ARKIB

FAVOURITE + AMBIL HATI

Archive for February, 2010

Alam Mondo Bongo sedikit pelik berbanding alam La La La, Kayangan Cinta dan alam manusia.

Ini kerana pintu masuk ke Alam Mondo Bongo hanya tujuh belas. Setiap tujuh belas pintu masuk telah dikawal dengan satu pintu gerbang bertulis "Jika Boleh Pusing Dan Pulang Amatlah Digalakkan". Orang-orang Mondo Bongo sifatnya suka kepada diri dan bangsa sendiri. Mereka hanya mendengar lagu-lagu ciptaan bangsa mereka sendiri, menonton filem bangsa mereka sendiri, membaca karya sastera bangsa mereka dan makan buah-buahan yang tumbuh hanya di Mondo Bongo.

Uniknya juga pintu masuk Mondo Bongo ini adalah kerana kawalan kastam mereka. Hanya pintu keluar masuk Alam Mondo Bongo sahaja yang mempunyai pengawal kastam. Setiap pegawai akan memeriksa pelawat dengan teliti agar barang-barang yang dilarang tidak dibawa masuk. Adapun barang yang dilarang itu ada lima, 1- Pensil Warna, 2-Sebarang perisian Adobe, 3- Sebarang perisian Microsoft, 4-Buku-Buku terbitan Sindiket Sol-Jah dan yang kelima Pipiyapong.

Setiap pengunjung akan melalui satu gerbang yang dinamakan gerbang Saturation. Inilah pertama kali saya merasai pengalaman gerbang Saturation itu. Gerbang itu akan menanggalkan segala warna yang ada pada diri dan barang-barang yang saya bawa.

Ya, Mondo Bongo adalah sebuah alam Black And White, seperti yang biasa kita lihat dalam filem-filem Orson Welles dan Ozu (muahahahaha, inside joke- hanya sinaga-naga dan Dean Sham yang faham, Tok Rimau sipi-sipi faham).

Kemudian, saya akan pergi mendapatkan visa di depan kaunter yang dikawal oleh seorang pengawal bergelar "Pemberi Visa".

"Untuk masuk..." kata Si Pemberi Visa, "kau harus membuka salah satu dari tiga kotak di depanmu ini," katanya merujuk kepada tiga kotak yang diletakkan di depan saya di atas meja. "Jika kamu berjaya membuka kotak yang mengandungi kertas berwarna hijau, maka kamu dibenarkan masuk, jika kamu membuka kotak yang mengandungi kertas berwarna merah atau tidak mempunyai kertas, maka kamu tidak dibenarkan masuk!" ujar Si Pemberi Visa.

Saya lantas bertanya, dalam keadaan dunia Black And White ini, bagaimana saya atau Si Pemberi Visa tahu kertas yang saya ambil dari salah satu kotak itu berwarna Hijau? atau Merah?

"Ya tak ya, saya terlupa," kata Si Pemberi Visa. Dia lantas memakai satu google mengesan warna yang ditempah khas dari selatan Mondo Bongo. Dia membuka kotak pertama. Ditutup dan kemudian dibuka kotak kedua. Ditutup kembali sambil mengangguk dan memandang saya.

"Sekarang saya tahu kotak mana satu yang mempunyai kertas warna hijau, maka hendaklah kamu pilih..."

Belum sempat si Pemberi Visa menghabiskan kata-kata, saya terus menunding jari ke kotak nombor dua.

"Err, yakin?"

Saya angguk.

"Bagaimana kau tahu kotak dua itu mempunyai kertas berwarna hijau?" soalnya.

"Saya teka,"

"Hebat, kau memperjudikan odds 1/3 untuk.."

Sekali lagi saya pintas. "1/2 sebenarnya...awak buka kotak nombor satu dan tutup. Awak buka kotak dua dan tutup. Awak tak buka kotak tiga. Maka selamat saya andaikan kotak satu tidak mempunyai kertas hijau. Saya semakin yakin bila awak tak buka kotak tiga, menjadikan saya syak, awak sudah ternampak kertas hijau di kotak 2 dan terlupa seharusnya awak buka juga kotak tiga untuk mengelirukan saya..."

