ARKIB

FAVOURITE + AMBIL HATI

Archive for June, 2009

Saya jarang balik kampung. Jika derhaka balik ke kampung itu membuatkan saya bertukar menjadi batu, maka sudah bertan berat badan saya kerana asyik menjadi batu.

Pulang ke kampung bagaimanapun hati saya sering damai. Ini kerana saya tidak perlu melalui kesialan kesesakan lalu lintas dan juga Rusa si penjual kad-kad ucapan cinta yang sering mengganggu saya.

Saya juga suka dengan persekitaran kampung yang indah dengan bukit bukau, sawah padi menghijau, burung berkicauan, laut membiru, awan berarak manja, angin yang dingin dan lelaki dan perempuan menari dan menyanyi di sebalik pokok-pokok besar.

Macam iklan Zoom Malaysia la pulak. Sedikit lagi mahu saya ceritakan kampung saya ada seorang lelaki India memakai pakaian India bermain tabla, perempuan Cina memakai pakaian Cina memainkan alat musik Cina dan lelaki Melayu berbaju Melayu memainkan alat muzik bangsanya, di padang sekolah, dengan iringan 10 orang penari bangsa Melayu, 10 orang penari bangsa India dan 10 orang penari bangsa Cina.

Tapi petang itu saya duduk melepak menghisap rokok di belakang rumah, di mana terbentang pokok-pokok hutan yang tinggi-tinggi.

Tiba-tiba saya terlihat seekor arnab sedang asyik meniup seruling memainkan rentak lagu Sore Di Tugu Pancoran. Saya jenguk-jenguk juga kalau ada Iwan Fals. Nak juga saya mintak autograf.

Arnab itu berhenti memainkan serulingnya dan memandang saya.

Dia bertanya, "ada seorang perempuan yang kau mahukan?"

Saya sedikit terkejut. Saya pandang kiri dan kanan, takut-takut kalau dia menegur orang lain. Malu saya kalau sudah membalas rupanya dia bercakap dengan orang belakang. Hina juga rasanya kalau dimalukan dengan arnab. Lainlah pemain bass Kuala Lipis, dia tidak kisah dihina arnab.

Setelah memastikan besen baju dibelakang saya itu tidak boleh bercakap, maka saya pun mengangguk.

Arnab itu mengajak saya masuk ke hutan, bertemu dengan Panda Cinta. Kata si arnab, Panda Cinta bisa memberi memo pada gadis yang saya mahukan itu.

Saya mulanya agak ragu-ragu untuk mempercayai si arnab. Iyalah, Kalau si Panda itu hebat sangat menjalinkan cinta antara dua insan, kenapa pula spesis dia sedang diambang kepupusan kerana masalah si betina tidak mahu mengawan dengan si jantan (ini fakta dari rancangan Animal Planet yang pernah saya tonton). Patutnya jumlah Panda lebih banyak dari kucing kerana cinta dapat disebarkan oleh Panda Cinta.

"Masalahnya Panda Betina terlalu obses dengan kerjaya sebagai Panda. Cinta sudah tersebar, tapi setiap kali nak mengawan banyak alasan nak diberi. Penat layan tetamu di Zoo la, hari ini buat suntikan vitamin la, balik kerja lambat la, outstation la, itu la ini la, tak kira lagi Panda Betina yang meletak stereotaip Jantan hanya mahukan mengawan, lantas untuk dilihat budiman, ramai Panda Jantan langsung tidak mahu mengawan,  itu yang sampai nak pupus," terang Arnab seolah-olah tahu apa yang bermain di fikiran saya.

Padahal sebab dia terdengar saya bercakap soal itu seorang diri. Saya sahaja ingat suara saya itu berlegar di dalam otak.

Panda Cinta sedang asyik mengarang lirik lagu di pokok Ru ketika saya dan arnab sampai.

"Jadi awak mahu sebarkan cinta?" soalnya.

"Tak, satu saja, saya tak nak sebarkan. Saya cuma mahu satu."

"Ayuh," Panda Cinta menyuruh saya memanjat belakangnya. Arnab ikut sekali naik ke belakang Panda Cinta. Seketika kemudian dia terbang naik ke atas awan.

Sampai di atas awan, dia memberikan saya sekeping kertas berwarna firus. Saya tanyakan kenapa kertas berwarna firus. Jawabnya kerana kertas berwarna merah jambu sudah habis.

