Archive for June, 2009

Saya dan pemain bass Kuala Lipis memang peminat permotoran sejati. Maka bila mendengar orang-orang Jepun datang ke Sepang membawa segerombolan makwe Jepun kereta Jepun, maka kami pantas membeli tiket paling mahal. Tak ada masa nak masuk guna complimentary pass yang diberikan oleh staff SIC bernama Bart Ahmad.
Masalahnya pemain bass Kuala Lipis ini berkawan dengan Doraemon. Entah apa sebab nak berkawan dengan robot ketot, padahal sudah terkenal dan digilai ramai makwe. Benarlah kata pepatah, jika hati hancur kerana Beeha tidak menerima cinta, berkawanlah dengan Doraemon.
Saya agak malas nak membawa Doraemon sekali kerana mengenangkan sikap kedekutnya. Saya pernah memintanya untuk dipinjamkan pintu sukahati kerana terlewat hendak pergi kerja. Kalau menaiki kereta mahu makan 10 minit hendak sampai, kalau guna pintu sukahati, beberapa saat sahaja. Tahu apa jawapannya? Belilah sendiri.
Hello, kalau pintu sukahati itu ada dijual di Jusco sudah lama saya beli.
Tapi mujur juga dia tak pinjamkan. Kalau tidak nak balik dari kerja jenuh juga nak berjalan kaki.
Mengenangkan hal itu, saya pun bersetuju untuk membawa kawan pemain bass Kuala Lipis itu.
Eh, bukankah dia ada pintu sukahati? Buat apa nak tumpang kereta orang?
Pintu tengah obohol. Jawab Doraemon kerek. Penampar juga yang datang ni karang. Mujur saya perlu tenangkan hati, kerana dengan hati yang tenang sahaja saya dan pemain bass Kuala Lipis boleh menikmati keindahan makwe Jepun kereta Jepun yang berlegar berlumba di litar Sepang.
Saya tak bawa makwe saya. Dia terlalu cantik untuk makwe-makwe Jepun di sana. Nanti rasa rendah diri pula makwe-makwe Jepun yang datang itu. Nak buat kerja pun tak dapat beri komitmen 100% kerana terlalu terkejut melihat makwe saya yang cantik.
Makwe saya tak kisah. Dia ada kerja. Cemburu itu tidaklah kerana dia tahu selagi tidak ada Audrey Tautou atau Selma Blair atau perempuan Russia, dia tidak perlu gusar. Yang lain bukan pesaingnya. Lagipun saya sudah mengisytiharkan bahawa makwe Korea lebih mengujakan berbanding makwe Jepun.
Kami tiba tatkala bunyi enjing kereta sudah mula mengaum. Doraemon tak lepas masuk pada mulanya. Mereka kata kucing tidak dibenarkan masuk. Mula-mula hati saya panas juga. Ini diskriminasi spesies. Kucing ada hak untuk tengok makwe Jepun perlumbaan kereta Jepun. Tapi mengenangkan ini peluang kami untuk berpisah dengan Doraemon, saya diamkan. Tapi akhirnya Doraemon dibenarkan masuk setelah dia berkata dirinya bukan kucing, tetapi lebih kepada metafora kehidupan yang comel.
Metafora kehidupan yang comel...rasa macam nak sepak je.
Masuk dalam umpama berada di daerah yang lain. Memang daerah yang lain sebab dia berada di Sepang, bukan Ukay Perdana.
Saya dan pemain bass Kuala Lipis tidak tunggu lama. Minat kami terhadap seni permotoran yang amat mendalam membuatkan kami terus mengambil satu tempat dan mengeluarkan kamera masing-masing dari dalam beg. (Secara teknikalnya pemain bass Kuala Lipis tidak 'mengeluarkan' kamera kerana kameranya sudah sedia berada di luar. Habit berlagak membawa kamera bersandang di tepi bahu itu atas harapan ada makwe jatuh hati kepadanya. Ni seorang lagi yang rasa seperti hendak disepak saja.
Snap!
Gambar pertama untuk acara permotoran itu kami ambil. Gambar makwe Jepun pegang bendera Malaysia dan seorang lagi pegang bendera Jepun.
Snap! Snap! Snap!
Banyak juga gambar kami ambil.
Doraemon kami tak peduli. Sibuk nak cari Doriyaki. Ada keropok lekor saja, makan sajalah! Bukannya matipun. Halal, orang Melayu yang masak.