Setengah jam kemudian saya, Usmanov dan arnab si peniup seruling sudah berada di Alam Mondo Bongo (walaupun saya dan usmanov amat berharap arnab tidak lepas ujian kotak visa tadi).

Alam Mondo Bongo itu luas. Kami perlu mencari klu dan titik mula untuk menemui Panda Cinta. Dia mungkin berada di mana-mana. Dengan siapa harus kami tanya?

Persoalan itu tidak perlu kami jawab kerana sebaik sahaja keluar dari kompleks kastam, kami terserempak dengan Panda Cinta yang dalam kira-kira hendak memasuki kompleks tersebut.

"Kamu buat apa di sini?" soal Panda Cinta.

"Kami sedang cari kau, kau nak pergi mana?" soal arnab.

"Aku nak balik ke La La La..."

"Sudahkah kau temui cara untuk membebaskan Emily dari Panda Benci?" soal saya.

Panda Cinta geleng, "Malangnya tidak..."

Saya longlai balik. Saya tunduk sedih.

"Panda Cinta...saya Usmanov..saya datang membawa berita..."

"Ya, ya, aku dah baca di internet. Serangan besar-besaran ke atas institusi Cinta..." pintas Panda Cinta.

Dia mengeluarkan sekepig CD. "Aku dapat ini dari Ejen Perisikan Cinta. Sebelum dia hilang, dia telah merakamkan satu lagu bersama kugirannya, Primary. Dalam lagu itu mengandungi kod-kod yang perlu ditafsir kerana menurutnya, dari situ kita akan tahu dalang kepada kekacauan institusi Cinta. Ya, aku sendiri tidak faham kenapa dia perlu bersusah payah lepak di studio, mengharungi proses rakaman track by track dan menggubah lagu berkod sedangkan dia boleh sahaja menulisnya dan menghantar kepada aku..." terang Panda Cinta panjang lebar.

"Baik! Kita ke Alam La La La kembali!" kata Usmanov bersemangar. "Tidak lama lagi kita akan tahu siapa dalangnya!"

Panda Cinta menepuk bahu saya. "Untuk kau...aku ada satu cara terakhir...aku tak pasti ia mampu melawan Panda Benci atau tidak...tapi kita cuba dan berserah kepada tuhan..."

Saya angguk. Apa saja. Apa saja untuk Emily....

Bersambung esok untuk satu ultimatum, jangan ketinggalan...

1-

'Saya' (yakni hero dalam cerita yang serba mendebarkan) menatap sms yang tertera di telefonnya.

Dia menggaru kepala. Wanita idamannya tidak mahu keluar dengannya hari ini. Sudah beberapa kali diajak keluar namun semuanya ditolak dengan pelbagai alasan.

Dia mengeluh. Berat benar dugaannya kali ini.

"Kau tahu bagaimana untuk bertemu dengan Panda Cinta bukan?" seorang lelaki yang memakai hood kelabu tiba-tiba berdiri di sisi 'saya'.

Saya sedikit terkejut. Adakah ini taktik terbaru pengepau yang mahu mencuri duitnya?

"Jangan buat-buat terkejut, aku tahu kau tahu bagaimana hendak bertemu dengan Panda Cinta..." lelaki itu merenung saya.

"Kalau kau tahu tentang dia, sudah tentu kau juga tahu bagaimana hendak bertemu dengan dia,"

"Semua jalan ke alam La La La menerusi Kayangan Cinta telah ditutup oleh konco-konco kuasa jahat yang belum aku ketahui identitinya. Hanya jalan dari alam manusia sahaja yang belum mereka tutup...tapi sejak semalam aku cuba cari, tidak berjumpa. Aku belek Facebook Panda Cinta dan mendapati kau klien terbarunya."

"Kenapa kau cakap perlahan sangat? Ada orang akan dengar ke? Kita berada di dalam rumah aku dan sebenarnya aku masih keliru bagaimana kau boleh masuk ke dalam rumah aku?" tanya Saya.

"Tuan Pendeta kata, bila waktu yang mendebarkan, kita harus bercakap dalam nada berbisik, takut musuh mendengar," balas lelaki itu. Jelaslah lelaki itu adalah Usmanov, orang suruhan Tuan Pendeta dalam episod yang lepas.

