Jarak antara pekan Tanah dengan Kampung Tanah Atas agak jauh. Memakan masa lebih kurang 45 minit perjalanan menggunakan kereta atau motorsikal. Jika naik bas Mogul Omnibus berwarna merah mungkin boleh dapat 30 minit kerana disyaki pemandu bas awam itu pernah menyertai perlumbaan Rally.
Akhir-akhir ini jalan yang menghubungkan kampung dan Pekan Tanah sudah dimajukan dengan tar yang selesa.
Mungkin tahun-tahun akhir ini kampung Tanah Atas sudah mendapat wakil rakyat dari golongan yang mengotakan janji, tak seperti dahulu.
Amin mengambil peluang untuk meronda-ronda Pekan Tanah. Dia tidak perlu menaiki bas pemandu rally kerana Tok Aman menyuruhnya membawa kereta Honda usang milik opahnya. Katanya sudah lama benar kereta itu tidak berjalan. Pada mulanya berdebar juga Amin hendak menerima pelawaan Tok Aman, takut mati di tengah-tengah jalan. Tapi diterima juga demi menjaga hati atuknya. Harapnya tiada sebarang bencana berlaku sepnjang memandu kereta separa antik itu.
Amin dapat merasakan Pekan Tanah masih tidak jauh bezanya ketika dia datang melawat Atuk semasa kecil. Entah kenapa dia lega juga pekan itu tidak begitu maju. Dia seakan tidak mahu bayangan kesibukan Kuala Lumpur muncul bila berada di tempat-tempat sebegini.
Antara tempat kegemarannya ialah bangunan pasar Pekan Tanah.
Di situlah kawan kampungnya, Mat Jan menjalankan bisnes menjual ayam.
“Bisnes okey,” jawab Mat Jan ketika di tanya perihal bisnesnya. “Kalau tak laku pun, aku boleh makan sendiri.”
Amin angguk. Amin tahu bisnes ayam Mat Jan ini diusahakan menggunakan modal sendiri yang dikumpul sejak dia sekolah lagi. Dan setahu Amin, memang sejak sekolah lagi Mat Jan sudah bercita-cita untuk menjadi penternak dan penjual ayam. Kalau budak-budak lain mahu menjadi doktor, cikgu ataupun ahli bomba, Mat Jan dengan bangga menjawab dia mahu menjual ayam.
Mungkin kerana idola Mat Jan adalah ayahnya, yang juga merupakan penjual ayam handalan.
Kini Mat Jan boleh mendabik dada. Cita-cita sudah tercapai.
“Hang tengok tu,” ujar Mat Jan sambil menjuihkan bibirnya ke satu arah. Amin memanjangkan lehernya, mencari apa 'objek' yang dijuihkan oleh Mat Jan.
“Apa?”
“Yati...”
“Huh?” Amin baru terperasan kelibat seorang gadis muda berbaju t-shirt dan seluar track warna biru sedang menongkat motor di tepi jalan.
“Cantik tak?” tanya Mat Jan merujuk perihal wajah gadis bernama Yati.
“Bolehlah...” jawab Amin.
“Kepala hangguk hang. Cantiklah tu...”
“Kenapa? Kau minat dia ke?” tanya Amin melihatkan Mat Jan begitu bersungguh-sungguh memuji kecantikan gadis bernama “Yati” itu.
“Nak mampus? Sue nak letak mana?” jawab Mat Jan merujuk kepada tunangnya. “Hang try la...”
“Ohh...” Amin mula faham.
Perbualan mereka tentang “Yati” terpaksa dihentikan kerana gadis itu sudah tiba di kaunter ayam Mat Jan.
“Yati apa khabar?” sapa Mat Jan.
Yati tersenyum lalu menjawab, “tak berapa okey.”
“Kenapa?”
“Rumah kena masuk pencuri malam tadi.”
“Huh? Apa barang hilang?”
“Tak adalah banyak sangat. Tapi duit abah banyak juga.” jawab Yati dengan nada sedih. “Kasi ayam separuh, akak dan abang Yati nak datang dari KL malam ni.”
“Okey, separuh,” Mat Jan mengambil ayam yang sudah sedia dipotong separuh dari dalam bekas plastik. Dimasukkan ke dalam beg plastik lalu diserahkan kepada Yati.
“Oh, lupa, ni Amin...” Mat Jan memperkenalkan lelaki itu kepada Yati. “Cucu Tok Aman”
“Oh, ye ke? Tok Aman apa khabar?”
“Sihat...”
Yati beredar setelah urusan membeli ayam selesai. Mat Jan memandang Amin.
“Apa?”
“Macam mana?”
“Macam mana apa?”
“Yati? Boleh?”
Amin diam. Matanya memerhati Yati yang sedang membeli sayur agak jaug dari situ.