Dia menyuruh saya menulis nama gadis itu. Saya menulis nama ________________. Saya tulis di atasnya terang-terang, siap dengan binti dan umur, pekerjaan, tempat tinggal, laman blog, manalah tahu, kalau memo ini tersilap sampai ke perempuan lain yang mempunyai nama yang sama. Bukan apa, saya kasihankan teman lelaki perempuan itu yang akan menangis hiba kerana teman wanitanya pergi kepada lelaki yang comel dan macho, yakni saya. Amatlah rare seorang lelaki itu macho dan dalam pada masa yang sama comel.

Panda Cinta kemudian mengoyak kertas itu dan membiarkan perca-perca kertas itu diterbangkan angin.

"Nah, cinta akan datang kepadanya," kata Panda Cinta.

"Mujarab ke?" tanya saya.

"Hei!" Panda Cinta mula naik angin. Katanya setakat ini dia belum pernah gagal menyatukan dua jiwa menjadi satu cinta. Cuma sekarang ini dia mempunyai satu kes yang agak sukar dan akan berusaha sedaya upaya untuk memakmurkan kes itu. Saya lihat dua nama di dalam fail itu. Kenal sangat saya. Seorang pemain bass Kuala Lipis dan seorang lagi pengacara Pekan Frinjan 3.0 yang memakain baju biru yang mengeluarkan demo indie sebanyak dua lagu yang dijual dengan harga RM5 dan gambar-gambarnya diambil oleh pengarang pop-eksitensialis-post-modernis-monarki-jula-juli yakni Suf A.

"Jangan risau, cinta kamu akan sampai ke hatinya nanti." Panda Cinta menenangkan saya sambil tersenyum.

Saya angguk.

Saya harap memo Panda Cinta itu cepat sampai kepada kamu, wahai ____________.

Dan jika sudah sampai, silalah ke peringkat seterusnya.

Ilham ini saya dapat semasa membalas status facebook;

Hidup dan dilema ini macam pasangan bercinta Bart Ahmad dan Nadya Husin. Asyik mahu berkepit saja.

Akhir-akhir ini saya diserang dilema, mahu memilih satu antara dua.

Di sebelah sini, saya mempunyai pilihan untuk mendapatkan Tamron 18-200, si dia orang kampung yang tahu serba serbi. Pandai memasak, tahu pula jenis-jenis ikan dipasar dengan sekali pandang. Itu belum cerita skil memeriksa ikan yang mana segar yang mana tidak. Tahu pula sayur mana yang bisa buat makanan jadi sedap, campur pula dengan rempah-rempah itu ini. Rajin membasuh baju dan seterika baju untuk suami. Selalunya jenis begini memang dara. Orang kata puas hati kalau dapat dara.

Hantaran pun tak mahal. Boleh dapat diskaun lagi.

Ha, itu baru cerita bab memasak dan membasuh. Selain itu suka pula mendidik anak. Kalau minta 5 orang anak, tak ada nak buat muka. Baginya mengandungkan anak, satu anugerah, bukan beban. Tahu juga petua-petua ketika mengandung, antara koleksi petua-petua hidup yang dia pelajari dari opah dan maknya.

Melayan saya satu hal juga. Kalau boleh, mahu dia menyenangkan saya dari segala aspek kehidupan. Asalkan saya bertanggungjawab menjaga hal-hal dirinya agar tidak tercemar dan sakit, dia akan cuba memberikan yang terbaik.

Saya sedar, hidup amat mencabar dan si dia Tamron 18-200 cuba buat semuanya, cuma, ada benda yang biasa-biasa dan tidak sempurna.

Kekurangan si dia, tidaklah cantik mana, tidak pandai untuk menjadikan dirinya lebih 'kelas'. Dalam banyak tempat yang saya pergi, si dia akan kelihatan out of place. Rendah diri pun ada bila hasil dirinya tidaklah sebagus yang lain-lain.

Kemudian saya ada pilihan kedua, Nikkor 18-135. Si dia cantik dan bergaya. Juga mempunyai kelas yang tersendiri dan pemikiran dan ilmu pengetahuan yang amat luas. Dan hebat di katil, tapi terpakai.

Itu sahaja yang dia ada.

Okey, saya tahu, spot on, semua akan menyuruh memilih nombor 1. Itu memang penyelesaian popular. Secara superficial, memang nombor 1 itu jawapan buku teks kehidupan.

Tapi persoalan yang harus saya fikirkan antara memilih yang pandai serba serbi atau yang mempunyai kualiti pemikiran yang saya mahukan.

Kerana saya tidak mengimpikan si dia yang tahu serba serbi, cukup untuk menyenangkan hati saya. Saya tahu si dia yang komited memberikan semua yang terbaik untuk saya membahagiakan tapi saya juga tidak kisah kalau si dia itu 'terpakai'. Pokoknya, ketika bersama saya, saya bahagia.

