ARKIB

FAVOURITE + AMBIL HATI

Archive for August, 2010

Firdaus Abdillah adalah pemuda harapan kampung Tempoyang. Orangnya belajar sampai Universiti. Tinggal di kampung mengusahakan ladang ayahnya. Tak pernah miss ke surau. Pada usia 25 tahun, dia sudah menunaikan ibadah haji lantas digelar Haji muda.

Tapi ada satu perangai Haji Firdaus Abdillah yang kurang disenangi kawan-kawan dan orang kampung. Perangai suka menghabiskan ayat dengan perkataan "Cewaaahhh"

++

"Cewaaahhhh Amin, pergi dating ke?" soal Haji Firdaus Abdillah.

"Ha ah," jawab Amin

"cewaaahhhh, bila nak kahwin?"

+++

"Pipi, tolong aboh angkat buah-buah kat dusun tu," arah ayah Firdaus.

"Cewaaaahhhh, dah berbuah ladang kita,"

+++

"Aji, cendol satu, cewaahhhhh!!!" laung Haji Firdaus di kedai cendol di pekan.

"Ko boleh tak berhenti?" marah Amar Amir, temannya.

"Cewaaahhhh, marah ke?" balas Haji Firdaus Abdillah.

+++

"Kenapa lambat?" soal Suzianatul Rasyidah (bukan nama sebenar), tunang Haji Firdaus Abdillah ketika lelaki itu tiba di depan pintu rumah.

"Cewaahhhh, itu pun nak merajuk?" ketawa Haji Firdaus Abdillah.

"Dah la sampai lambat, lepas tu bercewaahhh cewaahhhh pulak!"

"Cewaaahhhh, selalu marah cepat tua!" Haji Firdaus Abdillah tersenyum.

"Malas la nak keluar!" Suzianatul Rasyidah menutup pintu rumah.

"Cewaaahhhh, merujuk!"

+++

"Bawak-bawak berubah Haji Firdaus," ujar Imam Ismail Othman, seorang imam muda di kampung itu ketika sesi makan cendol di kedai Aji. "Orang kampung dah banyak mengadu"

"Ada berdosa ke? Cewaaahhhh," balas Haji Firdaus Abdillah.

"Berdosa tu idaklah, tapi tak baiklah jugak," balas Imam Ismail Othman.

"Cewaaahhhh, macam salahnya sama seperti aku mencuri pulak?"

"Idaklah sampai ke situ, cuma kita ni hidup bermasyarakat Pi, kena jugak sensitif dengan hati orang lain," nasihat Imam Ismail Othman.

"Cewaahhhh, gaya macam aku ni jahat,"

"Kadang-kadang aku sendiri pun rasa annoying dengan cewaahhh ko tu Pi," ujar Imam Ismail Othman lembut.

"cewaaahhh, ber-B-I imam muda kita, ingatkan tahu Bahasa Arab je,"

"Ko ni Pi, macam nak melampaui batas je tu, Apa imam tak boleh belajar BI ke?"

"Mana tahu, asyik ber-Al-Fatihah je, kot lupa nak ber-yes no, cewaahhhh,"

Imam muda Ismail Othman yang penyabar cuma diam mendengar kata-kata Haji Firdaus Abdillah. Dia tidak mahu menambahkan keruh. Sudah jelas Haji Firdaus Abdillah ini keras hatinya.

+++

Satu hari, seperti biasa, Imam Ismail Othman (imam muda) mengetuai jemaah solat Isya'. Seperti biasa juga Haji Firdaus Abdillah berada di saf pertama, di belakang imam Ismail Othman.

Tatkala usai Imam membaca Al-Fatihah, jemaah bersama-sama mengucapkan,

"Aminnnnnn..."

Tapi di celah-celah Amin itu, terdengar satu suara mengucapkan sebaliknya,

"Cewaaahhhh..."

+++

Sampai sekarang orang kampung tak percaya alasan Haji Firdaus bila dia katakan yang dia tidak sedar mulutnya mengucapkan "Cewaaahhhh", bukannya lafaz 'Amin' ketika mengaminkan Al-Fatihah si Imam.

