Archive for May, 2009
Hari ini adalah hari yang bersejarah. Ini adalah entri 1/10.
1/10 saya tujukan kepada 7 bekas teman wanita saya. Kesemuanya boleh saya kira sudah "lost contact". Ada antara penamatnya berakhir dengan saya memaki-maki mereka di telefon, e-mel, YM dan blog.
Tidak kira salah siapa, dengan rasminya saya mencatat nota bahawa saya membuang segala benci-benci yang tersemat di dada saya sebelum ini.
Maka dengan itu saya memohon maaf atas segala kesilapan yang pernah saya lakukan, sebagaimana saya memaafkan semua kesalahan yang telah saudari-saudari lakukan. Kepada yang mengenali saudari-saudari saya mohon panjangkan entri ini jika mereka tidak lagi membaca blog saya.
Semoga berbahagia dalam kehidupan ini di jalan masing-masing.
Lagu di bawah, tanpa sebarang prejudis saya tujukan kepada saudari-saudari semua, sebagai hiburan, laksana sebuah ending di mana hero dan heroin terpaksa berpisah, tapi masih boleh tersenyum dan berada dalam mood happy dan lagu ini mengiringi latar ketika kamera perlahan-lahan zoom out menampakkan ibu kota dan kredit roll.
peace!
Lagu sama, tapi versi ada makwe;
Untuk yang tidak nampak video youtube di atas, ini link: http://www.youtube.com/watch?v=_zSln9Jv7zo, http://www.youtube.com/watch?v=rxFQvXP2nKI
Saya hanya tersedar berlakunya sambutan hari guru ketika begitu banyak blog yang menyiarkan entri dan berlegar status perihal hari guru.
Pengisiannya lebih kurang sama - ucapan terima kasih kepada jasa nombor dua tidak ternilai selepas ibu.
Sebelum lebih jauh kalian membaca karangan saya, terlebih dahulu harus saya jelaskan janganlah bersalah sangka dengan isi entri ini. Saya tahu guru ini ada tabunya dan orang Melayu ini jenis kuat melenting. Apa yang saya hendak tulis sedikit kontradik dengan ucapan-ucapan terima kasih orang kebanyakan terhadap guru mereka.
Asasnya, apa yang saya lihat, ramai berterima kasih kepada GURU SEKOLAH mereka. Sedangkan saya punya rasa berbelah bahagi untuk menyatakan rasa terima kasih kepada guru sekolah saya. Berbelah bahagi ini bermakna ada guru yang wajar saya ucapkan terima kasih dan ada juga yang saya sedikit kecewa dengan tindakan mereka.
Kerana pada hemat saya, ada sesetengah guru, sebenarnya telah menghancurkan bakat sesetengah anak murid mereka (walaupun tidak saya nafikan, mereka juga guru yang bagus, dalam lapangan mereka).
Ketika sekolah rendah saya begitu berminat melukis kartun dan komik. Saya akan membeli buku nota kosong, membuat panel-panel dan melukis 'komik' sehingga penuh. Setelah lebih berakal, saya beli kertas lukisan (yang biasa digunakan ketika pendidikan seni), saya ambil barang 8 helai dan lipat kertas tersebut menjadi dua bahagian, laksana sebuah komik. Dari kertas lukisan itu saya 'cipta' penerbitan saya sendiri, lengkap dengan masthead, logo 'penerbit', tarikh keluaran, harga, cover artwork, headline dan sebagainya.
Kegiatan saya melukis kartun dan komik diketahui oleh cikgu dan rakan-rakan. Ada yang menyukai dan ada yang sinis. Namun apa yang saya lebih ingatkan bila ada cikgu menyindir minat saya dan menyamakan saya dengan otak kartunis Gila-Gila, yang pada matanya, tidak tinggi darjatnya (ketika itu Gila-Gila masih lagi top). Malah saya masih ingat ayat-ayat cikgu saya tentang betapa melukis ini tidak membawa saya ke mana.
Saya faham guru tersebut mengambil berat terhadap saya. Memikirkan masa depan saya. Tambahan pula ketika sekolah rendah saya masih belum bodoh lagi dalam pelajaran. Sentiasa bersaing dalam top three kelas setiap kali peperiksaan. Mungkin disebabkan itulah mereka nampak saya berpotensi menjadi samada doktor, peguam atau...ehem.. jurutera, bukannya pelukis komik. Rugi bukan pelajar top three kelas terpandai (Kelas M) di sekolah menjadi pelukis komik?
