ARKIB

FAVOURITE + AMBIL HATI

Tak kenal maka tak cinta.

Bapaklah klise ayat di atas bila hendak dijadikan pembuka sebuah cerita cinta yang amat agung, lebih agung dari kisah cinta yang ditulis oleh penyair, penulis dan pencerita tersohor. Begitu agung sehinggakan wanita-wanita tersedu-sedu hanya dengan membaca sinopsisnya. Begitu agung sehingga tiada ayat yang dapat ditulis untuk pembukaan kisah agung ini.

Maka apa itu cinta barangkali?

Cinta itu semudah tafsiran saya sayang awak. Mungkin. Juga sekomplikasi saya sayang awak tapi saya sayangkan dia juga. Cinta bersifat zahir atau cinta bersifat batin? Apakah cinta bioleh ditolak-tolak? Apa?

Banyak pula soala-soalan untuk pembukaan kisah cinta agung ini.

Cinta dalam hidup banyak sungguh tafsirannya. Apakah cinta hanya berkisar lewat hubungan antara dua manusia berlainan jantina? Apakah cinta juga boleh dicapai melalui kasih ayah kepada anaknya? Apakah cinta boleh disamakan dengan hubungan sayang seorang majikan kepada pekerjanya?

Cinta...

Ini adalah kisah Amin mencari cinta, melalui cerita-cerita atuknya.

Bagi Amin, dia tahu hari ini adalah hari di mana dunia cintanya hilang dalam sekelip mata. Mungkin bukan sekelip mata kerana tanda-tanda hilangnya cintanya itu sudah menampakkan tanda-tanda jauh berbulan lamanya. Tapi Amin membutakan matanya. Juga tidak tepat. Amin tidak membutakan matanya. Tapi lebih kepada Amin cuba menolak hakikat cinta antara dia dan Jasmin sudah semakin lama semakin tiada.

Sekurang-kurangnya itulah pendapatnya.

Mungkin sebelum bercerita tentang kisah penutup cinta Amin, lebih molek disentuh sedikit tentang Amin dan Jasmin. Perkenalan Amin dengan gadis itu bermula secara tidak sengaja, yakni di sebuah jamuan makan-makan sempena sambutan hari lahir anak seorang teman bekas rakan sepejabatnya. Ya, nampak sedikit komplikasi tetapi tidak serumit kisah cinta Amin yang bakal kita soroti sedikit masa lagi.

Untuk memudahkan cerita, kita namakan teman bekas rakan sekerja Amin itu sebagai Farid.

Pertama kali Amin menatap wajah Jasmin ketika gadis itu melangkah masuk ke dalam rumah Farid. Jasmin dan Farid tidak kenal antara satu sama lain. Tidak pernah bersua muka secara fizikal mahupun di dalam facebook. Jasmin datang ke majlis makan makan itu atas ajakan Junaidah, kawan kepada Farid dan juga Amin.

Tidak, mereka tidak jatuh cinta pandang pertama kerana Jasmin langsung tidak sedar kehadiran Amin dan Amin pula lebih memberikan tumpuan kepada Anum, yang kebetulan berdiri di tepi pintu masuk sedang berbual dengan teman yang lain.

Amin dan Jasmin, buat pertama kali bertegur sapa mengucap “hai” ketika Junaidah memperkenalkan mereka. Tipikal ayat “ini Amin, ini Jasmin” terlontar deras dari mulut Junaidah. Tanpa sebarang prejudis, mereka bertukar senyuman. Mungkin, tapi hanya tuhan sahaja yang tahu apa isi hati Jasmin tatkala melihat lebihan bihun di tepi bibir Amin ketika itu.

Dan itu sahaja.

Jasmin melangkah pergi kerana ditarik oleh Junaidah yang mahu menunjukkan betapa comelnya anak Farid sementara Amin bergerak menghampiri Anum.Amin dan Anum tidak pernah dapat menjalinkan hubungan. Tidak pasti kenapa, mungkin kerana lebihan bihun di tepi bibir Amin barangkali?

Lantas bagaimana akhirnya mereka boleh bercinta?

Mereka tidak terus bercinta ketika majlis makan-makan itu. Malah mereka tidak bertukar nombor telefon dan mereka langsung tidak bersua muka selama lebih kurang 49 hari.

