November 16th, 2009 nazri
Hari ini saya mengikut Panda Cinta menjalankan kerjanya yang lain. Ya, selain mencarikan saya cinta, Panda Cinta turut mempunyai kerja lain. Bagaimanapun saya syak Panda Cinta, secara halus hendak memberitahu - agar saya tidak terlalu mendesaknya menyempurnakan misinya terhadap saya.
"Kerna cinta kamu dan orang-orang sejenis kamu, tidak sepenting cinta dia..." ujar Panda Cinta.
Saya melihat seorang kanak-kanak kecil berjalan pulang dari sekolah.
Apakah Panda Cinta mahu mengajar kanak-kanak sekecil ini cinta? Bukankah usia begini harus mereka habiskan untuk belajar, bukan cinta?
"Naif..." balas Panda Cinta, ditujukan kepada saya.
Saya melihat Kanak-kanak itu kemudian bersiap-siap. Dia keluar mengunci rumah dan berjalan kira-kira dua kilometer menuju ke sebuah gerai kecil di bawah pokok di tepi jalan milik seorang wanita tua.
Saya memandang Panda Cinta.
"Kenapa dengan budak tu? Apa misi kau?" tanya saya.
"Kerana cintanya kepada ibunya sudah hilang. Kemiskinan membuatkan dia terpaksa belajar dengan lebih keras. Kemiskinan membuatkan dia tidak berada di padang bola, sebaliknya membantu ibunya di kedai nasi lemak dan pisang goreng, kemiskinan membuatkan malamnya yang penat, dengan lampu yang satu terpaksa menghabiskan kerja sekolah dan sebelum tidur, harus membantu ibunya menyediakan bahan-bahan untuk dia jual pada paginya, sebelum dia pergi sekolah..."
Saya diam. Panda Cinta menyambung,
"Dan cintanya terhadap ibunya semakin hilang bila melihat rakan-rakan menggayakan beg baru, cintanya pada ibu tambah hilang bila melihat rakan-rakan berlari membawa bola ke padang, dan semakin banyak hilang bila malam yang sudah penat terpaksa duduk mengupas pisang satu persatu untuk digolekkan ke dalam tepung."
Saya diam lagi.
"Masakan cintanya boleh disemai hingga ranum..." Panda Cinta memandang saya. "Bayangkan kalau kau, bila mana banyak permintaan kau tidak dapat dipenuhi makwe kau, sudah tentu semakin pudar cinta kau padanya bukan? Samalah seperti dia.."
Saya angguk.
"Bedanya, kau bisa saja mencari pengganti untuk cinta kau yang sudah hilang, tapi jika cinta si anak itu sudah hilang, bisakah ada pengganti ibu baru?"
Saya angguk. Dua sebab, satu kerana saya faham maksud Panda Cinta, satu lagi kerana saya faham kenapa Panda Cinta menyusun ayat sedemikian rupa, kerana baru mendengar lagu Sore Di Tunggu Pancoran nyanyian Iwan Fals yang termuat dalam playlist Ipod Arnad Si Peniup Seruling.
"Bisakah kita semai kembali cinta si anak?"
"Bisa," jawab Panda Cinta. "Bisa bila kita beritahu tentang betapa susah pun hidup di dunia, cinta kita kepada ibu kandung akan membuatkan kita rasa bahagia yang berterusan."
Pengalaman itu membuatkan saya sedikit tersipu-sipu. Dan kini saya tidak marahkan Panda Cinta lagi kerana telah membuatkan seorang potensi makwe saya beralih hati ke lelaki lain pada minggu lepas.
Saya dan Panda Cinta perlahan-lahan menghampiri gerai nasi lemak dan pisang goreng itu. Saya percaya Panda Cinta mampu membuatkan si anak kembali cinta kepada ibunya.
"Anak sekecil itu tak sempat menikmati waktu..." - Iwan Fals
Posted in panda cinta adventures | 7 Comments »
November 14th, 2009 nazri
Nabeeha si pari-pari kertas, menulis lagu dan puisi,
Menyanyi, "aku bukanlah, gadis yang manja, tak sama seperti merekaaaa"
Nabeeha si pari-pari kertas terbang menabur pelangi.
Warna-warni sambil Sufian Abas melompat girang dengan tangan terdepa.
Nabeeha si pari-pari kertas terbang menabur warna ungu. Maka ungulah cinta.
Nabeeha si pari-pari kertas terbang menabur warna merah. Maka merahlah cinta.
Kuning, biru, hijau dan macam-macam warna yang boleh kamu dapat di palette.
Maka giranglah Nabeeha si pari-pari kertas sambil sha la la la.
Saya sedikit terenjut-enjut mengikut irama girang lagu dan puisi.
Bila Nabeeha si pari-pari kertas menyentuh bunga, maka mekarlah ia kembang menawan.
