Archive for June, 2009
Baru-baru ini saya berpeluang minum bersama seorang kawan perempuan. Atas dasar kasihan saya tidak mahu mendedahkan identiti beliau. Saya namakan sahaja kawan ini sebagai Aliya ataupun nama penuhnya Norhasliya atau Alliyah Aliya di dalam facebook.
Beliau seorang yang baik budi pekerti, cantik dan mempunyai aset yang menarik pada sesetengah bahagian.
Malam itu beliau (seperti biasa) bercerita tentang kisah cintanya yang tidak pernah lari dari menjadi sebahagian dari episod Samarinda.
Tapi hati saya cukup terharu tatkala mendengar beliau dengan penuh syahdu menuturkan ayat di bawah;
"Iyelah, perempuan kan dijadikan dari TULANG BELAKANG lelaki."
Saya cuba mengawal emosi tapi gagal. Hasil deraian ketawa saya membuatkan beliau tahu, ayatnya salah.
Beliau cuba membetulkan keadaan, "eh, silap, TULANG SUM-SUM kan?"
Saya tidak tahan lagi.
Kasihan bukan menjadi lelaki? TULANG BELAKANG diambil untuk dijadikan perempuan. Adakah lelaki asalnya mempunyai DUA tulang belakang? Atau mungkin lelaki sudah tidak mempunyai tulang belakang?
Apa cerita dengan TULANG SUM-SUM?
"wahai wanita, ketahuilah kamu dijadikan dari TULANG SUM-SUM lelaki!" terbayang wajah motivator dan ustaz-ustaz dengan mulut termuncung-muncung tatkala bercerita mengenai hal di atas.
Semoga Aliya akan menjadi seorang ahli falsafah wanita yang berjaya suatu hari nanti. (Dan berkahwin dengan lelaki yang baik-baik).
Ada seorang bekas makwe saya yang comel. Manja. Putih-putih kulitnya. Dia seorang shape-shifter. Alaa, macam Mystique dalam filem X-Men tu.
Saya tak kisah, asalkan dia menyayangi saya.
Yang menjadi susahnya ialah makwe saya ini kuat merajuk.
Cepat terasa. Attention seeker.
Saya beri satu contoh sekali tu,
Saya kenal makwe saya ini mempunyai rambut lurus yang digunting hingga hampir nak cecah paras bahu. Kira dalam kategori makwe berambut pendeklah. Amoi-amoi sikit.
Sekali tu, masa saya keluar makan malam di Wangsa Maju, dia diam sahaja. Saya macam biasalah, kalau sudah diam, saya pun diam, makanan pula sedap. Makwe saya pun sedap juga, tapi itu lain.
Kemudian, selesai makan, saya hantar dia pulang, semasa di depan pintu pengawal Kondonya, dia bersuara, "awak memang tak pernah nak notice pasal saya ya?"
Saya terkejut. Apakehalnya pula?
Kemudian baru saya tahu, dia berharap saya menegur fesyen rambut barunya. Yang menjadi lebih panjang hingga ke paras pinggang dengan potongan ala Cleopatra.
Mana la saya nak sedar. Semalam rambut paras bahu ala amoi-amoi, ala oriental, alih-alih hari ini sudah melepasi middle east. Drastik sungguh perubahan.
Itu satu.
Kemudian ada yang lain pula.
Ini kes terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata dengan Nora Danishlah kau berdating.
Puncanya saya membelek majalah hiburan di gerai majalah dalam kompleks Pavilion, Bukit Bintang. Separa sedar saya berkata, "comel siot Nora Danish,"
Makwe saya merengus. "Jadi, Nora Danish lebih comel la?" katanya sambil muka berubah menjadi sebiji macam Nora Danish.
Seingat saya, dari pukul 12 tengah hari sampai ke pukul 9 malam, saya berada di kompleks Pavilion, berjalan dan masuk dari satu butik ke satu butik bersama "Nora Danish". Ya, kamu mungkin kata bestnya. Tak! Sebab itu bukan Nora Danish. Tambah pula, saya bersama Nora Danish muka masam. Merajuk. Apa cerita? Tanya sepatah jawab sepatah. Fadhilah Kamsah pun boleh stress kalau berdepan dengan kes macam ni.
Tapi antara kes yang paling menyayat hati pada hemat saya berlaku di restoran NZ Wangsa Maju.
Kami sedang makan. Duduk sebelah menyebelah. Akibat mengikut rasa hati, saya terpanggil dia 'berok'.
Ya, kamu tentu boleh agak apa yang berlaku seterusnya.