"Aku ada banyak masalah, aku tak boleh tolong kau..." saya menolak.

"Kau mahu bertemu dengan Panda Cinta juga bukan untuk menyelesaikan masalah cinta kau dengan Emily," ujar Usmanov lagi. "Maka kau boleh bawa aku bertemunya,"

"Okey, bagaimana kau tahu itu? Panda Cinta ada tulis di dalam Facebooknya?" soal saya, yang sudah mula panas.

"Tak, aku dari tadi perhatikan kau saling berbalas sms dengan Emily, aku andaikan kau ada masalah dengan Emily, aku sudah lama sampai, tapi berdiri di belakang kau. Kau tak sedar,"

Celaka!

2-

Benar kata Usmanov. Hanya pintu masuk menerusi alam manusia sahaja yang masih tidak dikawal oleh konco-konco orang jahat.

Tapi Usmanov nampak hampa bila kami datang ke tempat biasa Panda Cinta lepak dan mendapati yang tinggal hanya arnab si peniup seruling sedang meng 'tune' serulingnya dengan sejenis perisian 'seruling tuner' yang baru dibeli dan diinstall di komputernya.

"Panda Cinta baru sahaja pergi ke alam Mondo Bongo," terang arnab si peniup seruling.

"Kenapa dia mahu ke Alam Mondo Bongo?" soal saya.

Arnab si peniup seruling menarik nafas. "Panda Cinta suruh aku jangan beritahu kau..."

Saya dan Usmanov menanti kata-kata arnab si peniup seruling.

"Apa?" soal arnab si peniup seruling bila melihat kami seolah-olah menunggu ayat seterusnya.

"beritahu aku kenapa?" soal saya.

Arnab si peniup seruling menghembus nafas panjang. "Ada kaitan kau dan Emily..." jawabnya.

Saya berdebar-debar. Apa yang telah berlaku?

"Panda Cinta baru mendapat tahu kenapa akhir-akhir ini Emily bencikan kau."

Saya makin berdebar-debar.

"Rupanya Emily telah menjadi mangsa bisikan Panda Benci!"

Panda Benci? Saya pertama kali mendengar nama itu. Tapi Usmanov nampak seperti tidak terkejut.

"Jadi rupa-rupanya selama ini dalang yang membuatkan hubungan kami porak peranda adalah kerana Panda Benci? Cisss!" saya menumbuk tapak tangan saya dengan gaya garang.

"Bodoh!" tempelak arnab si peniup seruling. "Kau masih belum sedar! Masih mahu menyalahkan orang lain atas kesalahan kau sendiri!"

Saya tergamam. Ini pertama kali saya lihat arnab si peniup seruling marah. Tapi...tadi kata...sebab...Panda Benci?

"Baik aku ceritakan siapa Panda Benci..."

Saya dan Usmanov lantas duduk bersila sementara arnab si peniup seruling berdiri di atas batu besar. Dia mula bercerita sambil tiba-tiba angin bertiup sepoi-sepoi bahasa.

"Panda Benci sudah hidup kira-kira 900 tahun. Dia adalah archnemesis kepada Panda Cinta. Kalau Panda Cinta menyebarkan Cinta, Panda Benci pula membisikkan kebencian. Keduanya jelas kontradik antara satu sama lain. Saling berlawanan. Malah jika kau bertemu dengan Panda Benci, kau akan dapat rasakan reputasinya yang gah itu."

Arnab si peniup seruling memandang saya, "kau tahu kenapa aku katakan kau tak sedar diri?"

saya geleng, tak berani bersuara.

"Modus operandi Panda Benci agak unik. Semua sasarannya adalah wanita. Dia TIDAK boleh membisikkan rasa benci kepada seorang wanita dengan sendirinya. Makanya jika kau dan Emily bahagia, Panda Benci tidak boleh mengganggumu. TAPI, biasalah, sedangkan lidah lagi tergigit, sedangkan pantai mesti dilanda ombak, sedangkan mentari mesti turun memberi laluan kepada bulan, sedangkan langit tidak sentiasa cerah, sedangkan...."

Saya dan Usmanov saling berpandangan, menanti bilakah peribahasa ini akan berakhir.

