Archive for the ‘sastera’ Category
DATANG BERSAMA TINTA
Saya mula menulis blog sekitar tahun 2002.
Saya mula menulis fiksyen (dan non-fiksyen) sekitar tahun 1993 lagi.
Masuk tahun 2008, saya kira blog sudah menjadi satu kepentingan, termasuk di kalangan penulis warga baru dan lama. Kita mempunyai blog penulis muda meningkat naik seperti Saudari Nasriah mewakili golongan muda dan sasterawan seperti Marsli N.O mewakili golongan tidak muda. (sekadar menyebut beberapa nama).
Adakah mereka patut dipanggil blogger?
Saya rasa tidak. Lebih mulia jika mereka dipanggil ‘penulis’ atau ’sasterawan’
Kadang-kala kekeliruan (yang bukan saya sahaja alami) datang dari pembaca bila tidak tahu meletakkan saya sebagai blogger atau penulis?
Ini juga terjadi ketika saya mengendalikan MASKARA bila ada wartawan dan juga sesetengah pemilik blog yang menyifatkan majlis tersebut sebagai Malam Blogger beraksi. Saya sedikit terasa bebannya kerana majlis tersebut sebenarnya bukan begitu sifatnya. Kebetulan manusia yang beraksi dalam majlis tersebut, majoriti mempunyai blog, tetapi majlis itu tidak layak dipanggil majlis untuk blogger. Mereka yang beraksi di dalamnya punya cabang seni tersendiri dan pengiktirafan yang sewajarnya patut diambil kira.
Saya ambil contoh sahabat penulis, Nazmi Yaakub. Barangkali ramai yang selalu menjenguk blog beliau di kawat.blogspot.com. Nah, bagi saya beliau lebih layak dipanggil seorang penulis, bukan blogger, walaupun ya, beliau aktif dengan menulis artikel dan membangunkan blog sendiri. Kerana panggilan ‘penulis’ itu lebih memuliakan dirinya dari segi hieraki pangkat.
Untuk saya (saya tak tahu orang lain), terkenal sebagai blogger adalah satu bonus, di mana saya mungkin bangga pada hari pengiktirafan itu tetapi sudah lupa pada keesokan harinya.
Tapi terkenal sebagai seorang penulis adalah perjuangan saya, yang akan saya ceritakan kepada anak cucu sampai mati. Ia adalah jiwa saya. Jika ditakdirkan blog sudah tiada pun, saya akan terus menulis dan bercerita.
Saya adalah seorang penulis dan blog hanyalah alat untuk menyampaikan tulisan saya.
Tinta;
Nazri M. Annuar
Wangsa Melawati, Jun 2008