ARKIB

FAVOURITE + AMBIL HATI

Kampung Tanah Atas terletak di utara, sebuah kampung yang mengalami proses pemodenan secara tidak pantas. Hidup di kampung ini, segalanya bergerak perlahan. Meskipun satu Malaysia sudah mengalami kejutan kemajuan, itu tidak berlaku di Kampung Tanah Atas. Segalanya bergerak pantas, kecuali mungkin mat rempit kampung.

Antara benda yang membuatkan Amin suka berada di kampung ini ialah suasana sejuk semulajadinya. Sejuk yang bisa masuk ke dalam tulang. Sejuk yang bukan dibuat-buat oleh mesin pendingin hawa.

Meskipun sejuk, Amin selalu melihat Tok Aman, ayah kepada ibunya duduk di kerusi di beranda, sambil rokok daun di tangan dan secawan kopi pekat, melontarkan pandangan ke luar, membiarkan diri dihentam angin dingin.

Hari ini Amin mengambil peluang untuk membancuh kopi kegemaran atuk. Atuk sudah berada di atas kerusi di beranda. Bau rokok daun sudah mula dapat dihidu, tanda ritual atuk sudah bermula. Perlahan-lahan cawan kopi panas di angkat. Langkah demi langkah diatur cermat agar kopi tidak tumpah. Cawan itu akhirnya sampai di atas meja yang terletak di tepi kerusi atuk.

“Tok, kopi.”

Tok Aman angguk. Dihembus asap rokok daun yang tadinya berpusu-pusu masuk ke dalam mulutnya. Tok Aman memandang Amin yang mengambil tempat di sebelahnya.

“Highway jam?” soal Tok Aman.

Amin geleng. “Biasa saja,”

Tok Aman angguk. “Dulu masa Atuk kecik, masa tak ada highway, nak ke KL nun makan masa sehari. Campur moyang kamu bawak kereta macam kura-kura,”

Amin tersengih. Dia tidak dapat membayangkan bagaimana rasanya pergi dan balik dari kampung ke Kuala Lumpur tanpa lebuhraya.

“Tapi seronok juga,” tambah Tok Aman. “moyang kamu, abah Tok asalnya dari Kuala Lumpur. Kami pulak tinggal di Ipoh. Jadi ada masanya, bila hari Raya kami akan pulang ke KL. Bayangkan, masa tu orang lain sibuk nak keluar KL, kami nak masuk KL,”

Amin angguk. Dia tidak pernah bersua dengan ayah dan ibu Tok Aman. Mereka berdua sudah meninggal dunia ketika dia dilahirkan. Tapi setahunya ayah dan ibu Tok Aman sempat juga mendapat cicit, anak kepada adik Tok Aman. Tok Aman, ikut cerita ibunya, kahwin agak lewat, membiarkan dua orang adik perempuan kahwin dahulu. Kata maknya lagi, Tok Aman jenis tak pandai nak menjaga hati perempuan.

Mungkin kecuali opah.

“Tok...”

“Ya Cu...”

Amin tersentak. Tok Aman lantas ketawa berdekah-dekah.

“Macam dalam drama tv tak?” soal Atuknya dihujung ketawa.

Amin kembali tersenyum. Atuknya kuat menyakat. Semasa dia kecil dahulu, lebih sebaldi airmata tumpah dek kerana sakat si atuk. Tapi hubungannya dengan Tok Aman agak rapat. Mungkin kerana keluarganya yang selalu datang menjenguk Tok Aman. Nak harap adik ibunya, agak susah. Tok Aman lebih rapat dengan cucu-cucu anak perempuan sulungnya berbanding cucu-cucu anaknya yang satu lagi.

“Macam mana kamu sekarang? Sedih lagi?” tiba-tiba atuknya bertanya.

“Ha?”

“Sapa nama kawan kamu tu?”

“Kawan mana?”

“Girlfriend kamu la, masa zaman atuk dulu kami panggil 'awek', sekarang atuk tak ingat apa yang budak muda gelarkan perempuan-perempuan macam tu,”

“Ha, ha,” Amin ketawa. “Budak muda sekarang panggil 'kacik', sama macam gelaran 'awek' la.”