Kemudian saya harus faham, tidak ramai yang bertuah kerana dilahirkan untuk selalu DAPAT APA YANG MEREKA HENDAK. Bahagia sungguh kalau dilahirkan begitu, tak begitu Cik Sungai Long. (Hehehe)

Maka saya harus memilih, dan menimbang baik-baik kehendak mana harus saya utamakan dan yang mana harus saya korbankan.

Nota 1: Nikkor 18-200 VR tidak masuk dalam persoalan kerana walaupun dia mempunyai kombinasi dua pilihan di atas, saya tidak mampu menanggung seleranya yang begitu tinggi dan mak mertua yang meletak harga yang, kononnya, selari dengan pencapaiannya. Terpakai pun tinggi hantarannya, apatah lagi yang dara.

Nota 2: 200 f2 adalah si cantik yang tidak sesuai langsung dengan saya yang kacak dan macho. Lagipun 200 f2 ini mengada-ngada sangat, tak kuasa i.

2044, Masjid Bibi Hanim, Samarkand

Saya baru lepas video conference dengan adik. Dia tanya bila hendak balik ke Ipoh. Saya cakap esok mungkin balik, lepas wife saya habis exhibition dia di sini. Masih ada beberapa urusan melibatkan artis dan jurugambar.

Melepak di tepi masjid Bibi Hanim setelah usai solat Asar, saya terpukau. Masjid yang sudah berusia itu punya banyak cerita.  Tetap teguh seolah-olah tahun 2044 ini tidak memberi makna tentang usianya. Kagum juga bila melihat dia tetap di situ.

Dapat pula e-mel dari telefon saya. Dari Hj. Kumprinx. Dalam sibuk mengendalikan urusan takeover Google dan Facebook, sempat juga mengutus emel. Katanya nyanyuk Pipiyapong sudah semakin teruk. Baru semalam kecoh-kecoh di kedai Aji, katanya dia membawa kereta dengan kelajuan 240 km/s. Padahal satu Lipis tahu dia membonceng motor, di mana budak bawa basikal pun boleh naik hangin kerana terlalu lambat. Itupun dengan bantuan roda ketiga dan keempat di belakang sebagai sokongan.

Degil si Pipi ini memang dibawa dari muda. Kaki sudah tak kuat (akibat kencing manis tak silap), tapi hendak juga dibawa motor. Terpaksalah anaknya mengubahsuai motor untuk agar senang dipandu ayah. Itupun terpaksa menahan bebelan dari maknya (merangkap isteri Pipiyapong), Nabeeha. Kalau tak dibuat, merajuk.

Sekali sekala saya tergelak kecil juga mengenangkan dia masih ingat saya mengendalikan syarikat suratkhabar. Kawan-kawannya di Lipis, Kumprinx, Mael, Amar dan lain-lain tidak sampai hati hendak memberitahu bahawa itu adalah prank yang dikenakan ke atasnya 15 tahun lepas.

Bukan apa, takut sakit jantungnya datang balik. Orang tua umur 61 tahun ini kadang-kala fragile, silap teruja, bawa ke kubur.

Satu lagi hal yang mereka tak sampai hati hendak beritahu ialah medical check-up setiap minggu itu bukannya untuk Mael. Sampai ke sudah Pipi ingat perjalanan mereka ke hospital untuk mengubat Mael yang terkena gout. Padahal gout dan Mael itu tiadalah ada kena mengena. Kaki kawannya itu cukup kuat sehinggakan mampu menyepak budak-budak Shuffle yang setiap malam praktis di depan rumah Pipi (sebagai guru yang memberi tunjuk ajar). Bukan apa, hari itu entah macam mana boleh kurang ajar sedikit.

Mujur juga Mael ditenangkan oleh vokalis kumpulan rock terkemuka Britain (saya tak ingat nama, tua-tua begini sudah tak berapa nak melayan rock, selalu lebih pada keroncong). Vokalis itu datang ke situ untuk meminta satu dua input dari bekas raja gitar dunia tersebut. Hajat hati hendak mendengar cerita pengalaman konsert bass Pipi dengan iringan orkestra di stadium Nou Camp 20 tahun lepas. Saya hadir di konsert phenomenal itu. Paling saya tidak boleh lupa malam itulah, dengan iringan not bassnya dia melamar Nabeeha, sekaligus mengakhiri zaman dudanya selepas tiga kali bercerai. Perkahwinan ideal orang kata. Rockstar kahwin dengan Rockstar. Nabeeha pula baru sahaja menang lifetime achievement untuk album tradisional-gipsy beliau. Macam pasangan Ricthie Blackmore dan Candice Night la pulak.

