Kucing terbang, pari-pari, arnab, Maria, dr. love dan saya

BERTEMU DEWA CINTA #1

July 28th, 2009 nazri

Panda Cinta merajuk bila saya kata dia tidak sebagus mana. Kalau dia betul bagus sudah tentu berjaya menyatukan cinta saya.

"Lebih baik saya terus jumpa Dewa Cinta, bukankah power dia lebih tinggi dan reputasi lebih tersohor? Lagipun nama dia banyak dimuatkan dalam novel, cerita dongeng dan lirik lagu..." ujar saya.

Panda Cinta berlalu tanpa membalas kata-kata saya. Mika si Otter dan Arnab si peniup seruling menggelengkan kepala. Mereka pun berlalu. Arnab si peniup seruling sempat menaikkan tangannya dan menunjukkan jari tengah walaupun tak berapa kelihatan sangat (jari arnab).

Jadi saya pun pergi ke pintu gerbang kediaman Dewa Cinta. Belum sempat saya masuk, 2 ekor pari-pari menahan.

"Nak buat apa?" tanya salah seekor.

"Nak jumpa Dewa Cinta..."

"Ada buat temujanji?"

"Errr...tak ada..."

"Dail nombor ini untuk buat temujanji - 1-400-dewa-luv," tambah seekor lagi pari-pari. Terkocoh-kocoh saya menyalin nombor itu.

Di depan pintu gerbang itu juga saya dail.

"Selamat datang ke Dewa Cinta hotline..." suara mesin menjawab, "Please press one for English, por favor, pulse dos de español............... min fadlik rakhom samaniatu alaf bil lughah al-arabiah......sila tekan tujuh belas ribu untuk Bahasa Melayu....."

Saya tekan tujuh belas ribu untuk Bahasa Melayu.

"Sila tekan satu untuk update cinta anda, sila tekan dua untuk produk dan promosi terbaru, sila tekan tiga untuk bantuan teknikal cinta, sila tekan empat untuk membuat temujanji cinta, sila tekan..."

Saya tekan empat.

"Sila tekan satu untuk..."

Celake! Bila nak habis ni wehhhhh!

Bersambung

CERITA SALESGIRL DI IKANO POWERCENTER

July 27th, 2009 nazri

Hujung minggu saya mengambil keputusan untuk berjalan-jalan bersama Panda Cinta. Mika, si Otter pengesan bau Fear Of Relationship (PBFOC) mau ikut. Katanya dia bosan di Alam La la la.

Molek juga kerana kebetulan di Ikano ada Pesta Buku Popular (bookstore) dan menjelang pukul 3 ada program promosi buku memasak yang diterbitkan oleh sebuah syarikat penerbitan yang sedang maju di ibukota. Syarikat tersebut dalam jalan yang betul untuk menjadi syarikat penerbitan buku nombor satu di Malaysia yang menerbitkan hanya buku-buku bermutu untuk memandaikan warga Malaysia. Syahdan besar harapan saya pihak pengurus besar membaca puji-pujian ke atas syarikat tersebut dan menaikkan gaji saya sebanyak RM3000 (jumlah kenaikan, bukan dinaikkan ke paras itu) agar saya dapat membeli kereta mewah dan hidup gaya all-star untuk memikat wanita.

Okey, kembali kepada saya, Panda Cinta dan Mika si Otter berjalan di Ikano. Untuk mengelakkan saya dihalau kerana disangka membawa haiwan peliharaan, Panda Cinta dan Mika si Otter menyamar dengan memakai baju, seluar dan topi. Panda Cinta melebih-lebih dengan jaket tertulis 'Gangsta' di belakang dan di lehernya tersisip headphone. Macam celaka juga penampilannya. Mika si Otter selesa dengan kot berwarna coklat dan paip di mulut.

Kami masuk ke kawasan Pesta Buku Popular untuk menyaksikan program masakan itu. Ketika itulah saya melalui sebuah segmen yang menjual robot dan dinosaur pasang sendiri berunsurkan kertas dan kad. Cantik juga robot dan dinosaur itu bila sudah dipasang.

