cerita tentang dunia, yang cuma ada saya…dan kamu.

HIKAYAT PELAYARAN USMANOV III: BATTLE OF SUNGAI LONG part 1

February 22nd, 2010 nazri

Kami berempat, yakni saya, Usmanov, arnab tanpa seruling dan Pari-Pari nombor 920 berdiri dalam keadaan gemuruh. Masing-masing bukan Aragorn, maka takut hendak tunjuk hero.

"Saya Bayan Sakti, penjaga hutan ini, belum pernah..." Wanita di depan mereka terhenti, "Okey, sudah ada sebelum ini, penyair yang telah berjaya melepasi hutan Sunyi Sepi ini. Tahniah kerana menyertai manusia seperti Marsli N.O, Attokz Dekulgai, Shaira Amira dan Fairul Nizam yang terlebih dahulu sebelum kamu melepasi hutan ini"

"Tapi, bukankah menurut legenda, Bayan Sakti itu separuh manusia separuh burung Bayan?" soal saya melihat gadis di depan kami cukup lengkap sifat manusianya.

"Saya separuh manusia, separuh burung Bayan, lihat...ada burung Bayan di tubuh saya..." Bayan Sakti merujuk kepada gambar seekor burung Bayang di t-shirtnya.

"Itu bukannya separuh manusia, separuh burung bayan," celah Usmanov. "Itu dipanggil manusia memakai t-shirt gambar Burung Bayan, tengok ni..." Usmanov menunding jari ke arah saya yang memakai t-shirt gambar mikcrofon.

"Takkan kau nak panggil dia separuh manusia separuh mikrofon?" sambung Usmanov.

"Saya lihat dia begitu, ya, dia separuh manusia separuh mikrofon..." jawab Bayan Sakti.

"Okey, okey, kami mahu melalui Gerbang Seribu Bayan, untuk mencari Maria Dewi Sembilan Cahaya..." pinta saya. "Benarkan kami lalu,"

"Ohh," Bayan Sakti mengangkat kening, "Kamu sudah salah jalan. Jalan sepatutnya kamu ambil ialah ke Kota Muzika Irama, sekarang kamu haris berpatah balik,"

Air muka kami berubah. Patah Balik? Mengenangkan pokok-pokok ngeri yang nyaris membaham kami tadi, lutut kami menjadi rapuh. Tidak terdaya rasanya hendak melalui pengalaman ngeri itu sekali lagi.

"Saya bergurau saja," Bayan Sakti tersenyum. "Kamu ni, tak boleh gurau sikit, ya, Gerbang Seribu Bayan akan membawa kamu ke tempat Maria Dewi Sembilan Cahaya...tapi untuk masuk, saya harus memberi kamu satu teka-teki, jika kamu berjaya, maka lalulah kalian dengan selamat, tapi jika gagal..."

Kami berdebar mendengar apa akibatnya jika gagal dalam ujian teka-teki ini. Adakah akan disumpah menjadi batu? atau dibunuh? atau sebarang seksaan ngeri menanti?

"Kamu akan diberi teka-teki kedua, ketiga, keempat sehinggalah kamu berjaya menjawab satu teka-teki walaupun terpaksa menjawab seribu teka-teki..."

Kami tergamam.

2-

Panglima Utama yang memimpin batalion tentera kebencian amat berang tatkala Honda City (yang asalnya adalah Mugeh-Mugeh, utusan mereka) berhenti di depannya dengan membawa satu muatan buah-buahan terdiri dari epal, rambutan, mangga, manggis, durian, pisang dan beberapa jenis buah-buahan tempatan.

Maka hasil kemarahan itu, angkatan tentera kebencian mula melanggar Istana Sungai Long.

Namun Istana yang mempunyai kubu setinggi Bangunan Dayabumi itu bukanlah mudah untuk dirobohkan. Barisan pemanah tentera Sungai Long pantas bergerak dan memanah setiap tentera musuh yang menghampiri.

Namun musuh mempunyai taktik tersendiri. Berpuluh-puluh lastik besar dibawa. Istana Sungai Long mula dibom dengan hujan batu-batu besar. Sedikit demi sedikit beberapa bahagian Istana Sungai Long sudah mula meretak.

