Archive for June, 2010
Semenjak dua menjak ini saya memang sibuk dengan kerjaya. Beberapa projek yang saling berkaitan. Syukur juga dipanjatkan kepada tuhan kerana banyak sekali job-job fotografi. Selain jualan novel KARIPAP-KARIPAP CINTA yang saya kira memberangsangkan berbanding novel terdahulu. Saya kira ramai juga yang sudah tahu tentang prospek novel itu akan diadaptasi ke bentuk filem. Juga beberapa teman sudah berutus emel untuk beberapa projek berkaitan produksi filem dan siri tv.
Tahun ini memang tahun sibuk saya.
Mungkin benar bak kata orang tua, rezeki anak.
Sejak kehadiran Eva Cempaka, anak perempuan saya, boleh kata rezeki saya agak murah. Alhamdulillah. Bagi saya rezeki itu untuk masa depan Cempaka juga kerana dialah sahaja fokus hidup saya sekarang.
Namun setelah mempunyai anak perempuan, tanggungjawab sudah bertambah dan saya mesti bjiak untuk membahagikan kehidupan yang dahulunya tertumpu pada tugas-tugas secara solo.
salah satu perkara yang perlu diambil berat ialah tugasan mengambil Cempaka di tadika. Disebabkan saya dan isteri saya bertaraf 'bekerja sendiri' maka kami harus berbincang awal tentang siapa yang free pada hari apa untuk mengambil Cempaka.
Sebagai contoh hari ini giliran saya kerana hari ini tiada tugasan mengambil gambar di lokasi. Sementelah isteri saya pula agak sibuk di galeri hari ini sebagai persiapan untuk pelancaran pameran artwork tiga warga emas - Sinaga-naga, Abdullah Jones dan Marini Rafar.
Saya tiba di depan tadika dua puluh minit lewat. Cempaka sudah berdiri merenung saya. Dia masuk membawa wajahnya yang masam.
"Sori, ada hal tadi, Pakcik Naga nak tanya pasal..."
"Tak payah kasi alasan. dah agak dah. Tiap kali turn abah mesti lambat punya," celah Cempaka.
Saya tersenyum. Meskipun baru menjejak usia tadika, Cempaka sudah petah dan pandai menyusun kata. Pastinya mengikut bakat saya, bukan isteri saya. Isteri saya, meskipun mempunyai galeri sendiri, bakatnya agaklah kurang. Mujur juga saya berminat untuk mengahwininya.
Tiba-tiba satu sms masuk. Dari isteri saya.
"KLCC DISERANG! DATANG SEGERA!"
Hati saya terdetak. Saya pandang Cempaka. Ah, kacau! saya bersama Cempaka. Takkan nak tinggalkan dia berseorangan. Kalau tak jadi apa-apa pun, maka minggu juga saya nak dengar leteran isteri saya.
"HANTAR CEMPAKA BALIK RUMAH SEKEJAP"
Saya balas sms itu.
Tak lama kemudian satu sms masuk,
"TAK SEMPAT"
Saya garu kepala.
Saya pandang Cempaka.
Cempaka angguk, "Tak apa, Cempaka pandailah cari tempat menyorok!"
Dengan hati yang berbelah bahagi saya membuat u-turn dan bergerak pantas ke kawasan KLCC.
Saya parking tidak jauh dari kawasan KLCC. Dari jauh saya sudah nampak sasaran saya. Orang ramai sudah mula bertempiaran lari.
Saya keluar kereta. "Tunggu dalam kereta! Kunci pintu!" arah saya.
Cempaka angguk.
"Jangan kemana-mana!"
Cempaka angguk lagi.
"Kalau ada orang suruh bukak pintu, jangan bukak!"
"Sempat KLCC tu runtuh abah kalau abah masih kat sini," balas Cempaka.
Saya angguk. Saya berlari ke arah KLCC.
Isteri saya sudah menunggu.
"Awak bawa Cempaka sekali?" soal isteri saya.
"Habis tu, mana sempat nak hantar balik rumah..." balas saya.
"Siap awak balik nanti!' kata isteri saya sambil menggelengkan kepala.
Aiseh, malam ni mengamuk lagi la isteri saya.
Kami lupakan sebentar soal rumahtangga. Di depan kami berdiri seekor raksasa bersaiz separuh KLCC.
Saya dan isteri saya menjerit "YAHHHHHH!!!'
Satu cahaya muncul dan kami bergabung menjadi ULTRAMAN ACE.
Akan berlakulah satu pertempuran yang maha hebat di tengah Kuala Lumpur.
Cempaka menyaksikan pertempuran itu dari jauh sambil tersenyum dan menjerit, "berusalah!"
