Archive for the ‘panda cinta adventures’ Category
Saya buka mata.
Dalam pening-pening itu saya cuba untuk mendapatkan fokus jelas siapa yang berada di sisi saya.
Saya masih tidak pasti kenapa saya terbaring.
Eh, saya mula ingat.
Tentang Usmanov yang hendak mencium saya dalam episod lepas, tentang pari-pari 920.
Dan serangan itu.
Serangan yang menggoncang kapal Usmanov.
Yang saya tahu kapalnya mula menjunam.
Saya fikir saya sudah mati.
Cuma saya nampak kelibat kucing yang besar. Seekor kucing putih dan seekor kucing hitam.
Saya sudah nampak siapa di sisi saya.
Peh, saya sudah mendarat di Korea? muka macam gadis Korea.
Eh, atau...
Tidak lain tidak bukan adalah Farah Waheeda, The Grand Duchess Of FOC. Ada beberapa dayang sedang menari di belakangnya, gaya moonwalk Micheal Jackson. Saya memerhati sekeliling dan jelaslah saya berada di istana Sungai Long, istana Farah Waheeda.
"Bagaimana saya boleh berada di sini?"
"Kapal Usmanov terhempas berdekatan pantai istana ini. Beberapa orang dayang datang menyelamatkan awak," cerita Grand Duchess Farah Waheeda.
"Bagaimana dengan Usmanov? arnab? pari-pari 920?" soal saya.
"Mereka selamat, mereka di bilik lain dan dilayan oleh dayang-dayang jururawat yang pernah belajar di Masterskill" ujar Grand Duchess Farah Waheeda tenang.
Saya angguk. Saya disuruh berehat sementara Grand Duchess meneruskan aktivitinya menonton DVD filem Micheal Jackson, "This Is It"
2
Tatkala saya sudah mula berdaya untuk berjalan, saya perlaha -lahan mundar-mandir di sekitar istana. Saya tiba dibalkoni dan melihat dari jauh Grand Duchess Farah Waheeda sedang memberi makan tiga ekor kucing terbang gergasi. Saya kenal ketiga-tiga ekor kucing terbang itu. Leo, Belle dan Adik.
Walaupun beliau adalah Grand Duchess dan mempunyai ramai dayang dan orang gaji, beliau lebih suka memberi makan kepada tiga ekor kucing terbang gergasi ini. Itu sahajalah yang beliau suka lakukan tanpa bantuan orang. Bab mengemas istana, biliknya, cuci tandas sendiri, bersihkan laman istana, lap tingkap dan masak makanan semuanya dilakukan oleh dayang dan orang gaji. Beliau lebih mengfokuskan terhadap tanggungjawab hariannya yakni menonton Gossip Girl dan Merlin. Tidak hairan kerana beliau seorang Duchess. Grand Duchess.
Tiga ekor kucing terbang diraja ini memang sudah lama menjadi pelindung istana Grand Duchess Farah Waheeda. Saya masih ingat Belle yang cedera parah akibat bertarung dengan sejenis makhluk bernama Tingkap Lutsinar dua tahun lepas ketika mempertahankan Grand Duchess. Saya fikir hayat Belle sudah sampai ke penamatnya. Mujur Brian, tabib Diraja pantas menyembuhkan Belle. Kini dia sihat dan semakin putih gebu.
"Belle dan Leo selamatkan awak dan rakan-rakan awak," ujar Grand Duchess Farah Waheeda ketika saya terkial-kial menghampiri mereka. "Awak belum ingat apa yang terjadi bukan?"
Saya geleng.
"Awak diserang gerombolan entiti pesimis dan amarah cinta. Mereka dihantar oleh Panda Benci untuk menghancurkan kamu. Kalau tak kerana Belle dan Leo datang tepat pada masanya, kamu sudah habis dimamah mereka,"
Saya angguk.
Grand Duchess Farah Waheeda tersenyum sambil mengusap kepala Belle. Belle kesedapan sambil menggerak-gerakkan ekor besarnya lantas melibas saya. Saya jatuh menyembah bumi.
3-
Saya dan Grand Duchess Farah Waheeda duduk di tepi gaung yang tinggi memandang laut.
"Maafkan saya atas break up awak," ujar Grand Duchess, "There must be a blessing in disguise.."
Saya angguk, "...mungkin, we had a big fight. Yes, it sad..."
Saya memandang Grand Duchess, "You know, awak satu-satunya break up saya di mana kita tak bergaduh pun. Dan kita masih berhubungan, kenapa ya?"
"Kenapa tanya? Tak salahkan?" soal Grand Duchess.
"Tak, cuma tertanya-tanya..."
"Ok, continue wondering, saya tiada jawapan untuk itu..."
"Yeah..."
"I'm flattered dengan apa yang awak cakap tadi, but then again, i rasa there was no necessity untuk gaduh. What we had was just irreconcilable differences..." ucap Grand Duchess Farah Waheeda lagi. Kami sampai di depan pintu masuk tempat saya dirawat.