Tapi yang lebih cantik ialah gadis salesgirl yang datang mempromosikan produk itu.

Wajahnya berunsurkan Irene Santiago dengan konsep kemelayuan. Bibir bak Angelina Jolie berunsurkan 1Malaysia.

"Cuba..." Panda Cinta bersuara.

Saya memandang gadis salesgirl yang melayan seorang kanak-kanak.

Mungkin ya, ini hari saya ditakdirkan menyahut cabaran Milo. Saya tidak pernah mengorat salesgirl kompleks membeli belah sebelum ini. Ini ada kaitan dengan amalan gaya hidup 'mahu tapi malu' yang saya ikuti sejak lahir lagi.

Sebelum apa-apa, saya minta Mika si Otter yang berkebolehan menghidu samaada seorang gadis itu adalah pengamal gaya hidup Fear Of Relationship atau tidak menggunakan anugerahnya.

Mika Si Otter berjalan menghampiri gadis Ikano tersebut. Nampak macam hendak kantoi pula bila dia tercium-cium sampai hendak kena leher gadis itu. Mujur gadis Ikano tidak sedar.

Mika si Otter datang kembali kepada saya. Katanya gadis Ikano bebas FOC. Ah, ini sudah bagus. Dia bukan pengamal gaya hidup Fear Of Relationship. Maka saya punya 3% peluang. (97% lagi tidak ada kerana saya tidak bergaji RM5k ke atas, tidak mempunyai kereta Honda, tidak mempunyai syarikat sendiri, tidak mempunyai simpanan RM300k ke atas, tidak mempunyai wajah pan asian, tidak mempunyai tubuh setinggi lebih dari 2 meter, tidak... dan paling utama kerana saya lelaki Melayu).

Saya mengumpul semangat. Panda Cinta menepuk belakang saya memberikan auranya. Terasan seperti aura-aura keberanian pengunjung-pengunjung seluruh Ikano keluar dari tubuh mereka dan masuk ke dalam badan saya.

Tiba-tiba saya menjadi berani.

Saya datang menghampiri gadis Ikano.

"Dinosaur ini sesuai untuk budak-budak?" tanya saya.

Dia jawab.

Saya tanya.

Dia jawab.

Saya tanya.

Dia jawab.

"I nak tanya satu soalan..." hah, ini dia hikmat mengorat sudah keluar.

"Ya, apa dia?"

"Can i know your name?"

"Boleh, Farah..." (Ya, saya seperti tidak dapat lari dari ini hantu bernama FARAH)

"Boleh i tanya satu lagi soalan?"

"Boleh,"

"Boleh i ajak you keluar minum?"

Farah sudah malu-malu, "Err, sekarang i kerja..."

"Bila-bila you free pun boley, you can give me your contact number dan nanti kita set,"

"Oooo...ummm, masalahnya, nanti tunang i marah kalau dia tahu," si Farah, gadis Ikano merujuk kepada seorang lagi jurujual lelaki yang kebetulan tiada di situ semasa saya menghampirinya kerana pergi ke tandas.

"Ohhh, i minta maaf..." kata saya. Perbualan seterusnya berkait rapat dengan hal ehwal korporat PTS Publications  & Distributors Sdn Bhd dan produk-produknya serta aktiviti-aktiviti kesenian Sindiket Sol-Jah termasuklah MASKARA.

Sesungguhnya terasa begitu celaka sekali dengan apa yang telah terjadi. Sudah berani bertegur, Unavailable pula. Hampeh.

Saya menenangkan hati yang hiba dengan membeli sistem audio Sonic Gear untuk komputer lengkap dengan 2 speaker dan 1 woofer di Cineleisure.

Sepanjang jalan Panda Cinta tidak habis-habis mentertawakan saya.

Kami mencuba sistem audio Sonic Gear di Alam La la la. Hajat mahu menenangkan hati yang hiba dengan mendengar lagu Nightwish tidak kesampaian kerana Panda Cinta dan Mika si Otter sibuk mendengar lagu "If i were a boy" dan koleksi CD Ja Rule.