"Tuanku Duchess, kita tidak mampu bertahan lagi..." lapor Panglima Kai Wah.

Grand Duchess Farah Waheeda angguk sambil memerhati barisan tenteranya sudah mula tumbang satu persatu.

"I takkan benarkan mereka mengapa-apakan rakyat Istana ini...: ucap Grand Duchess Farah Waheeda. "Sudah tiba masanya..."

Airmuka Panglima Kai Wah mula berubah. "Tuanku Grand Duchess takkan mahu...."

Grand Duchess Farah Waheeda angguk sambil tersenyum, "Ini sahaja caranya..."

"Tidak Tuanku, tidak..." Panglima Kai Wah cuba menahan Grand Duchess.

"Jangan halang saya..." Grand Duchess Farah Waheeda melangkah hingga ke hujung kubu. Dia memanjat satu tembok. Kini tubuhnya berada betul-betul di depan angkatan musuh yang berada di bawah kubu.

Panglima Kai Wah mengurut nafas lega. Dia sebenarnya menyangka Grand Duchess mahu melarikan diri. Rupanya bukan.

Dia tahu apa yang Grand Duchess mahu lakukan. Dia pernah melihatnya sekali, ketika Grand Duchess pergi menewaskan sepuluh kura-kura gergasi yang menyerang kota Ibu Bapanya, Kota JayBee.

Grand Duchess Farah Waheeda mendepakan tangannya. Bajunya yang penuh dengan renda-renda bergoyang ditiup angin.

Seketika kemudian awan mula gelap. Tidak lama kemudian muncul bebola-bebola cahaya dari celah-celah awan. Umpama hujan, bebola-bebola cahaya itu laju meluncur ke arah angkatan musuh. Satu demi satu tentera musuh terkena bebola cahaya itu. Tatkala terkena bebola cahaya itu, setiap darinya tiba-tiba terdiam. Mereka kemudian melutut, tangan menguis tanah dan terus tertidur.

'Hikmat Kasih Sayang Sang Pensyarah' - Hikmat terdahsyat Grand Duchess Farah Waheeda yang sebelum ini cuma menjadi legenda dan bualan urban legend manusia.

Hikmat Kasih Sayang Sang Pensyarah itu ternyata telah melumpuhkan hampir 80% kekuatan musuh. Dapat dilihat satu persatu mula baring dan tertidur dengan enaknya.

Grand Duchess Farah Waheeda turun dari tembok. Dia sudah keletihan. Hikmat Kasih Sayang Sang Pensyarah amat hebat, namun kesannya juga sungguh besar. Grand Duchess kini perlu menjalani rawatan aromaterapi, facial, manicure, pedicure selain mengamalkan diet yang seimbang untuk mengembalikan kekuatannya. Proses rawatan ini akan membuatkan dia sering terlepas rancangan Glee dan Gossip Girl, membuatkan dia agak benci untuk melakukannya.

Tentera-tentera Sungai Long bersorak. Kemenangan sudah hampir di dalam tangan.

Tapi nanti dulu...

Sayup-sayup dihujung sana kedengaran bunyi semboyan.

Batalion bantuan sudah tiba.

Dua ratus ekor kura-kura gergasi dilihat bergerak perlahan menuju ke arah Istana Grand Duchess. Di atas kura-kura gergasi itu, berpuluh-puluh tentera musuh berpakaian ninja sudah bersedia untuk merempuh kubu istana.

Grand Duchess Farah Waheeda mengerutkan wajah.

"God, we need help!" ujarnya.

Bersambung: Battle Of Sungai Long part 2 -

HIKAYAT PELAYARAN USMANOV II: HUTAN SUNYI SEPI

February 19th, 2010 nazri

Kami bersepakat untuk masuk ke dalam Hutan Sunyi Sepi. Hutan yang membawa reputasi yang mendebarkan. Sudah tentu ramai pembaca tertanya-tanya, dengan kehadiran Leo si kucing terbang, kenapa mereka perlu berjalan kaki masuk ke dalam hutan?