Dia mengucapkan salam mahu mengundur diri.
Beberapa langkah kemudian, dia berpaling, "you know what, i'm so glad we're in touch. For your problem, any chances of getting back together?"
"Will you help me?"
Grand Duchess Farah Waheeda tersenyum lebar, "You know i will not help you or want to know actually, take care..." dia berlalu pergi.
Saya angguk dan masuk ke dalam bilik rawatan. Beberapa hari lagi pasti saya akan pulih untuk memulakan kembali kembara.
"Beberapa hari?" arnab muncul di tepi katil tatkala saya baru hendak baring. "Kitorang dah siap boleh main bola, kau nak ambil lagi beberapa hari untuk pulih?!"
"Apa? Apa?" soal saya.
"Ayuh!" Usmanov menarik tangan saya. "Kita tiada masa! Kita perlu pergi segera!"
"Ke mana hendak kita pergi?"
"Ada seseorang yang boleh membantu kita! Aku dapat maklumat dari Grand Duchess Farah Waheeda," jawab arnab.
"Aik, punyalah lama aku borak dengan dia tadi, tak cerita apa-apa pun?" saya kaget.
"Ah, kau sibuk nak cerita hati perasaan," pari-pari 920 mencelah, "sedih la, break up la, kenapalah aku gagal bercintalah, kenapalah itulah, inilah, mana dia ada peluang nak cerita kalau begitu?"
"Hoi, hoi, aku mana ada borak pasal benda-benda tu dengan dia, nanti..." saya memandang pari-pari 920, "kau pula apahal baru kenal, sudah nak sound aku ni?"
"Sebab aku cute," jawab arnab pula. "Itu sebab dia cerita pada aku. Kau tak cute,"
Saya geleng kepala, "okey, siapa harus kita cari?"
"Maria, dewi sembilan cahaya..." jawab arnab.
"Maria Dewi Sembilan Cahaya?"
Usmanov, arnab dan pari-pari 920 angguk serentak.
Pari-pari nombor 920 mendekati saya, separa berbisik, "katanya...Maria Dewi Sembilan Cahaya ini membawa destini baru..."
Arnab melompat di atas riba saya, "Dialah kunci, dialah yang bakal memberikan cahaya, pada kau, dan pada manusia seluruh alam..."
Saya mengangkat arnab dan mencampakkannya ke lantai. "Maka ayuh, kita cari Maria Dewi Sembilan Cahaya!"
"Bersediakah kau? Kau mungkin akan sekali lagi sakit?" duga Usmanov.
"Sakit atau tidak, dia adalah destini kita!"
"Itu semangat yang kita mahukan!" arnab bertepuk tangan.
"Berusalah!!!" jerit pari-pari nombor 920 sambil mengangkat penumbuk tangan kanan ke udara seperti Nora Danish dalam iklan drama TV Puteri (kita mesti enjoyyyy).
"Hoi! Ini bilik rawatan, jangan bising, hormat pesakit lain!" seorang jururawat menengking dari bilik sebelah.
Kami berempat tunduk dan perlahan-lahan keluar.
4-
Farah Waheeda, Grand Duchess Of FOC tersenyum. "Semoga berjaya..." ujarnya. Kami sudah berada di bekalang Leo. Dia mengusap Leo, kucing terbang gergasi berwarna hitam, "Leo, jaga mereka baik-baik,"
Leo menderam. Sebentar kemudian Leo melonjak dan mula terbang tinggi ke udara membawa kami berempat mencari Maria Dewi Sembilan Cahaya.
Farah Waheeda Grand Duchess of FOC melambai-lambai. "Semoga berjaya menemui apa yang awak cari..." ujarnya sambil kemudian membuka kembali buku temuramah Micheal Jackson yang ditulis oleh seorang Rabbi dan meneruskan pembacaannya.
Bersambung
"Suatu ketika dahulu dia adalah Raja Kehidupan. Dia memberikan senyuman. Dia yang memberikan ketawa. Dia memberikan harapan. Seluruh alam amat berterima kasih kerana dengan cerita-cerita darinya, hidup yang susah tidak terasa susah. Hidup yang sedih tidak terasa sedih. Dia sering melihat perspektif gelas separuh penuh dari separuh kosong. Dari kisah 'dunia ini sederhana kecil' sehinggalah ceritanya yang terakhir, dia membawa kehidupan"
Dia dikenali dengan nama yang ringkas. Baha.
Tapi semakin lama semakin hilang cahaya kehidupan yang dirembes oleh Baha. Dia bertukar. Sedikit demi sedikit bertukar dan akhirnya, seperti Anakin Skywalker yang menukar nama ke Darth Vader, Baha menukar namanya ke dingin.
Dia mahu seluruh alam berkongsi kedinginannya.
