Archive for July, 2009
Walaupun ya, kita takkan selalu dapat apa yang kita hendak, tapi saya ada satu impian kecil, ala-ala subplot.
Boleh tak gamaknya dapat teman hidup yang tidak terasa terhina kalau saya cakap benda di bawah;
"Sayang, jom mengawan,"
Ha, amacam? sudi tak menjadi teman hidup saya? Serius ni. Duit sudah ada, sijil sudah ada, tunggu nak check doktor saja.
La la la
[nota: ini adalah entri auto-update, di mana publishing timing saya buat secara rawak, mengikut hari. Jadinya hari ini ada dua entri, termasuk entri sebelum ini yang ditulis dan dipublish on the spot, terlupa pula hari ini ada entri auto-update]
Saya dan pemain bass Kuala Lipis selalu juga menikmati adegan melepak di makmal profesor Uban. Dia ada nama Bahasa Arab seperti orang Melayu yang lain tapi kami biasanya panggil dia Prof. Uban.
Hari itu Prof. Uban terkinja-kinja mahu mempersembahkan hasil kerja terbaru beliau.
Kami sedikit skeptik, kerana kali terakhir beliau menunjukkan hasil kerjanya, pemain bass Kuala Lipis terpaksa tidur selama 12 jam untuk merawat kesan sampingan yang beliau terima.
Maka hari itu saya dipersembahkan dengan sebuah ciptaan berbentuk sunglass.
Kata Prof Uban, sunglass itu boleh mengesan rasa suka atau cinta manusia. Saya hanya perlu memakai sunglass itu, menerusi cermin sunglass itu yang sudah dipasang dengan pelbagai litar elektronik dan pengimbas yang bercirikan nano, saya kemudian perlu melihat mana-mana makwe di depan mata dan menerusi pengimbas itu akan memancarkan cahaya hijau di atas kepala makwe itu tanda beliau suka pada saya dan memberi isyarat untuk saya meng-adjust beliau.
Ha, ini sudah baik, fikir saya.
Tiada lagi kes syok sendiri. Tiada lagi kes di mana saya ingat makwe itu syok kat saya. Tiada kagi kes di mana makwe itu melayan saya seolah-olah memberi hint tapi bila meluahkan perasaan rupanya memang perangai dia macam itu dan saya hanya perasan. Kurang sedikit rasa malu kerana bertepuk sebelah tangan. Ramai juga makwe dikalangan demografik saya yang suka berbuat demikian.
Pemain bass Kuala Lipis mencubanya di dalam makmal. Tak lama sebelum dia mencabut sunglass itu dari kepalanya dan beredar tanpa sebarang bicara.
Saya cuba memakainya dan seharian dengan sunglass tersebut bertemu ramai makwe. Cayalah, makwe pertama yang saya nampak hijau, saya akan terus ajak kahwin. Duit simpanan dah cukup ni. Duit royalti novel.
Dua hari kemudian saya berikan semula kepada Prof. Uban.
Celake. Satu lampu hijau pun tak menyala atas kepala ribuan makwe yang saya jumpa.
+++
Seminggu lepas itu baru saya tahu kenapa pemain bass Kuala Lipis beredar dengan cepat. Dia nampak lampu hijau, di dalam makmal, ketika berdiri di depan Prof. Uban.
TAMAT
"Apa cerita?" tanya pemain bass Kuala Lipis.
Saya angkat bahu. Ingat entri saya semalam? Bagaimana saya bertemu Panda Cinta?
Saya dapat maklumat dari sumber yang sahih, kertas itu tidak sampai ke hati _____________. Tak mengapa, saya boleh pergi jumpa Panda Cinta kembali. KL ke Bandar Seri Iskandar cuma 3 jam sahaja. Buat sekali lagi. Mana tahu menjadi.
Tapi rupanya ada lelaki lain yang mendapatkan sesuatu yang lebih hebat dari Panda Cinta. Dia menggunakan khidmat Pari-pari Cinta. Peh. Tak boleh lawan la saya. Panda Cinta terus sahaja give-up. Katanya Pari-pari Cinta lebih berkuasa. On the spot saja si _________ terus jatuh hati pada lelaki itu dan langsung tidak memandang saya, seorang lelaki yang dikirimkan tuhan sebagai kekasih yang baik hati dan mencintainya, apa adanya.
Jadi malam itu, saya yang agak kecewa bersama pemain bass Kuala Lipis naik ke restoran atas pelangi. Kami tidak masuk sebaliknya duduk di tepi pelangi dengan kaki terjuntai ke bawah. Lagipun kami sudah makan di Alima.
Saya terus melayan perasaan, memikirkan strategi baru untuk menawan cinta makwe. Kena cari calon lain la nampaknya, kalau tidak macam mana Cempaka nak dilahirkan untuk entri saya esok nanti.
sambil,
pemain bass Kuala Lipis melalak sambil strum gitar kapok milik Alina Abdullah;
"Aku suka pelangi,
Walau sukar dicari,
Penuh warna warni,
Sungguh indah sekali,
Aku suka menyanyi,
Namun benci menari,
Ku masih mencari,
Hasrat di dalam hati..,
Aku begini...masih begini...
Inilah akuuuuu"
+++
Atas dasar menghormati kawan yang menyanyikan lagu teman wanitanya sendiri sahaja membuatkan saya melupakan niat untuk menamparnya.
* Lagu "Inilah Aku" oleh Nabeeha Hameed.