Berbalik hal ke hospital, setiap minggu Pipi harus ke situ untuk dialisis penyakit buah pinggangnya. Tapi penyakit nyanyuknya itu membuatkan dia sering lupa kenapa dia berada di sana. Sampaikan dia boleh tanya siapa perempuan tua di sebelahnya. Dah sah-sahlah itu Nabeeha, isterinya.

Lamunan saya terhenti bila bahu dipegang isteri. Dia sudah selesai solat dan mengajak saya pulang. Kami berjalan berpegangan tangan. Walaupun sudah tidak cantik seperti waktu dia muda (secara teknikalnya tidaklah muda sangat kerana dia lebih tua dari saya), sewaktu saya mula-mula tergila-gilakannya dahulu dan membuat banyak benda untuk memenangi hatinya, sewaktu badannya masih bergetah dan tidak jatuh sana-sini, tapi tetap, saya bersyukur dia berada di samping saya sewaktu usia Buletin Utama ini. Kadang-kadang datang anginnya, merajuklah juga bila saya bergurau tentang buah dadanya yang sudah tidak semenggah, kadang-kadang bila angin baik, dilayankan juga dengan membalas perihal perut besar saya yang macam belon.

Bersyukur benar saya, dia masih di sisi.

Esok saya akan pulang, singgah ke Kuala Lumpur untuk sama-sama menjenguk studio isteri saya. Tak tahu dapat berjumpa dengan kawan-kawan lama atau tidak. Sofiatul Shima sudah nampaknya menetap di Bandung. Bart Ahmad pula sibuk dengan aktivis keamanan di Jerussalem. Kemudian saya akan terus ke Ipoh. Mungkin seminggu dua lagi terus ke Kuala Lipis menjenguk Pipiyapong.

Entah kenal saya lagi entah tidak. Harus gamaknya saya layankan dia bercerita tentang Arsenal di Premier League sedangkan kelab kecil itu (pada waktu ini) sudah 13 tahun berada dalam Nationwide Conference.

Doa saya yang baik-baik sahaja untuk bekas raja Shuffle itu.

sambungan dari entri Melepak di Kedai Aji, Pipiyapong.

3 aktiviti mengorat makwe paling Fear Factor dalam sejarah kerjaya saya sebagai pencinta wanita;

1. Makwe Pertama

Kisahnya bermula dengan tragedi. Ramai orang terlibat dalam kejadian ini termasuk saya dan makwe (yang sebelum itu belum jadi makwe). Kenalan rapat saya rasanya tahu kisah ini. Yang pasti, makwe (bekas makwe) saya jatuh hati, kerana katanya saya kelihatan cool menghadapi situasi tersebut. Tenang bagai tasik. Padahal dia tak tahu dalam hati bagai lautan gelora.

Beberapa minggu kemudian saya tanya dia, "nak jadi girlfriend saya,"

Kami bercinta beberapa bulan sebelum dia berpindah ke tangan lelaki yang lebih baik tetapi kurang macho berbanding saya.

2. Gadis Pekan

Muka ada iras-ira Camelia versi bukan artis. Masa taip entri ini baru saya perasan gaya percakapannya sama jenama dengan Pipiyapong, cuma suara lebih lunak. Minat terhadapnya membuatkan saya menulis sebuah novel untuknya.

Diserahkan semasa saya, dia dan rakan-rakan lain bercuti di Cherating. Memang segala isi perasaan diluahkan dalam novel itu.

Tapi dia bukan novel cinta. Novel itu melibatkan karakter-karakter budak rumah di Shah Alam semasa saya belajar. Cerita thriller mengenai seorang demi seorang budak rumah hilang (nota: kami tinggal 16 orang satu rumah). Baki budak rumah pergi mencari. Subplot - kisah saya syok dengan minah ini yang kemudian (tipikal plot thriller) terlibat sama dalam penyiasatan. Cerita memang macam celaka.

Mujur Gadis Pekan tidak menerima cinta saya kerana beliau telah menemui kebahagiaan bersama beberapa orang anak ketika ini. Kalau memilih saya, barangkali waktu ini masih belum kahwin.

3. Tauke Spa

Ha, kejadian paling klasik dan berani yang pernah saya buat.

Dia adalah seorang makwe berwajah amoi yang bekerja berdekatan pejabat lama saya. Mula-mula saya memang ingat wanita Cina. Rupanya Melayu. Tauke Spa.

