ARKIB

FAVOURITE + AMBIL HATI

Gulp! Gulp! Gulp!

Rakus Firdaus Abdillah meneguk air kosong. Botol yang tadinya separuh kini sudah kosong. Botol itu diselitkan di sisi beg.

Firdaus memandangku, menyedari saya dari tadi melihat kelakuannya.

"Belum habis imsak. Lagi seminit," suaranya seakan tahu apa yang bermain di hati saya. Ah, masakan tidak. Kami sudah bersama sejak pertama kali menjejak kaki ke kem rekrut. Persahabatan yang sudah dibina sejak bertahun lalu. Kini di platun yang sama, mengerjakan banyak operasi bersama dan sama-sama berjuang dalam perang ini.

"Kita bergerak," Kapten kami, Ismail Othman bangun. Dia sudah menerima arahan radio. Kami diarahkan untuk berkubu di satu lokasi bagi mengawasi kemaraan musuh.

Platun Arnab Liar (platun kami) seramai 33 orang bergerak menyusuri jalan.

"Kau nampak orang gembira?" Firdaus Abdillah menegurku. Saya angkat kening, tanda tidak mengerti. Firdaus Abdillah memberi isyarat kepala, ke arah rakan platun kami, Amar Amir yang nampak tersenyum-senyum. tidak menyedari dirinya diperhatikan.

"Hoi. nampak jalann tak?" soal saya kepada Amar Amir.

"Hah?"

"Sengih sampai ke mata," tambah Firdaus Abdillah.

Amar Amir tidak membalas. Dia terus tersengih. Dia mengerti apa yang dimaksudkan oleh teman-temannya. Terbayang surat yang diterimanya tengah malam tadi dari isterinya yang mengkhabarkan bahawa dia telah selamat melahirkan anak mereka.

"Apa nama anak kau?" soal Luca, seorang lagi teman yang mendengar perbualan kami.

"Kalau perempuan namanya Amleena, kalau lelaki namanya Fazmir, kah kah kah kah kah" Firdaus Abdillah membuat gurauan menggabungkan nama Amar Amir dengan isterinya Fazleena.

Kami ketawa terbahak-bahak.

"Hoi, nak mampus kena tembak?" sound Ustaz Firdaus Ahmad yang berada di depan. Kami panggilnya ustaz kerana dia yang paling warak dalam platun kami. Yang paling berdosa sudah tentulah Firdaus Abdillah.

Kami terdiam. Namun sengih masih belum lekang dari bibir masing-masing.

"Kalau kau nak nasihat kebapaan, tanya pakar ni," saya menepuk bahu Firdaus Abdillah. Ayah kepada empat orang anak. Semua perempuan.

"Kepala bana ko," balas Firdaus Abdillah.

"Eceh, nampak macam tough," Razaisyam Rashid mencelah. "Dua hari lepas nampak berair jugak mata masa bercakap dalam phone,"

"Sedih okey," balas Firdaus Abdillah. "enam bulan aku tak jumpa diorang,"

Saya angguk. Walaupun tak sama, tapi saya memahami sentimennya. Saya sendiri sudah enam bulan tidak ketemu tunang saya.

"Jangan risau," ujar Jayzuan pula. "Habis perang, kita akan jumpa orang-orang yang tersayang"

"Kau tahu ke bila perang nak habis?" soal Luca.

"Sikit lagi..."

"Minggu lepas kau cakap benda yang sama juga," kata Luca lagi.

"Aku dengar ada khabar angin mengatakan Perdana Menteri kita sudah berura-ura nak mengadakan pertemuan dengan ketua negara musuh. Katanya nak buat rundingan hentikan perang,"

"Rundingan?" Firdaus Abdillah mencelah. "Rundingan apanya kalau setiap hari tentera musuh makin mara ke KL ni? Kau tahu diorang dah betul-betul berada di sempadan Selangor?"

Jayzuan tidak menjawab. Kami bungkam bila mengenangkan perang yang melanda negara kami.

+++

Jam 1302 di sekitar kawasan Sungai Buloh, kami bertembung dengan satu pertempuran kecil antara askar Malaysia dan askar musuh. Kami tiba lewat lantas gagal untuk menyelamatkan platun askar Malaysia itu. Namun pasukan musuh juga telah menjadi lemah lantaran sudah digasak hebat oleh platun Malaysia itu. Platun kami berjaya membunuh semua anggota pasukan musuh walaupun pihak kami terpaksa membayar dengan korban seramai empat orang.

Namun Kapten Ismail Othman sempat bertemu dengan salah seorang anggota platun Malaysia yang sudah nazak. Dia sempat memberikan maklumat tentang kemaraan regimen musuh yang besar dari Selatan.

+++

Jam 2134, Razaisyam Rashid pulang ke lokasi kami bertahan dengan membawa maklumat penting. Tambahan Kapten Ismail Othman turut mendapat khabar melalui komunikasi radio dari pangkalan utama.

Kira-kira sejam lagi, satu regimen tentera musuh akan melalui kawasan kami. Dan dalam jarak sejam di belakang regimen itu pula, kuranglebih 15,000 tentera musuh bergerak lengkap dengan kereta kebal dan segala aneka senjata yang boleh mereka bawa. Sudah terang lagi bersuluh hanya satu objektif mereka - KUALA LUMPUR!

Kemaraan musuh harus disekat dan kubu kami merupakan satu-satunya pintu masuk kemaraan musuh. Jika musuh berjaya melintasi kubu kami, maka operasi menawan Kuala Lumpur menjadi semakin mudah.

Namun berita dari pangkalan utama membuatkan kami menjadi bingung. Batalion tentera Malaysia yang paling dekat dengan kami sedang hebat digasak musuh dari Timur. Batalion itu yang sepatutnya datang mengambil-alih posisi kami.

Lantas regimen bantuan dari Utara telahpun digerakkan untuk mengambil alih kubu ini.

Namun...masa menjadi penentunya.

Kapten Ismail Othman membuat perkiraan. Regimen dari utara itu hanya akan tiba kira-kira satu jam setengah lagi. Amat mustahil untuk mereka tiba lebih awal.

"Jadi nampaknya dah jadi tugas kita untuk menghalang musuh sebelum tibanya regimen utara," ucap Firdaus Abdillah sambil mencekah senjata.

"Nampak gayanya begitulah," jawab Kapten Ismail Othman.

29 orang akan cuba menghalang kemaraan 3 hingga 5 ribu tentera musuh.

Saya menoleh ke belakang, walaupun tidak nampak oleh pandangan mata kasar, saya khayal membayangkan Kuala Lumpur, dengan KLCC, bangunan-bangunan pencakar langit, kanak-kanak berlari riang, Fazleena yang sedang mendodoikan anaknya, anak-anak Firdaus yang sedang menunggu depan pintu rumah dan tunang saya...

Mereka mesti dipertahankan.

Siapa lagi kalau bukan kami...

Bersambung

13 Responses to “BROTHERS IN ARMS bahagian satu”

Leave a Reply

Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar Custom avatar

You can add images to your comment by clicking here.

Uses wordpress plugins developed by www.wpdevelop.com Blog Protected Using Content Protecter By PcDrome.