Tapi mempunyai makwe shapeshifter ini kadang kala bagus juga. Selalu juga dia bertukar menjadi kucing dan naik ke atas saya. Kadang kala saya minta dia bertukar menjadi panda dan saya memeluknya sepanjang hari. Ada harinya, kegunaan shapeshifting itu kami gunakan untuk mendapatkan tiket harga kanak-kanak.
Saya sudah tidak bersama makwe saya. Dia meninggalkan saya untuk bersama Catman. Walaupun sedih, saya redha ini adalah ketentuan ilahi.
Dia ingin bersama lelaki superhero, setaraf dengan dia mempunyai kuasa superhero.
Tapi dia tak tahu, saya sebenarnya Spider-Man yang menyayangi kucing.
Seekor kucing berwarna kelabu dengan bulu gebu-gebu (comel) naik ke atas daratan paling tinggi dan menjerit, "saya mahu mencari cintaaaaaa!!!"
Dia ke sungai, bertanya kepada ikan-ikan, di manakah cinta? Ikan tak tahu, mereka sibuk bermain dengan si pemancing ikan.
Dia ke laut, bertanya kepada sotong raksasa, di manakah cinta? Sotong raksasa tak tahu, dia asyik menjaga terumbu karang.
Dia ke hutan, bertanya kepada monyet, di manakah cinta? Monyet pun tak tahu, mereka sibuk ke dahan ini ke dahan itu.
Dia ke padang rumput, bertanya kepada kuda belang, di manakah cinta? Kuda belang tak tahu, mereka sibuk melarikan diri dari singa.
"sayalah cinta, cintailah saya!" tiba-tiba seekor lembu betina lengkap bergincu di bibir, memakai wig ala Farah Fawcett dan memakai spagghetti strap dengan thong corak kulit harimau muncul di depan kucing kelabu gebu-gebu (comel). "Dengarnya awak sedang mencari cinta?"
"Err, cik salah 'orang', saya mencari helmet saya yang hilang," jawab kucing sambil berlalu tunduk.
Suatu hari saya buat makwe saya merajuk.
Kes klasik - lupa tarikh. Bukan tarikh lahir. Tarikh lain. Kalau cerita di sini buat malu. Nanti jatuh taraf saya sebagai lelaki yang tinggi egonya dan selalu nak menang.
Tapi saya kalah juga dengan rajukan makwe saya.
Saya tahu bunga, coklat dan kasut tidak membawa apa-apa erti dalam usaha pujukan. Bermain gitar di laman rumahnya juga tidak lut. Penat juga mengkompos lima lagu pada malam sebelumnya. Nasib baik ada bantuan pemain gitar bass Kuala Lipis. Boleh juga beri satu dua idea. Tapi nampak pemain gitar ini cenderung membuat lagu untuk pemuzik yang bakal meletup suatu hari nanti. Namanya Beeha. Jaga-jaga Anna Raffali! Hoho.
Oh, mengenai merajuk.
Akhirnya dia pun bersuara, katanya, ada satu syarat untuk kami berbaik semula.
Dia mahu hati burung Phoenix.
Saya lega dalam debaran (fuh, macam tajuk lagu yang dicipta oleh bassis Kuala Lipis untuk Beeha). Lega kerana pintanya cuma hati burung Phoenix. Mujur tak mintak hati Tyrannosaurus Rex. Mana nak cekau? Binatang tu dah pupus. Nampak sangat tak ikhlas dalam meminta (Ikhlas dalam meminta - satu lagi lagu).
Kami (ya, pemain bass itu ikut serta) menyiapkan visa kami. Tiket dua hala Kuala Lumpur - Beijing sudah sedia. Kami berangkat membawa beg galas dan kamera. Singgah di Hongkong, sempat juga saya beli kasut untuk makwe saya sepasang dua.
Kami tiba di sebuah gunung tinggi, berdekatan Beijing, tempat diamnya burung Phoenix itu. Saya sudah bersedia dengan pedang. Begitu juga pemain bass itu. Saya tahu saat hati burung Phoenix itu berada di tangan, saat itu juga saya akan merakam gambar dan menghantar mms sebagai bahan bukti kepada makwe saya. Jangan tanya dari mana saya dapat pedang.
Kami bergerak dalam kesamaran. Saya ke kiri dan pemain bass itu ke kanan. Masing-masing waspada. Takut si burung Phoenix memasang perangkap. Dari jauh kami nampak burung Phoenix itu sedang tidur. Ini peluang baik. Saya memberi isyarat dalam bentuk mengangguk tiga kali kepada pemain bass itu. Pemain bass itu faham. Dia segera berlari. Saya ikut serta. Kami menjerit dan menerkam ke arah burung Phoenix itu.
Burung Phoenix itu, mungkin kerana terdengar jeritan kami (ya, bodoh betul perbuatan kami) terjaga dari tidur.
