Kucing terbang, pari-pari, arnab, Maria, dr. love dan saya

CINTA ITU SUDAH HILANG SAYANG

Hari ini saya mengikut Panda Cinta menjalankan kerjanya yang lain. Ya, selain mencarikan saya cinta, Panda Cinta turut mempunyai kerja lain. Bagaimanapun saya syak Panda Cinta, secara halus hendak memberitahu - agar saya tidak terlalu mendesaknya menyempurnakan misinya terhadap saya.

"Kerna cinta kamu dan orang-orang sejenis kamu, tidak sepenting cinta dia..." ujar Panda Cinta.

Saya melihat seorang kanak-kanak kecil berjalan pulang dari sekolah.

Apakah Panda Cinta mahu mengajar kanak-kanak sekecil ini cinta? Bukankah usia begini harus mereka habiskan untuk belajar, bukan cinta?

"Naif..." balas Panda Cinta, ditujukan kepada saya.

Saya melihat Kanak-kanak itu kemudian bersiap-siap. Dia keluar mengunci rumah dan berjalan kira-kira dua kilometer menuju ke sebuah gerai kecil di bawah pokok di tepi jalan milik seorang wanita tua.

Saya memandang Panda Cinta.

"Kenapa dengan budak tu? Apa misi kau?" tanya saya.

"Kerana cintanya kepada ibunya sudah hilang. Kemiskinan membuatkan dia terpaksa belajar dengan lebih keras. Kemiskinan membuatkan dia tidak berada di padang bola, sebaliknya membantu ibunya di kedai nasi lemak dan pisang goreng, kemiskinan membuatkan malamnya yang penat, dengan lampu yang satu terpaksa menghabiskan kerja sekolah dan sebelum tidur, harus membantu ibunya menyediakan bahan-bahan untuk dia jual pada paginya, sebelum dia pergi sekolah..."

Saya diam. Panda Cinta menyambung,

"Dan cintanya terhadap ibunya semakin hilang bila melihat rakan-rakan menggayakan beg baru, cintanya pada ibu tambah hilang bila melihat rakan-rakan berlari membawa bola ke padang, dan semakin banyak hilang bila malam yang sudah penat terpaksa duduk mengupas pisang satu persatu untuk digolekkan ke dalam tepung."

Saya diam lagi.

"Masakan cintanya boleh disemai hingga ranum..." Panda Cinta memandang saya. "Bayangkan kalau kau, bila mana banyak permintaan kau tidak dapat dipenuhi makwe kau, sudah tentu semakin pudar cinta kau padanya bukan? Samalah seperti dia.."

Saya angguk.

"Bedanya, kau bisa saja mencari pengganti untuk cinta kau yang sudah hilang, tapi jika cinta si anak itu sudah hilang, bisakah ada pengganti ibu baru?"

Saya angguk. Dua sebab, satu kerana saya faham maksud Panda Cinta, satu lagi kerana saya faham kenapa Panda Cinta menyusun ayat sedemikian rupa, kerana baru mendengar lagu Sore Di Tunggu Pancoran nyanyian Iwan Fals yang termuat dalam playlist Ipod Arnad Si Peniup Seruling.

"Bisakah kita semai kembali cinta si anak?"

"Bisa," jawab Panda Cinta. "Bisa bila kita beritahu tentang betapa susah pun hidup di dunia, cinta kita kepada ibu kandung akan membuatkan kita rasa bahagia yang berterusan."

Pengalaman itu membuatkan saya sedikit tersipu-sipu. Dan kini saya tidak marahkan Panda Cinta lagi kerana telah membuatkan seorang potensi makwe saya beralih hati ke lelaki lain pada minggu lepas.

Saya dan Panda Cinta perlahan-lahan menghampiri gerai nasi lemak dan pisang goreng itu. Saya percaya Panda Cinta mampu membuatkan si anak kembali cinta kepada ibunya.

"Anak sekecil itu tak sempat menikmati waktu..." - Iwan Fals

7 Responses to “CINTA ITU SUDAH HILANG SAYANG”

  1. perjalanan ini semakin jauhhhh..

  2. kerana cinta pada ibunya, anak kecil itu berusaha keras, menjadi matang sebelum usianya dan berusaha untuk memperbaiki hidupnya.. agar dengan cintanya itu.. si ibu dapat menikmati hidup yg lebih senang suatu hari :). sangat sweet dan telus

  3. *** This is a whisper message for nazri! ***

  4. Entri kali ni pada aku antara entri kau yang terbaik. Cinta bukan hanya antara lelaki dan wanita...Best!

  5. Articulate!

  6. hebatnya Panda Cinta yang boleh berfikir samapi ke tahap itu.

  7. cinta cinta tak akan berpenghujung..

    tp anak anak sekarang - mengertikah apa itu cinta pada mak bapak..

Leave a Reply