Kucing terbang, pari-pari, arnab, Maria, dr. love dan saya

ODESI CINTA KEEMPAT bhg.5

Kuala Lumpur...

Kuala Lumpur ketika itu tidak seperti sekarang. Kuala Lumpur yang Tok Aman kenali, ataupun pada waktu itu, ketika berusia 28 tahun, hanya dipanggil Aman, penuh dengan pelbagai cerita tersendiri. Kuala Lumpur masih terkenal dengan kesesakan lalu lintas terutamanya ketika awal pagi dan lewat petang. Kesesakan lalulintas itu bertambah ajaib pada petang Jumaat dan Isnin. Aman masih tidak faham bagaimana jumlah kereta boleh bertambah dengan banyaknya pada hari jumaat, seolah-olah terdapat sejumlah kereta yang tiba-tiba muncul dari dimensi yang lain.

Kuala Lumpur, bak kata M. Nasir, dosa dan pahala bercampur-campur. Kalau mahu melihat perempuan dengan buah dada terdedah separuh boleh berjalan-jalan di sekitar Bukit Bintang, terutamanya. Amoi pun banyak. Itu selera Aman. Kalau malam boleh lihat pemuda-pemuda berlumba motor. Kalau bernasib baik, boleh juga lihat polis bermain kejar mengejar dengan pemuda-pemuda itu.

Kuala Lumpur, bak kata Pyanhabib, tak pernah siap. Ada sahaja jalan yang hendak di tampal. Ada sahaja jalan baru yang sedang dibina. Kalau boleh, jalan yang sedang “under construction” itu tidak perlulah dilalui melainkan memang berminat untuk mencari sebab tersesak di celah-celah kereta.

Itupun kalau naik kereta. Kalau menunggang motorsikal lebih bernasib baik. Boleh mencelah-celah di antara kereta-kereta yang tidak boleh bergerak itu. Tapi kalau hujan terpaksalah menumpang teduh di bawah jejantas ataupun stesen minyak. Nasib tidak baik ditahan polis kerana disangka mat rempit. Selalunya berlaku di malam hari.

Kalau itupun meresahkan, boleh sahaja mengikut rangkaian LRT, monorel dan komuter. Cuma mungkin LRT lebih tidak mendukacitakan berbanding komuter. Sudahlah selalu lewat, selalu juga terhenti-henti di tengah jalan. Tapi sebelum menaiki LRT molek juga menyembur pewangi badan. Selalunya kalau waktu puncak, LRT ini tidak ubah seperti tin sardin. Bezanya, sardin itu sedap, orang-orang di dalam LRT, tidak sedap.

Kecualilah kalau perempuan buah dada separuh terdedah itu ikut naik LRT.

Tapi selalunya mereka tidak suka naik LRT. Mereka lebih suka naik kereta bereksoz besar yang dipandu oleh lelaki yang menaikkan kolar baju dan rambut ceracak hitam berminyak.

Iyalah, perempuan mana suka kalau buah dadanya asyik direnung oleh lelaki miskin. Lainlah kalau dia mempunyai Honda. Bukan motor, tapi keretanya. Kalau kaya, bukan setakat tenung, bereksperimen menggunakan jari jemari pun boleh.

Kuala Lumpur tahun 2008.

Kopitiam, wifi, mamak bistro, Piliharaya, skandal seks, budak lelaki memakai topi tak masuk penuh di kepala dan rambut naik tengah.

Disebalik kisah-kisah di atas, Aman suka tinggal di Kuala Lumpur. 1001 kisah yang boleh ditonton di depan mata. Asal Aman dari Perak, pertama kali menjejak kaki ke Kuala Lumpur ketika menuntut di Universiti Teknologi MARA. Setelah habis belajar dia tidak pulang ke kampung. Menganggur nak dekat dua tahun sebelum bekerja di kedai runcit yang mempunyai papan tanda “SHOPPING CENTER”. Lima bulan dan berhenti kerana mendapat pekerjaan sebagai penjaga parking kereta pusat membeli belah seksyen 9 Shah Alam. Pernah menyerahkan tiket parking kepada Zakiah Anas dan Mazidul Akmar Sidek, yang pada ketika itu adalah antara personaliti televisyen yang terkenal.

Setahun sebelum diberhentikan kerja kerana jawatan pemberi tiket parking diambil alih oleh mesin yang lebih patuh, lebih setia dan tidak banyak cakap, kecuali “Press button for the ticket”. Dan mesin itu tidak pernah kalah untuk mengucapkan “Terima kasih”, dalam bahasa Inggeris.

Sempat juga Aman menyepak mesin itu sejurus selepas dia diberhentikan kerja.

