Archive for November, 2009
Aidil Adha kali ini mungkin agak isitimewa, kerana bersempena dengan nama kampungnya - Raya Haji, memang raya kali ini secara terus ada kaitan dengan musim haji.
Ini kerana mak dan abah berada di Arab Saudi untuk menunaikan rukun. Sekali sekala dapat jua sms mak menceritakan perasaannya ketika berada di sana.
Mungkin kalau ada kesempatan, tahun depan ketika saya backpack mungkin boleh terus masuk Arab Saudi untuk menunaikan ibadah haji.
Beg jemaah. Penuh dengan tag. Tag sana, tag sini.
Seperti orang tua lain di seluruh negara, sebelum pergi mesti cium-cium cucu paling kecil. Saya hantar mak dan abah ke Kelana Jaya sekitar tengah hari dan pulang semula. Petang baru konvoi dengan adik beradik untuk urusan salam-salam dan peluk-peluk. Kelihatan adik sedang mengajar abah penggunaan kamera Lumix yang saya agak tidak digunakan pun nanti.
Melepak di kafeteria Bangunan Tabung Haji Kelana Jaya sebelum menanti keberangkatan dengan bas ke KLIA. Mendapat perkhabaran flight delay kerana ada jemaah meninggal dunia di dalam kapal terbang. Burger kafeteria boleh tahan sedap. Tapi apa cerita servis kaunter macam servis jabatan kerajaan?
Baby Rina, (cucu paling kecik ketika ini - sebelum saya memproses anak sendiri untuk dicucukan kepada mak saya nanti) yang kini sudah bertukar menjadi Pingu. Mak menanti saya memproses cucu untuk beliau. Saya katakan nanti. Perlu cari wanita untuk memprosesnya. Saya suruh mak doakan di depan Kaabah agar Audrey Tautou sudi menerima lamaran saya.
Khemah-khemah disediakan di sekitar bangunan Tabung Haji. Di luar sana siap ada Baazar musim Haji, gerai-gerai jual barang-barang. Khemah-khemah ini khusus untuk jemaah melepak bersama saudara mara sebelum menanti waktu naik bas yang akan membawa mereka ke KLIA. Suasana meriah seperti hari raya. Cuma bezanya sini ramai pakai ihram.
Mood Baby Rina baik hari ini. Kami tiba sejak pukul 4 petang. Sehingga 9 malam Baby Rina masih dalam keadaan comel dan manja tanpa sebarang aksi yang mencurigakan seperti merengek, menangis, meminta wang dan sebagainya. Mungkin dia teruja melihat ramainya orang atau teruja kerana baju Pingu yang dipakainya. Sempat juga seorang budak lelaki mengorat Baby Rina.
Namun emosi Baby Rina yang baik itu mendatangkan satu masalah. Beliau aktif melakukan aktiviti lari-lari bayi di sekitar premis Bangunan Tabung Haji memaksa ibunya yang kurang bersenam turut sama menjalani kehidupan berlari-ibu-mengejar-anak bagi memastikan Baby Rina selamat. Kelakuan seekor Penguin manusia ini menarik minat orang disekitar untuk melihat dan ketawa. Saya cuba memastikan agar saya kelihatan seperti seorang lelaki yang senang dengan kanak-kanak bila ada makwe lawa yang lalu.
Bergambar sebelum masuk ke balai berlepas (maksudnya naik bas).
Semoga mak dan abah berjaya dapat apa yang mereka nak di Arab Saudi. Harapnya mereka tidak lupa mendoakan saya dan adik-adik dan jangan sekali-kali lupa tentang doa Audrey Tautou tu.
Lebih banyak gambar di facebook: http://www.facebook.com/album.php?aid=174249&id=645368695&l=73e4f5f0e3
Lama tidak buat ulasan filem.
2012
Bukan cerita tentang kiamat. Ia lebih dekat cerita berkaitan Bahtera nabi Nuh. Sebuah filem menarik ala Transformers (baca: tengok untuk kagum dengan efek, cerita hampeh).
TIME TRAVELER'S WIFE
Novel lebih best.
IF YOU CAN FIND ME
Sebuah filem indie mengisahkan seorang guru yang mengajar sekolah pedalaman. Cerita okey, cuma slow pacing.
NONSENSE PROFANITY
Sebuah komedi gelap. Filem Brazil. Tak ada sarikata. Celaka. Yang saya tahu ceritanya tentang sebuah keluarga yang membuka pasar mini.
NINETEEN LEGAL C
Cerita lawyer dari Croatia. Tak tahu ending sebab dvd sangkut.