Sedang perlumbaan berlangsung, saya dan pemain bass Kuala Lipis sibuk berbual dan berbincang tentang pelbagai aspek teknikal perlumbaan GT Jepun ini. Habis segala fakta, statistik dan sejarah GT Jepun kami bualkan. Kadangkala kami ada perselisihan pendapat juga, tapi tidak lama dan kami berpelukan tanda persahabatan. Makwe-makwe di sebelah angkat kepala mendengar perbualan kami yang agak tinggi nada suaranya. Nak buat macam mana, bunyi enjin kereta terlalu kuat.
Kami pergi ke pentas yang menampilkan aksi-aksi GT Queen. Sempat juga mengambil beberapa keping gambar. Tak banyak kerana kami lebih mengutamakan gambar-gambar kereta. Doraemon tak habis-habis berteriak nama "Miyako". Katanya salah seorang GT Queen di atas pentas itu namanya Miyako, orang kampungnya. Miyako buat-buat tak dengar. Doraemon cuba bercakap dalam Bahasa Jepun pada Miyako. Dan dan itu juga Miyako berbual dengan kawannya dalam bahasa Perancis.
Saya faham perasaan Doraemon. Saya tepuk bahunya. Biasalah, lumrah hidup, perempuan cantik begitulah sifatnya.
Tapi saya lebih faham perasaan 'Miyako'. Gila apa nak bertegur dengan robot katik warna biru itu. Kalau saya jadi Miyako pun saya buat begitu. Lainlah kalau yang tegur itu Optimus Prime. Gagah juga. Tidaklah malu nak bergambar bersama. Body pun solid.
Saya cuma sempat bertegur sapa dengan Bart Ahmad sekali sahaja. Dia sibuk menguruskan makwe-makwe Jepun itu. Tapi sebenarnya dia berada di dalam situasi genting kerana makwenya ada sekali. Kiamat hidupnya kalau makwenya melihat GT Queen senyum pada Bart Ahmad. Ingat, GT Queen senyum padanya, kalau sebaliknya, MasyaAllah.
Kami pulang setelah sejam selepas penyampaian hadiah. Pemain bass Kuala Lipis sempat juga memberikan beberapa tips permotoran kepada abang-abang poyo yang meletak kereta mewah di dalam kawasan Grandstand. Terutama abang poyo yang menampang stiker ala camouflage tentera pada badan BMW. Menangis abang itu mendengar nasihat pemain bass Kuala Lipis.
Kami pulang dengan hati yang puas. Banyak input permotoran yang diperolehi hari ini. Semangat permotoran kami naik dengan mendadak. Di lebuhraya saya bawa kereta hingga meter cecah 160.
Doraemon tak habis-habis bising ajak singgah makan Dorayaki.
Dia cemburu kerana Miyako sudah janji nak chat dengan saya malam nanti. Malam nanti saya akan add facebook Miyako dan Yahoo Messenger. Jangan harap saya nak beri pada Doraemon.
Pemain bass Kuala Lipis diam di tepi. Dia sudah memikirkan beberapa artikel yang hendak ditulis untuk penerbitan permotorannya. Bila tiba hal-hal permotoran ini, dia memang serius.
Harap tahun depan boleh jumpa lagi.
Kami tinggalkan Doraemon di tepi lebuhraya kerana tidak tahan mendengar jeritannya hendak makan Dorayaki.

Zaman sekarang kedai mamak pun ada wifi.
Pemandangan membawa komputer di kedai makan sudah menjadi perkara biasa.
Lihat sahaja wajah kepuasan Mat Jan kerana menggunakan perkhidmatan wifi di kedai mamak.
"kini, semua boleh berinternet"
Kantoi.
Itu sahaja yang boleh saya kata.
Malam tadi makwe saya tengok laptop saya. Dia bukan jenis suka periksa apa yang saya buat, tambah-tambah tak ada kerja dia nak minta password dan username e-mel serta facebook saya. Baginya, apa rahsia dari saya, pasti dia akan tahu lambat laun. Memang saya sudah agak patung kucing Totoro itu adalah spy beliau di rumah saya.
Tapi malam tadi saya terlupa tutup photolibrary photoshop saya. Segala aneka gambar yang saya petik dia browse. Itu tak jadi masalah. Dia selalu jenguk Flickr saya dan tiada isu cemburu melihat gambar-gambar perempuan di dalamnya. Selagi tiada gambar saya bercumbu dengan perempuan lain, dia okey saja. Apajadah saya nak bercumbu dengan perempuan lain. Saya bukan reti bercumbu pun.