Hari yang ke-50 sebenarnya adalah detik penentunya.

Junaidah, secara rawak, memilih Amin, disebalik barisan nombor telefon pria di dalam Nokia X-nya. Mungkin juga kerana nama Amin berada di barisan atas dan Junaidah malas hendak melayari senarai nama di dalam Nokia X-nya. Ini kerana nama Amin bermula dengan huruf A dan logiknya, A menjadi permulaan untuk sebarang senarai, termasuk senarai pemilik nombor telefon di dalam Nokia X Junaidah. Kecualilah Junaidah pandai untuk membuat alterasi terhadap sistem buku telefon bimbitnya lalu memulakan senarai dengan huruf K, atau D yang mungkin tidak membawa sebarang signifikan kepada kita semua, kecuali, mungkin kepada Junaidah.

Amin terpilih sebagai pria bantuan ketika kereta nasional, Proton Gapura Junaidah meragam di tepi jalan. Amin datang bersama seorang lagi kawan lelaki, bernama Mahfuz. Kebetulan pula Junaidah bersama Jasmin. Ketika itulah cinta pandang pertama menjadi bahan aplikasi, sekurang-kurangnya untuk Mahfuz.

Mahfuz dan Jasmin bertukar-tukar perbualan sementara Amin sibuk bertukar-tukar minyak dari enjin kereta ke badannya. Hasilnya, nombor telefon bertukar tangan. Maksudnya nombor telefon antara Mahfuz dan Jasmin, bukan antara enjin kereta dan Amin. Manalah mungkin enjin kereta mempunyai telefon bimbit dan kalau adapun, kebarangkalian Amin untuk mendapatkannya agak tipis lantaran seleranya lebih kepada perempuan, berkulit cerah.

Ya, kenapa pula Mahfuz yang dapat Jasmin, bukan Amin?

Inilah twist ceritanya di mana Jasmin dan Mahfuz mula keluar. Minum, makan atau menonton wayang dan ramai mensyaki mereka bertukar-tukar saliva.

Selang 20 hari kemudian, ketika Amin memandu keretanya untuk pergi ke kondominium Mahfuz, dia ternampak Jasmin sedang duduk menangis di tepi jalan, berdekatan pintu masuk kondo Mahfuz.

Hari itu merupakan hari di mana raja segala pembongkaran berlaku. Hari itu di mana Jasmin mengetahu bahawa selera Mahfuz adalah pada wanita dan juga lelaki. Masakan Jasmin tidak menangis bila melihat Mahfuz sedang asyik bercumbu dengan seorang lelaki separa gempal di dalam kereta. Amin juga turut terkejut kerana selama ini tidaklah beliau syak tentang selera Mahfuz itu. Sudahlah lelaki, gempal pula tu. Dan bermisai. Tebal. Macam abang polislah pula.

Amin membawa Jasmin ke kedai kopi berdekatan. Cuba menenangkan gadis itu. Mereka berbual dan Jasmin menjadi selesa.

Hari itu mereka bertukar nombor telefon.

Dan bertukar kisah hidup masing-masing.

Mereka menjadi satu.

Sekurang-kurangnya selama setahun tiga bulan.

Terus...

Hari ini cinta Amin sudah tiada.

Bukan kerana beliau sudah punya wanita lain, juga bukan kerana Jasmin mempunyai lelaki lain. Masing-masing sedar, api cinta dewa dewi mereka semakin lama semakin malap. Tambahan juga tidak ada seorang pun antara mereka berdua yang bersungguh untuk mencurahkan minyak ke dalam api cinta yang malap itu. Maka api yang meronta-ronta meminta minyak cinta akhirnya mungkin sekali mati. Kasihan. Bukan kepada api, tapi kepada pasangan yang dahulunya menyangka ditakdirkan untuk bersatu, dalam bentuk perkahwinan.

Maka mungkin, hari ini adalah hari di mana cinta Amin dan Jasmin mati.

Walaupun kedua-duanya mempunyai pengakhiran nama yang sama, yakni – MIN.

One Response to “ODESI CINTA KEEMPAT episod 1”

Leave a Reply

Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar

You can add images to your comment by clicking here.

Uses wordpress plugins developed by www.wpdevelop.com Blog Protected Using Content Protecter By PcDrome.