Orang kampung sepakat mengatakan Haji Firdaus memang berniat nak bermain-main waktu solat. Dia tidak dipandang seperti dahulu lagi.

Ada yang mengatakan, itu balasan tuhan kerana memainkan Imam.

Wallahualam.

20 April 2010

Saya menghela nafas dan kemudian menghembus asap rokok terakhir sebelum mencucuh ke dalam bekas abu rokok.

Pandangan saya terlontar jauh ke bawah, ke laman rumah. Dari balkoni tingkat 3 itu saya dapat melihat kereta Volkswagen Golf GTI masuk dan parking di satu sudut laman. Dari  perut kereta itu keluar dua manusia. Satu dalam bentuk wanita dan satu lagi manusia kecil.

Saya tersenyum.

Saya menghidupkan sebatang Sampoerna.

Manusia wanita tadi naik ke tingkat 3, menjengah ke balkoni dan menegur saya,

"Baru habis sebatang, ni hisap sebatang lagi..." tegur dia.

"Mana ada? ni rokok pertama hari ni," balas saya.

"Hmm, yelah, puntung kat ashtray tu belum padam asapnya," balasnya.

Saya tersenyum. Tak hairanlah dia menjadi pegawai polis. Berpangkat pula tu.

"Pukul berapa nak siap?" soal wanita itu. "Nak gerak pukul berapa?"

"I mandi dulu," jawab saya. "Nak mandi sekali?"

"Tak mau, nanti lambat siap," balasnya dari dalam bilik.

Saya mencapai akhbar dan menyelak satu persatu lembarannya.

"SKANDAL VIDEO LUCAH FIRDAUS A?" saya ketawa membaca headline ruangan hiburan itu. Tak habis-habis. Saya tidak kenal sangat penyanyi pop bernama Firdaus A ini. Yang saya tahu, anak muda dari Kuala Lipis ini mula mencipta nama selepas memenangi pertandingan Bintang RTM beberapa tahun lalu.

Kata anak saya (yang perempuan), lagu-lagu Firdaus A ini boleh tahan sedap. Saya tahu Cempaka, anak perempuan saya amat menggilai Firdaus A, kalau tak, masakan poster URTV triple-spread boleh ditampal di depan pintu biliknya. Mahu tak mahu, terpaksa juga saya melihat aksi Firdaus A yang berkemeja tapi tak berbutang menampakkan susuk pusatnya dan berseluar pendek setiap kali saya melalui bilik Cempaka.

Saya selak lagi. Mata saya tertumpu pada satu berita, mengenai Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Rafidah Aziz yang menyelar ketua pembangkang, Datuk Sri Zaid Ibrahim sebagai pengecut. Saya menggelengkan kepala. Macam-macam. Saya masih ingat 2008 parti pimpinan Tan Sri Rafidah Aziz berjaya menumbangkan parti pemerintah ketika itu, sekaligus mengambil alih tampuk pemerintahan dari Perdana Menteri sebelum itu, Datuk Sri Anwar Ibrahim.

Dengar cerita parti si Rafidah Aziz juga mengalami tekanan dan parti pimpinan Zaid Ibrahim kini berada di pole posisition dalam pilihanraya akan datang.

Saya cuma mendoakan yang terbaik.

"Baca paper pulak?" jerkah wanita tadi. Dia sudah hampir siap. "Mandi sekarang!"

"You mandikan i? boleh?"

"Mengada-ngada, cepat-cepat! you tahukan malam ni malam penting untuk Cempaka?"

"Okey, okey..." saya bangun. Terus sahaja mencapai tuala dan masuk ke dalam bilik mandi.

Saya usai mandi dan berpakaian dan saya lihat wanita tadi belum juga siap.

Dia seperti tahu makna lirikan mata saya. Masakan tidak, sudah sepuluh tahun hidup bersama.

"Itu sebab i mandi dulu dan mula bersiap," dia bersuara bersahaja.

Kami turun ke bawah dan melihat Cempaka sudahpun siap.