Masalahnya ialah Mondo Bongo.
Mondo Bongo adalah kucing peliharaan saya yang baru. Kucing paling comel yang pernah dilahirkan di dunia. Saya dan makwe saya beli bersama-sama di kedai haiwan di Jalan Peel. Dia yang pilih selepas lima pilihan kucing lain saya tolak. Ada juga hati hendak beli anjing Husky, tapi memandangkan jadi satu kerja nak menyamak, saya lupakan.
Harganya RM900. Kami bayar separuh-separuh, mat rempit cakap tong-tong. Saya bayar RM900 dan dia bayar dengan kasih sayang tidak berbelah bahagi.
Dia mahu saya mengambil gambarnya bersama Mondo Bongo. Tambahan pula saya memegang flash SB600 yang dipinjam dari Hisham, maka amat sesuailah mengambil gambar seorang gadis paling jelita bersama kucing paling comel. Gambar jadi cantik dengan kombinasi flash + perempuan tercantik (baca: makwe saya) + kucing tercomel.
Tapi oleh kerana sibuk, rancangan mengambil gambar paling hebat itu ditangguhkan. Makwe saya begitu teruja. Saya biasa sahaja. Tidaklah teruja sangat. Saya teruja kalau dia mahu bergambar dengan Mondo Bongo, kedua-duanya tidak berpakaian. Tapi saya diamkan sahaja angan-angan itu kerana tidak mahu dipukul oleh Makwe saya. Saya tak mahu dia merajuk lagi, cukuplah sekali mencari hati Burung Phoenix.
Tapi malam tadi, dia begitu marah.
Marah bila melihat Mondo Bongo bergambar dengan pemain bass Kuala Lipis. Bukan sekeping tapi banyak keping dengan pelbagai posisi.
Katanya dia mahu menjadi orang pertama yang bergambar dengan Mondo Bongo. Laksana sudah hilang segala eksklusiviti dirinya kerana Mondo Bongo sudah disentuh orang lain. Puas saya terangkan gambar itu dipinta oleh pemain bass Kuala Lipis kerana beliau mahu menggunakannya untuk diberikan kepada beberapa orang (beberapa orang itu maknanya lebih dari seorang dan rasanya bukan dua orang) makwe facebook.
Tapi makwe saya sudah marah.
Pranggg!!!
Ah, kalut.
Makwe saya berlalu meninggalkan hatinya yang dihempas ke lantas pecah berkeping-keping. Dia terus balik dan buat apa yang perempuan pandai buat ketika bergaduh - tutup telefon.
Terkial-kial saya mengutip keping-keping hatinya. Payah juga nak cari satu persatu di dalam kesamaran ini. Kalau jarum boleh guna magnet.
Separuh jalan saya sudah fed-up.
Saya gunakan penyelesaian streetsmart.
Vakum dihidupkan dan saya melalukan muncung vakum ke serata lantai. Kemudian saya ambil satu persatu dari bekas vakum itu, saya letakkan di atas meja dan cuba sambung satu persatu. Payah juga. Hampir hendak pukul 3 juga saya berusaha keras.
Sekali lagi saya fed-up. Saya baring, tengok youtube video klip kugiran Naif dan terus tidur.
+++
Esok pagi makwe saya telefon. Saya ceritakan tentang usaha saya menyambung hati yang pecah seribu itu.
Dia kata tak mengapa. Dia ada hati spare di rumah.
Celake. Kasitau la awal-awal, tak ada la penat menyusun hatinya malam tadi.
Asalnya dari note Facebook. Saja hari ini mahu buat redundansi.
+++

Saya ada hobi baru. Untuk mengisi masa terluang.
Hari ini sahaja 2 rak, satu improvisasi plug elektrik, hiasan dalaman rumah, tempat sangkut seluar dan baju, pencangkuk lampu, artwork dinding dan bekas simpanan serbaguna telah berjaya saya siapkan sepanjang siang Ahad.
Mujur ada drill.
Mungkin saya boleh bina satu bengkel pertukangan di belakang rumah banglo saya nanti. Ralit membuat meja sehingga lupa hari sudah petang.
Ah, anak perempuan saya sudah panggil.