Ketika Panda Cinta menghabiskan pembacaan buku '28 HARI JURNAL ROCK N ROLL' karangan saya, maksud saya, Mohd Jayzuan, bertanyalah dia siapa Mohd Jayzuan ini.
Saya pada mulanya hendak memarahinya kerana tidak mengenali lelaki dari Ipoh, sebuah kota yang memang tahap bestnya tak dapat ditandingi oleh Kuala Lipis terutamanya Kampung Tempoyang itu. Namun saya batalkan niat untuk memarahi dan merendahkan airmuka beliau kerana terfikir tahap pengetahuan beliau amat cetek kerana terlalu lama berkawan dengan arnab si peniup seruling.
Maka dengan panjang lebar dan bersemangat saya menerangkan perihal Mohd Jayzuan, dari zaman kugirannya Free Love sampailah ke penerbitan album bunyi-bunyian yang memuatkan lagu gadis TNB eleltrik dan sehinggalah lagu terbaru 'LELAKI JAZZ POP'.
Panda Cinta dengan penuh terpinga-pinga mendengar kisah hidup lelaki ini, yang mempunyai semangat juang mengalahkan Firdaus Abdillah dari Primary. Ini kerana Firdaus abdillah amat resah sekali untuk memulakan perjalanan seorang diri dari Ipoh ke pantai timur membawa ke Selatan dan ke utara Malaysia, seperti Mohd Jayzuan ini. Ini kerana Firdaus Abdillah itu, disebalik persona punk rock beliau, amatlah fragile bila berjauhan dengan kampungnya dan mudah menangis di malam hari. Ini dibuktikan semasa trip ke Bali bersama saya walhal trip itu cuma empat hari.
Berbalik kepada buku tulisan saya, errr Mohd Jayzuan ini, Sang Fruit Freud Press amatlah bijak mengambil peluang atas kegelisahan Mohd Jayzuan untuk menerbitkan anekdot-anekdot sepinya sepanjang 28 hari terpisah dari keluarga tersayang walaupun sebenarnya pada zaman facebook ini, berjauhan itu satu understatement kerana walaupun jauh, kita didekatkan dengan hati yang cinta.
Maafkan saya kerana terserong dari topik asal.
Membaca buku ini umpama membaca karya agung Nazri M. Annuar. Ini kerana kedua-duanya berasal dari Ipoh, yang mana tahap kegemilangannya melebih-lebih dari Kuala Lipis. Selain mempunyai barisan disko yang dum dam dum dam, Ipoh juga bertuah kerana mempunyai Mohd Jayzuan dan Nazri M. Annuar.
Cukuplah saya mengganggu sensitivi pembaca yang terasa payah dengan riak takbur saya. Moga-moga para pembaca mendoakan saya agar segera insaf dan pergi menunaikan Umrah.
28 Hari Jurnal rok n roll ini disusun (agaknya) mengikut kronologi perjalanan Mohd Jayzuan. Berbekalkan beberapa ringgit, gitar dan keping-keping album bunyi-bunyiannya, Mohd Jayzuan melakukan apa yang Firdaus abdillah tidak mampu lakukan, yakni menulis dan menghasilkan buku setelah usai mengembara.
Setiap persinggahannya penuh dengan karakter yang warna-warni. Secara peribadi saya amat menggemari catatannya di Ipoh kerana, iyalah, sebuah bandar yang terbaik. Ini boleh dibezakan dengan Johor Bahru yang tidak mempunyai catatannya di dalam buku ini selain raung Mohd Jayzuan. Saya amat pasti faktor utamanya kerana kehadiran lelaki jawa yang mengubah namanya menjadi nama porn-star yakni Ricky. Semoga Ricky beroleh hidayah dan menunaikan umrah.
Seperkara yang saya suka tentang catatan jurnal Firdaus abdillah errr, Mohd Jayzuan ini kerana beliau mengangkat manusia, perkara dan tempat yang dekat di hati kita (maksudnya saya, orang lain saya tak tahu). Saya tidak mahu tahu tentang lokasi pelancongan di Kuala Terengganu sebaliknya saya kini tahu kisah kedai bundle di situ. Terima kasih Mohd Jayzuan. Apa yang anda lakukan tidak mungkin dapat Firdaus Abdillah lakukan kerana beliau terlalu asyik dengan kerja-kerjanya sebagai pegawai propaganda Korea Utara.
