ARKIB

FAVOURITE + AMBIL HATI

Hari ke-tujuh selepas berakhirnya cinta Amin dan Jasmin, telefon Amin berdesing dengan lagu pop berbahasa Inggeris tetapi dinyanyikan oleh penyanyi Melayu berwajah seakan orang Eropah.

“Dah transfer ke belum?” suara tua di hujung sana menyergah Amin.

“Err, belum mak. Amin lupa, petang sikit Amin transfer?”

“Ha, Baguslah. Bapak kamu nak pakai duit tu petang nanti!” marah ibu Amin. “Mak dah pesan sejak khamis lepas, apa yang kamu buat?”

Amin diam.

“Tak habis-habis lagi sedih?” soal ibunya. “Kamu juga yang minta putus.”

Amin diam.

“Transfer tu sekarang. Abah kamu dah bising,”

“Amin tak mandi lagi...”

“Tak payah mandi, mesin ATM tu bukannya syok pada kamu pun kalau kamu berlawa,”

Amin diam lagi.

* * * *

Alat interkom di tepi pintu rumah Amin berbunyi. Amin buat tak endah. Dia asyik menekan punat alat kawalan jauh televisyen, melayari dari satu saluran ke satu saluran tanpa sebarang motif. Dia belum mandi.

Alat interkom terus berbunyi.

Amin perlahan-lahan bangun. Dia menekan satu punat dan terpapar wajah ibunya pada skrin video.

“Buka pintu!”

Amin kaget.

Sepuluh minit kemudian ibu dan ayahnya sudah tiba di depan pintu rumah.

“Telefon tak on, orang emel tak balas, apa nak jadi ni?” marah ibunya sambil meletakkan sekotak barang-barang makanan di atas meja. Ayahnya sekadar diam sambil meletakkan barang-barang runcit yang dipegangnya.

Amin sekadar menggaru-garu kepala.

“Dah makan?” tanya ibunya lagi.

“Pesan Pizza tadi,” balas Amin sambil melabuhkan diri di atas sofa. Secara tidak sengaja dia terlanggar tin minuman berkarbonat. Tin itu jatuh ke lantai dan air di dalamnya tertumpah. Serentak dengan itu sebuah robot pencuci keluar dari bawah sofa Amin dan membersihkan kotoran tersebut.

“Hah, itu kalau tak ada MOMO memang dah jadi rumah sampah la gamaknya,” leter ibunya sambil memasukkan barang-barang runcit ke dalam peti sejuk Amin. Amin diam sambil terus memerhatikan MOMO selesai membersihkan air bikarbonat yang tertumpah tadi.

“Mak call Mahfuz tadi,” ibunya bersuara dari dapur. “Kamu kena marah dengan bos lagi.”

Ayah Amin mengambil tempat duduk di kerusi sebelah sofa Amin. Amin terus diam.

“Masih teringatkan Jasmin?” tanya ayahnya.

Amin diam. Bukankah itu namanya sudah terang lagi bersuluh?

* * * *

Menjelang hari yang ke 67, Amin dipecat kerana selalu tidak hadir ke pejabat. Hidupnya sebagai seorang copywriter yang mempunyai masa depan yang cerah akhirnya punah begitu sahaja.

Tetapi yang menjadi kepelikan ialah ibu Amin langsung tidak berleter tatkala mendengar berita itu. Langsung tiada marah, tiada bentakan datang dari ibunya. Masakan dunia hendak kiamat kerana hari itu adalah hari Rabu, kerana sepengetahuan Amin, dari cakap-cakap orang, hari kiamat berlaku pada hari Jumaat. Lagipun Amin pasti sangat kemunculan matahari hari ini dalam keadaan normal. Eh, mana dia tahu sedangkan pagi tadi hujan sehingga ke tengah hari?

Ibunya tersenyum tatkala Amin menyampaikan berita itu di depannya.

Ibunya menggosok bahu Amin. “Min, pergi jumpa atuk,”

Amin yang tadi tunduk memandang ibunya. “Jumpa atuk?”