Dia lalu menjerit, "Hoi! Hoi! Berhenti!"
Kami berhenti.
"Nak buat apa?" tanya burung Phoenix itu.
"Kami nak hati kamu!"
"Bukan ini caranya untuk dapatkan hati saya, mula-mula bawa saya ke dinner date..." jawab burung Phoenix itu.
Kami diam. Tak faham.
"Hati...dinner...date?" burung Phoenix itu cuba memberi penjelasan. Tapi kami masih diam, tak faham.
"Okey," burung Phoenix itu putus asa melihat jenakanya tidak kesampaian. "Begini sajalah, kamu bukan manusia pertama dan kedua yang datang ke sini nak dapatkan hati aku."
Burung Phoenix itu terus menambah, "begini sajalah, baliklah. Buang masa kamu sahaja. Aku tak ada hati."
"Apa maksud kau tak ada hati?"
"Aku sejenis makhluk yang tak ada hati. Kau tahu tak apa yang aku buat? Aku hidup selama 1000 tahun dan kemudian membakar diri aku sendiri untuk menjelma dalam kehidupan seterusnya. Kamu fikir, bahlul mana yang nak bakar diri sendiri? Untuk membolehkan aku dengan suka hati membakar diri aku, aku dilahirkan tanpa hati, supaya tidak merasai takut untuk...well...bakar diri sendiri. Comprende?"
Saya dan pemain bass saling berpandangan.
"Balik, berikan makwe kamu satu ciuman di pipi dan semuanya akan okey, percayalah."
"Macam mana kami nak percaya pada 'orang' yang tak ada hati?"
"Balikkk!!!"
+++
Saya bertemu dengan makwe saya selepas pulang ke Kuala Lumpur di Starbucks Bukit Bintang.
Saya ceritakan tentang burung Phoenix yang dilahirkan tanpa hati.
Makwe saya tidak terkejut. Dia sudah tahu. Pakwenya yang sebelum ini pernah melaluinya. Pernah cuba mengambil hati burung Phoenix itu.
"Jadi kenapa masih mahu saya pergi?" soal saya, bingung.
"Sama seperti kenapa awak masih jatuh cinta dengan perempuan gila?" jawab makwe saya.
Tak aci, jawab soalan dengan soalan.
Saya terbalikkan meja, kami bercumbuan dan semua orang di dalam Starbucks mula menari tarian yang sama diiringi lagu keroncong Hetty Koes Endang.
Saya betul-betul penat malam itu.
Kerja di pejabat macam Kunta Kinte. Mana nak kejar deadline buku Sinaganaga (Stingarden), mana nak hambat rock star Kuala Lipis yang pemalas tu.
Saya mandi, dengar lagu Search satu dua dan...
mata pun pejam.
Mimpi baru nak masuk montaj logo Warner Bros bila terdengar bunyi telefon.
Saya angkat.
"Hello?" suara makwe. Terkejut bukan main saya. Iyalah, selain dari bekas makwe 70-an merangkap makwe abah saya merangkap mak yang melahirkan saya, tiada makwe lain yang berani telefon saya sekarang.
Oh, kecuali makwe CIMB. Itu pun nak minta duit bayar duit kereta.
Kembali kepada soal saya terkejut tadi. Saya pun membetulkan suara, supaya nampak macho,
"Ya?" jawab saya, macho.
"Dah tido ye?" makwe tu tanya.
"Err, belum. Tengah buat kerja," menipu sikit. Makwe tak suka lelaki pemalas (kecuali Pipiyapong).
"Tipu, i kenal you,"
Huh, ber i ber you, makwe urban ni.
"Kenal i? Hebat!"
"I kenal you luar dalam. I kan wife you,"
"Huh? Bila pulak i kahwin? Tak pernah pergi Vegas pun."
"I wife you dari masa depan. I cuma nak beritahu, start makan sayur, hisap rokok kurang sikit, i tak suruh berhenti, cuma kurang."
"Uh?"
"Sebab i baru kehilangan you. Masa kita sekejap saja."
"Huh? Kalau betul you wife i, macam mana kita jumpa? Bila? Esok ke? Apa nama you?"
"Kalau kasi tau, tak suspen la, nanti you tak buat macam mana you buat masa nak beli jiwa i,"
"Perempuan gila!" jawab saya sambil mematikan panggilan. Saya terus tidur. Tak nak beritahu sudah. Buang masa. Esok nak kerja. Kalau masuk lewat, mahu kena lempang dengan Mr. GM kalau saya beri alasan berbual dengan wife dari masa depan. Bos bukan jenis suka percaya alasan staf.
Dia tak sms atau telefon lagi. Merajuklah tu.
versi spoof dari hilang punca dot kom