"Sudah tak sabar?" saya mengusap kepala Cempaka. Cempaka tersenyum.

Di dalam BWM, saya melihat Cempaka begitu teruja sekali. Ah, masakan tidak. Saya turut bangga dengan pencapaian Cempaka. Lebih dari 20 juta permohonan seluruh dunia, dan 250,000 dari Malaysia sahaja, Cempaka menjadi satu-satunya rakyat Malaysia untuk menyertai 29 pelajar lain di seluruh dunia untuk program angkasalepas ini.

Dialah cinta hati saya. Dari buku pertama yang Cempaka baca (KURA-KURA YANG ANEH - karya penulis/pelukis buku kanak-kanak bertaraf dunia - Azalan Hussain - menang 4 anugerah buku kanak-kanak antarabangsa) kini dia sedang menghabiskan The Origin Of Species.

Saya melemparkan pandangan ke luar. BWM kami menyusuri bandaraya Ipoh yang pesat membangun. Kami melewati sebuah banguna enam belas tingkat yang jelas terpampang - WISMA NAZRI.

Hati saya menadah syukur ke hadrat ilahi. Tanpa rezekinya, mana upaya saya menjadi pengarah urusan untuk sebuah firma Kejuruteraan bertaraf antarabangsa. Rezeki saya juga kerana mempunyai isteri yang parasnya seperti Erra Fazira tapi versi polis. Dan Cempaka yang bijak dan cilik.

Di corong radio kedengaran lagu 'GADIS ELEKTROMAGNET' nyanyian Mohd Jayzuan, yang merupakan penyanyi kelahiran Ipoh.

BWM saya terus menyusuri jalan kota metropolitan Ipoh, yang jauh lebih maju dan berdaya saing berbanding Kuala Lipis, yang hanya mempunyai penyanyi bernama Firdaus A.

"agaknya inilah yang dinamakan Trankuiliti Ipoh..." bisik saya sendirian.

Kehkehkeh.

Bacaan tambahan: The Original Trankuiliti Tronoh

Sembang Kencang's Trankuiliti Tronoh

Hilang Punca's Trankuiliti Tempoyang

Saya menghempas akhbar. Celaka punya wartawan!

Kepala saya ligat berpusing, mencari titik punca bagaimana rahsia ini mula tersebar.

Tittt! Titttt!

Ah! Juliana Evans call.

Saya angkat.

"You dah baca?" soalnya.

"Ya..." jawab saya lemah sambil menatap headline akhbar yang saya hempas tadi: "PENGARAH TERNAMA CURANG?" dengan subheadline: "Gosip hubungan Nazri M. Annuar dan Juliana Evans terbukti benar?"

Ini memang menjadi kepakaran media. Aksara TANDA SOAL.

"You dah janji yang you akan handle dengan baik!"

"Jue, dengar sini..." saya bersuara lembut,

"I...i..." kedengaran suara Juliana Evans teresak-esak. "You tau tak, Razaisyam Rashid dah drop i dari berlakon filem dia, PA dia call tengah hari tadi."

"Alaaa, banyak lagi pengarah lain yang nak ambil you. Nanti i try kontek Bainun Waheeda, dengar cerita projek filem Third Hand Lover dia dah nak jalan," pujuk saya.

"Tapi you tahukan i original actress untuk My Indie Hip Hop Darling ni?" Juliana Evans sudah hampir hendak menangis. Saya angguk. Tidak dapat dinafikan kerjaya Jue, nama manjanya yang sering saya panggil mula naik setelah berlakon dalam filem Razaisyam Rashid, My Indie Blues Darling. Filem yang nyaris mewakili Malaysia ke Canness itu (hanya tewas di tangan filem seorang pengarah kontroversi, Dean Sham - TERSADAI). Selepas My Indie Blues Darling, Juliana terus membintangi sekuelnya, My Indie Progressive Rock Darling yang turut mendapat sambutan hangat. Maka kemudian lahirlah sekuel kepada sekuel, My Indie Hip Hop Darling.

"I will sort it out darling,"

"Please..."