"...begitu jua dengan cinta. Adakalahnya berlaku jua perselisihan faham. Pertengkaran. Pergaduhan. Ketika kau sendiri membuat hati Emily mula benci pada kau, lantas membuka pintu hati Emily terbuka untuk aura Panda Benci masuk dan membisikkan aura-aura bencinya...kau ingat bukan waktu kau sendiri, tanpa bantuan sesiapa mencetuskan perasaan benci Emily terhadap kau?"

Saya angguk. Saya masih ingat sms "...NOW I HATE YOU!!!" yang dihantar oleh Emily. Tiba-tiba saya jadi longlai. Nyata semuanya salah saya.

"Waktu itu kami berdoa banyak-banyak, siang dan malam agar benci Emily terhadap kau tidak dikesan oleh Panda Benci. Kerana jika rasa benci Emily itu hilang sebelum Panda Benci mengesannya, kamu masih berpeluang. Hatinya akan kembali ceria menerima kamu. Tapi..."

Arnab si peniup seruling bungkam.

"Apa yang kami khuatirkan menjadi nyata. Panda Benci telah berjaya mengesan aura benci Emily terhadap kamu. Lantas jiwanya diresapi ramuan kebencian yang dicipta oleh Panda Benci. Lantaran itu menjawab kenapa hatinya sudah tertutup buat kamu."

Saya menggigil. Kata-kata arnab si peniup seruling itu seakan memberi satu tikaman bisa ke dalam hati saya.

"Dalam ramai-ramai wanita, kenapa dia pilih Emily?" soal saya.

"Ada hubungkaitnya dengann dendamnya terhadap Panda Cinta. Dia bersumpah mahu menggagalkan kerja-kerja Panda Cinta. Tapi Panda Cinta bijak menyembunyikan alamat protokol cinta kamu berdua. Tapi nampaknya Panda Benci telah berjaya mengesan alamat protokol cinta Emily dan masuk ke dalamnya," cerita arnab.

"Nasi sudah menjadi bubur, tapi ingatlah, berfikirlah masak-masak semasa kamu menyakiti hati dia, berfikirlah bahawa kemarahan kamu ketika itu mungkin akan membawa padah yang tidak boleh lagi diubati hatta dengan bantuan Dewa Cinta."

Saya tunduk. Timbul sesal dihati mengenangkan apa yang telah berlaku.

Perlahan-lahan saya mengangkat muka dan memandang arnab si peniup seruling. "Jadi perginya Panda Cinta ke Alam Mondo Bongo untuk mencari sesuatu yang boleh menewaskan Panda Benci?"

Sekali lagi arnab si peniup seruling mengeluh.

"Lebih kurang begitulah. Kalau nak diikutkan, seperti tiada gunanya. Tapi dia (Panda Cinta) sayangkan kamu. Kamulah klien dia yang paling bebal dalam aspek percintaan. Dia gagahkan jua mencari ikhtiar walaupun..."

"...walaupun?" kami sudah mula berdialog seperti dalam filem melayu. Tapi sekurang-kurangnya kami tidak berdialog '..tapi apa?'

Arnab si peniup seruling memandang saya sambil mengalirkan air mata. "Berat hati aku nak cerita. Beginilah,rekod prestasi Panda Benci amatlah mengkagumkan. Dia amat selektif dalam memilih siapa wanita yang hendak ditawannya. Tapi hasil kerjanya boleh kita anggap 'masterpiece', 'work of purest art', sudah tiga tahun dia tidak muncul dan..."

Apa maksud arnab?

"Sejak 900 tahun dia menjadi Panda Benci, TIADA SEORANG wanita pun yang berjaya kembali kepada cinta. Hatta wanita-wanita dibawah jagaan Dewa Cinta yang terlepas ke cengkaman Panda Benci tidak pernah kembali kepada Dewa Cinta...jadi bolehkah kau bayangkan apatah lagi wanita dibawah jagaan Panda Cinta?"

Kata-kata arnab si peniup seruling itu kini bagai halilintar memalu hati saya. Jika benar seperti yang dikata, adakah Emily akan selama-lamanya membenci saya? Benar bak kata pepatah, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian, hilanglah Emily.