Suatu hari yang damai, disaksikan oleh Bart Ahmad dan wartawan Kosmo Che Wan Sofiatul Shima (ketika ini mereka berdua masih bersweet dan bersayang, tak macam sekarang - laksana Israel dan Palestin), saya merangkul segala semangat yang ada.

Susuknya muncul hendak ke kereta untuk pulang bekerja. Dengan segala kudrat yang ada, dengan segala doa, dengan segala tepisan rasa malu, saya menggagahkan kaki untuk melangkah satu demi satu ke arahnya. Setiap langkah memang tak payah cerita, seperti kaki diikat pada badan lori yang disambung pada sebuah jentolak bersaiz sederhana. Dia sudah hendak menyeberang jalan tatkala saya menjerit;

"Iefa..."

Iefa berpaling.

"Errr...aaa...saya nak berkenalan dengan awak," kata saya dengan suara yang dikawal tonasinya agar tidak mengeluarkan sebarang bunyi gementar. "Awak ada kad?"

Iefa tak ada kad (tipu)

"Ini kad saya," saya berikan dia kad nama saya. "Kalau sudi, boleh telefon," kata saya , "have a nice day," saya berlalu pergi.

Esoknya saya dapat YM Iefa.

Dia beri saya seketul batu warna warni.

Tiada apa-apa yang terjadi kepada saya kerana selepas itu Iefa dengan diplomatiknya menerangkan tentang saya dan dia amat berbeza dunia.

Plus, beza umur yang agak ketara, baginya. Waktu itu saya dalam umur 24 atau 25, sedangkan dia, sudah hendak pertengahan 30-an, bayangkan kalau sekarang?

Di atas tiga kes paling utama, dalam beberapa lagi kes yang lain yang melibatkan saya pernah 1. Membuat lagu, 2. Menjadikan dia adik angkat, 3. Mengajak menonton wayang dan beberapa taktik lagi.

Bart Ahmad pernah menyanggah idea "perempuan suka lelaki yang berani meluahkan isi hatinya,"

Bart Ahmad pastinya berasakan pendapatnya betul kalau mengkaji kes saya, di mana, hampir semua perempuan yang saya cuba dekati dengan idea "keberanian" itu, gagal ditangkap hatinya.

Untuk kes-kes saya, mungkin. Dari 7 edisi percintaan, selamat saya katakan hanya 2 yang usaha permulaan datang dari saya. Selebihnya, secara separa sedar mungkin, dimulakan oleh si wanita.

Kita tengok dari mana datangnya versi kelapan (dan harapnya yang terakhir) nanti. Siapa yang akan mulakan game ini?

Humchaa.

Nota 1: Saya sudah ada rss feed, di tepi (sidebar nun), boleh letak di ruangan sidebar kalian, ala, tempat di mana setiap kali refresh boleh nampak entri terkini blog pilihan.

Zaman berubah. Dulu saiz kote ego sebuah blog ditentukan dengan berapa banyak blog lain ada link blog kita. Sekarang saiz kote ego blog ada sedikit evolusi, berapa banyak blog yang letak rss feed blog kita. Tolonglah letak di blog kalian supaya saya tahu saya seorang blogger yang popular.

Okey, selain jumlah kote komen per entri.

"Alaa, i tak peduli pun pasal berapa banyak blog orang lain yang linkkan ke blog i"

Nota 2: Nampak banner Monetize your website ad di atas? Siapa tahu macam mana nak buang? Puas saya godek css, tak jumpa. Dia datang sekali dengan template ini.

Nota 3: Saya dan dia hanya kawan biasa, kami dalam proses mengenali hatibudi masing-masing.

+++

Saya sms abah,

"Selamat hari abah"

Abah jawab menerusi sms,

"Abah tanya, bila nak jadi abah?"

Saya pasti yang menaip sms itu bukan abah. Saya perlu siasat siapa antara adik-adik saya yang membuat onar memberi ilham sedemikian rupa!

+++

Ada soalan sama ada saya single atau tidak.

Tidak, saya sudah berpunya. Sudah in a relationship.

Di bawah ini gambar makwe saya:

imgamelie1

Buat masa ini dia belum kenal saya, nanti kenal la tu.

Ini makwe kedua saya;

selma

Untuk pengetahuan, makwe nombor dua ini lebih berumur berbanding nombor satu. Ya, wanita matang (perkataan lain untuk 'tua') mengujakan saya.

Selamat malam

Uses wordpress plugins developed by www.wpdevelop.com Blog Protected Using Content Protecter By PcDrome.