Kucing terbang, pari-pari, arnab, Maria, dr. love dan saya

KACANG POOL BLUES

March 30th, 2010 nazri

Suatu hari makwe saya mengajak saya ke gunung Daman.

Panda Cinta memberitahu di situlah terdapatnya roti kacang pool paling sedap di daerah ini. (Johor Bahru tidak termasuk - Tok Rimau jangan mencelah).

Saya membawa makwe saya naik kucing terbang gergasi. Panda Cinta meminjamkan saya telefon Nokia N73-nya sebagai panduan GPS.

"Ingat, makan baca Bismillah," nasihat Panda Cinta. Saya angguk.

Kucing terbang membawa saya dan makwe saya menyusuri awan tebal. Perjalanan ke Gunung Daman amatlah mencabar. Tetapi nak buat macam mana, hanya disitulah terletaknya kedai kacang pool yang sedap. Sementelah pula saya harus menunaikan keinginan makwe saya.

Kami melalui satu kawasan yang didiami oleh tiga ekor naga. Setiap seekor lebih besar dari KLCC dengan kepala menjulang ke atas awan.

Kucing terbang meluncur pantas. Naga-naga itu cuba menyambar kami namun setiapnya berjaya kami elak. Saya berdebar-debar. Naga-naga itu tidak puas hati lalu menyembur kami dengan nafas berapinya. Juga kami elak. akhirnya kucing terbang berjaya menerobos masuk ke dalam satu gua sebagai langkah melepaskan diri dari naga itu.

Ahh, kami selamat.

Tapi tidak lama,

Rupanya gua itu didiami oleh seekor Binturong berkepala tiga. Binturong berkepala tiga yang garang itu begitu marah bila tidurnya diganggu kami. Dia bangun dan menerkam ke arah kucing terbang. Kucing terbang lantas mengeluarkan cakarnya. Mereka bertempur. Kucing terbang pantas mencakar sana dan sini.

Akhirnya dapat juga kami keluar dari gua Binturong berkepala tiga itu. Saya memeriksa makwe saya takut kalau-kalau dia cedera. Dia tidak cedera. Peh, nasib baik. Kalau mati kena makan Binturong tadi satu kerja pula nak cari makwe baru. Tambah-tambah dengan selera saya yang tinggi ini.

Tapi keluar dari gua Binturong, kami terus bertembung dengan awan gelap. Aiseh, hujan dengan ribut petir. Perjalanan mesti diteruskan! Ribut bertiup kencang. Kami melalui ribut petir itu dengan hati yang gusar. Sekali sekala kucing terbang nyaris terpesong dek tiupan angin yang kuat. Saya memegang kucing terbang dengan erat. Makwe saya memegang saya dengan erat. Kalau dia terlepas...ha, macam yang saya cakap di perenggan atas tadilah.

Kami berjaya jua melepasi kawasan ribut petir itu, HANYA untuk melalui pula kawasan gunung berapi yang sedang memuntahkan bola-bola api.

Ah, jadi satu kerja untuk mengelak setiap bola api itu. Kalau terbakar, habislah harapan untuk makan roti kacang pool.

Tak mengapa! Roti kacang pool amat berbaloi untuk saya dan makwe saya lalui semua ini.

Sayup-sayup saya nampak gunung Daman.

Ah, sampai juga kami ke kedai Roti Kacang Pool Haji.

Kucing terbang menurunkan saya dan makwe saya. Kedai roti kacang pool nampaknya dikunjungi ramai. Ada yang sedang makan, ada yang sedang berbual dan ada yang sedang menonton televisyen yang dipasang di penjuru kedai.

Kami mengambil tempat duduk.

Pelayan datang mengambil pesanan.

"Mee goreng basah satu!" pesan makwe saya.

"Eh, tadi kata nak makan roti kacang pool?" soal saya.

"Entahhhh" jawabnya manja, "lepas tengok iklan mee goreng basah di tv (merujuk iklan yang ditayangkan di tv kedai itu), i rasa macam nak makan mee goreng basah la pulak..."

Saya angguk.

Mee goreng basah ada di mana-mana saja, tak perlu ke gunung Daman pun tak apa!

“YOUR BOOK GOT SOUL” - KOMEN KARIPAP-KARIPAP CINTA

March 26th, 2010 nazri

karipapcinta

"Your book got soul, mengingatkan saya kepada filem Ali Setan" ujar Azmir Ismail, pembeli/pembaca KARIPAP-KARIPAP CINTA semasa saya terserempak dengannya di PWTC semalam.

"Your Book got soul..."

Pertama kali saya mendapat komen sebegini.

Kemudian Cik model cover merangkap penjaga booth PTS yang juga orang yang lebih banyak 'sain' autograf di buku KARIPAP-KARIPAP CINTA memberitahu ada seorang pembeli/pembaca yang memberitahunya; "Saya tidak pernah membaca novel dan inilah novel pertama yang saya habiskan,"

Pertama kali juga saya mendengar komen sedemikian rupa.

Seorang pembeli/pembaca menahan saya untuk 'sain' autograf ketika saya sedang membelek buku di booth lain yang jauh dari booth PTS. Dia juga pembaca laman web Sokernet.

Terima kasih kepada yang membeli dan membaca.

Panda Cinta yang berada di sebelah ketika saya menaip entri ini buat-buat sedang bercakap telefon. Dia rasa bersalah kerana tidak membaca lagi KARIPAP-KARIPAP CINTA.

Dihujung sana pemain bass Kuala Lipis dan Dean Sham sedang sibuk dengan mesin taip masing-masing. Dengar cerita mereka mahu menjadi 'rockstar' dunia buku.

kkcbelek

KARIPAP-KARIPAP CINTA - INFO

March 25th, 2010 nazri

MAJLIS PELANCARAN SAYEMBARA KARYA HUMOR DAN NOVEL 10 JUTA PULUS (Masdalifazdlie M. Saaid), KARIPAP-KARIPAP CINTA (Karya Nazri M. Annuar) DAN STINGARDEN (karya Sinaganaga)

TARIKH: 28 Mac 2010

TEMPAT: PWTC - DEWAN TUN RAZAK 2 - Seberang Sungai (Booth PTS)

MASA: 1 Petang

DILANCARKAN OLEH: PENGARAH MAMAT KHALID

karipapcinta

TAJUK: KARIPAP-KARIPAP CINTA

ISBN: 978-967-5136-52-8

HARGA: RM14

Beli Online: http://www.bookcafe.com.my/en/remaja/novel-remaja/karipap-karipap-cinta.html

SINOPSIS: Cerita tentang obsesi. Tentang cinta pandang pertama. Tentang darjah. Tentang lelaki yang terlalu banyak berfikir.

Ali adalah seorang jurugambar sebuah akhbar politik. Dia jatuh cinta dengan Sarah, graduan Al-Azhar yang bekerja sebagai editor komik di SLP Publications & Distributors.

Namun ayah Sarah mahu anak perempuannya berkahwin dengan lelaki yang setarat dengan kelulusan Sarah (yakni seorang Ustaz).

Ali menjadi panik dan dalam keadaan terdesak telah berbohong mengatakan dia juga graduan Al-Azhar.

Maka bermulalah rentetan peristiwa lucu, sedih dan tidak masuk akal dalam usaha Ali untuk menawan hati Sarah dan dalam pada masa yang sama cuba mencari jalan berterus terang kepada gadis itu.

Ali terpaksa membayar harga yang mahal untuk pembohongannya.

Dan karipap itu mempertemukan cinta Ali dan menyelamatkan cintanya.