FORBIDDEN LAND FOR THAT PARTICULAR PERSON
Memang tak masuk Malaysia sebab banyak aksi separa nude. Tapi setting ala fantasi. Otam yang suggest. Saya suka adegan si hero masukkan benang dalam kocek seluarnya. Penuh lapis makna. Saya cadangkan pembikin filem pendek tegar termasuk Tok Rimau untuk menontonnya.
DREAMS AND THE DREAMER
Tajuk kadang-kala memang misleading. Filem Bahrain ni rupanya sebuah dokumentari tentang sosio politik negara tersebut. Ala Micheal Moore punya stail, tapi orang Bahrain buat.
APORIA BRANCH
Filem dari Peru. Menarik juga. Cerita tentang seorang anak yang mencari ayahnya di hutan. Ending memang twist. Saya tak sangka langsung tukang sabit rumput itu adalah...ops, sorry. spoiler.
I AM STRADUST
Saya memang respek sama orang Perancis. Iguana pun boleh jadi bahan visual art. Filem ini saya jumpa di kedai DVD Seri Rampai. Memang rare.
I HATE SPICY FOOD
Sebuah filem 80% porno. Cerita tentang seorang budak lelaki minat budak lelaki lain tapi terhalang atas kasta keturunan. Plot sedih. airmata saya tumpah sekali. Saya tengok bersama pemain bass Kuala Lipis. Saya nampak dia macam pegang tisu. Mungkin dia boleh relate dengan pengalamannya sendiri.
JERK FROM PAJAM
Filem-filem dari Estonia memang tidak pernah menghampakan saya. Filem ini mengingatkan saya pada filem-filem naratif Kubrick. Terkesan. Metafora monyet dalam kuali di bawahnya ada lada sulah itu memang buat saya termenung sejenak. Deep! Deep! Langsung memberi inspirasi untuk saya menghasilkan visual art. Filem mesti tonton.
WATCHING MOVIE
Filem seorang lelaki yang baru beli laptop tapi masih sengal menghasilkan karya.
.
.
.
Tamat Ulasan
++++
Setelah saya rasakan masa dan usaha saya sudah mencapai tahap yang sepatutnya, saya membuat keputusan tidak lagi berusaha mendapatkan Grand Duchess. Lagipun permainan tarik tali dan seperti roh yang berada di tengah antara dunia dan langit ini amat memenatkan.
Saya mengambil keputusan untuk menamatkannya.
Namun sedikit kelakar bila keputusan itu saya sampaikan kepada Grand Duchess, dia tetap beberapa kali menghubungi saya.
Ah, takkan saya mahu kembali terjebak dalam game ini? Game tarik tali ini?
Saya mendapatkan khidmat nasihat Panda Cinta.
"Kau sms dia satu benda yang paling dia allergic nak baca, percayalah, dia takkan reply dan hubungi kau lagi sampai bila-bila..."
"...dalam kes ini, dia amat allergic dengan komitmen dan relationship...dia akan panik,"
Saya ikut nasihat Panda Cinta - memberikan perkataan yang amat membuatkan dia panik dan allergic.
Saya teks, "I miss you"
Hari ini hari kesepuluh, selepas teks itu dan dia langsung tidak menghubungi saya lagi.
Betul kata Panda Cinta. Taktik yang Panda Cinta berikan kepada saya memberi hasil.
"Tak mengapa, shopping dan menonton siri tv akan mengubat allergicnya, kau tak perlu risau," komen Panda Cinta kemudian.
Hari ini saya mengikut Panda Cinta menjalankan kerjanya yang lain. Ya, selain mencarikan saya cinta, Panda Cinta turut mempunyai kerja lain. Bagaimanapun saya syak Panda Cinta, secara halus hendak memberitahu - agar saya tidak terlalu mendesaknya menyempurnakan misinya terhadap saya.
"Kerna cinta kamu dan orang-orang sejenis kamu, tidak sepenting cinta dia..." ujar Panda Cinta.
Saya melihat seorang kanak-kanak kecil berjalan pulang dari sekolah.
Apakah Panda Cinta mahu mengajar kanak-kanak sekecil ini cinta? Bukankah usia begini harus mereka habiskan untuk belajar, bukan cinta?
"Naif..." balas Panda Cinta, ditujukan kepada saya.
Saya melihat Kanak-kanak itu kemudian bersiap-siap. Dia keluar mengunci rumah dan berjalan kira-kira dua kilometer menuju ke sebuah gerai kecil di bawah pokok di tepi jalan milik seorang wanita tua.
Saya memandang Panda Cinta.
"Kenapa dengan budak tu? Apa misi kau?" tanya saya.