Cikgu pendidikan seni tak usah cakaplah. Langsung tak pandang artwork saya.
Sindiran demi sindiran, jika dituju kepada budak yang belum mengenali apa itu tetek, pastilah melemahkan semangatnya. Sedikit demi sedikit minat saya terhadap seni lukis mula pudar. Bakat yang tumpah dari abah saya (abah dahulu ketua kelab senilukis semas bersekolah di Kajang High School) kini sudah mula kering dimop oleh sindiran guru. Saya berhenti melukis.
Dan mujur saya tidak berhenti menulis.
Tidaklah niat saya hendak menyalahkan guru-guru saya. Sedikit sebanyak salahnya datang dari saya sendiri. Tetapi hakikatnya, seorang murid yang punya bakat sebenarnya berada dalam situasi yang amat berbahaya bila diletakkan bersama guru yang kurang berminat mendorong bakatnya.
Entri ini juga terkesan bilamana saya duduk di sebelah Pipiyapong ketika beliau meninjau blog rakannya. Saya terpandangkan artwork rakannya yang boleh katakan kreatif (untuk usia persekolahan). artwork itu dihantar kepada gurunya semasa beliau bersekolah sempena hari guru. Gurunya memarahinya.
Dan saya kira banyak kes-kes "unfortunate" berlaku di serata dunia di mana bakat-bakat anak murid dimatikan oleh guru itu sendiri.
Harapan saya agar lebih ramai guru-guru mengambil masa untuk mendalami minat anak murid mereka dan walaupun ia kontradik dengan falsafah mereka, cubalah melihat dari sisi yang lain. Saya tahu dewasa ini ramai guru datangnya dikalangan orang-orang yang gagal untuk mencapai pekerjaan impian mereka dan ada sesetengahnya mengambil profesion guru kerana ia 'stabil' dan 'bergaji besar'. Tapi besar harapan saya agar motivasi anak murid mereka terus di jaga.
Untuk saya, guru saya bukan sahaja datang dari sekolah, tapi dari serata arah.
Setinggi terima kasih kepada Mak dan Opah terutamanya yang menjadi guru supaya saya menjadi manusia. Mak banyak mengajar saya Bahasa Inggeris dan Opah pula banyak mendatangkan input agama.
Saya ucapkan terima kasih kepada guru yang telah mengajar ABC, 123 dan Alif Ba Ta.
Saya ucapkan terima kasih kepada cikgu Daud, guru sekolah rendah saya yang mengajarkan saya matematik dan Bahasa Melayu.
Saya ucapkan terima kasih kepada Cikgu Bala (mendiang) dan guru-guru Bahasa Inggeris saya di sekolah, yang membuatkan saya pandai Bahasa Inggeris.
Saya ucapkan terima kasih kepada cikgu Norazah Lim, guru Bahasa Melayu saya di MRSM. Jasa beliau banyak berkisar dalam memberi dorongan kepada saya untuk terus maju dalam penulisan. Sedikit sebanyak, saya dapat merasakan, jika tidak kerana cikgu Norazah, Aliya Elyana dan Opera Angkasa tidak pernah dapat saya tulis dan diterbitkan. Ralat kerana saya sudah terputus hubungan dengan beliau.
Saya ucapkan terima kasih kepada Brader Hisham Salmin, 'guru' fotografi saya.
Saya ucapkan terima kasih kepada Sulaiman, junior saya di sekolah Menengah yang menjadi guru gitar saya. (Ya, saya belajar dengan budak-budak).
Saya ucapkan terima kasih kepada Ayim, 'guru' yang mengajar saya memandu kereta sehingga saya terlanggar kereta Proton.
Saya ucapkan terima kasih kepada Zaidi, 'guru' photoshop saya.
Saya ucapkan terima kasih kepada 'penyair jalanan', 'guru' kehidupan saya.
Saya ucapkan terima kasih kepada Google, guru saya untuk banyak benda.
Dan terima kasih kepada semua yang telah mengajar saya hatta satu benda pun.
Terima kasih
"Connecting The Dot", jika ia bukan frasa yang original, saya selalu rujuk sebagai petikan ucapan Steve Jobs (barua yang bertanggungjawab melahirkan sekelompok snob techie) dalam satu majlis graduasi di Amerika.