Tapi sejurus selepas itu Aman mendapat pekerjaan sebagai wartawan di sebuah majalah hiburan underground indie bernama “GIG”. Satu pengalaman baru buat Aman. Pada waktu itulah dia berpeluang untuk pergi ke persembahan-persembahan kugiran underground. Ketika itulah juga dia dapat menemuramah ramai pemuzik-pemuzik muda yang bersemangat. Selalu juga dia mendengar cerita tentang “perjuangan”, “muzik ni passion saya”, “duit bukan sebab band ini ditubuhkan” serta pelbagai nama-nama band luar negara yang tidak terkenal tetapi menjadi inspirasi mereka.

Tapi pengakuan yang paling membuatkan Aman tersentuh datang dari pemain dram kumpulan “MISSING CHANCES”.

“Gua main band sebab boleh dapat makwe,” jawabnya jujur ketika sedang menanti giliran untuk membuat persembahan.

Ketika berada di dalam dunia indie itulah juga Aman berkenalan dengan beberapa karakter yang akan diperkenalkan sepanjang kisah ini.

Antara yang Aman tidak boleh lupa adalah Ana.

Tapi itu kemudian.

Majalah Gig hanya mampu bertahan selama 9 keluaran. Ia terpaksa ditutup bukan kerana tidak laku tetapi kerana bos besarnya telah ditangkap polis atas tuduhan bersubahat dengan kegiatan pelacuran kanak-kanak lelaki. Habis barang-barang di pejabat itu dirampas.

Kejadian itu membuatkan Aman tersentak.

Aman masih ingat pada hari pejabat mereka ditutup, dia sedang duduk di kaki lima di bawah pejabat majalah GIG. Bart Rasta, jurugambar majalah GIG duduk di sebelahnya sambil enak melayan tembakau berperisa strawberi (wink wink).

Bart Rasta mendapat gelarannya kerana, jika kamu google “BOB MARLEY”, maka akan nampak persamaannya. Selain itu pengetahuan reggae yang cukup tinggi sehingga kalau pertandingan “Who Wants To Be A Millionaire” itu hanya menyediakan soalan-soalan tentang Reggae, Bart Rasta sudah menjadi jutawan dan mampu membuka ladang strawberinya sendiri (wink wink).

Aman dan Bart Rasta duduk diam agak lama, melayan asap rokok.

“Sial seh!” Bart Rasta mengeluh. “Lu nak pergi mana?”

“Entahlah,” jawab Aman. “Esok cari suratkhabar, cubalah tengok mana-mana tempat yang nak pakai orang.”

“Tak, maksud gua, lu nak pergi mana lepas ni? Jom mamak, gua haus,”

“Ohhh...”

Minum di kedai mamak, Mereka bercerita tentang banyak cerita.

“Gua ingat nak balik JB...” ujar Bart Rasta.

“Balik kampung? Kerja kat kampung?” tanya Aman. Andaian itu dibuat kerana fakta: Bart Rasta berasal dari Johor Bahru. Walaupun JB itu bukanlah kampung, dan lebih tepat, Bart Rasta tinggal di kawasan perumahan di tengah-tengah bandaraya Johor Bahru, tapi entah kenapa ramai yang selesa merujuk aktiviti pulang dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru sebagai “balik kampung”. Tambahan pada waktu-waktu hari raya.

Bart Rasta menggelengkan kepala. “Gua tak balik rumah. Ingat nak kerja kedai burung.”

“Kedai burung?”

“Ada satu kedai burung kat area rumah gua, nak pakai orang. Mak gua yang kasi tau masa dia telefon.”

Aman angguk.

“Sial la...” keluh Bart Rasta.

“Sabarlah, sekurang-kurangnya kau dah ada plan, nak kerja kat kedai burung...”

“Bukan,” balas Bart Rasta. “Gua baru perasan beg duit gua tertinggal. Lu boleh tolong bayarkan?”

Manusia memang tidak tahu masa depan mereka. Dan bak kata orang-orang yang terdahulu, rezeki ada di mana-mana. Hilangnya punca rezeki Aman di majalah GIG bukan menjadi penyebab untuk dia tidak dapat meneruskan hidup di ibu kota.

Selang seminggu kemudian dia menjejak kaki ke sebuah pejabat di kawasan Bukit Bintang. Sebuah penerbitan kecil yang mengusahakan akhbar separa politik-separa tabloid bernama “WADAH RAKYAT”.

Pejabat Wadah Rakyat tidaklah besar mana. Pemilik Wadah Rakyat, seorang bekas ahli politik yang pernah kalah 2 kali piliharaya dan langsung tidak dicalonkan untuk pilihanraya yang lepas. Beliau, walaupun ahli politik, masih belum mendapat gelaran Datuk. Pejabat Wadah Rakyat terletak di tingkat 1 dalam deretan bangunan lama belakang Bukit Bintang Plaza. Katanya sewa di situ murah dan tempat itu strategik untuk wartawan bergerak mencari berita. Itu katanya.