"Abah, abah, mama panggil minum kat taman. 5 minit abah tak ada kat kerusi taman, dia nak terbalik meja,"
Huh,Perempuan gila!
nota tambahan:
Mana pergi pemain bass Kuala Lipis? Tak ada dirumah jumpa makwe. Padahal 5 minit sebelum makwe tu call, ajak turun Alima kat bawah pun tak mahu, alasan letih.
Menjadi adat kalau bermakwe pakwe ini keluar makan malam bersama. Apa cerita nak menjadi insan bercinta kalau tidak keluar makan malam? Lainlah kalau makwe (atau pakwe) tinggal di Ulam Bator, misalnya. Kos tinggi untuk keluar makan malam.
Hari ini makwe saya mengambil saya dari rumah untuk makan malam.
Saya masuk ke dalam kereta dia terus bertanya, mahu makan di mana?
Ah, ini yang buat saya sengal. Selalunya tempat makan saya di Aicu Wangsa Maju. Itu pun makan bersama kote-kote.
Untuk sesi pemakanan percintaan, saya semahunya pergi ke tempat yang lebih mendatangkan kenangan, restoran arab Morocco di Jalan Damai, misalnya.
"Mana?" tanya makwe saya. Saya menyuruhnya memberi cadangan. Tapi katanya dia mahu saya menunaikan tanggunggjawab sebagai seorang pakwe yang berhemah dan budiman.
Kami akhirnya membuat keputusan untuk makan di restoran atas pelangi.
Cantik restoran itu. Mujur juga hari usai hujan, maka senang untuk kereta makwe saya mendaki pelangi dan terus sampai di tempat parking kereta.
Hari itu tidak ramai pelanggan. Yang ada cuma beberapa ekor Carebears, Jem and The Hologram dan beberapa kucing terbang yang singgah untuk melepaskan penat terbang ke sana sini.
Kami ambil meja di hujung sekali. View menarik. Kami nampak keseluruhan Kuala Lumpur menerusi tingkap restoran. Makwe saya memesan makanan kegemarannya dan saya tidak memesan makanan kegemaran makwe saya kerana saya ada makanan kegemaran saya sendiri. Walaupun bercinta, kami tidaklah begitu sehati sejiwa. Apa cerita semua nak sama? Saya bukan seperti pemain bass Kuala Lipis itu yang mendakwa mahu memakai baju bertulis LO dan Nabeeha Hameed memakai baju VE, kedua-duanya fit dan berwarna putih. Kalau berjalan mesti beriringan dengan si lelaki berada di sebelah kanan dan perempuan di sebelah kiri.
Sambil menunggu kehadiran makanan di atas meja, kami melayan suasana cozy restoran, meninjau pemandangan ibukota yang berada di bawah kaki kami dilatarkan dengan lagu Mondo Bongo nyanyian Joe Strummer and the Mescaleros. Ternampak juga beberapa ekor kucing terbang melintasi cermin kami dan melambai-lambai ke arah makwe saya. Saya berasa sedikit cemburu kerana makwe saya sangat cantik hari itu dan beliau memang menyukai kucing. Saya segera menyikat rambut dan kelihatan lebih segak untuk menyaingi kucing-kucing terbang itu.
Saya lalu bangun dan menarik tangan makwe saya. Kami menari mengikut iringan lagu Mondo Bongo. Terdapat pasangan beruang panda turut menari berhampiran kami.
Tarian terhenti tatkala makanan sampai. Kami makan perlahan-lahan kerana tidak mahu pulang cepat. Rugi rasanya pulang awal dan tidak menikmati sepenuhnya pengalaman di restoran di atas pelangi.
Terasa seperti dalam filem lama semasa Aretha Franklin dan Louis Armstrong naik menyanyikan lagu Summertime. Tiba-tiba saya lihat pelangi sudah tidak mempunyai warna. Saya lihat makwe saya juga grayscale. Semuanya dalam black and white. Kucing dan panda semua sama warna.
Ni bila masa pula saya pakai kot dengan topi macam Dick Tracy ni?
Makwe saya? Seperti Ingrid Bergman dalam Casablanca.
Kami menghayati malam dalam keadaan greyscale itu dengan sepenuh hati, memandang kota Kuala Lumpur di bawah kaki yang terang dengan lampu, awan putih yang diselang-selangkan dengan cahaya bulan di sebaliknya, beberapa ekor kucing terus terbang dan terus berpelukan dalam grayscale (black and white).
Untuk kawan-kawan yang sedang bercinta, saya mengesyorkan anda membawa makwe/pakwe/suami/isteri ke situ. Kerana restoran di atas pelangi adalah cinta.