Ibunya angguk sambil terus tersenyum.

“Kenapa nak jumpa atuk?”

“Hanya atuk yang boleh buat Amin jadi gembira kembali,” ujar ibunya lembut.

Amin angguk. Walaupun sebenarnya dia tidak pasti apa maksud ibunya. Dia tidak yakin atuk dapat menyatukan kembali hatinya yang sudah berkecai seribu keping itu. Dia juga tidak pasti bagaimana atuknya boleh membuatkan dia melupakan wajah manis Jasmin.

Tapi dia tahu pulang ke kampung atuk mungkin boleh mendamaikannya. Dia gembira bila berada di kampung atuk. Sejak kecil, kalau dapat pulang ke kampung dia akan bersama Mat Jan, anak Hj. Kassim yang berjiran dengan atuk. Dia dan Mat Jan selalu bermain bersama. Masuk sungai, tangkap ikan, panjat pokok, buat rumah pokok, kena rotan dan macam-macam lagi. Dia terbayangkan dirinya dan Mat Jan mandi sungai sama-sama, tanpa seurat benang.

Okey, tiba-tiba bayangannya punah.

Apa yang Amin tahu, kampung atuk mendamaikannya.

Amin angguk.

Mungkin benar kata ibu, mungkin pulang ke kampung akan memberikannya perspektif baru tentang cinta.

“Kenapa tak pergi lagi?” ibunya mematikan lamunan Amin.

“Sekarang?”

“Iya, kamu bukannya ada kerja pun. Sekarang!”

Amin teragak-agak.

“Kenapa mak masih nampak Amin depan mata mak ni?”

Amin pantas bangun. Dia memandang ayahnya yang sedang asyik membaca akhbar di atas kerusi malas.

“Abah kamu takkan cakap apa-apa,” ibunya bersuara lagi.

Amin angguk. Dia mencium tangan ibu dan ayahnya sebelum bergerak keluar. Ibu memerhati Amin menutup pintu rumah. Dia tersenyum sendirian.

“Pak selalu kata pada saya yang awak banyak mewarisi perangai mak awak,” ayah Amin bersuara sambil matanya terus tertancap di dada akhbar.

Ibu Amin tersenyum. Dia bangun dan mencium pipi suaminya. “Pak memang bertuah dapat perempuan macam mak,”

Ayah Amin memandang isterinya yang beredar mendapatkan telefon.

“Buat apa?” soal ayah Amin.

Ibu Amin sekadar tersenyum. Dia sedang menghubungi seseorang.

“Hello, Pak? Sihat?.....Kami kat sini sihat....ya......tak ada apa-apa.....ubat makan tau....Pak, Amin nak ke kampung, jumpa Pak....Ha ah, dia macam tu la, orang putus cinta.....nak buat macam mana lagi....alah Pak ni, macam tak tahu macam mana rasa putus cinta, dia tu entah berapa belas kali.....ya, itu pun sebabnya....dia hilang semangat tu....Ani suruh dia balik kampung jumpa pak.....ya ya....Ani rasa dia akan dapat semangat dia balik lepas dengar cerita Pak....alahhh, cerita mana lagi.....ya, Ani tahu mesti berjaya. Bukankah cerita Pak tu buat kami setuju untuk kahwin?....Ani tahulah, Ani mak dia....Dia mesti dengar cerita Pak....Ani tahu...Ani tahu, lepas dia dengar cerita Pak, semangat dia akan datang balik, cinta dia akan datang balik...Ya ya.....terima kasih Pak...kirim salam kat semua yang ada kat sana...makan ubat tau...ya ya...InsyaAllah.....Waalaikumsalam,”

Ibu Amin memandang suaminya.

Suaminya ketawa kecil, “Cerita tu ya?”

Ibu Amin angguk. “Cerita itu...”

Leave a Reply

Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar

You can add images to your comment by clicking here.

Uses wordpress plugins developed by www.wpdevelop.com Blog Protected Using Content Protecter By PcDrome.