2-
Seekor kucing terbang bergerak menyusup celah awan membawa Dean Sham dan Op dari Sindiket Sol-Jah. Dean Sham berbisik agar kucing itu terbang dengan lebih laju. Kucing terbang itu sekadar mengerling dengan ekor mata dan membuat roll eyes tanda - Dengan berat dua orang ini - Lu Pikirlah Sendiri...
Kucing terbang itu mendarat di sebuah bukit berdekatan dengan Istana Dewa Cinta yang kini didiami oleh dingin.
Dean Sham lalu mengeluarkan teropong suka hati. Teropong Suka Hati adalah alat pemberian Encik Suka Hati. Teropong itu membolehkan si pengguna meneropong jauh hingga berjuta kilometer dan menembusi apa sahaja objek yang melindunginya kecuali hati Pipiyapong.
Tapi kalau boleh meneropong sejauh berjuta kilometer, kenapa mereka perlu bergerak dekat dengan kubu musuh untuk meneropong?
Ha, inilah plot hole yang tidak dapat dikenalpasti. Mungkin ada sebabnya yang akan ditulis kemudian hari.
Apapun, Dean Sham dapat melihat Dingin sedang duduk di singgahsana Dewa Cinta. Di tangannya terdapat segelas susu yang sudah diminum setengah.
"Dean Sham, aku tahu kau sedang memerhatikanku..." ucap Dingin.
Dean Sham tersentak.
"Hebat! Kuasanya sungguh hebat! Benar seperti kata Jenderal Sindiket Sol-Jah, dia sudah dapat menguasai hikmat Pengesan Jiwa!" ucap Dean Sham lagi.
"Ataupun dia sudah memasang kamera CCTV dan kita terlalu bongok untuk mendarat dan bersembunyi di belakang kamera CCTV itu." kata OP sambil menunding jari ke arah sebuah kamera CCTV yang dipasang di atas tiang, betul-betul di belakang mereka.
"Kita sudah dikesan!" Dean Sham pantas mengeluarkan pedang samurainya sementara OP mengeluarkan parang arabnya.
Sedar tak sedar mereka telah dikepung oleh beratus-ratus pari-pari jahat.
Di dalam istana, Dingin, salah seorang dalang kekacauan cinta ketawa terbahak-bahak.
----
Saya, Usmanov dan arnab yang serulingnya sudah hilang berdiri berwaspada. Masing-masing memegang kayu. Tidak disangka-sangka, ketika arnab sedang mencari air ribena di perut kapal, dia terjumpa 'seekor' pari-pari yang sedang bersembunyi.
"Apa kau buat dalam kapal aku? Kau mahu mengintip kami?" soal Usmanov.
"Sumpah, saya bukan pari-pari jahat! Saya pari-pari baik!" pari-pari itu cuba membela diri, khuatir kepalanya dihayun dengan kayu. Kalau si arnab yang menghayunnya, tak mengapa kerana sejajar dengan tubuhnya, si arnab hanya mampu mengangkat pembaris panjang warna kuning yang biasa digunakan oleh guru sekolah.
"Depan mata aku sendiri, aku lihat semua pari-pari membunuh kucing terbang! Bukankah semua pari-pari sudah bertukar menjadi jahat?" soal saya.
"Saya sendiri tak tahu kenapa mereka bertukar menjadi jahat, tapi percayalah, saya tidak jahat. Saya sendiri masih tidak tahu kenapa saya tidak menjadi jahat!"
"Bohong!" Usmanov mula hendak menghayunkan kayunya.
"Betul! Betul! Tolonglah percaya!" rayu pari-pari itu.
"Kalau benar kau masih lagi pari-pari cinta, aku mahu kau buktikan..." ucap arnab. "Kalau benar, kau sudah tentunya mempunyai kuasa cinta, maka tunjukkan aku kuasa cinta kau..."
"Huh?" pari-pari itu sedikit keliru.
"Kau semaikan cinta antara Usmanov dan dia..." arnab itu menunding jari ke arah saya.
"Hoi! Hoi!" saya dan Usmanov menjerit serentak.
Tapi sudah terlambat. Pari-pari itu menggosok tangannya dan membuat lambang 'love' di atas angin.
Seketika kemudian saya rasa semacam. Hati saya tiba-tiba diserang rindu. Adakah ini cinta? Saya melihat Usmanov dengan satu perasaan yang saya sendiri tidak dapat terangkan dengan perkataan. Wajah Usmanov tiba-tiba menjadi wajah yang paling cantik di mata saya. Bibirnya...ohhh...bibirnya...
Usmanov memegang tangan saya. "Aku cintakan kau..." ucapnya dengan suara yang paling romantis.
Saya tidak dapat menahan diri.
Perlahan-lahan kepala saya mendekati kepalanya. Usmanov tersipu-sipu. Dia sedikit berpaling tapi dari gaya bahasa tubuhnya, dia juga mahukannya. Bibir kami semakin mendekat.