28 Hari Jurnal Rock N RoLL bukan sekadar buku tentang perjalanan Mohd Jayzuan. Ia sebuah cermin kehidupan penulisnya. Pandangannya terhadap kesusahan hidup, tentang cabaran bercinta dan tentang nilai-nilai persahabatan. Pada hemat saya segala catatannya hasil curahan jujur dari hatinya. Melainkan Mohd Jayzuan sebenarnya tidak pernah pergi mengembara pun dan menulis berdasarkan catatan wikipedia. Namun saya yakin tidak kerana beliau lelaki dari Ipoh, sebuah kota yang melahirkan manusia jujur seperti saya.
Buku ini sebenarnya amat penting sebagai satu dokumentasi sejarah Malaysia. Iyalah, kalau nak harap nama Abdullah Jones termasuk dalam buku teks sejarah untuk pelajar sekolah menengah memang jangan haraplah melainkan beliau suatu hari nanti melaksanakan projek melukis mural seluruh bangunan KLCC. Itupun saya syak nama beliau tidak akan dimasukkan lantaran kurangnya nilai 1Malaysia di situ.
Pointnya, cerita dan segala hal ehwal yang ditulis oleh Mohd Jayzuan sebenarnya penting untuk generasi cucu saya (yang merupakan anak kepada anak saya hasil perkahwinan saya dengan wanita Perancis). Amat malanglah cucu saya jika hanya tahu sejarah menerusi buku teks sekolah yang sudahlah gaya bahasanya tidak mesra orang muda, maklumatnya pula digarap mengikut selera siapa Perdana Menteri ketika itu.
lantas, peri pentingnya buku ini sebagai satu alat dokumentasi menjadikan sesiapa yang belum membelinya, MESTI membelinya dan sesiapa yang sudah membelinya, MESTI membaca dan jadikan buku ini sebagai buku bacaan untuk anak anda semasa hendak menidurkannya. Boleh juga jadikan buku bacaan untuk menidurkan isteri anda, tapi kalau saya, buat apa saya nak kagumkan isteri saya dengan penulisan Mohd Jayzuan, nanti takut isteri saya terjatuh cinta dengan mainan bahasa Mohd Jayzuan lantas meninggalkan saya. Terpaksalah pula saya menulis sajak dan menulis novel kerana terlalu sedih ditinggalkan bini.
Semoga Mohd Jayzuan akan terus berjaya sebagai seorang pejuang seni. Saya mengangkat tabik atas sifat berani beliau untuk menjadi diri sendiri selain berani juga untuk berkawan dengan saya yang suatu hari nanti bakal menjadi legend.
28 Hari Jurnal Rock N Roll adalah 'must buy' untuk sesiapa yang mahu tahu apa itu kehidupan susah seorang seni. Kali ini dalam bentuk entiti bernama Mohd Jayzuan.
Saya akhiri ulasan ini dengan laungan 'Ipoh rok!'.
Blog Jayzuan: http://mohdjayzuan.blogspot.com/
Pertanyaan dan order: http://mohdjayzuan.blogspot.com/2010/05/cara-cara-untuk-pre-order-buku.html
Satu malam, ketika saya baru lepas gagal mengorat beberapa makwe facebook lantaran tidak rupawan dan tidak pula pandai bermulut manis, datang sms yang menceriakan hati saya. Dari makwe jauh saya, Audrey Tautou.
Saya kenal nombor itu yang diberikan oleh kawan saya Mr. Jeunet.
Sms pertama berbunyi:
"Salut, ce que vous faites?"
Saya jawab;
"Tak ada apa-apa, layan facebook, kat mana ni?"
Audrey: Paris, ne rien faire. Comment êtes-vous?
Saya: Biasa saja. Busy sikit. Tak ada shooting ke?
Audrey: La semaine prochaine. eh occupé? Vous avez des temps libre pour le thé?
Saya: Susah sikit sekarang. Kerja banyak. Datang Ukay la.
Audrey: Je n'ai pas renouveler mon passeport pour le moment. quand vous venez à Paris?
Saya: Peh, jauh tu. Ada apa-apa yang menarik di sana?
Audrey: moi, hehe
Saya: haha.
Audrey: Avez-vous vu Coco Before Chanel?
Saya: Oh, belum. Siapa berlakon?
Audrey: Vous ne savez pas l'actrice? maintenant je suis fou
Saya: err, kenapa? kenapa? ohhhhhh...
Audrey: Je ne veux pas parler avec vous plus
Saya: Alaa, merajuk pulak. Okey, saya beli DVD nanti.
Audrey: ne vous parle pas
Saya: Memang la, kita sms, bukan bersembang.
audrey tak balas-balas sampai sekarang. pening juga kepala saya. Merajuk la pulak. Satu hal nak kena pujuk. Tapi best moment merajuk-merajuk ni, pernah sekali tu audrey merajuk saya buatkan....
[rancangan ini diberhentikan untuk memberi laluan berita]

