ARNAB SERULING DAN PANDA CINTA
Saya jarang balik kampung. Jika derhaka balik ke kampung itu membuatkan saya bertukar menjadi batu, maka sudah bertan berat badan saya kerana asyik menjadi batu.
Pulang ke kampung bagaimanapun hati saya sering damai. Ini kerana saya tidak perlu melalui kesialan kesesakan lalu lintas dan juga Rusa si penjual kad-kad ucapan cinta yang sering mengganggu saya.
Saya juga suka dengan persekitaran kampung yang indah dengan bukit bukau, sawah padi menghijau, burung berkicauan, laut membiru, awan berarak manja, angin yang dingin dan lelaki dan perempuan menari dan menyanyi di sebalik pokok-pokok besar.
Macam iklan Zoom Malaysia la pulak. Sedikit lagi mahu saya ceritakan kampung saya ada seorang lelaki India memakai pakaian India bermain tabla, perempuan Cina memakai pakaian Cina memainkan alat musik Cina dan lelaki Melayu berbaju Melayu memainkan alat muzik bangsanya, di padang sekolah, dengan iringan 10 orang penari bangsa Melayu, 10 orang penari bangsa India dan 10 orang penari bangsa Cina.
Tapi petang itu saya duduk melepak menghisap rokok di belakang rumah, di mana terbentang pokok-pokok hutan yang tinggi-tinggi.
Tiba-tiba saya terlihat seekor arnab sedang asyik meniup seruling memainkan rentak lagu Sore Di Tugu Pancoran. Saya jenguk-jenguk juga kalau ada Iwan Fals. Nak juga saya mintak autograf.
Arnab itu berhenti memainkan serulingnya dan memandang saya.
Dia bertanya, "ada seorang perempuan yang kau mahukan?"
Saya sedikit terkejut. Saya pandang kiri dan kanan, takut-takut kalau dia menegur orang lain. Malu saya kalau sudah membalas rupanya dia bercakap dengan orang belakang. Hina juga rasanya kalau dimalukan dengan arnab. Lainlah pemain bass Kuala Lipis, dia tidak kisah dihina arnab.
Setelah memastikan besen baju dibelakang saya itu tidak boleh bercakap, maka saya pun mengangguk.
Arnab itu mengajak saya masuk ke hutan, bertemu dengan Panda Cinta. Kata si arnab, Panda Cinta bisa memberi memo pada gadis yang saya mahukan itu.
Saya mulanya agak ragu-ragu untuk mempercayai si arnab. Iyalah, Kalau si Panda itu hebat sangat menjalinkan cinta antara dua insan, kenapa pula spesis dia sedang diambang kepupusan kerana masalah si betina tidak mahu mengawan dengan si jantan (ini fakta dari rancangan Animal Planet yang pernah saya tonton). Patutnya jumlah Panda lebih banyak dari kucing kerana cinta dapat disebarkan oleh Panda Cinta.
"Masalahnya Panda Betina terlalu obses dengan kerjaya sebagai Panda. Cinta sudah tersebar, tapi setiap kali nak mengawan banyak alasan nak diberi. Penat layan tetamu di Zoo la, hari ini buat suntikan vitamin la, balik kerja lambat la, outstation la, itu la ini la, tak kira lagi Panda Betina yang meletak stereotaip Jantan hanya mahukan mengawan, lantas untuk dilihat budiman, ramai Panda Jantan langsung tidak mahu mengawan, itu yang sampai nak pupus," terang Arnab seolah-olah tahu apa yang bermain di fikiran saya.
Padahal sebab dia terdengar saya bercakap soal itu seorang diri. Saya sahaja ingat suara saya itu berlegar di dalam otak.
Panda Cinta sedang asyik mengarang lirik lagu di pokok Ru ketika saya dan arnab sampai.
"Jadi awak mahu sebarkan cinta?" soalnya.
"Tak, satu saja, saya tak nak sebarkan. Saya cuma mahu satu."
"Ayuh," Panda Cinta menyuruh saya memanjat belakangnya. Arnab ikut sekali naik ke belakang Panda Cinta. Seketika kemudian dia terbang naik ke atas awan.
Sampai di atas awan, dia memberikan saya sekeping kertas berwarna firus. Saya tanyakan kenapa kertas berwarna firus. Jawabnya kerana kertas berwarna merah jambu sudah habis.
Dia menyuruh saya menulis nama gadis itu. Saya menulis nama ________________. Saya tulis di atasnya terang-terang, siap dengan binti dan umur, pekerjaan, tempat tinggal, laman blog, manalah tahu, kalau memo ini tersilap sampai ke perempuan lain yang mempunyai nama yang sama. Bukan apa, saya kasihankan teman lelaki perempuan itu yang akan menangis hiba kerana teman wanitanya pergi kepada lelaki yang comel dan macho, yakni saya. Amatlah rare seorang lelaki itu macho dan dalam pada masa yang sama comel.
Panda Cinta kemudian mengoyak kertas itu dan membiarkan perca-perca kertas itu diterbangkan angin.
"Nah, cinta akan datang kepadanya," kata Panda Cinta.
"Mujarab ke?" tanya saya.
"Hei!" Panda Cinta mula naik angin. Katanya setakat ini dia belum pernah gagal menyatukan dua jiwa menjadi satu cinta. Cuma sekarang ini dia mempunyai satu kes yang agak sukar dan akan berusaha sedaya upaya untuk memakmurkan kes itu. Saya lihat dua nama di dalam fail itu. Kenal sangat saya. Seorang pemain bass Kuala Lipis dan seorang lagi pengacara Pekan Frinjan 3.0 yang memakain baju biru yang mengeluarkan demo indie sebanyak dua lagu yang dijual dengan harga RM5 dan gambar-gambarnya diambil oleh pengarang pop-eksitensialis-post-modernis-monarki-jula-juli yakni Suf A.
"Jangan risau, cinta kamu akan sampai ke hatinya nanti." Panda Cinta menenangkan saya sambil tersenyum.
Saya angguk.
Saya harap memo Panda Cinta itu cepat sampai kepada kamu, wahai ____________.
Dan jika sudah sampai, silalah ke peringkat seterusnya.
June 30th, 2009 at 1:07 am
good luck!
June 30th, 2009 at 9:09 am
comel
June 30th, 2009 at 11:14 am
Barangkali panda ini jenis yang ada jari sampai boleh mengoyak kertas. Panda jenis biasa, tebu pun tak pandai dikupas, digigitnya terus.
June 30th, 2009 at 11:17 am
Indrasakti - Po (Kungfu Panda) siap boleh masak mee lagi, setakat dia ni pandai koyak kertas tu Panda lain tak heran sangat. Diorang respek dia sebab dia pandai tulis lirik lagu saja.
June 30th, 2009 at 12:48 pm
Macam setan.
June 30th, 2009 at 10:37 pm
aku harap die tak salah kertas
kalo tak sesia je nanti
mesej tak sampai
heheh
July 8th, 2009 at 4:27 pm
aku tak tahu sangat nak komen pasal cinan cintun ni
sebab Arnab Serunding mahupun Panda Cinta tak ada pulak jenguk aku yang single ni.
tapi story kau ni boleh buat anime wei..
serius hit!!
memang ada story ni..
buat anime!
buat anime!
buat anime!
sekian.