Tahun 2008 dikatakan Datuk Razali Bunari, bos Aman akan sekali lagi masuk bertanding. Entah berapa pula majoriti yang akan tidak dimilikinya nanti.

Ruang pejabat Wadah Rakyat agak kecil. Kalau masuk, sudah boleh nampak 4 buah meja yang diletakkan saling berhadapan dengan set komputer pada setiap meja. Berdekatan meja-meja itu, terdapat susunan rak murah berwarna coklat untuk menempatkan fail-fail rujukan. Masuk ke kanan, sudah boleh nampak dua buah bilik. Satu bilik diubahsuai (oleh pemilik lama sebenarnya) sebagai bilik mesyuarat. Tapi bilik itu penuh dengan berkotak-kotak risalah parti, pamlet, vcd dan macam-macam barang berkaitan parti politik Datuk. Sebuah lagi bilik milik Datuk. Satu-satunya bilik yang mempunyai pendingin hawa. Kalau dari pintu masuk tadi dan jenguk ke kiri, terus nampak satu lagi bilik, yakni tandas.

Temuduga antara Datuk dan Aman tidak lama. Lebih kurang lima belas minit sahaja. Itupun lebih banyak berbual tentang isu yang sedang hangat diperkatakan sekarang, isu pemilihan parti, isu tunjuk perasaan di Kuala Lumpur dan beberapa isu lagi.

Pada waktu itu juga Aman diterima bekerja bila Datuk melihat pengalaman Aman sebagai wartawan di majalah GIG. Selepas itu juga baru Amin tahu dia mengisi kekosongan seorang wartawan yang baru-baru ini ditangkap polis kerana cuba mengedar porno 3GP Melayu dan Filipina.

Sedar tak sedar, sudah tiga tahun Aman bekerja di Wadah Rakyat. Sudah banyak pengalaman dikutipnya. Sudah tentu pengalaman yang paling tidak dapat dilupakan ketika akhbar tersebut digantung lesen kerana menyiarkan berita yang tidak tepat mengenai seorang menteri. Bukan hasil kerjanya. Berita tersebut ditulis oleh teman sekerja yang duduk di sebelahnya. Temannya mendapat maklumat hanya dari emel yang dipanjangkan kepadanya oleh kawan-kawan. Tanpa membuat penyelidikan lanjut, terus sahaja berita itu ditulis dan dihantar untuk diterbitkan.

Temannya kini sudah tiada. Dengar khabar melarikan diri.

Aman jarang berada di pejabat. Dia selalunya merayap di sekitar Kuala Lumpur. Kononnya mencari berita. Tetapi hakikatnya berita yang ditulis oleh Aman selalunya hasil arahan assignment dari Datuk juga. Jarang benar dia menulis berita hasil “cariannya” sendiri.

Di Bukit Bintang itu, pada blok belakang pejabat Wadah Rakyat, terdapat deretan rumah teres lama. Kebanyakan rumah teres itu sudah diubahsuai menjadi kedai. Terdapat sebuah kedai gunting rambut moden (Saloon) yang dimiliki oleh seorang perempuan Cina muda yang seksi. Kemudian ada beberapa restoran dan dicelah-celah dereta rumah teres itu, sebuah kedai buku terpakai yang diberi nama “USED BOOK SHOP” (ya, tak catchy langsung).

Pemilik Used Book Shop (atau singkatannya USS) adalah seorang perempuan berbangsa British yang berusia lewat 50-an. Aman hanya mengenali perempuan British itu dengan nama panggilan Miss Pam. Amin mengandaikan nama penuhnya adalah Pamela, barangkali.

Aman selalu melepas di USS. Selain USS mempunyai deretan buku-buku terpakai yang banyak dan “rare”, dia juga rapat dengan satu-satunya pekerja di kedai itu, Iman. Selain Bart Rasta (yang tidak pernah pun pulang ke JB untuk bekerja di kedai burung, sebaliknya mendapat pekerjaan di sebuah syarikat “event” antarabangsa), Iman adalah kawan karib Aman di Kuala Lumpur.

Nama penuh Iman ialah Zul Iman Bin Zubair. Mempunyai 'iman' sebagai sebahagian dari nama tidak mencerminkan keperibadiannya sebagai seorang mukmin sejati. Diharap itu sudah menerangkan tentang karakter “Iman” yang tidaklah...beriman.

Kuala Lumpur...tempat yang membawa Aman bertemu cintanya.

2 Responses to “ODESI CINTA KEEMPAT bhg.5”

  1. Cerita ni slow ar.

  2. lagi lagi lagi!

Leave a Reply