Tapi separuh jiwa saya tahu itu salah. Saya mengerling ke arah arnab yang sudah tersengih bangsat.
"Celaka kau arnab! Celaka kau!" bisik hati saya.
Namun entah kenapa saya dan Usmanov masih meneruskannya. Bibir kami semakin mendekat, perlahan-lahan.
"Arnab! Hentikan! Hentikan!" getus saya.
Arnab kini ketawa. "Kenapa mesti hentikan, aku belum pernah lihat benda seperti ini."
"Kalau aku cium Usmanov, aku akan pastikan kau mati. Aku akan pastikan kau mati perlahan-lahan sampai kau merayu untuk aku cabut nyawa kau!" ugut aku.
Arnab hanya ketawa. Seolah-olah ugutan saya tidak memberi kesan.
Bibir sudah hampir bersentuhan. Usmanov membuka mulutnya dan lidah sudah mula keluar.
Saya memejam mata. Kemudian Sofea Jane muncul di dalam kota fikiran saya.
Gadis itu. Gadis itu tersenyum dan memeluk saya. Sofea Jane...
Pantas saya membuka mata dan menumbuk Usmanov. Serta merta juga saya berpusing dan dengan pantas menyepak arnab. Arnab terpelanting terkena pari-pari itu. Serta merta kuasa cinta hilang. Usmanov mengaduh, sakit akibat tumbukan saya.
"Okey, aku sudah percaya kau pari-pari baik!" ujar saya. Celaka punya arnab.
"Apa nama kau?" soal Usmanov.
"Saya pari-pari nombor 920" jawab pari-pari itu.
Kami angguk. Persoalannya, kenapa pari-pari nombor 920 tidak terjejas?
'Saya tidak pasti, cuma saya ada syak sesuatu, pari-pari ini mula berubah selepas majlis itu."
Saya dan Usmanov berpandangan. Pandangan suspens, bukan pandangan cinta.
"Beberapa minggu lepas semua pari-pari dijemput untuk hadir ke satu majlis sambutan hari jadi. Saya seorang tidak pergi kerana ditahan di 'sickbay', demam panas. Sebab beberapa hari sebelum itu saya ditugaskan membawa cinta untuk sepasang kekasih Eskimo di timur Siberia. Mereka hendak berpisah dan saya ditugaskan mencantumkan kisah cinta mereka semula. Tapi ini kali pertama saya ditugaskan di kawasan sejuk dan saya tidak tahan..."
"Okey!" saya mencelah. "Cerita benda penting sahaja, yakni majlis sambutan hari jadi itu. Siapa yang anjurkan?"
Ohhh," si pari-pari menggaru kepala. "Saya tidak kenal, tapi dia ada nama panggilan..."
Kami menunggu.
"Mereka menggelarnya..."
DUMMMM!!!!
Kapal tiba-tiba bergoncang.
Kami meluru ke tepi kapal.
"Kita diserang!" jerit Usmanov.
Saya da arnab memandang Usmanov. Macamlah kami tak ada mata nak tengok, kenapa perlu terangkan lagi?
Bersambung - esok: the grand duchess of foc membuat penampilan istimewa, nantikan.
Ghost Love Score - Nightwish - Lagu latar scene ini.
My fall will be for you
My love will be in you
You were the one to cut me
So I will bleed forever
Dan hari ini hari di mana langit gelap.
Kerana cahaya matahari alam La La La telah ditutup oleh beratus-ratus pari-pari yang matanya merah menyala.
Dan hari ini di mana bunga-bunga mula layu
Kerana tidak tertahan dengan busuknya kesumat dari hati pari-pari itu.
Dalam beberapa waktu sahaja alam La La La telah diceroboh oleh pari-pari yang matanya merah menyala.
Laila penjaga alam La La La menitahkan pengawal alam La La La yakni kucing-kucing terbang mula berkumpul dan mara mempertahankan tanah mereka dari dirampas oleh aura kebencian yang sudah mula meninggi. Pasukan Kucing terbang telah dibantu oleh batalion Badak dan Gajah yang akan menyokong dari darat. Kelibat haiwan-haiwan wataniah turut kelihatan seperti kumbang, kuda belang, koala, musang dan beberapa skuad rukun tetangga yang lain.
Sebanyak 200 kucing terbang telah berjaya dipanggil dan dikumpulkan.
Apa yang boleh saya saksikan dari puncak tertinggi awan alam La La La sesuatu yang tidak dapat saya bayangkan sebelum ini.
Saya melihat gerombolan pari-pari kebencian itu merempuh barisan kucing-kucing terbang. Lantas langit mula merah. Langit mula bertukar menjadi sesuatu yang paling dahsyat di mata saya.
