Archive for January, 2010
Semasa dalam proses menyiapkan manuskrip KARIPAP-KARIPAP CINTA, saya pernah berhenti rehat dan menjenguk hutan kediaman Panda Cinta.
Adapun kedatangan saya ke sana demi menunaikan ajakannya yang mahu minum teh bersama saya. Sudah beberapa kali ajakannya saya tolak atas alasan mahu menyiapkan novel.
Tapi saya layankan ajakan kali ini. Takut dia merajuk. Panda Cinta, disebalik namanya yang agak cute, cukup buruk rupanya bila merajuk.
Petang itu, di atas awan berbalam-balam, saya duduk bersila sambil minum teh putih. Sedap tidak terkata.
Kami berbual tentang perkara kasual.
Kemudian entah bagaimana tergerak hati saya hendak bertanya satu soalan,
Lebih kurang berbunyi begini, "Kau menyemai cinta pada manusia, pernahkah kau bercinta? Kau tak pernah kenalkan aku pada makwe kau..."
Panda Cinta terhenti dari minum. Dia meletakkan cawan di atas awan sambil merenung jauh. Saya dapat lihat matanya bergenang air. Saya jadi serba salah. Mungkin saya tersalah tanya.
"Panjang ceritanya, satu hari takkan habis. Kau telah membuka kesedihan silamku..." ujar Panda Cinta perlahan.
"Panjang apa benda," celah arnab si peniup seruling. "Senang saja nak cerita apa? Panda Betina yang kau minat tu, rejek kau sebab kau tak ada duit dan pergi ke Panda Jantan Zoo Madrid yang lebih kaya dan terkenal,"
"Celaka kau arnab!" Panda Cinta bangun dan cuba menyepak arnab si peniup seruling. Pantas arnab si peniup seruling melarikan diri dari terkena sepakan Panda Cinta.
Saya terkesima dalam mengeteh.
Berikut adalah sedutan satu babak dalam KARIPAP-KARIPAP CINTA. Adegan seorang busker mendeklamasikan sajak tentang cinta. Ini adalah versi manuskrip raw sebelum diedit, ia mungkin berlainan ketika kalian membaca printed version.
Layan;
++++++
Ada satu rutin dalam hidup pekerja Wadah Rakyat terutamanya Ali, Aman dan Rudi. Menjelang pukul 5:30 petang mereka akan turun sebentar untuk minum di kedai mamak bawah pokok bertentangan dengan pejabat.
Hari ini tiada bezanya dengan hari-hari sebelumnya.
Tepat jam 5:30 petang, tiga lelaki bujang mengambil tempat duduk di hujung gerai memesan minuman kegemaran masing-masing.
Kisah Ali dilamun cinta sudah Aman ketahui. Tidak mudah untuk rahsia Ali terbongkar.
Zaman ini zaman facebook, bilamana manusia berlumba-lumba untuk menceritakan apa yang mereka lakukan menerusi ruangan status Facebook.
Dan Aman tidak tunggu lama bila terpandang status Facebook Rambai (yang merupakan salah seorang rakan di dalam senarai Facebooknya) bertulis 'Ali suka Sarah'.
Ali hanya mampu terdiam bila bertalu-talu soalan yang ditanya oleh Aman. Rudi sekadar tersengih walaupun sebenarnya dia turut memasang telinga.
Sebagai seorang sahabat, Aman dapat merasakan jiwa gelodak Ali.
Sesi minum petang itu seolah-olah menjadi ruang kaunseling cinta untuk Ali.
“Apa yang kau takutkan?” soal Aman.
“Entah,” jawab Ali sambil meneguk minuman. Rudi memandang Ali sambil menyalakan rokok. Seperti kebiasaannya, Rudi akan sentiasa diam.
“Usah terlalu banyak berfikir,” Aman menepuk bahu Ali.
“Kau patut dengar nasihat orang yang sudah banyak kali putus cinta ini,” Rudi bersuara.
Ali mencebik bibir. Dia terpandang Bart Rasta yang sedang duduk bertenggek di bahu jalan tidak jauh dari mereka.