Apa yang saya boleh buat ialah menyedut Sampoerna Hijau dan bertanya dengan diri sendiri, apakah ada sumpahan?

"Tak ada sumpahan," ujar Panda Cinta. "Cuma aura gadis yang bakal bersama kau sehingga kau mati itu terlalu kuat sampai ia melindungi dan menghalang kau dari berjumpa dengan perempuan lain, terlebih dahulu sebelum dia..."

Saya angguk, separuh kerana mendengar kata-kata Panda Cinta, separuh lagi kerana terikut melayan rentak muzik Kanye West yang datang dari sistem audio saya itu tapi kini digunapakai oleh Panda Cinta dan Mika si Otter.

+++

Kejadian bertemu tunang orang yang pernah saya lalui di: Pertemuan di Kedai Kucing.

TERUS BERJUANG

July 24th, 2009 nazri

Saya pandang Panda Cinta.

Dia angguk. Benar katanya. Saya perlu melaluinya seorang diri kerana ini bukan wilayah Panda Cinta lagi. Dia tidak dibenarkan untuk masuk campur setelah manusia menetapkan hatinya untuk berada di sini.

nama wilayah ini wilayah keterasingan. Wilayah perpisahan yang menderita.

"Jangan bimbang, ramai juga yang berjaya, yang penting, terus berjuang," ucap Panda Cinta.

Saya angguk seraya terus memandang ke hadapan. Memandang satu kawasan tanah rata yang amat luas. Nun di hujung sana berdiri di atas podium si puteri berbaju putih berdiffuse glow.

"Ganbatte!" ujar Pachenko, si kucing gergasi yang berdiri di sebelah Panda Cinta. Pachenko mengangkat thumbs up.

Saya mengangkat pedang lalu melangkah perlahan-lahan.

Belum apa-apa cabaran pertama sudah muncul.

Berpuluh-puluh ekor orcs datang menyerang saya. Saya tanpa membuang masa mengangkat pedang melibas ke kiri dan kanan. Mana orcs yang malang habis tumbang terkena mata pedang saya. Satu persatu orcs saya tewaskan. Orcs bukan masalah saya.

Saya tidak melangkah lagi sebaliknya berlari.

Kali ini beratus-ratus troll bergerak menghempas kaki besar mereka mahu melumat tubuh saya. Saya melompat ke kiri dan ke kanan. Satu persatu kaki troll itu saya cantas. Ada yang cuba menghentam saya dengan kayu besar tegap mereka, tapi pantas juga saya elak. Saya melompat memanjat tubuh troll dan merodok bahagian lehernya. Kemudian saya melompat ke satu lagi troll dan berbuat apa sahaja yang boleh menumbangkannya.

Tiba-tiba kedengaran satu bunyi raungan yang mengerikan dari atas.

Saya mendongak. Tiga ekor naga eropah terbang menjunam ke arah saya. Salah seekor cuba mencengkam saya dengan kakinya. Saya pantas melibas dengan pedang membuatkan naga itu meraung. Seekor lagi memuntahkan bola api. Saya tercampak berpuluh meter. Mujur tidak terbakar.

Saya berlari sekuat hati. Naga-naga itu terus mengejar. Saya melontarkan pedang saya tepat mengenai mata salah seekor darinya. Dia mengelupur dan secara tidak sengaja memuntakan semburan api yang mengenai seekor lagi.

Saya meneruskan langkah.

Saya sudah hampir dengan podium tempat Si Puteri Berdiffuse glow itu berdiri.

Tetapi muncul tiga orang pahlawan bertopeng dan berperisai perak lengkap dengan senjata masing-masing. Dari celah topeng itu terlihat dua cahaya merah.

Saya sudah tidak punya senjata. Tapi saya sudah semakin hampir dengan podium itu. Saya tidak boleh mengalah. Hanya tinggal satu cabaran sahaja lagi. Saya mesti terus berjuang untuk mendapatkan si puteri berdiffuse glow itu.

Maka dengan semangat itu sahaja saya mara. Semangat itu sahaja yang kini menjadi senjata saya.