Maka penulis dengan susah payah menutup kesilapannya terlupa akan plot hole itu dengan mengatakan mereka perlu pergi ke hujung hutan, yang hanya boleh dimasuki dengan cara berjalan kaki untuk bertemu dengan pintu gerbang yang dinamakan 'Gerbang Seribu  Bayan'.

Hutan itu dikawal oleh seorang ahli sihir yang amat ngeri bernama Bayan Sakti. Khabarnya pernah 1000 orang askar masuk ke dalam hutan itu tanpa mendeklamasikan sajak. Mereka tidak keluar-keluar. Hanya jeritan mereka sahaja yang boleh didengar berbatu jauhnya. Ada juga beberapa pendeta cuba masuk, dan bersajak, tetapi hilang lantaran sajak mereka tidak berkualiti.

Maka saya sudah bersedia. Saya mengeluarkan dua buah buku sajak. Satu antologi sajak Salon Eksotikata (yang boleh dibeli dengan klik link tadi) dan satu lagi antologi sajak-sajak suci Abdullah Jones (sudah sold out).

Kami melangkah perlahan-lahan. Seketika kemudian kedengaran bunyi pokok-pokok yang mula bergerak.

Saya lantas membuka lembaran Salon Eksotikata.

Saya membaca sajak 'Lopak Dan Gaun Putih' oleh Elle H. Affandi. Usmanov, arnab dan pari-pari 920 mengikut saya, umpama murid mengikut apa yang guru sedang katakan.

'Kami tunggu...

hujan turun...

sejak mendung tadi...

sudah empat jam berdetik...

dan seterusnya.

Pokok-pokok tidak lagi bergerak. Saya lega. Saya meneruskan sajak kedua, dari Sinaganaga bertajuk 'Kencan'.

'langir tubuhmu berus gigimu ba...'

Belum sempat sajak itu dihabiskan, kelihatan pokok-pokok mula bergoncang kuat. Ada akar sudah menjalar laju ke arah kami. Tahulah kami itu sajak yang tidak berkualiti.

Saya pantas menyelak lembaran dan membaca sajak Jigo Morrisson bertajuk 'Mencari Tuhan'

'Berpusing-pusing mencari tuhan,

di dalam hutan di balik awan,

di kerdipan dian semakin kelam,

.....

Usmanov, arnab dan pari-pari 920 ikut setiap perkataan yang saya tuturkan.

Hutan kembali tenang. Kami lega semula.

Setelah mengalami beberapa proses 'trial and error' dengan koleksi sajak Salon Eksotikata, saya mengambil keputusan untuk membaca sajak Abdullah Jones.

Ternyata hutan menjadi tenang dengan sajak-sajak Abdullah Jones, setaraf dengan kesucian kalimah-kalimah nukilan sastrawan itu.

Tapi malangnya hutan itu terlalu tebal dan jauh.

Sajak Abdullah Jones sudah habis saya baca.

Dan ketika itulah pokok-pokok kembali mengganas. Kaki Usmanov sudah dibelit akar. Arnab cuba melarikan diri tetapi daun-daun besar menangkapnya. Pari-Pari 92o ditelan bumi dan Leo bertarung dengan pokok-pokok besar itu.

Saya gugup. Kepala saya ligat mencipta sajak.

Namun beberapa sajak yang cuba saya persembahkan tidak berjaya.

Saya memejam mata, lantas menarik nafas.

"Hutan, Alam, Duniaku,

Meskipun ku tak pernah sedar untuk merapatimu,

Jangan kau taburkan marahmu

Di sini,

Hutan, Alam, Duniaku,

Kumohon kita berkongsi riwayat,

Di dunia sementara,

Ajariku, lindungiku,

kerna amarahmu,

tiada mendatangkan baik untukku, untukkmu, untuk alam sedemkiannya...

......

Kami akhirnya tiba di Gerbang Seribu Bayan, di mana menanti seorang gadis bertudung molek dan lemah lembut gayanya,

Kami berdebar-debar, cabaran apakah yang bakal menanti kami?