“Kau agak dia banyak berfikir tak?” Ali menjuihkan bibir tanda subjek soalan itu ditujukan kepada Bart Rasta.
Aman dan Rudi serentak berpaling memandang lelaki berambut dreadlock itu.
“Dia ahli falsafah, dia lain,” jawab Aman.
Bart Rasta agak terkenal untuk orang-orang yang biasa lalu lalang atau bekerja di sekitar kawasan itu. Tiada siapa tahu apa pekerjaannya. Dia bukanlah orang gila. Juga bukan pengemis. Dia cuma sering merayau-rayau di sekitar situ.
Satu hobinya yang menarik ialah Bart Rasta suka mendeklamasikan sajak. Kadang-kala dia mengusung gitar kapok dan bermain gitar di tepi jalan menyanyikan lagu-lagu puisi ciptaannya. Tempat dia bersajak dan bermain muzik tidak tentu. Adakala di sekitar jalan itu, pernah juga sehingga ke kawasan KLCC.
Seawal kemunculannya dahulu Bart Rasta pernah ditahan polis. Malah pernah sekali masuk lokap. Bart Rasta disyaki penagih atau pencuri. Namun kini polis-polis di kawasan itu sudah mengenali Bart Rasta. Mereka tahu dia hanyalah orang seni yang bergelandangan. Dia tidak mengganggu orang. Dia cuma seorang yang ekspresif.
Aman, Ali dan Rudi selalu mengambil peluang untuk berbual dengan Bart Rasta. Bolehlah dianggap Bart Rasta sebagai kawan mereka.
“Hoi Bart,” laung Aman. “Ada kawan kita sudah dilamun cinta!”
Bart Rasta yang tadinya duduk memerhati orang lalu lalang berpaling. Dia bangun. Melangkah menghampiri Aman dan kawan-kawan.
“Apa nasihat kau untuk kawan kita?” tanya Aman sambil memeluk Ali. Bart Rasta angguk. Dia mengerti bahawa Alilah orang yang dimaksudkan Aman.
“Hidup adalah cinta!” balas Bart Rasta.
“Dia dah mula...” getus Ali sambil menekup mukanya dengan telapak tangan.
“Cinta adalah jiwa,”
“jiwa adalah nyawa,”
“nyawa adalah manusia,”
“dan manusia adalah cinta”
Aman dan Rudi menepuk tangan. Pelanggan-pelanggan yang lain mula tertarik dengan aksi Bart Rasta.
Bart Rasta meneruskan sajaknya;
“Kita lahir ke dunia kerana cinta ibu dan bapa kita!”
Dia bergerak ke belakang Aman dan Ali. Dipegang bahu kedua-duanya. Kepalanya rapat ke kepala kedua-dua lelaki.
“Tanpa cinta, tiada kita,” Bart meneruskan kata-katanya.
“Betul!” laung Aman sambil ketawa.
“Kita wujud ke dunia kerana cinta tuhan,” tambah Bart Rasta.
“Tanpa cinta tuhan, kita tiada makna,” Bart Rasta pergi ke arah Rudi.
“tanpa makna, tiadalah cinta di dunia,” Bart pantas memegang tangan seorang mamak.Mamak itu membuat gaya geleng kepalanya sambil tersenyum.
“tanpa cinta, tiadalah kita,”
Bart Rasta melompat ke tepi jalan dan terus mendepakan tangannya.
“Tanpa kita, tiadalah cinta!”
Aman, Ali, Rudi, mamak-mamak dan pelanggan-pelanggan lain bertepuk tangan. Bart Rasta kemudian berlalu dari situ tanpa sebarang bicara lagi. Orang yang lalu-lalang berpandangan, tertanya-tanya fiesta apakah yang baru sahaja berlangsung.
Ali ketawa, “tanpa cinta tiadalah kita, tanpa kita tiadalah cinta...”
Aman memandang Ali. Melihat Ali ketawa dia tahu sedikit sebanyak gundah rakannya sudah mula beransur pergi. Itu yang penting. Hati gundah tiada gunanya.
