ARKIB

FAVOURITE + AMBIL HATI

Archive for September, 2010

POM! POM! POM!

Suasana seperti siang, walhal malam. Api-api letupan menerangi alam.

Letupan di mana-mana sahaja. Hati yang goyah biasa saja membuatkan diri menangis.

TRATTT! TRATTT! TRATTT!

Peluru bersimpang siur. Pernah pergi di mana kelkatu begitu banyak hingga merimaskan jiwa? Lagaknya seperti itulah. Silap seinci, TAP! Peluru tertanam di tubuh.

Kapten Ismail Othman bukan calang-calang ketua. Dia pakar strategis. Itu sudah ditunjukkan sejak di kem rekrut lagi. Ramai panggil dia genius tentera. Kalau dia mampu bertahan di perang ini, dan beri masa lebih sedikit, dia mampu menjadi Jeneral askar Malaysia.

29 orang melawan kekuatan sekitar 4 ribu orang. Dan akan tiba 15 ribu lagi dalam masa sejam.

'Pintu masuk' tentera musuh hanya ada satu. Melalui satu jalan (bekas lebuhraya) di kirinya gunung ganang. Menanti di muka pintu adalah kubu kami yang disusun kukuh menahan asakan.

Beberapa perangkap kami bina sepanjang jalan sebelum sampai ke pintu masuk. Perangkap-perangkap itu untuk menyukarkan kemaraan kereta kebal musuh. Strategi itu berjaya memperlahankan kenderaan-kenderaan yang mampu memusnahkan kubu kami.

Tapi infantri musuh tetap mara dan menghujankan kami dengan peluru, roket, mortar dan segala aneka juadah maut kami.

29 lawan 4 ribu, itu mustahil.

Satu demi satu rakan-rakan kami terkena bedilan musuh.

Saya memandang Firdaus Abdillah yang menurunkan kepala tatkala hujan meluru melintasi ruang atas kami.

"Aku tak cukup peluru nak bunuh semua musuh ni," ujar Firdaus Abdillah. "Kau ada peluru lebih?"

"Ha ha ha ha!" saya ketawa. Kami bingkas bangun kembali dan melepaskan tembakan bertalu-talu.

Jayzuan bergerak pantas naik ke satu menara. Dia mencapai mesin-gan besar. Pengemudinya sudah maut. Kini giliran Jayzuan untuk meneruskan perjuangan menara itu.

TRATTT! TRATTT! TRATTT! hujan peluru membantai barisan musuh. Satu persatu gugur.

Razaisyam Rashid mengambil satu sudut tinggi. Pakar sniper yang bijak mencari peluang. Satu persatu kepala musuh menjadi mangsa pelurunya.

Sebuah kereta kebal muncul lagi. Kemunculannya bakal mengundang petaka. Ia mesti dimusnahkan.

Luca bangun. Dibahunya tersemat Panzerfaust 3, sebuah RPG anti-kereta kebal. Ditalakan ke arah kereta kebal musuh. ZRASSSS, roket meluncur laju memusnahkan kereta kebal tersebut. Luca berteriak gembira.

Tapi musuh tetap mahu mara.

"Firdaus Ahmad!" laung Kapten Ismail Othman. "Kembali ke posisi!"

Firdaus Ahmad yang sudah berada agak ke terdepan angguk. Dia merangkak untuk berpatah ke kubu utama. Namun tatkala dia bangun untuk naik menyeberang guni-guni pasir, beberapa das tembakan mengenai tubuhnya.

"Ya Allah!" Firdaus Ahmad jatuh.

"Pidomat!" jerit Rizal Gunx, bilal untuk platun kami. Dia bangun hendak mendapatkan Ustaz Firdaus Ahmad.

"Jangan pedulikan aku!" jerit Ustaz Firdaus Ahmad.

Ustaz Firdaus Ahmad menjerit sambil melepaskan tembakan bertalu-talu. Namun musuh membalas dan beliau gugur di tepi guni pasir itu.

Sementara itu Firdaus Abdillah ternampak prebet Anip sedang terketar memeluk lutut di satu sudut. Dia bingkas mendapatkan prebet Anip.

"Kau kenapa prebet Anip?"

"Aku...aku...aku..." dia terketar-ketar.

Firdaus Abdillah memandangku. Saya angguk. Kami berdua dapat mengagak prebet Anip terkena apa yang kami panggil sindrom 'Dean Sham'.

Dean Sham adalah kapten kami sebelum Ismatil Othman. Namun dalam satu operasi, beliau mengalami breakdown. Lantas menanggalkan semua pakaiannya dan berlari ke arah musuh. Kesudahannya, hmmm, semua boleh agak la kan. Beliau gugur tanpa seurat benang. Sejak itu pakar psikologi tentera menggelar sesiapa yang terkena simtom itu sebagai 'Sindrom Dean Sham'.

"Anip!" Firdaus Abdillah menampar pipi prebet itu. "Kuatkan diri kau!"