* * * *
Tok Aman ketawa mendengar cerita Amin mengenai Mat Jan yang hendak memperkenalkannya kepada Yati.
“Yati tu baik,” ucap Tok Aman. “Tapi bukan selera kamu kot,”
“Kenapa Tok cakap macam tu?”
Tok Aman ketawa kecil. “Dia perempuan kampung. Mekap pun tak reti. Mak kamu cerita kamu tak berapa berkenan dengan perempuan bertudung.”
Amin tunduk malu. Walaupun ada kebenaran terhadap kata-kata Tok Aman, tapi entah kenapa dia merasakan ibunya tidak patut menceritakannya kepada Tok Aman. Jatuhlah reputasinya.
Dia sedar Yati dan Jasmin memang jauh sangat bezanya. Jasmin wanita Kuala Lumpur yang mengikuti perkembangan fesyen. Kalau hari ini Charles & Keith keluar kasut baru, minggu lepas dia sudah menempahnya. Kalau Tods ada sale, pagi buta lagi dia sudah berada di depan butik itu. Facial seminggu sekali. Yati tidak pernah merasa memakai Charles & Keith.Dan Amin amat pasti Yati tidak pernah tahu Tods itu jenama barangan apa. Bedak sejuk adalah satu-satunya ritual facial Yati.
“Alah, opah kamu pun dulu macam itu juga...” Tok Aman bersuara. “Gila Clarks.”
“Hoh, Tok pun tahu Clarks ye?”
Tok Aman memandang Amin. Amin ketawa kecil. Dia tidak berniat untuk memperlekehkan atuknya. Lebih kepada gurauan.
“Macam mana atuk boleh berjumpa dengan opah?” soal Amin.
Tok Aman bersandar di kerusinya. “Magik...”
“Huh?”
“Tok dan opah kamu berjumpa...magik...”
“Opah cinta pertama Atuk?” soal Amin.
“Sudah tentu dia cinta utama...” jawab Tok Aman perlahan.
“Ohhh, first love...” gumam Amin.
“Eh tak,” pantas Tok Aman mencelah. Amin mengangkat kening. Tidak faham apa maksud kata-kata Tok Aman.
Tok Aman kemudian menyambung, “Secara rasmi, dia adalah makwe Tok yang keenam...”
“Mak aih!” Amin terperanjat. “Ramainya girlfriend Tok?”
“Bukan sekaliguslah!” Tok Aman ketawa.
Tok Aman menghela nafas sebelum menyambung kembali, “Makwe pertama namanya Intan. Masa ITM. Sekejap saja, tiga bulan rasanya. Dia pergi cari lelaki lain.”
Amin angguk. “Kasihan Tok,”
Tok Aman tersengih, “Ah, masa tu Tok budak-budak lagi. Tak tahu lagi macam mana nak jaga hati perempuan.”
“Kedua?” cungkil Amin.
“Namanya Lisa, pegawai Bank. Tak ada persefahaman juga. Atuk pun masih tak tahu macam mana nak jaga hati perempuan. Dia kahwin dengan kawan baik Tok.”
“Wah!” Sekali lagi Amin terperanjat. “Atuk tak kisah?”
“Nak kisah apanya? Dia dan kawan Atuk memang padan. Memang dah ditulis jodoh untuk mereka berdua.”
“Ketiga?”
“Umi Wahida, pegawai kerajaan. Tak ada persefahaman juga. Dia selalu merajuk sebab Atuk tak pandai jaga hati dia. Tak romantik.”
Amin angguk.
“Keempat namanya Raina. Juga sebab atuk tak romantik.”
“Makwe suka lelaki romantik Tok,” celah Amin.
“Itulah yang Tok cuba buat dengan makwe nombor lima. Fiona. Atuk cuba jadi lelaki paling romantik di dunia. Tapi Fiona tak “into” dengan benda-benda ni. Banyak benda yang Tok aturkan agar kelihatan romantik, tapi akhirnya Tok sendiri yang malu sebab dia tidak perasan pun benda-benda itu semua. Kami sering bergaduh mengenai hal-hal yang kecil. Atuk cuba belikan bunga, dia tak mahu. Atuk ingatkan perempuan suka coklat, ada juga yang tak suka...”
“Jadi Tok berpisah dengan dia?”
Tok Aman memandang Amin. Dia angguk. “Masa tu memang hati Tok hancur jugalah. Tak romantik salah, romantik salah.”
“Jadi opah makwe nombor enam?”
“Magik...” Tok Aman tersengih lagi.
“Amin tak faham...”
Tok Aman tersenyum seorang diri. “Kuala Lumpur...2008...”
Kuala Lumpur...2008...berpuluh tahun yang lalu...
