Kucing terbang, pari-pari, arnab, Maria, dr. love dan saya

HIKAYAT PELAYARAN USMANOV III: BATTLE OF SUNGAI LONG part 1

Kami berempat, yakni saya, Usmanov, arnab tanpa seruling dan Pari-Pari nombor 920 berdiri dalam keadaan gemuruh. Masing-masing bukan Aragorn, maka takut hendak tunjuk hero.

"Saya Bayan Sakti, penjaga hutan ini, belum pernah..." Wanita di depan mereka terhenti, "Okey, sudah ada sebelum ini, penyair yang telah berjaya melepasi hutan Sunyi Sepi ini. Tahniah kerana menyertai manusia seperti Marsli N.O, Attokz Dekulgai, Shaira Amira dan Fairul Nizam yang terlebih dahulu sebelum kamu melepasi hutan ini"

"Tapi, bukankah menurut legenda, Bayan Sakti itu separuh manusia separuh burung Bayan?" soal saya melihat gadis di depan kami cukup lengkap sifat manusianya.

"Saya separuh manusia, separuh burung Bayan, lihat...ada burung Bayan di tubuh saya..." Bayan Sakti merujuk kepada gambar seekor burung Bayang di t-shirtnya.

"Itu bukannya separuh manusia, separuh burung bayan," celah Usmanov. "Itu dipanggil manusia memakai t-shirt gambar Burung Bayan, tengok ni..." Usmanov menunding jari ke arah saya yang memakai t-shirt gambar mikcrofon.

"Takkan kau nak panggil dia separuh manusia separuh mikrofon?" sambung Usmanov.

"Saya lihat dia begitu, ya, dia separuh manusia separuh mikrofon..." jawab Bayan Sakti.

"Okey, okey, kami mahu melalui Gerbang Seribu Bayan, untuk mencari Maria Dewi Sembilan Cahaya..." pinta saya. "Benarkan kami lalu,"

"Ohh," Bayan Sakti mengangkat kening, "Kamu sudah salah jalan. Jalan sepatutnya kamu ambil ialah ke Kota Muzika Irama, sekarang kamu haris berpatah balik,"

Air muka kami berubah. Patah Balik? Mengenangkan pokok-pokok ngeri yang nyaris membaham kami tadi, lutut kami menjadi rapuh. Tidak terdaya rasanya hendak melalui pengalaman ngeri itu sekali lagi.

"Saya bergurau saja," Bayan Sakti tersenyum. "Kamu ni, tak boleh gurau sikit, ya, Gerbang Seribu Bayan akan membawa kamu ke tempat Maria Dewi Sembilan Cahaya...tapi untuk masuk, saya harus memberi kamu satu teka-teki, jika kamu berjaya, maka lalulah kalian dengan selamat, tapi jika gagal..."

Kami berdebar mendengar apa akibatnya jika gagal dalam ujian teka-teki ini. Adakah akan disumpah menjadi batu? atau dibunuh? atau sebarang seksaan ngeri menanti?

"Kamu akan diberi teka-teki kedua, ketiga, keempat sehinggalah kamu berjaya menjawab satu teka-teki walaupun terpaksa menjawab seribu teka-teki..."

Kami tergamam.

2-

Panglima Utama yang memimpin batalion tentera kebencian amat berang tatkala Honda City (yang asalnya adalah Mugeh-Mugeh, utusan mereka) berhenti di depannya dengan membawa satu muatan buah-buahan terdiri dari epal, rambutan, mangga, manggis, durian, pisang dan beberapa jenis buah-buahan tempatan.

Maka hasil kemarahan itu, angkatan tentera kebencian mula melanggar Istana Sungai Long.

Namun Istana yang mempunyai kubu setinggi Bangunan Dayabumi itu bukanlah mudah untuk dirobohkan. Barisan pemanah tentera Sungai Long pantas bergerak dan memanah setiap tentera musuh yang menghampiri.

Namun musuh mempunyai taktik tersendiri. Berpuluh-puluh lastik besar dibawa. Istana Sungai Long mula dibom dengan hujan batu-batu besar. Sedikit demi sedikit beberapa bahagian Istana Sungai Long sudah mula meretak.

"Tuanku Duchess, kita tidak mampu bertahan lagi..." lapor Panglima Kai Wah.

Grand Duchess Farah Waheeda angguk sambil memerhati barisan tenteranya sudah mula tumbang satu persatu.