"Okey, got to go..."

"I love you..." bisik Jue.

"Hmmm," jawab saya (lelaki ego tinggi kena balas hmmm sahaja).

Pintu di ketuk.

"Assalamualaikumwarahmatullahhiwabarakatuh," seorang lelaki berserban, berjubah putih dan berjanggut panjang dengan dahi lebam menyapa saya.

"Eh, Pipi, bila kau balik dari Syiria?" soal saya.

"Dua hari lepas," jawab Pipiyapong.

"Bagaimana dengan scene tabligh di Syiria?"

Pipiyapong angguk, "Alhamdulillah. Aku dengar banyak cerita hangat pasal kau?"

Saya tersengih sambil mempersilakan dia duduk.

"Apa khabar Lisa?" soal Pipiyapong.

"Dia sihat..." jawab saya.

"Kau masih sayangkan Lisa?" soal Pipiyapong.

Saya gumam. Tidak menjawab soalan Pipiyapong.

"Dia datang mengadu pada kau?" soal saya pula.

Pipiyapong angguk.

Saya tidak marah tindakan Lisa. Saya faham. Malah sebenarnya saya harus berterima kasih atas jasa Pipiyapong. Kalau tak kerana kepandaian tarbiah Pipiyapong, wanita bernama Melissa Gilbert itu takkan menukar namanya kepada Lisa Abdullah dan mengahwini saya.

"Jauh dia berhijrah. Dari Hawaii ke Malaysia. Dan lagi jauh dia berhijrah...dari seorang Kristian kepada seorang muslimah, besar pengorbanan dia..."

Peh, sejak akhir-akhir ini segala kata-kata Pipiyapong memang saya tak boleh nak balas. Tinggi ilmunya sejak belajar dan menetap di Syiria. Jauh beza ketika dia berlakon dalam POMEN, filem pertama saya dua puluh tahun yang lepas.

Saya bungkam, membiarkan bias-bias cahaya mentari petang menyentuh diri.

Ah, Lisa isteriku, Juliana cintaku...

.....

Saya mulakan entri ini dengan statement: Puasa di bulan Ramadhan adalah ibadah yang paling senang sekali dalam banyak-banyak ibadah yang disuruh tuhan. Sekurang-kurangnya untuk diri saya, orang lain, untuk saya tak tau, ini blog saya dan saya tak ada rancangan hendak cerita tentang orang lain kali ini.

Okey, bukanlah statement di atas berniat menunjuk bagus, juga tidak untuk berpolemik dan harus faham - saya memberikan statement peribadi, jika yang lebih arif terperasan saya memberikan salah tafsiran, boleh sahaja betulkan di ruangan komen.

Terpanggil membuat entri ini bila sejurus sebelum puasa hari itu saya di stereotaip oleh Sinaga-naga sebagai culas berpuasa hingga keluar dari mulutnya "cuba-cubalah bawak berpuasa".

Saya separuh terkejut namun tidaklah juga marah. Saya faham stereotaip itu memandangkan sahsiah akhlak saya yang ramai kenali menjuruskan lahirnya stereotaip tersebut. Lagipun bukanlah kali pertama saya distereotaip oleh orang-orang sekeliling saya. Tambah-tambah hal percintaan saya. Ramai yang lebih faham tentang diri saya berbanding saya sendiri, Hebat mereka-mereka ni.

Namun hasil; stereotaip itu juga mencetus sesuatu yang saya tidak perasan sebelum ini.Ya, Dalam banyak-banyak ibadah, secara peribadi, berpuasa merupakan kejayaan gemilang saya dalam menjadi seorang muslim (ya, tertakluk jua samada amalan itu diterima, tapi itu cerita lain kan? Yang penting pelaksanaan sudah dijayakan). Malah rekod berpuasa saya jauh gemilang meninggalkan amalan lain termasuk....ehem, yang lima waktu itu.

Dan secara peribadi, saya tidak terasa beban langsung dengan berpuasa ini.

Dan sekali lagi saya ingatkan, statement saya bukan hendak membangkitkan riak.