Dan apakah daya kucing-kucing terbang itu dapat berusaha untuk mempertahankan alam cinta yang terakhir (setelah jatuhnya empayar Dewa Cinta dan alam-alam lain). Walau setinggi awan kucing-kucing ini berusaha, satu persatu gugur ke bumi tidak bernyawa lagi. Setiap satu yang jatuh membuatkan hati saya sedikit demi sedikit hancur.
Dan saya lihat pari-pari nombor 001 memakai helmet besi dengan sebilah pedang hitam yang panjang berhadapan dengan Shemod, ketua kucing terbang yang berbulu hitam pada bahagian mata dan atas kepalanya dan putih di bahagian bawah badannya.
Kedua-duanya lantas menerkam dan bergelut. Bagai bertemu buku dengan ruas, sama handal sama perkasa. Tidak hairanlah kedua-duanya memimpin barisan depan untuk puak masing-masing.
Tapi...
Saya tahu bila waktu kekalahan menghimpit kita, tatkala si ketua kucing terbang itu ditikam pedang hitam pari-pari nombor 001 dan turut jatuh ke tanah.
Alam La La La sudah tidak dapat diselamatkan lagi.
"Maafkan aku...usaha terakhir, doa terakhir yang cuba aku panjatkan tidak berjaya mungkin..." ujar Panda Cinta.
Saya berpaling ke arah Panda Cinta yang berada di tepi awan. Usmanov dan arnab si peniup seruling sudah berubah muka. Mereka nampak sesuatu yang saya tidak nampak.
"Apabila cinta mati, maka saya pun harus mati..." ucap Panda Cinta.
Dan saya akhirnya sedar sesuatu yang tidak mahu saya lihat menjelma di depan mata. Badan Panda Cinta seolah-olah meretak, seolah-olah tubuhnya dibuat dari kaca. Ia meretak sehingga menjadi kepingan-kepingan kecil. Kepingan-kepingan itu mula bercerai sedikit demi sedikit.
"Tapi kau tak boleh mati! Kau watak utama dalam cerita ini!" jerit saya.
Panda Cinta menggelengkan kepala. "Kalau kau perhatikan betul-betul, tajuk cerita ini adalah Hikayat Pelayaran Usmanov, bukan Hikayat Pelayaran Panda Cinta, maka yang tidak akan mati adalah Usmanov..."
Saya tidak tahu samada mahu menjerit atau tidak. Saya mahu memegang Panda Cinta tetapi entah kenapa tubuh saya terpaku.
"Selamat tinggal semua..."
Saya hanya dapat melihat arnab si peniup seruling menjerit hiba dan cuba meluru mendapatkan Panda Cinta. tetapi Usmanov pantas memegang arnab. Walau sekuat mana arnab meronta, Usmanov tidak membenarkannya pergi mendapatkan sahabat baiknya.
Kerana perpisahan ini sudah tidak dapat dielakkan.
Panda Cinta sudah pecah menjadi kepingan-kepingan kecil dan hilang diterbangkan angin membawa sesalannya kerana dia telah gagal.
Saya berdiri tidak percaya.
Tidak lama kemudian saya tersedar bila tangan ditarik oleh Usmanov.
"Kita harus pergi, pari-pari itu sudah semakin dekat,"
dengan hati yang berat saya naik ke atas kapal Usmanov. Kapal segera belayar meninggalkan alam La La La sambil arnab masih menangis teresak-esak. Seruling yang menjadi mainan sepanjang hidupnya terjatuh dan hilang di celah-celah pari-pari kebencian.
Saya gagahkan diri untuk bertanya kepada Usmanov ke mana arah tujuan kita.
Usmanov tidak tahu.
Saya juga tidak tahu.
Saya tidak tahu apa yang boleh menyelamatkan kami kerana Panda Cinta, yang sepatutnya menyelamatkan kami telah turut tewas.
Maka siapa lagi yang dapat kami harapkan?
-------
Menara tempat tinggal Laila penjaga alam La La La sudah dikepung oleh beratus-ratus pari-pari kebencian. Mereka tidak menyerbu ke dalam.
Mereka membiarkan seorang lelaki bergerak masuk naik ke tingkat paling atas, di mana Laila sedang bersembunyi.
Dia menerjah masuk ke dalam bilik Laila. Laila menanti. Dia tahu kedatangan lelaki itu tanda alam La La La sudah kalah.
"Tuanku Laila, patik akan lindungi tuanku!" jerit seekor tupai kecil lalu menyerbu lelaki itu walaupun ditegah Laila.
Tupai kecil itu hancur dipijak lelaki itu.
"Kaulah yang menyerang istana Dewa Cinta..." ucap Laila, "Kau telah menjadi pengkhianat, Pipiyapong..."
Pipiyapong sekadar tersenyum nipis dan mengeluarkan Ukulele berhantu.
Laila tahu ini pengakhirannya.
--------------------
Kuala Lumpur
Dua tiga minggu ini Kuala Lumpur selalu hujan. Orang kata hujan rahmat. Tapi kalau sudah menyebabkan banjir kilat itu bukan rahmat namanya, itu bala.