Ucapan yang paling memberi kesan buat saya, antara banyak-banyak ucapan.
Sebenarnya "Connecting The Dot" ini sama sepesen dengan ayat yang mak saya berikan tatkala saya down, "ada hikmahnya untuk semua ni," Mak saya tak cipta Apple, jadi lebih baik saya tulis mengenai quote Steve Jobs iye dak? Barulah saya nampak hebat dan seperti seorang yang mempunyai ilmu yang tinggi (selain itu untuk nampak intelek kamu mesti menghina budaya pop-kultur sekarang).
Berbalik mengenai Connecting The Dot, asasnya ialah apa yang berlaku, apa juga kesusahan yang menimpa batang kepala kita, ia adalah titik yang hanya boleh disambung ketika kita sudah berada di masa depan, kita sudah berjaya dan secara tidak sengaja di suatu malam hari di depan komputer pangkal paha menjeling masa silam. (hebat bukan, saya bererotis tetapi dalam keadaan sopan, harapnya Puan Ainon tidak mencela keerotisan saya).
Connecting The Dot juga boleh dijadikan satu azimat, bahawa sesuatu yang baik bakal berlaku dan ini adalah pembuka jalan untuk kebaikan tersebut,
Juga, sebagai satu bentuk bersyukur setelah berjaya mencium kejayaan itu (ah, bererotis sambil bermotivasi, harap pihak PTS boleh meluluskan stail saya untuk proposal buku motivasi erotis).
Saya ambil diri saya (kerana bila menulis blog, kita mesti menulis tentang hebatnya kita).
Saya mengalami beberapa siri kegagalan yang membuatkan saya gagal.
Katakanlah jika saya tidak gagal. Katakanlah jika saya berjaya di dalam peperiksaan, mendapat keputusan yang membuatkan cikgu-cikgu saya mahu mengaku saya anak murid mereka, dijulang oleh rakan-rakan dan arnab-arnab menari bersama.
Lantas saya memohon untuk menjadi jurutera. Kerana saya mengikut kata-kata orang-orang disekeliling saya, bahawa editor penerbitan tidak setaraf dengan kelulusan saya. Saya mesti memohon untuk menjadi jurutera. Atau Peguam, atau Doktor. Cikgu untuk mereka yang tidak dapat 3 pekerjaan elit tadi dan juga untuk Mat Jan.
Saya masuk ke Universiti, bergaul dengan pelajar-pelajar yang siang di kelas dan malam di perpustakaan serta menjauhkan diri dari keparat-keparat kaki snuker dan kaki kuda serta tidak menghisap rokok.
Saya lulus dan diterima masuk ke dalam sebuah firma kejuruteraan. Gaji saya besar. Menjelang tahun kedua saya di firma itu, saya ditawarkan pekerjaan di sebuah firma antarabangsa. Saya terima dan enam bulan kemudian saya memandu Honda Civic.
Hari ini saya berusia 29 tahun, sudah berkahwin dengan wanita cantik yang merupakan bekas pramugari dan mempunyai seorang anak dan kami merancang untuk mendapatkan seorang lagi pada tahun hadapan. Sudah ada nama. Ala-ala kontemporari. Nama Rosnah jauh sekali. Maimun, saya sudah lupa itu nama untuk perempuan Melayu.
Nah, inilah killernya.
Saya rajin membaca blog. Saya membaca blog Sinaganaga mungkin, atau Saharil mungkin atau Pipiyapong mungkin.
Saya tidak kenal mereka (kerana saya tidak menulis blog lantaran sibuk dengan kerja dan buku terakhir yang saya baca 5 tahun lepas).
Terdetik hati saya melihat gambar mereka di MASKARA dan berkata, "bestnya! hebat diorang ni,"
Nah, itu satu kebarangkalian bukan?
Tapi sebaliknya, saya tidak menjadi jurutera.
Jadinya Connecting The Dot itu, pada hemat saya membawa kepada siapa saya sekarang ini.
Saya bukan orang yang melihat gambar peristiwa dan berkata "bestnya dia",
Tapi saya orang di dalam gambar itu dan mereka melihatnya sambil berkata "bestnya dia,"
Saya memilih untuk berada di jalan ini.