Kenapa?

Mungkin salah satu faktor datangnya kerana saya datang dari latar yang miskin, di mana mungkin tidaklah sampai kebulur seperti orang Afrika tapi tidak juga kenyang seperti anak raja.

Zaman sekolah membawa ke Universiti, tidak makan itu sudah dilatih dek kerana miskinnya saya. Saya masih ingat di mana saya pernah tidak menjamah hatta sekeping biskutpun dalam jangka waktu 2 hari. Untuk saya lamalah tu. Kalau ada teman yang lebih lama tak makan hatta sekeping biskutpun lebih dari 2 hari, saya berikan simpati. Anda miskin.

Okey, itu bab makan dan minum. Makanya menahan dari perkara-perkara yang membatalkan puasa yang lain saya turut harungi dengan jayanya. Come on, takkanlah lemah sangat daya tahan diri menonton porno kot? Bab menonton buah dada wanita, itu juga saya kira agak enteng memandangkan ramai wanita juga lebih terjaga adabnya tatkala Ramadhan.

Satu method saya suatu ketika dahulu ialah dengan menyibukkan diri bekerja. Masuk pejabat di waktu pagi, terus sibukkan diri dan...zasss, sudah petang dan hendak pulang untuk ke bazaar ramadhan. Ulang method tersebut sebanyak 24 hari. Settle.

Cabaran puasa saya datangnya dari nikotin. Peh, cabaran itu lebih besar dari makan dan minum. Sejauh mana besarnya pengaruh nikotin terhadap diri saya?

Beginilah, pada satu hari di zaman belajar saya, saya lapar dan seorang rakan bersimpati dengan memberikan RM5. Saya tak beli nasi sebaliknya beli sekotak nikotin.

Seperti yang sudah dijelaskan di atas, bukanlah hendak meninggi-ninggikan diri kerna saya tahu puasa saya jauh dari sempurna dari kalian yang lain, tapi sekadar berkongsi rasa dan membuat perbandingan peribadi.

Jadi selamat berpuasa, ya, puasa bukan sekadar menahan makan dan minum yadda yadda yadda...

Hmmm, mana kueh pau dan air ribena tadi? Kehkehkeh...

Tak ramai yang tahu Pipiyapong mempunyai mesin masa.

Sudah banyak tempat kami lawati. Zaman Napoleon, zaman kancil pi terajang anjing Parameswara, zaman Columbus sesat tak reti guna kompas dan tersesat ke benua Amerika walhal nak ke India.

Hari ini, seperti biasa, bagi menghilangkan bosan, kami menggunakan mesin masa sekali lagi.

Kali ini kami mahu ke Temasek, ketika hari Singapura dilanggar todak. Saja nak tengok macam mana dia punya horror ikan-ikan tu belasah manusia.

Setelah key in maklumat yang diperlukan, ZASSS, kami hilang dan...

Muncul di Temasek.

Peh, timing memang tepat. Ketika itu memang Temasek sedang heavy di serang todak. Entah apa hal todak ni marahkan sangat dengan Singapura, saya pun tak pasti. Nak kata sebab larangan tak boleh makan chewing gum, waktu itu Sultan dia belum jual ke orang Puteh lagi. Rasanya trend pembesar Melayu menggadai pusaka bangsa masih belum hip lagi.

"Singapura ini dilanda bala," ujar Pipiyapong tiba-tiba, "hatta kerna wali dari Pasai, Tuan Jana Khatib dibunuh oleh Paduka Seri Maharaja Singapura,"

Peh, saya terkesima melihat betapa tingginya ilmu pengetahuan mamat selenge ini.

Saya lihat semakin ramai rakyat Singapura yang mati kerana membentengkan serangan todak itu dengan betis mereka. Inilah contoh bagaimana bangsa yang bangang mengikut aja suruhan 'raja' yang kununnya datang dari keturunan mistik itu. Sifat-sifat bangang itu nampak masih mengalir pada sesetengah keturunan bangsa itu.

"Mana Hang Nadimnya?" soal saya.

"Tu!"