"Kerana cintanya kepada ibunya sudah hilang. Kemiskinan membuatkan dia terpaksa belajar dengan lebih keras. Kemiskinan membuatkan dia tidak berada di padang bola, sebaliknya membantu ibunya di kedai nasi lemak dan pisang goreng, kemiskinan membuatkan malamnya yang penat, dengan lampu yang satu terpaksa menghabiskan kerja sekolah dan sebelum tidur, harus membantu ibunya menyediakan bahan-bahan untuk dia jual pada paginya, sebelum dia pergi sekolah..."
Saya diam. Panda Cinta menyambung,
"Dan cintanya terhadap ibunya semakin hilang bila melihat rakan-rakan menggayakan beg baru, cintanya pada ibu tambah hilang bila melihat rakan-rakan berlari membawa bola ke padang, dan semakin banyak hilang bila malam yang sudah penat terpaksa duduk mengupas pisang satu persatu untuk digolekkan ke dalam tepung."
Saya diam lagi.
"Masakan cintanya boleh disemai hingga ranum..." Panda Cinta memandang saya. "Bayangkan kalau kau, bila mana banyak permintaan kau tidak dapat dipenuhi makwe kau, sudah tentu semakin pudar cinta kau padanya bukan? Samalah seperti dia.."
Saya angguk.
"Bedanya, kau bisa saja mencari pengganti untuk cinta kau yang sudah hilang, tapi jika cinta si anak itu sudah hilang, bisakah ada pengganti ibu baru?"
Saya angguk. Dua sebab, satu kerana saya faham maksud Panda Cinta, satu lagi kerana saya faham kenapa Panda Cinta menyusun ayat sedemikian rupa, kerana baru mendengar lagu Sore Di Tunggu Pancoran nyanyian Iwan Fals yang termuat dalam playlist Ipod Arnad Si Peniup Seruling.
"Bisakah kita semai kembali cinta si anak?"
"Bisa," jawab Panda Cinta. "Bisa bila kita beritahu tentang betapa susah pun hidup di dunia, cinta kita kepada ibu kandung akan membuatkan kita rasa bahagia yang berterusan."
Pengalaman itu membuatkan saya sedikit tersipu-sipu. Dan kini saya tidak marahkan Panda Cinta lagi kerana telah membuatkan seorang potensi makwe saya beralih hati ke lelaki lain pada minggu lepas.
Saya dan Panda Cinta perlahan-lahan menghampiri gerai nasi lemak dan pisang goreng itu. Saya percaya Panda Cinta mampu membuatkan si anak kembali cinta kepada ibunya.
"Anak sekecil itu tak sempat menikmati waktu..." - Iwan Fals
Nabeeha si pari-pari kertas, menulis lagu dan puisi,
Menyanyi, "aku bukanlah, gadis yang manja, tak sama seperti merekaaaa"
Nabeeha si pari-pari kertas terbang menabur pelangi.
Warna-warni sambil Sufian Abas melompat girang dengan tangan terdepa.
Nabeeha si pari-pari kertas terbang menabur warna ungu. Maka ungulah cinta.
Nabeeha si pari-pari kertas terbang menabur warna merah. Maka merahlah cinta.
Kuning, biru, hijau dan macam-macam warna yang boleh kamu dapat di palette.
Maka giranglah Nabeeha si pari-pari kertas sambil sha la la la.
Saya sedikit terenjut-enjut mengikut irama girang lagu dan puisi.
Bila Nabeeha si pari-pari kertas menyentuh bunga, maka mekarlah ia kembang menawan.
Bila Nabeeha si pari-pari kertas menyelak daun, maka berserilah ia tak tertahan.
Bila Nabeeha membelai kucing, maka terbanglah kucing itu mengikut tari pujangga irama cinta.
Nabeeha si pari-pari kertas terbang ke kiri, burung ikut menari, Nabeeha si pari-pari kertas terbang ke kanan, rusa-rusa ikut menyanyi.
Ayuh, kita ke hujung dunia, memberi mentera menabur cinta!
"Orait!" kata saya.
DUMMMM! Tiba-tiba langit mendung dan tak lama kemudian hujan turun dengan lebat.
Prap!
Panda Cinta membuka payungnya.
Saya ikut berdiri di sebelah Panda Cinta, di bawah payung lindungannya.
"Tunggu! Saya nak ikut!" laung Nabeeha yang berteduh di bawah bumbung perhentian bas. "Saya tak boleh terbang, nanti koyak sayap kertas saya!"
Saya memandang Panda Cinta.
"Macam mana?" soal saya.
"Payung muat dua orang saja," jawab Panda Cinta acuh tak acuh.
Kami berlalu meninggalkan Nabeeha si pari-pari kertas berteduh di bawah bumbung bus stop, pergi ke hujung dunia untuk menabur mentera cinta.
Sufian Abas terus melompat girang dengan tangan mendepa bersama arnab si peniup seruling yang turut mendepa.
Fin