2-

Sementara itu,

Batalion tentera musuh sudah semakin mara ke Istana Sungai Long. Batalion tentera yang terdiri dari pasukan pari-pari benci, entiti pesimis dan amarah cinta dan askar-askar upahan membentuk sejumlah 100,000 orang kesemuanya. Tentera Istana Sungai Long hanya mempunyai sejumlah 20,000 orang dan nisbah itu menggetirkan kerajaan Sungai Long untuk mempertahankan istana mereka.

Seorang utusan dari pakatan kebencian memacu kuda dan memberi isyarat untuk masuk menghantar utusan kepada Grand Duchess Farah Waheeda.

Panglima Diraja Kai Wah mengiringi utusan tersebut masuk ke dalam Balai Rong Seri di mana Grand Duchess Farah Waheeda sedang duduk di tahtanya menonton sesuatu di layar 180 incinya.

"Salam, saya Mugeh-Mugeh, wakil dari perikatan tentera kebencian datang membawa utusan dari Panglima Utama, mengarahkan agar Grand Duchess dan sekutunya agar membuka pintu istana dan menyerah di...."

"Syhhhh!!!" Grand Duchess Farah Waheeda tanpa memandang utusan itu mengangkat tangan. Matanya masih terpaku di layar 180 inci.

"Huh? errr..." utusan itu sedikit kaget, "Err, kalau Grand Duchess tak sedar..."

"Syhhh!!!, saya sedang menonton interviu Micheal Jackson dengan Oprah. Saya tontonnya dahulu semasa 93, ya, this is interesting part, Oprah tanya MJ mengenai..."

"Grand Duchess!!!" utusan itu meninggikan suara. "This is madness, this is blas..."

Grand Duchess Farah Waheeda, tanpa memandang utusan itu mengangkat tangan kanannya dan meluruskan jari telunjuknya. Serentak dengan itu utusan tersebut bertukar menjadi kereta Honda City.

"Panglima Kai Wah, masukkan buah-buahan di dalam kereta tu, hantar ke Panglima mereka dan katakan, i'm not interested to involve in any war." arah Grand Duchess Farah Waheeda. "Ask them to take the fruits and leaves, go make war to other Grand Duchess,"

Panglima Kai Wah angguk sambil kepalanya ligat memikirkan bagaimana hendak mengeluarkan Honda City ini dari Balai Rong Seri Grand Duchess Farah Waheeda.

Panglima Kai Wah sempat berbisik ke Honda City itu, "They dont called her Miss Wicked Witch for nothing..."

Hikayat Pelayaran Usmanov II tamat: Next - Hikayat Pelayaran Usmanov bahagian III: Battle Of Sungai Long

HIKAYAT PELAYARAN USMANOV II: FASA 3

February 18th, 2010 nazri

Previously on Hikayat Pelayaran Usmanov:

- Istana Dewa Cinta diserang lelaki misteri.

- Ada dalang yang telah menimbulkan kekacauan cinta, menyebabkan cupid dipenjara dan seluruh pari-pari kecuali seekor telah menjadi jahat.

- Usmanov, perantis kepada si pendeta ditugaskan mencari Panda Cinta.

- Bersama si hero, yakni 'saya', mereka bertemu Panda Cinta namun segala-galanya terlambat tatkala Panda Cinta dihapuskan oleh roh kebencian.

- Jenderal Sindiket Sol-Jah menghantar ahli-ahlinya ke serata alam untuk mencari dalang kekacauan. Pipiyapong telah menjadi pengkhianat.

- Kapal Usmanov telah diserang tetapi nyawa hero dan rakan-rakan diselamatkan oleh Farah Waheeda, Grand Duchess Of Fear Of Commitment (FOC).

- Dean Sham dan Op, dua perwira Sindiket Sol-Jah diserang hendap ketika mereka mengintip gerakan Dingin, salah seorang dalang cinta yang jahat.

- Hero dan rakan-rakan dengan bantuan Leo, kucing terbang gergasi milik Farah Waheeda pergi mencari Maria, dewi sembilan cahaya.

Dan cerita bersambung....