“Oh,” Tok Aman angguk, “macam susah nak sebut saja.”

“Memang pun,” jawab Amin.

“Ha, Jasmin...kan?”

Amin angguk. “Kami dah break,”

“Hmm, baguslah...” balas Tok Aman membuatkan Amin sedikit tersentak. Apa maksud ayat “baguslah” Tok Aman itu? Tok Aman bersahaja sambil terus menghisap rokok daun di tangan.

“Kamu betul ke suka pada budak Jasmin ni?” soal Tok Aman lagi.

“Entahlah...” jawab Amin diikuti satu keluhan.

“Maknanya kamu tak adalah suka sangat pada dia,” sekali lagi Tok Aman membalas bersahaja.

Amin diam. Dia tidak tahu apa hendak dijawab kepada Tok Aman. Mungkin benar juga kata Tok Aman. Mungkin dia tidaklah berapa cinta sangat kepada Jasmin. Tapi kalau tidak cinta, kenapa bayangan gadis itu terus bermain di dalam kepalanya? Menari-nari sambil terus merobek jantungnya sedikit demi sedikit.

“Mak selalu cerita mengenai opah...” kata Amin kemudian.

“Apa yang mak kamu ceritakan? opah lawa? Masa muda dulu lawalah, sekarang ni, ummm, entahlah, mekap lapan lapis pun tak tentu lagi dapat separuh macam masa dia muda dulu,”

Amin sedikit ketawa. “Kalau opah dengar ni mau atuk kena marah,”

“Sebab dia tak dengarlah atuk cakap,” Tok Aman memandang Amin sambil tersenyum. “Kalau dia ada depan ni, hah, jangan harap la kamu nak tengok Tok macam ni.”

“Tok sayangkan opah?”

Tok Aman tidak segera menjawab. Dia menghembuskan asap rokok yang terakhir sebelum puntung itu dicucuh ke dalam bekas abu rokok.

“Sayang aku pada opah kamu tu melebih segala-galanya...”

“Saya pasti opah pun macam tu jugak kan?”

Tok Aman pantas menjawab, “Tak, opah kamu sayangkan duit atuk,”

Sekali lagi Amin tersentak. Dia agak yakin jawapan atuknya itu berbentuk gurauan sejajar dengan reputasi atuk yang kuat menyakat. Lagipun perkahwinan mereka bertahan sampai tua, jawapan si atuk semacam kurang memberi logik di dalam kepala Amin.

“Apa yang mak kamu ceritakan tentang opah kau?”

“Tak banyak, tapi mak selalu kata, mak dan abah akhirnya berkahwin sebab dengar cerita bagaimana atuk dan opah berkahwin,”

Tok Aman angguk. “Agaknyalah kot,”

Amin dan Tok Aman diam sebentar membiarka hening malam menelan mereka. Tidak lama kemudian Amin kembali bersuara, “bolehkah tok cerita apa yang pernah tok cerita pada mak dan abah?”

“Buat apa kau nak tahu?”

“Entah...”

Tok Aman tersenyum memandang Amin. Dia bersandar di kerusi lalu melontarkan pandangan ke luar.

“Atuk dah tua, tapi satu benda yang atuk masih ingat ialah bagaimana atuk dan opah kau bertemu...” ujar Tok Aman perlahan.

Amin mengambil tempat duduk di sebelah Tok Aman dan turut memandang keluar.

“Kuala Lumpur...2008...,” bisik Tok Aman perlahan.

Amin sudah bersedia untuk mendengar cerita yang menjadi bahan bualan ibunya. Hari ini adalah hari cerita itu diturunkan kepadanya mula. Hatinya sedikit berdebar-debar.

Seminit berlalu.

Tok Aman belum memulakan cerita.

Dua minit berlalu

Amin terdengar dengkuran Tok Aman. Amin pantas menoleh dan melihat orang tua itu sudah memejamkan matanya dengan mulut ternganga.

Amin tersengih. Dia menggelengkan kepala. “Tok, tok...”

6 Responses to “ODESI CINTA KEEMPAT ep.3”

Leave a Reply

Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar

You can add images to your comment by clicking here.

Uses wordpress plugins developed by www.wpdevelop.com Blog Protected Using Content Protecter By PcDrome.