Pahlawan pertama menghayunkan pedangnya. Saya elak sambil melepaskan satu tendangan tepat mengenai tubuhnya. Pahlawan itu tercampak.

Namun saya tidak bersedia untuk serangan pahlawan kedua. Dia berjaya mencederakan tangan saya. Namun serangan susulan dari pahlawan itu dapat saya tangkis. Saya kepak tangannya dan merampas pedang yang masih tercalit darah saya. Dengan pedang itu saya cantas kepalanya.

Pahlawan ketiga tidak membuang masa mengangkat pedangnya.

TING!

Pedang saya dan pedangnya bertembung. Dihayun sekali lagi dan sekali itu juga saya menahan. Kemudian saya pula menghayun pedang dan berjaya juga ditangkis oleh pahlawan itu. Kami bergerak ke depan dan ke belakang. Dia menyerang, saya bertahan. Saya menyerang, dia bertahan.

Tetapi kemudian saya berjaya menangkis pedang pahlawan itu. Pedangnya tercampak jauh. Pantas saya melibat pedang saya tepat mengenai tubuhnya. Pahlawan itu tersungkur mengelupur dan terus diam.

Saya mencampakkan pedang dan perlahan-lahan melangkah ke arah podium. Mata saya tidak memandang tempat lain selain wajah si puteri berdiffuse glow yang sungguh cantik. Tiadalah siapa dapat menandingi kecantikannya.

Akhirnya saya tiba di hujung podium tempat si puteri berbaju putih berdiffuse glow itu berdiri. Dia memandang tepat ke arah saya tanpa sebarang perasaan.

Saya hulurkan tangan saya.

Dia langsung tidak bergerak. Dia hanya terus memandang saya.

"Kenapa?" tanya saya. Tangan saya masih terhulur, menanti dia untuk menyambut.

"saya fikir takkan boleh bersama awak," jawab si puteri berdiffuse glow itu.

Saya menjadi gugup. "Boleh...boleh..."

Dia menggelengkan kepala lalu berpaling.

Saat dia berpaling itulah saat yang membunuh saya.

Saat dia berpaling itu lebih menyakitkan dari tikaman pedang menembusi saya yang datang dari seorang pahlawan berperisai perak dari belakang.

Saya hanya mampu jatuh terduduk dan melihat imej si puteri semakin lama semakin kabur.

Dan saya nampak tangan saya sendiri menggapai ke arahnya, semakin lama semakin kabur.

Dan kemudiannya pahlawan bertopeng dan berperisai perak itu berdiri di depan saya sambil melibas pedangnya...

+++

"Awwww!!!" saya menjerit.

Saya meraba leher saya. Masih tidak terpancung. Saya bangun dari perbaringan.

Panda Cinta yang duduk di sebelah saya membuat muka toya sambil terus menggodek iphone barunya.

"Itulah, lain kali basuh kaki sebelum tidur," ucap Panda Cinta acuh tak acuh. "Kan dah mimpi yang mengarut-ngarut. Orcs la, Naga la, beruang kepala empat la, benda-benda yang tak logik."

Saya tidak membalas kata-kata Panda Cinta. Saya cuma tergamam, mengulit mimpi saya sebentar tadi.

"Panda..."

"Ha..."

"Saya pernah nyatakan kepada seorang teman bahawa hati saya berkata dialah cinta saya paling pertama walaupun dia sudah punya teman, walaupun dia membenci saya sepenuh hati, walaupun dia membuat saya menderita, walaupun dia memberi saya hari paling buruk dalam hidup saya..."

"Cayalah!" teriak Panda Cinta.

"Huh?" saya memandang Panda Cinta.

"Saya berjaya dapat top score game Bejeweld Blitz Facebook, kalahkah Pari-Pari. Padan muka dia. Sudah seminggu dia bongkak!"

Celake. Saya mengeluh. Patutlah Panda sekarang sudah nak pupus. Ada juga nak kena grill karang ni.

Namun wajah si puteri yang berpaling itu terus menghantui saya.