"Tapi bang...saya...saya..,"

PANG! Satu lagi tamparan hinggap. "Kau adalah askar Malaysia! Hari pertama kau menjadi askar, kau sudah mengikat sumpah untuk mati kerana negara ini! Masih ingat lagi sumpah kau?" tempik Firdaus Abdillah.

prebet Anip tersedu-sedu.

"Mana sumpah kau? Masih ingatkah kau?!!!" tempik Firdaus Abdillah.

Saya membiarkan Firdaus Abdillah menguruskan prebet Anip. Saya bergerak mendapatkan Sarjan Hatta. Sarjan Hatta sudah terkena tembakan di lengannya. Dia usai membalut lukanya dengan kain.

"Kau jaga posisi ni, aku nak pergi serahkan roket pada Luka," ujar Sarjan Hatta. Saya angguk. Sarjan Hatta pantas bergerak.

Tidak jauh dari situ saya lihat Amar Amir masih teguh di posisinya. Kerut di wajahnya menggambarkan segala-galanya. Saya tahu Amar Amir agak hilang fokus.

Nun jauh di Kuala Lipis (antara daerah yang selamat terlindung dari api perang), Fazleena merenung ke luar tingkap. Dia tidak mendengar khabar dari Amar Amir. Selalunya kalau dia terputus komunikasi dengan Amar Amir, Fazleena boleh sahaja menghubungi rakan kampung suaminya, Firdaus Abdillah atau rakan sekuliahnya di Universiti Melbourne dahulu, Nazri Mohd Annuar, merangkap bakal adik iparnya untuk bertanya khabar. Namun kali ini, dia tidak dapat menghubungi sesiapa pun.

Naluri isteri seperti sedang berbisik sesuatu yang tidak kena. Fazleena berharap agar itu hanyalah mainan perasaan. Namun selalunya naluri sang isteri amatlah kuat. Fazleena menghela nafas gusar. Dia menoleh ke arah si anak yang baru lahir tidak sampai sebulan. Harapannya cuma satu - si anak dapat bertemu dengan ayahnya.

Sementara itu, di medan perang.

Signaller Rostam Mustapha memberikan maklumat terkini pada Kapten Ismail Othman. Batalion Tentera Malaysia akan tiba dalam jangka waktu setengah jam lagi.

"Syukur!" ucap Kapten Ismail Othman. "Lebih awal dari apa yang kita jangkakan!"

DUMMM! Satu letupan dari pelancar roket musuh memusnahkan satu kubu guni pasir dan dua penghuni di dalamnya terpelanting tidak bernyawa.

Kapten Ismail Othman kembali gusar. Dia tahu akan ada lagi anak buahnya yang gugur. Namun kubu ini mesti terus dipertahankan.

"Rostam..."

Belum sempat Kapten Ismail Othman habis memberi arahan,

ZUPPP! satu peluru menembusi kepala signaller Rostam.

Kapten Ismail Othman mengetap bibir. Dia tahu lambat laun akan ada peluru yang singgah di tubuhnya.

Tapi tidak sebelum dia mengirimkan peluru-peluru mautnya ke tubuh-tubuh musuhnya terlebih dahulu.

Itu ikrar seorang pejuang negara yang cuba mempertahankan maruah negaranya dari penceroboh.

Itu ikrar Platun Arnab Liar hari ini!

Bersambung pada 12:33 tengah malam esok

Gulp! Gulp! Gulp!

Rakus Firdaus Abdillah meneguk air kosong. Botol yang tadinya separuh kini sudah kosong. Botol itu diselitkan di sisi beg.

Firdaus memandangku, menyedari saya dari tadi melihat kelakuannya.

"Belum habis imsak. Lagi seminit," suaranya seakan tahu apa yang bermain di hati saya. Ah, masakan tidak. Kami sudah bersama sejak pertama kali menjejak kaki ke kem rekrut. Persahabatan yang sudah dibina sejak bertahun lalu. Kini di platun yang sama, mengerjakan banyak operasi bersama dan sama-sama berjuang dalam perang ini.

"Kita bergerak," Kapten kami, Ismail Othman bangun. Dia sudah menerima arahan radio. Kami diarahkan untuk berkubu di satu lokasi bagi mengawasi kemaraan musuh.

Platun Arnab Liar (platun kami) seramai 33 orang bergerak menyusuri jalan.

"Kau nampak orang gembira?" Firdaus Abdillah menegurku. Saya angkat kening, tanda tidak mengerti. Firdaus Abdillah memberi isyarat kepala, ke arah rakan platun kami, Amar Amir yang nampak tersenyum-senyum. tidak menyedari dirinya diperhatikan.

"Hoi. nampak jalann tak?" soal saya kepada Amar Amir.

"Hah?"

"Sengih sampai ke mata," tambah Firdaus Abdillah.

Amar Amir tidak membalas. Dia terus tersengih. Dia mengerti apa yang dimaksudkan oleh teman-temannya. Terbayang surat yang diterimanya tengah malam tadi dari isterinya yang mengkhabarkan bahawa dia telah selamat melahirkan anak mereka.

"Apa nama anak kau?" soal Luca, seorang lagi teman yang mendengar perbualan kami.