"Adakah Panda Benci dalang yang menyerang istana Dewa Cinta, memenjarakan Cupid dan merasuk pari-pari cinta?" soal Usmanov.

"Itu aku tak pasti," jawab arnab. "Panda Benci ini perfectionist. Dia tak pernah bekerjasama dengan mana-mana entiti lain. Dan dari laporan wikipedia, kejadian-kejadian yang berlaku ketika ini jelas bukan kerja entiti tunggal. Ada satu pakatan jahat yang mahu menghancurkan cinta di alam manusia. Kita berdepan dengan dua persoalan, motif dan siapa,"

"Kenapa tiba-tiba kau berbicara seperti seorang yang tinggi ilmunya? Seperti Panda Cinta? Tak seperti kau yang aku kenal sebelum ini?" soal saya.

"Err, errr..." Arnab si peniup seruling tunduk malu. Dia mengeluarkan satu transkrip yang dicetak. "Itu ayat-ayat Panda Cinta ketika dia berfacebook chat dengan aku dari Alam Mondo Bongo. Aku salin dan hafal kerana aku memang dah agak kau akan datang ke sini mencarinya."

Celaka!

3-

Arnab si peniup seruling berdiri di penjuru kapal, laksana Jack Dawson dalam filem Titanic. Dia menghela nafas sambil melontarkan pandangan jauh memandang horizon senja.

"Ayuh! Kita cari Panda Cinta! Ayuh!" tempiknya. "Kita tahu Panda Benci telah muncul kembali. Panda Benci adakah kunci kepada persoalan kita. Berjumpa dengan Panda Benci akan membongkar siapa dalang dalam kekacauan di alam cinta! Ayuh! Kita belayar sekarang!!!" Arnab si peniup seruling mendongakkan kepalanya sambil tangan kanannya lurus menunjuk ke arah mentari yang terbenam.

"Hoi, apa ni?" jerit Usmanov. Arnab pantas menoleh. Usmanov memandang saya.

"Bukan ke kita sudah setuju aku dan Usmanov saja yang pergi? Bila kau nak turun dari kapal ni?" soal saya.

"Aku nak ikut! Aku nak ikut! Aku nak ikut!" arnab si peniup seruling menghentak kaki. "Dah la Panda Cinta pergi senyap-senyap, saja tak kasi aku ikut. Sekarang kamu nak tinggalkan aku sendirian?"

Saya dan Usmanov saling berpandangan.

"Bagaimana?"

"Jalan sajalah!"

Kapal Usmanov melaburkan layar. Perlahan-lahan kapal yang berbentk seperti kapal layar lautan dalam itu terbang ke udara. Di belakangnya kipas berpusing ligat. Usmanov memeriksa layar agar angin yang bertiup membawa mereka ke destina yang dituju.

Satu tujuan - Alam Mondo Bongo!

Bersambung esok (kalau rajin)

cerita diakhiri dengan videoklip ini (muahahaha):

1

Seorang lelaki berdiri di depan pintu gerbang Dewa Cinta.

Dua orang pengawal pintu gerbang, seperti biasa, menahan untuk memeriksa pass masuk.

Lelaki itu mengangkat tangannya. Serentak dengan itu kedua-dua pengawal menjadi batu.

Lelaki itu berjalan perlahan masuk ke dalam istana Dewa Cinta.

Tidak lama kemudian kedengaran suara Dewa Cinta menjerit. Usai jeritan, lelaki itu melangkah keluar dari istana.

Tersenyum.

2-

Cupid tersedar.

Dia tidak mampu bergerak.

Dia memandang ke depan. Apa yang ada di depannya cuma kegelapan.

Samar-samar itu dia dapat melihat dirinya dipenjara.

Dia cuba bergerak.

Tapi tidak boleh.

Tiba-tiba dia menangis.

Kerana belakangnya begitu gatal sekali tetapi tidak mampu untuk digarunya.

Dia cuba menjerit, tapi mulutnya tidak boleh dibuka.

Alangkah seksanya tidak dapat menggaru.

3-

Pari-pari cinta nombor 345 bergerak masuk ke dalam dewan. Di dalamnya sudah berkumpul beratus-ratus pari-pari cinta. Masing-masing mendongak memandang ke atas pentas.