+++

1-

Istana Dewa cinta yang kini didiami oleh dingin suram sahaja. Ini kerana hari sudah hampir malam. Kalau tengah hari mungkin tidak suram akibat panas terik. Dia masih berteleku, di atas tahta, memandag skrin.

Datang sesusuk tubuh berjalan perlahan-lahan ke arahnya.

"Kenapa kau biarkan dua sindiket sol-jah itu melepaskan diri?" soal lelaki misteri itu.

"Aku tak biarkan," ujar Dingin. "Memang aku hendak tangkap mereka, namun ada penyelamat yang datang..."

Lelaki misteri itu tersenyum. "Adakah itu sebabnya wajah kau murung?"

"Tak," jawab Dingin. "Wajah aku memang secara azalinya begini. Cuma ya, aku memang sedikit murung kerana tersalah makan. Aku tak makan pedas. Entah kenapa aku boleh suruh tukang masak sediakan nasi goreng cili padi..."

Lelaki misteri itu angguk. "Sudahkah kau menerima khabar bahawa Grand Duchess FOC telah menyerahkan kepada Usmanov peta tempat diamnya Maria, Dewi Sembilan Cahaya?"

Dingin angguk.

"Grand Duchess FOC mesti dihapuskan..." lelaki misteri itu bersuara sambil terus tersenyum.

"Agak sukar..." balas Dingin, "...untuk menghapuskan Grand Duchess kerana kuasanya amat hebat di dalam cerita ini. Pertamanya kau harus ingat gelaran lainnya yakni Cik Ahli Sihir yang Nakal. Kuasa kenakalan sihirnya memang tak tertanggung. Juga, dia adalah heroin kedua selepas Maria Dewi Sembilan Cahaya. Kau fikir penulis cerita ini akan membenarkan kau senang-senang menghapuskannya?"

Lelaki misteri itu angguk, "Aku memimpin angkatan pari-pari Benci sekarang, tak salah mencuba bukan?"

Dingin angguk. "Silakan...silakan..."

2-

Saya memerhatikan peta yang dipegang oleh Usmanov. Usmanov nampak keliru.

"Jadi?" soal saya?

Usmanov tidak menjawab.

"Mengaku sajalah kau sudah salah baca peta," ujar arnab.

"Kalau kau tak mahu kena pijak, lebih baik diam," Usmanov memberi amaran.

"Bring it on man! Ingat gua takut? Bring it on!" arnab mula mengangkat kedua belah tangannya dengan gaya seorang peninju.

Saya menyepak arnab menyebabkan dia terpelanting jauh.

"Okey, dia sudah jauh, sekarang kau sudah boleh beritahu samaada kita tersesat atau tidak?" soal saya.

"Kita sesat," akui Usmanov.

"Aku dah agak!" pari-pari nombor 920 menjerit. "Habislah kita! Habislah kita!"

"Apa yang habis?" soal arnab yang baru tiba setelah berlari sepenuh tenaga akibat ditendang jauh tadi.

"Okey, berdasarkan peta ini, kita ada dua arah pilihan. Satu ke Kota Muzika Irama dan satu lagi ke Hutan Sunyi Sepi? Kita mahu ke mana?" tanya Usmanov.

Kami diam. Kedua-duanya adalah pilihan yang sukar. Kota Muzika Irama ditadbir oleh seorang gabenor kejam bernama Basri Raja Dugong. Dengar cerita dia pernah menyeksa manusia hanya kerana orang itu tidak memberinya salam. Sementara Hutan Sunyi Sepi pula dikawal oleh seorang ahli sihir separuh manusia separuh burung Bayan yang digelar Bayan Sakti. Untuk melalui hutan itu seseorang harus terus bersajak sampai ke hujung hutan. Itu tak mengapa lagi, sajak tersebut mestilah berkualiti tinggi atau dia akan dimamah oleh hutan itu.

Apa pilihan pembaca?

A - Ke Kota Muzika Irama

atau

B - Ke Hutan Sunyi Sepi.

Cerita akan bersambung selepas mana-mana arah terlebih dahulu mendapat 3 undian

Undian dibuka sekarang...