"Kalau perempuan namanya Amleena, kalau lelaki namanya Fazmir, kah kah kah kah kah" Firdaus Abdillah membuat gurauan menggabungkan nama Amar Amir dengan isterinya Fazleena.

Kami ketawa terbahak-bahak.

"Hoi, nak mampus kena tembak?" sound Ustaz Firdaus Ahmad yang berada di depan. Kami panggilnya ustaz kerana dia yang paling warak dalam platun kami. Yang paling berdosa sudah tentulah Firdaus Abdillah.

Kami terdiam. Namun sengih masih belum lekang dari bibir masing-masing.

"Kalau kau nak nasihat kebapaan, tanya pakar ni," saya menepuk bahu Firdaus Abdillah. Ayah kepada empat orang anak. Semua perempuan.

"Kepala bana ko," balas Firdaus Abdillah.

"Eceh, nampak macam tough," Razaisyam Rashid mencelah. "Dua hari lepas nampak berair jugak mata masa bercakap dalam phone,"

"Sedih okey," balas Firdaus Abdillah. "enam bulan aku tak jumpa diorang,"

Saya angguk. Walaupun tak sama, tapi saya memahami sentimennya. Saya sendiri sudah enam bulan tidak ketemu tunang saya.

"Jangan risau," ujar Jayzuan pula. "Habis perang, kita akan jumpa orang-orang yang tersayang"

"Kau tahu ke bila perang nak habis?" soal Luca.

"Sikit lagi..."

"Minggu lepas kau cakap benda yang sama juga," kata Luca lagi.

"Aku dengar ada khabar angin mengatakan Perdana Menteri kita sudah berura-ura nak mengadakan pertemuan dengan ketua negara musuh. Katanya nak buat rundingan hentikan perang,"

"Rundingan?" Firdaus Abdillah mencelah. "Rundingan apanya kalau setiap hari tentera musuh makin mara ke KL ni? Kau tahu diorang dah betul-betul berada di sempadan Selangor?"

Jayzuan tidak menjawab. Kami bungkam bila mengenangkan perang yang melanda negara kami.

+++

Jam 1302 di sekitar kawasan Sungai Buloh, kami bertembung dengan satu pertempuran kecil antara askar Malaysia dan askar musuh. Kami tiba lewat lantas gagal untuk menyelamatkan platun askar Malaysia itu. Namun pasukan musuh juga telah menjadi lemah lantaran sudah digasak hebat oleh platun Malaysia itu. Platun kami berjaya membunuh semua anggota pasukan musuh walaupun pihak kami terpaksa membayar dengan korban seramai empat orang.

Namun Kapten Ismail Othman sempat bertemu dengan salah seorang anggota platun Malaysia yang sudah nazak. Dia sempat memberikan maklumat tentang kemaraan regimen musuh yang besar dari Selatan.

+++

Jam 2134, Razaisyam Rashid pulang ke lokasi kami bertahan dengan membawa maklumat penting. Tambahan Kapten Ismail Othman turut mendapat khabar melalui komunikasi radio dari pangkalan utama.

Kira-kira sejam lagi, satu regimen tentera musuh akan melalui kawasan kami. Dan dalam jarak sejam di belakang regimen itu pula, kuranglebih 15,000 tentera musuh bergerak lengkap dengan kereta kebal dan segala aneka senjata yang boleh mereka bawa. Sudah terang lagi bersuluh hanya satu objektif mereka - KUALA LUMPUR!

Kemaraan musuh harus disekat dan kubu kami merupakan satu-satunya pintu masuk kemaraan musuh. Jika musuh berjaya melintasi kubu kami, maka operasi menawan Kuala Lumpur menjadi semakin mudah.

Namun berita dari pangkalan utama membuatkan kami menjadi bingung. Batalion tentera Malaysia yang paling dekat dengan kami sedang hebat digasak musuh dari Timur. Batalion itu yang sepatutnya datang mengambil-alih posisi kami.

Lantas regimen bantuan dari Utara telahpun digerakkan untuk mengambil alih kubu ini.

Namun...masa menjadi penentunya.

Kapten Ismail Othman membuat perkiraan. Regimen dari utara itu hanya akan tiba kira-kira satu jam setengah lagi. Amat mustahil untuk mereka tiba lebih awal.

"Jadi nampaknya dah jadi tugas kita untuk menghalang musuh sebelum tibanya regimen utara," ucap Firdaus Abdillah sambil mencekah senjata.

"Nampak gayanya begitulah," jawab Kapten Ismail Othman.

29 orang akan cuba menghalang kemaraan 3 hingga 5 ribu tentera musuh.

Saya menoleh ke belakang, walaupun tidak nampak oleh pandangan mata kasar, saya khayal membayangkan Kuala Lumpur, dengan KLCC, bangunan-bangunan pencakar langit, kanak-kanak berlari riang, Fazleena yang sedang mendodoikan anaknya, anak-anak Firdaus yang sedang menunggu depan pintu rumah dan tunang saya...

Mereka mesti dipertahankan.

Siapa lagi kalau bukan kami...

Bersambung

Uses wordpress plugins developed by www.wpdevelop.com Blog Protected Using Content Protecter By PcDrome.