Bila Nabeeha si pari-pari kertas menyelak daun, maka berserilah ia tak tertahan.
Bila Nabeeha membelai kucing, maka terbanglah kucing itu mengikut tari pujangga irama cinta.
Nabeeha si pari-pari kertas terbang ke kiri, burung ikut menari, Nabeeha si pari-pari kertas terbang ke kanan, rusa-rusa ikut menyanyi.
Ayuh, kita ke hujung dunia, memberi mentera menabur cinta!
"Orait!" kata saya.
DUMMMM! Tiba-tiba langit mendung dan tak lama kemudian hujan turun dengan lebat.
Prap!
Panda Cinta membuka payungnya.
Saya ikut berdiri di sebelah Panda Cinta, di bawah payung lindungannya.
"Tunggu! Saya nak ikut!" laung Nabeeha yang berteduh di bawah bumbung perhentian bas. "Saya tak boleh terbang, nanti koyak sayap kertas saya!"
Saya memandang Panda Cinta.
"Macam mana?" soal saya.
"Payung muat dua orang saja," jawab Panda Cinta acuh tak acuh.
Kami berlalu meninggalkan Nabeeha si pari-pari kertas berteduh di bawah bumbung bus stop, pergi ke hujung dunia untuk menabur mentera cinta.
Sufian Abas terus melompat girang dengan tangan mendepa bersama arnab si peniup seruling yang turut mendepa.
Fin
Posted in jurnal | 1 Comment »
November 11th, 2009 nazri
Kesinambungan dari entri BILAKAH KAU BOLEH LEPASKAN BELON ITU?
Duduk semeja dengan 3 wanita yang mana seorang berlaki, seorang mengalami masalah dengan lelakinya dan seorang ultra feminis yang tak habis-habis menyalahkan lelaki, saya menjadi bosan. Bukanlah amarah yang datang dalam jiwa, kerana saya tahu, dalam ultra feminis itu, malam-malam menangis juga mengharapkan kasih lelaki. Kesempatan itu saya gunakan untuk menghubungi Grand Duchess Of FOC.
Sejak "hello" pada saat pertama, saya tidak menyangka akhirnya perbualan itu membuatkan saya mendapat satu pencerahan. Setengah jam berlalu dan tatkala perbualan di tamatkan;
Tiba-tiba saya berada di tepi jalan. Jalan yang amat saya kenali. Jalan lurus yang menuju entah ke mana.
"Bagaimana?" Panda Cinta berdiri di sebalah saya.
Saya tidak nampak Ducati.
"Dia sudah lama jauh meninggalkan kau. Pemandu Ducati itu bukan dunia kau..." ujar Panda Cinta.
Saya angguk. Saya angkat tangan kanan saya dan menggaru rambut yang sudah lapang di atasnya.
Saya tersentak.
Panda Cinta tersenyum. Dia tahu saya sudah mula faham.
Saya memandang tangan kanan saya.
Belon itu sudah tiada.
Belon itu sudah saya lepaskan.
"Bagaimana rasanya?"
Saya angkat bahu.
"Belon itu kau lepaskan kerana kau tahu, akhirnya Grand Duchess sudah menemui lelaki berpotensi yang jauh lebih baik dari kau. Cerita kau bersama Grand Duchess sudah sampai ke penghujung. Sekarang dia sudah punya pengembaraan yang baru. Kau juga harus memulakan pengembaraan kau sendiri," kata Panda Cinta.
Saya senyum. Saya angkat tangan kanan saya dan menepuk bahu Panda Cinta.
"Maafkan saya atas kegagalan saya," kata Panda Cinta.
"Gagal?" saya bersuara. "Tugas kau menemukan aku dengan dewi aku, tugas kau bukan mencairkan hati Grand Duchess. Nyata dia bukan dewi aku, mungkin sekadar satu plot kecil dalam misi kita. Makanya kau bukan gagal, kau cuma...masih dalam misi kau."
"No regret?" soal Panda Cinta.
"Tentang apa?"
"Tentang belon yang kau lepaskan?"
Saya sekali lagi angkat bahu. "Jika perjuangan ini sudah cukup tinggi untuk saya, maka mungkin ini tandanya saya sudah sampai aras berhenti berjuang kerana ia tidak membawa ke mana-mana. Atau mungkin, saya cuma tersalah perjuangan. Mungkin medan juang saya di tempat lain"
Panda Cinta angguk.
Kami melangkah perlahan-lahan melalui jalan kurus yang panjang itu. Fail Grand Duchess kami tinggalkan di belakang, untuk dikutip oleh lelaki yang lebih sesuai untuknya.
Panda Cinta menyelak satu fail baru ditangannya. Dia meneliti maklumat di dalam fail itu.
"Namanya Elle...ada berani?" soal Panda Cinta.
Elle eh?
Posted in panda cinta adventures | 6 Comments »