Saya mungkin silap, tapi selalunya anak-anak muda unik yang anti-establishment dan jiwa memberontak tak menulis mengenai tahun baru 2010, bukan apa, sensitif sangat kalau hidup dalam klise ini.
Tapi nampaknya saya klise.
Setahun akan datang adalah masa-masa mencabar saya.
Ramai yang sudah tahu saya akan 'berehat' dari memegang tampuk pemerintahan unit PTS Fortuna. Disini ada dua makna, satu saya secara teknikalnya 'tidak bekerja' tetap dan seterusnya hilang sumber wang bulanan saya.
Ah, gila.
Menjelang tahun baru, saya berjumpa dengan Zulhabri. Jejaka ini mewar-warkan beberapa projek baru yang menarik. Terutamanya tentang rumah Republik Anak Muda (walaupun secara peribadi, perkataan Republik ini sudah seakan over-used dan sudah tidak nampak seninya melainkan syok sendiri - tapi saya layankan saja, mungkin mereka ada idea sendiri, tak mengapalah, itu sekadar nama - janji semua bahagia, wink wink).
Melihat rumah RAM (singkatan kepada nama panjang tadi), saya terfikir beberapa aktiviti yang boleh saya usahakan bersama Zulhabri dan rakan-rakan lain. Saya tidaklah memanggil aktiviti seni kerana siapalah saya untuk bercerita mengenai seni. Tapi kurang lebih aktiviti yang melibatkan daya lepak yang tinggi.
Satu prospek menarik. Selain prospek penerbitan milik Zulhabri iaitu Oxygen Media.
Projek penulisan saya harapkan berjaya seperti yang dirancang. Awal tahun 2010, jika tiada gangguan yang tidak munasabah, novel keempat saya, KARIPAP-KARIPAP CINTA bakal menemui pembaca dan peminat (ada ke? La la la). Ini cubaan pertama saya dalam genre Komedi Romantik.
Mana-mana studio perfileman yang hendak mengadaptasi novel komedi romantik saya boleh hubungi ejen saya.
Selain KARIPAP-KARIPAP CINTA, besar harapan saya untuk menyudahkan Opera Angkasa 2 dan sebuah novel fantasi melibatkan karakter kegemaran muda-mudi yakni PANDA CINTA. ya, PANDA CINTA akan mempunyai novelnya sendiri. Doa-doakan sahaja semuanya berjalan lancar. Saya mensasarkan tahun 2010 sebagai tahun prolifik novel.
Untuk projek jalan-jalan, saya bercadang untuk memulakan langkah berjalan di Malaysia. Siapa mahu ikut boleh hubungi saya.
Projek filem pendek juga saya harapkan dapat diteruskan dengan bantuan rakan-rakan yang begitu bersemangat. Kurang-kurang dapatlah saya hasilkan satu untuk tahun ini.
Selain itu terdapat beberapa rancangan lain di mana kejayaan rancangan itu bergantung kepada tahap usaha saya. Jika malas, maka ia tinggal cakap-cakap sahaja. Doakan saya tidak malas.
September 2010 saya bakal melangsungkan perkahwinan, maaf, itu perancangan tahun lepas. La la la. Tahun ini juga memberi prospek yang cerah dengan mengenalpasti beberapa calon untuk makwe. Ini termasuk 3 orang supermodel busana muslim, 2 pelakon tetap drama Melayu dan beberapa wanita yang aktif dalam kerjaya masing-masing. Meskinpun perut saya sudah semakin menaik, namun charming masih belum hilang dan secara puratanya masih digilai oleh ramai gadis.
Saya mendoakan agar tahun 2010 adalah tahun terhebat dalam sejarah hidup saya.
Juga saya doakan kalian yang membaca merasai hidup yang serba hebat di tahun 2010 ini.
Bak kata pepatah, jika ayam, makanlah ayam itu.
Yang Benar,
Nazri M. Annuar
Ukay Perdana.