Sebuah kereta berhenti betul-betul di depan Kedai Mamak Bucu DBP. Dua orang lelaki keluar dengan memakai baju hujan (nyatalah mereka memakai baju hujan semasa memandu kereta).
Seorang pelayan kedai mamak lantas menyapa mereka, "order? minum?"
"Kami mahu jumpa Ajeee (e - ekor)," ucapa salah seorang dari mereka.
Pelayan kedai mamak itu buat-buat tak faham, "Mana ada Ajeee. Nasi goreng ayam atau mee goreng mamak?"
"Mee goreng mamak,"
Pelayan itu bertanya lagi, "teh o ais limau atau kopi wo kurang manis?"
"milo ais tak mau ais,"
Pelayan itu angguk, dia tanya soalan terakhir, "roti kosong kuah kari atau kuah dal?"
"dal sambal"
Pelayan kedai mamak itu angguk. Dia sudah yakin dua lelaki di depannya itu bukan musuh. Dia membawa kedua-dua lelaki itu masuk ke dalam satu bilik yang ditutup dengan pintu gril tolak. Di dalamnya sudah menanti orang yang bernama 'Ajeee'.
"Saya Spyz dan ini Jigo. Kami membawa pesanan dari Jenderal Sindiket Sol-Jah..." lelaki bernama Spyz bersuara menanggalkan hood kepalanya.
Ajeee angguk sambil mengurut dagunya.
"Sesuatu telah berlaku...sesuatu yang buruk..." ucap Ajee sambil terus mengurut dagunya.
Ajeee memandang Spyz dan Jigo. "Seorang ahli kamu telah hilang (saya) di alam La La La dan seorang lagi telah mengkhianat, menjadi sekutu kepada dalang konflik cinta...adakah Sindiket Sol-Jah masih punya kekuatan seperti dahulu? Adakah kami boleh percaya dengan reputasi kamu?"
"Pipiyapong memang kami sudah duga lemah imannya!" bentak Jigo. "manusia yang boleh dibeli dengan hanya gitar bass itu tidak layak untuk Sindiket Sol-Jah!"
"Jigo!" Spyz mengangkat tangan tanda menenangkan lelaki itu. Spyz memandang Ajeee semula.
"Jenderal Sindiket Sol-Jah sudah lama khuatir perkara ini akan berlaku. Nah..." Spyz menyerahkan sekeping CD.
Ajeee angguk, "baik, baik..aku akan tunaikan hasrat Jenderal Sindiket Sol-Jah. Tapi ingat...lama sudah aku ramalkan, lama sudah aku lihat kegelapan yang datang ini. Ada antara kamu yang akan gugur, ada antara kamu yang bakal gila dan ada antara kamu yang bakal dimahsyurkan...adakah Sindiket Sol-Jah sudah bersedia?"
Spyz angguk.
Ajeee tersenyum.
"Ada tiga dalang cinta, yang bertanggungjawab ke atas semua kekacauan ini. Aku hanya tahu seorang. Dia adalah...."
(Hikayat Pelayaran Usmanov Fasal Emily tamat - bersambung ke bahagian berikutnya - Hikayat Pelayaran Usmanov II - Kawan-Kawan yang Kita Suka)
Panda Cinta sudah usai mentafsi lagu yang dicipta oleh Ejen Perisikan Cinta.
Dia sudah mendapat satu nama...satu nama yang bersubahat dengan kekacauan yang telah berlaku. Usmanov turut pening kepala kerana statistik terakhir menunjukkan beberapa selebriti Hollywood termasuk Angelina Jolie dan Brad Pitt telah menjadi mangsa.
Tapi sebelum ini dia harus selesaikan satu perkara,
Tentang saya dan Emily.
Saya dan Panda Cinta duduk di atas awan paling tinggi. Arnab si peniup seruling membawa Usmanov pergi berjumpa kucing-kucing terbang yang sedang berehat di restoran atas pelangi.
Di depan saya teh putih yang dicampur dengan ekstrak awan. Teh yang paling istimewa di alam La La La.
"Minum..." arah Panda Cinta.
Saya minum tanpa banyak soal.
'Kes kau sudah berat..." kata Panda Cinta. "Simptom Emily sudah tidak mahu pada kau sudah jelas. Dari rajin sms bertanya khabar kini sepi tanpa sms, dari mahu ikut ke teater kini tidak mahu, dari berbahasa baik-baik kini berbahasa apa cer, dari banyak bergurau kini lebih banyak diam...itu tandanya kau sudah dibencinya..."
Saya angguk.
"Sekarang kita mulakan..." ucap Panda Cinta. Dia mengambil sekeping kertas dan sebatang berus buluh. Pen itu dicelup ke dalam dakwat. "Ini adalah nota cintaku untuk kamu buat Emily...."