Jangan salah sangka, bukanlah saya katakan menjadi jurutera itu tidak bagus. Cuma saya menulis tentang diri saya, tidak mewakili pendapat satu alam semesta. Saya mahu jadi diri saya sekarang. Saya kenal diri saya dan yakin sekali jika jalan jurutera yang saya lalui, saya tidak dapat merasai kepuasan membaca sajak di depan Sasterawan Negara, Pak Samad, membaca fragmen nukilan saya di Pusat Dagangan Dunia Putra, berkenalan dengan begitu ramai tokoh yang terkenal, separa terkenal dan rasa mereka itu terkenal. Berjuta lagi manusia yang dilahirkan untuk menjadi jurutera, di mana jalan mereka ke arah itu, saya tidak mahu memotong jalan mereka.
Pendek kata, banyak perkara yang saya mahukan, sebenarnya saya sudah genggam dan laluinya.
Cuma mungkin iya, bayaran yang harus saya keluarkan dari kocek kehidupan saya untuk menjadi apa yang saya jadi sekarang ialah pekerjaan impian ibu mertua, gadis cantik berbadan hot dan kereta Honda Civic.
Ya, saya harus setuju jika kamu mahu menaip komen "ada sahaja jurutera yang menjadi penulis, menulis blog, bla bla"
Saya bercerita tentang what if dalam satu arah mengikut imaginasi saya.
Sudah tentu hidup ini jalannya seribu arah, pintunya juga seribu.
Tapi saya memikirkan tentang, "what if" dalam satu jalan dari seribu itu.
Tapi...
Connecting The Dot itu akan terus berjalan sampailah malaikat datang menjemput saya ke alam satu lagi.
Mana tahu, mungkin...
tahun-tahun mendatang...
Saya masih upaya memperoleh gadis cantik bertubuh hot yang tidak mementingkan wang ringgit.
dan Honda Civic.
Malam itu pari-pari datang di depan katilku.
Katanya saya datang membawa seribu impianmu yang akan menjadi realiti. Kamu mahukan kuasa, saya berikan, kamu mahukan kekayaan, saya berikan, kamu mahukan perempuan tercantik dan berbuah dada besar, saya berikan.
Saya sepak kepala pari-pari itu dan tarik kembali selimut.
Esok kalau Encik Arip (bos besar tempat saya bekerja) sepak saya sebab lambat masuk mesyuarat pengurusan, ada pari-pari tu nak datang selamatkan saya?
+++
Hampir pukul 9 pagi, seekor lagi pari-pari menjengah tidurku.
"Lu tak pergi kerja ke?" soalnya dengan Gudang Garam di bibir.
Saya tak sepak dia sebab kebelakangan ini hidupnya sudah penuh dengan kekecewaan (1-3, 1-4).
Kuala Lumpur Alternative Bookfair dan Art For Grab selamat berlangsung pada hujung minggu lepas.
++
Kacip mencatatkan jualan memberangsangkan. Marina Mahathir pun beli. Rasanya sudah banyak blog yang menulis mengenai Kacip. Lagipun buat apa nak tulis reviu tentang buku yang ditulis oleh seorang lelaki?
++
Saya membaca sajak buat kali kedua di Annexe. Sempena pelancaran buku puisi Shaira Amira. Saya baca 3 sajak lucah yang menghina kaum wanita. Tiada siapa yang baling kasut maka saya anggap sesi pembacaan sajak itu selamat.
Secara peribadi, sesi membaca sajak kali ini adalah yang terbaik pernah saya buat.
Saya sudah ketagih untuk membaca sajak di depan manusia. Kalau ada sebarang acara lagi, boleh panggil saya.
Tapi saya cuma membaca sajak menghina kaum wanita, saya tidak berminat dengan sosio-komentar, bagaimana?
++
Saya sertakan beberapa gambar. Ya, saya tahu sepatutnya ada gambar seorang gadis bergitar. Bila dia nyanyikan lagu-lagu ciptaannya sendiri sepenuhnya baru saya letak gambar.
++
Tamat

Adam Kasturi yang hebat

Makwe ambil gambar Zulkifli Dewangga Sakti

Sajak baru tulis tengah hari tadi

Ingat mahu rapping

Reen


Opera Angkasa berjaya dijual sebanyak 2 naskah. Nanti mau tulis novel lebih bagus.

Suf

Puan Animah Kosai membelek Kacip. Ramai benar orang penting dalam dunia buku yang beli buku tak semenggah ni. Sekarang saya baru faham maksud kata-kata Pipi pasal petua tampal poster KRU di dalam bilik dia.