"I takkan benarkan mereka mengapa-apakan rakyat Istana ini...: ucap Grand Duchess Farah Waheeda. "Sudah tiba masanya..."

Airmuka Panglima Kai Wah mula berubah. "Tuanku Grand Duchess takkan mahu...."

Grand Duchess Farah Waheeda angguk sambil tersenyum, "Ini sahaja caranya..."

"Tidak Tuanku, tidak..." Panglima Kai Wah cuba menahan Grand Duchess.

"Jangan halang saya..." Grand Duchess Farah Waheeda melangkah hingga ke hujung kubu. Dia memanjat satu tembok. Kini tubuhnya berada betul-betul di depan angkatan musuh yang berada di bawah kubu.

Panglima Kai Wah mengurut nafas lega. Dia sebenarnya menyangka Grand Duchess mahu melarikan diri. Rupanya bukan.

Dia tahu apa yang Grand Duchess mahu lakukan. Dia pernah melihatnya sekali, ketika Grand Duchess pergi menewaskan sepuluh kura-kura gergasi yang menyerang kota Ibu Bapanya, Kota JayBee.

Grand Duchess Farah Waheeda mendepakan tangannya. Bajunya yang penuh dengan renda-renda bergoyang ditiup angin.

Seketika kemudian awan mula gelap. Tidak lama kemudian muncul bebola-bebola cahaya dari celah-celah awan. Umpama hujan, bebola-bebola cahaya itu laju meluncur ke arah angkatan musuh. Satu demi satu tentera musuh terkena bebola cahaya itu. Tatkala terkena bebola cahaya itu, setiap darinya tiba-tiba terdiam. Mereka kemudian melutut, tangan menguis tanah dan terus tertidur.

'Hikmat Kasih Sayang Sang Pensyarah' - Hikmat terdahsyat Grand Duchess Farah Waheeda yang sebelum ini cuma menjadi legenda dan bualan urban legend manusia.

Hikmat Kasih Sayang Sang Pensyarah itu ternyata telah melumpuhkan hampir 80% kekuatan musuh. Dapat dilihat satu persatu mula baring dan tertidur dengan enaknya.

Grand Duchess Farah Waheeda turun dari tembok. Dia sudah keletihan. Hikmat Kasih Sayang Sang Pensyarah amat hebat, namun kesannya juga sungguh besar. Grand Duchess kini perlu menjalani rawatan aromaterapi, facial, manicure, pedicure selain mengamalkan diet yang seimbang untuk mengembalikan kekuatannya. Proses rawatan ini akan membuatkan dia sering terlepas rancangan Glee dan Gossip Girl, membuatkan dia agak benci untuk melakukannya.

Tentera-tentera Sungai Long bersorak. Kemenangan sudah hampir di dalam tangan.

Tapi nanti dulu...

Sayup-sayup dihujung sana kedengaran bunyi semboyan.

Batalion bantuan sudah tiba.

Dua ratus ekor kura-kura gergasi dilihat bergerak perlahan menuju ke arah Istana Grand Duchess. Di atas kura-kura gergasi itu, berpuluh-puluh tentera musuh berpakaian ninja sudah bersedia untuk merempuh kubu istana.

Grand Duchess Farah Waheeda mengerutkan wajah.

"God, we need help!" ujarnya.

Bersambung: Battle Of Sungai Long part 2 -

6 Responses to “HIKAYAT PELAYARAN USMANOV III: BATTLE OF SUNGAI LONG part 1”

  1. wow! semakin intersting!

    like 1000X.

  2. Wahahaha.. tuan Vovin,

    Jumpa jugak blog tuan. Kat sini rupanya dia.
    Bleh saya menjamu selera mata malam nih dengan karya tuan....
    best! best!

    tak sabar nak kritik pastu... :p

  3. *** This is a whisper message for nazri! ***

  4. *** This is a whisper message for nazri! ***

  5. Gua suka.Ada part terminator tak lepas ni? Paling tidak pun part main kejar kejar dengan penyapu terbang.Ada tak?

  6. oh tidak !!!
    saya mula bimbangkan keselamatan Arnab , maklumlah dia bukan tergolong dalam cerdikpandai, begitu juga kamu ( ada buktinya dalam entri - entri sebelum ini keh keh keh)
    Jadi ?
    oh sungguh mendebarkan episod kali ini !

    p.s kesan Hikmat Kasih Sayang Pensyarah itu sungguh comel :)

Leave a Reply