To Emily
Saya, Panda Cinta, mewakili seorang manusia di depan saya...
Pertamanya saya ucapkan salam hormat dan semoga Emily sentiasa dilimpahi rahmat tuhan. Semoga Emily sentiasa ceria dan bahagia menghadapi hidup.
Adapun tujuan nota ini saya layangkan kerana ingin memberitahu bahawa lelaki di hadapan saya telah membuat silap. Oleh itu dia memohon di atas awan ini berminumkan teh putih ini agar Emily dapat memaafkannya.
Setelah itu, dia bermohon juga agar Emily dapat memberikan dia peluang untuk memperbaiki keadaan.
Dia bermohon agar Emily sudi untuk keluar minum dengannya.
Dia bermohon agar Emily sudi untuk dikalahkan olehnya dalam perlawanan bowling.
Dia bermohon agar Emily sudi untuk menonton teater bersamanya semula.
Dia bermohon agar Emily sudi untuk membenarkan dia merindui Emily semula.
Dia bermohon agar Emily sudi menemani hidupnya.
Dia juga bermohon agar Emily dapat membenarkan dia untuk memgembirakan Emily semula.
Dia juga bermohon agar Emily dapat membenarkan dia untuk membuat Emily ketawa semula.
Dia juga bermohon agar Emily dapat membenarkan dia untuk membuka semula pintu hati Emily yang sudah tertutup rapat.
Dengan teh putih ini dia datang merendah diri. Dengan teh putih ini diminum dan dengan harapan agar dapat membawa Emily untuk turut sama minum di sini.
Maka saya menulis nota ini, membawa harapan yang besar dari dia kepada Emily.
Dengan nota ini jua saya panjatkan doa kepada tuhan, agar Emily kembali membuka hati kepada dia.
Dengan nota ini jua saya mohon manusia sekalian alam untuk panjatkan doa kepada tuhan, agar Emily kembali membuka hati kepada si dia.
Dan doa-doa itu haruslah diaminkan.
Dengan nota ini sahaja, tanpa apa-apa lagi yang tinggal untuk dia.
Dengan nota ini sahaja.
Yang Benar
Panda Cinta
---
Saya melihat Panda Cinta berdiri di tepi awan. Nota itu kemudian dilepaskan, dibiarkan angin membawanya pergi.
"Sekarang bagaimana?" soal saya.
"Kita tunggu, samada kuasa doa mampu menewaskan Panda Benci. Kerana jika semuanya gagal, doa adalah anugerah paling berkuasa tuhan turunkan pada manusia," ujar Panda Cinta.
Maka kami menunggu. Kami menunggu kuasa doa itu.
Kerana sejauh mana doa itu bakal menentukan adakah Usmanov berjaya menewaskan dalang-dalang cinta.
Kerana arah jalan cerita Hikayat Pelayaran Usmanov bergantung besar kepada kuasa doa ini.
Kerana sehingga tidak mencapai sampai (atau lebih) 44 doa (diruangan komen di bawah), Hikayat Pelayaran Usmanov tidak akan digerakkan, Alam La La La tidak akan digerakkan, Dunia Vovinska...tidak akan membawa cerita terbarunya.
Sehingga doa ke 44.
Amin
(bersambung....ketika orang ke 44 menitipkan doa di bawah)
Alam Mondo Bongo sedikit pelik berbanding alam La La La, Kayangan Cinta dan alam manusia.
Ini kerana pintu masuk ke Alam Mondo Bongo hanya tujuh belas. Setiap tujuh belas pintu masuk telah dikawal dengan satu pintu gerbang bertulis "Jika Boleh Pusing Dan Pulang Amatlah Digalakkan". Orang-orang Mondo Bongo sifatnya suka kepada diri dan bangsa sendiri. Mereka hanya mendengar lagu-lagu ciptaan bangsa mereka sendiri, menonton filem bangsa mereka sendiri, membaca karya sastera bangsa mereka dan makan buah-buahan yang tumbuh hanya di Mondo Bongo.
Uniknya juga pintu masuk Mondo Bongo ini adalah kerana kawalan kastam mereka. Hanya pintu keluar masuk Alam Mondo Bongo sahaja yang mempunyai pengawal kastam. Setiap pegawai akan memeriksa pelawat dengan teliti agar barang-barang yang dilarang tidak dibawa masuk. Adapun barang yang dilarang itu ada lima, 1- Pensil Warna, 2-Sebarang perisian Adobe, 3- Sebarang perisian Microsoft, 4-Buku-Buku terbitan Sindiket Sol-Jah dan yang kelima Pipiyapong.
Setiap pengunjung akan melalui satu gerbang yang dinamakan gerbang Saturation. Inilah pertama kali saya merasai pengalaman gerbang Saturation itu. Gerbang itu akan menanggalkan segala warna yang ada pada diri dan barang-barang yang saya bawa.
