak kecil.

Yang ini saya tidaklah nak mengaku sangat, tapi emak anggap saya orang seni, saya anggap itu doa emak yang makbul juga.

Saya punya kesihatan yang bolehlah, sekurang-kurangnya dalam usia ini masih belum berkaca mata dan belum lagi menghidap penyakit kronik, itu doa ibu juga.

Ahh, bila fikir itu semua, tak sanggup untuk saya lepaskan nikmat di atas untuk kereta mewah dan wang berkoyan-koyan.

Saya mahu laksanakan satu lagi cita-cita tahun depan, jika diizinkan tuhan, sudah tentu. Cita-cita akan terus membuatkan saya tidak menjadi kaya. Yang akan membuatkan saya melepaskan segala kesenangan.

Emak tidak pernah mendoakan saya menjadi kaya, dia doakan saya bahagia.

Baru saya sedar, benda-benda di atas adalah impian saya sejak kecil, bukan mempunyai kereta besar atau rumah yang besar.

Betapa saya menjadi seorang yang pelupa tatkala dewasa. Mujur juga saya dipukul dengan kuat agar kembali sedar. 

Harapnya saya akan terus dipukul dengan kehidupan yang susah, agar saya dapat terus menghargai hidup.

Dan belajar untuk tidak mengeluh.

Harap emak akan terus mendoakan yang baik-baik untuk saya, biarpun saya hanya akan sedar bertahun-tahun lamanya.

 

Saya tak tahu dengan hidup orang lain, 

Tapi,

Hidup saya akan berdepan dengan pilihan ini;

Mahu pilih perempuan yang kita suka, tapi dalam hati merana kerana terlalu asyik memastikan semua kehendaknya dipenuhi dan memendam rasa,

atau

Pilih perempuan yang suka kepada kita, tapi dalam hati sedar kita membuat perempuan itu merana dengan sikap kita yanga acuh tak acuh.

Apa pilihan kita?

Saya pernah bertemu dan merasai pengalaman untuk kedua-dua pilihan itu.

Satu sesi pelajaran hidup yang berguna untuk saya.

Saya percaya ramai macam tu, lelaki dan perempuan, di mana tersepit dengan pilihan di atas.

Salam sayang dari saya, si kucing terbang. Ehehehe.

++di sini saya tahu peri pentingnya peranan duit yang banyak untuk menutup rasa hati kerna terpaksa memilih pilihan yang acuh tak acuh. Ya, untuk sesetengah manusia, saya tak nafikan, duit memang boleh membeli kebahagiaan. Saya berdoa banyak-banyak untuk tidak jatuh dalam kelompok itu, kerana saya mahu jadikan cinta itu seni kehidupan. Ewahhh... :P

Ibukota,

Hujan rintik-rintik.

Jalan penuh dengan kereta, sesak lagi menyesakkan.

Saya di dalam kereta bersama teman.

ZASSS, sebuah BMW memotong dengan gaya kurang ajar.

SAYA

Celake punya BM!

TEMAN

Hidup memang tidak adil.

SAYA

Erk, kenapa pulak?

TEMAN

Kita bawa kereta dengan cermat, bersopan santun, jaga hati orang, BMW tu sebaliknya. Tapi disebalik kurang ajar dia, dia jadi kaya. Dia ada ramai kawan, dia ada harta, dia ada kuasa dan sudah pasti dia senang-senang dapat mana-mana perempuan.

SAYA

Ya, bila fikir begitu, hidup memang tidak adil. 

TEMAN

Soalnya, semua lelaki akan ada perempuan yang suka padanya. Tapi dengan DUIT, lelaki itu boleh buat mana-mana perempuan pun suka padanya. Kau sendiri pernah melalui pahitnya kalah kerana kau tidak berduit bukan?

SAYA

......

 

+++

Jalan sesak dan hujan terus turun. Kami diam sepanjang perjalanan. Kata-kata teman membuat saya 'ponder'.

Setiap lelaki akan ada perempuan yang suka padanya, tapi soalnya, DUIT akan membolehkan lelaki buat mana-mana perempuan pun suka padanya. 

Ah, hisap rokok dululah. Fikir dalam-dalam nanti menangis pula. 

Harap-harap ada arnab terbang di luar kereta.

:P

Oh, kalau ada yang tanya kenapa odesi cinta keempat tidak ada sambungan,

Jawapannya kerana saya sedang sibuk menyiapkan novel lain yang mendatangkan untung dalam bentuk royalti. Odesi Cinta Keempat free saja, jadi terang lagi bersuluhlah antara benda mendatangkan duit dan benda free mana yang hendak saya utamakan.

Lagipun pagi tadi saya mendapat berita tentang sasaran jumlah cetakan yang diluar jangkaan saya. 

Oh, tidak, kali ini bukan novel sai-fai. (maknanya bukan sambungan Opera Angkasa).

Doakan saya segera sudahkan.

Dahulu saya susah untuk bangun tidur. Selalu terlajak.

Selalulah saya mengelupur, melompat dan terus masuk bilik mandi.

Tapi akhir-akhir ini jam biologi saya sudah dapat tune yang cantik. Walau macam mana lambatpun tidur, mesti celik pada waktu yang ngam untuk saya bangun, duduk sebentar, layan saki baki tidur, bangun, berdiri depan shower, mandi perlahan-lahan sambil menyanyi lagu cinta.

Tapi ada waktunya saya kurang yakin. Waktu yang paling berisiko jika ada temujanji atau meeting seawal lagi. Takut terlajak tidur yang membawa kepada saya lewat ke mesyuarat.

Kalau dahulu, saya minta cinta hati saya tolong telefon sebagai langkah berjaga-jaga kalaulah saya tidak sedar jam menjerit-jerit.

Tapi sejak cinta hati saya pergi, saya perlu cari seseorang untuk operasi 'langkah berjaga-jaga itu'.

Tadi saya ada presentation pada pukul 8:30 pagi. Saya perlu bangun sekurang-kurangnya pukul 7:30 pagi. Presentation produk April - Julai ini bakal dihadiri oleh bos-bos besar, di mana maut menanti jika saya lambat.

Jadi hanya seorang wanita sahaja yang menjadi harapan saya untuk 'langkah berjaga-jaga' itu.

SAYA (melalui telefon): Mak, esok ada meeting pagi, tolong call incase orang tak sedar bunyi alarm.

MAK: Pukul berapa?

SAYA: Pukul 7:30 okey la tu.

MAK: Pukul 7:30 boleh sembahyang subuh lagi ke?

SAYA: .....

+++++++

Saya bangun pukul 8. Tiada panggilan dari Mak saya. Ini bukan kali pertama Mak saya terlupa. Adegan mengelupur dan melompat dari katil berulang kembali.

Tamat

 

Uses wordpress plugins developed by www.wpdevelop.com Blog Protected Using Content Protecter By PcDrome.