Saya dan Pipiyapong jelas melihat Hang Nadim sedang bersiap sedia untuk menghalakan betisnya di tepi laut.

"Apa kejadahnya dia buat tu? Bukan dalam sejarah tulis dia mamat genius yang kasi idea kat Raja suruh letak batang pisang kasi tahan itu todak?" soal Pipiyapong.

Seekor todak jelas sedang melayang ke arah Hang Nadim. Pantas Pipiyapong membuat gerakan The Matrix (semua tiba-tiba jadi slo-mo) dan menolak Hang Nadim dari dicederakan oleh todak.

"Weh, apa yang ko buat?" soal Pipiyapong.

"Raja suruh tahan betis, hamba menurut perintah daulat tuhanku," jawab Hang Nadim.

"Kepala banar ko," balas saya. "Bukan ke kau sepatutnya budak pandai?"

Setelah bersoal jawab kami mendapati Hang Nadim ini langsunglah tidak genius mana.

"Macam ni, kita tak ada masa ni, sekarang kau pergi jumpa raja, cadangkan pada raja, dirikan batang-batang pisang di seluruh pinggir laut, biarkan todak-todak itu terperangkap di batang pisang itu dan kemudian bunuhlah todak-todak itu," Pipiyapong mengajar Hang Nadim.

Hang Nadim angguk,

"Faham tak?" soal saya.

"Jumpa Raja, suruh dia datang ke pinggir batang pisang, isi air laut..."

"Apakejadah!" Pipiyapong menampar Hang Nadim.

"Aku rasa Tun Seri Lanang tukang tulis cerita ni dah salah fakta ni," tambah saya. "Tak genius pun budak ni, sengal lagi adalah,"

"Dengar baik-baik!" Pipiyapong memulakan sekali lagi, "mula-mula ko pergi...."

Setelah empat kali mengajar, Hang Nadim angguk tanda faham. Dia berlari ke istana dan memberitahu strategi melawan todak seperti yang diajarkan oleh Pipiyapong. Habislah semua batang pisang di seluruh Temasek dan Johor Bahru ditebang  dan didirikan di sepanjang persisiran pantai.

Todak-todak yang melayang dari dalam laut itu terperangkap di batang-batang pisang dan rakyat Temasek yang berselindung di sebaliknya pantas mencincang setiap ekor todak yang terperangkap.

Akhirnya habislah todak-todak itu dibunuh dan Temasek selamat dari mengalami massacre seperti Orang Yahudi.

Rakyat bersorak gembira. Punyalah suka sultan kerana mempunyai anak watan yang cukup bijak tanpa perlu menghabiskan duit membayar yuran pengajian keluar negara sepertimana yang ramai Pak Menteri Malaya lakukan terhadap anak mereka.

Hang Nadim pantas diberikan gelaran Datuk dan pelbagai pihak sudah mula berkira-kira hendak mengambilnya bekerja. Hang Nadim berdiri di bucu anjung seri istana, di lereng bukit dan melambai-lambai ke arah rakyat yang bersorak di bawah bukit. Dia mengapai-gapai tangan menyahut sorakan rakyat sementara Maharaja dan pembesar-pembesar bertepuk tangan di belakang Hang Nadim.

"Tahniah! Kau akan jadi terkenal!" Pipiyapong menepuk Hang Nadim. Hang Nadim terkejut, hilang keseimbangan dan terjatuh ke bawah bukit, bergolek dan kepalanya terhempas ke batu. Hang Nadim mati sepuluh minit kemudian akibat pendarahan kepala.

Saya menoleh ke arah Tun Seri Lanang yang terpaku memandang insiden itu. Pena dan helaian notanya terpegang erat.

Saya memeluk leher Tun Seri Lanang dan mula berbisik, "okey...jangan panik, takkan kau nak tulis budak tu mati sebab kemalangan kan, kau nak ending cerita kau dramatik, begini, kau tulis, ada menteri yang....."

TAMAT

Uses wordpress plugins developed by www.wpdevelop.com Blog Protected Using Content Protecter By PcDrome.