Ya, Mondo Bongo adalah sebuah alam Black And White, seperti yang biasa kita lihat dalam filem-filem Orson Welles dan Ozu (muahahahaha, inside joke- hanya sinaga-naga dan Dean Sham yang faham, Tok Rimau sipi-sipi faham).
Kemudian, saya akan pergi mendapatkan visa di depan kaunter yang dikawal oleh seorang pengawal bergelar "Pemberi Visa".
"Untuk masuk..." kata Si Pemberi Visa, "kau harus membuka salah satu dari tiga kotak di depanmu ini," katanya merujuk kepada tiga kotak yang diletakkan di depan saya di atas meja. "Jika kamu berjaya membuka kotak yang mengandungi kertas berwarna hijau, maka kamu dibenarkan masuk, jika kamu membuka kotak yang mengandungi kertas berwarna merah atau tidak mempunyai kertas, maka kamu tidak dibenarkan masuk!" ujar Si Pemberi Visa.
Saya lantas bertanya, dalam keadaan dunia Black And White ini, bagaimana saya atau Si Pemberi Visa tahu kertas yang saya ambil dari salah satu kotak itu berwarna Hijau? atau Merah?
"Ya tak ya, saya terlupa," kata Si Pemberi Visa. Dia lantas memakai satu google mengesan warna yang ditempah khas dari selatan Mondo Bongo. Dia membuka kotak pertama. Ditutup dan kemudian dibuka kotak kedua. Ditutup kembali sambil mengangguk dan memandang saya.
"Sekarang saya tahu kotak mana satu yang mempunyai kertas warna hijau, maka hendaklah kamu pilih..."
Belum sempat si Pemberi Visa menghabiskan kata-kata, saya terus menunding jari ke kotak nombor dua.
"Err, yakin?"
Saya angguk.
"Bagaimana kau tahu kotak dua itu mempunyai kertas berwarna hijau?" soalnya.
"Saya teka,"
"Hebat, kau memperjudikan odds 1/3 untuk.."
Sekali lagi saya pintas. "1/2 sebenarnya...awak buka kotak nombor satu dan tutup. Awak buka kotak dua dan tutup. Awak tak buka kotak tiga. Maka selamat saya andaikan kotak satu tidak mempunyai kertas hijau. Saya semakin yakin bila awak tak buka kotak tiga, menjadikan saya syak, awak sudah ternampak kertas hijau di kotak 2 dan terlupa seharusnya awak buka juga kotak tiga untuk mengelirukan saya..."
Setengah jam kemudian saya, Usmanov dan arnab si peniup seruling sudah berada di Alam Mondo Bongo (walaupun saya dan usmanov amat berharap arnab tidak lepas ujian kotak visa tadi).
Alam Mondo Bongo itu luas. Kami perlu mencari klu dan titik mula untuk menemui Panda Cinta. Dia mungkin berada di mana-mana. Dengan siapa harus kami tanya?
Persoalan itu tidak perlu kami jawab kerana sebaik sahaja keluar dari kompleks kastam, kami terserempak dengan Panda Cinta yang dalam kira-kira hendak memasuki kompleks tersebut.
"Kamu buat apa di sini?" soal Panda Cinta.
"Kami sedang cari kau, kau nak pergi mana?" soal arnab.
"Aku nak balik ke La La La..."
"Sudahkah kau temui cara untuk membebaskan Emily dari Panda Benci?" soal saya.
Panda Cinta geleng, "Malangnya tidak..."
Saya longlai balik. Saya tunduk sedih.
"Panda Cinta...saya Usmanov..saya datang membawa berita..."
"Ya, ya, aku dah baca di internet. Serangan besar-besaran ke atas institusi Cinta..." pintas Panda Cinta.
Dia mengeluarkan sekepig CD. "Aku dapat ini dari Ejen Perisikan Cinta. Sebelum dia hilang, dia telah merakamkan satu lagu bersama kugirannya, Primary. Dalam lagu itu mengandungi kod-kod yang perlu ditafsir kerana menurutnya, dari situ kita akan tahu dalang kepada kekacauan institusi Cinta. Ya, aku sendiri tidak faham kenapa dia perlu bersusah payah lepak di studio, mengharungi proses rakaman track by track dan menggubah lagu berkod sedangkan dia boleh sahaja menulisnya dan menghantar kepada aku..." terang Panda Cinta panjang lebar.
"Baik! Kita ke Alam La La La kembali!" kata Usmanov bersemangar. "Tidak lama lagi kita akan tahu siapa dalangnya!"
Panda Cinta menepuk bahu saya. "Untuk kau...aku ada satu cara terakhir...aku tak pasti ia mampu melawan Panda Benci atau tidak...tapi kita cuba dan berserah kepada tuhan..."
Saya angguk. Apa saja. Apa saja untuk Emily....
Bersambung esok untuk satu ultimatum, jangan ketinggalan...