Di atas pentas berdiri pari-pari cinta nombor 001, yakni ketua mereka. Matanya merah menyala.

"Hancurkan cinta!" tiba-tiba dia menjerit.

"hancfgrynnngafhwjs jklsntaaaaa" itulah bunyi yang boleh kita dengar tatkala beratus-ratus suara hendak menjerit "hancurkan cinta" dengan serentak tapi tidak sistematik. Seperti sekumpulan orang jabatan kerajaan yang hendak mengucapkan 'selamat hari raya aidilfitri maaf zahir dan batin' beramai-ramai di dalam tv.

Mereka lantas terbang.

Destinasi: dunia.

4-

Seorang lelaki kelam kabut berlari mendaki tangga sebuah menara yang begitu tinggi.

Beratus-ratus anak tangga yang sepatutnya didaki secara perlahan seperti tiada erti buatnya.

Sampai di atas, tanpa mengetuk, daun pintu diterjah.

Seorang pendita yang sudah sedia berdiri memandangnya, seperti memang menanti kedatangan lelaki itu.

"Teruk tuan pendita, teruk," ujar lelaki itu termengah-mengah.

"Berapa?" soal pendita.

Lelaki itu pantas menyelak lembaran-lembaran kertas di tangannya.

"Errr, errr..."

"Berapa?!!!"

"5600 pasangan diambang perpisahan hanya dalam masa sejam ini, tuan pendita!" lapor lelaki itu.

"Tiada jalan sedarkan Dewa Cinta?" soal Pendita lagi.

Lelaki itu geleng.

"Tiada satu pun pari-pari yang masih tidak dijangkiti?"

"Setakat ini tiada, apa yang boleh kita buat?" tanya lelaki itu.

Pendita itu khali. Dia memejam mata dan tunduk. Lama.

"Ttt...tuan pendita..."

"Segera kau ke alam La La La, cari Panda Cinta, hanya dia sahaja yang tinggal,"

Lelaki itu angguk. Dia berpusing dan mula beredar.

"Usmanov!" jerit Pendita.

Usmanov terhenti dan memalingkan muka memandang Pendita.

"Tak ada apa-apa, saya memang selalu ingin berbuat demikian, selalunya dalam filem mesti ada adegan sebegini, masa orang nak pergi, masa itulah ada benda yang hendak dicakapkan..."

Usmanov angguk. Tidak memberikan sebarang reaksi takut tuan pendita memukulnya dengan kayu. Walhal di dalam hatinya, difikirkan ini bukan masa untuk bergurau.

Beratus-ratus anak tangga dituruni.

Panda Cinta mesti dicari!

Jeng! Jeng! Jeng!

5-

'Saya' sedang berada di depan laptop, menghantuk-hantukkan kepala kerana dek kebodohannya sendiri. Walaupun dia hero, tapi bebalnya jelas ketara. Wanita idamannya baru sahaja log off ym. Perbualan mereka hangat dan adakalanya saling salah menyalahkan. Sakit kepala wanita idamannya langsung tidak dipedulikannya. Sesalnya tidak berguna atas kedinginannya pada siang hari tadi.

Wanita idamannya sudah marah.

'Saya' bangun longlai. Hatinya meronta untuk bertemu Panda Cinta, agar dapat membantunya membuka hati wanita idamannya agar memaafkannya.

Panda Cinta...tolong...

Jeng! Jeng! Jeng!

Bersambung

kkcpruf1

Ini adalah proses biasa dalam penerbitan buku (termasuk novel). Penulis akan diberikan satu salinan manuskrip yang sudah diedit dan dilayout untuk proses pruf. Disinilah selalunya berlaku kes -kes penulis bergaduh dengan editor kerana marah beberapa isi cerita dibuang, diolah atau ditambah.

Proses ini simbiosis sifatnya. Mesti ada tolak ansur. Ya, penulis memang selalunya ada ego yang besar sedangkan editor pula perlu bekerja membereskan penerbitan berlandaskan piawaian yang ditetapkan oleh orang yang memberi mereka gaji. Perbincangan yang telus akan membawa keharmonian.

Untuk saya, semuanya bereh!

Uses wordpress plugins developed by www.wpdevelop.com Blog Protected Using Content Protecter By PcDrome.