ARKIB

FAVOURITE + AMBIL HATI

Archive for the ‘siri platun arnab liar’ Category

Ada satu kisah tentang bagaimana kalau kita suka perempuan itu, molek kita kasitau yang kita suka padanya. Peh, panjang ayatnya.

Dalam platun Arnab Liar, Otam adalah yang paling pemalu dalam hal ehwal perempuan ini. Meskinpun salah satu skop utama kerjanya ialah bercakap (sebab dia yang pegang radio waktu operasi), namun itu semua gagal dimanfaatkan ketika bertemu perempuan.

Tapi sebagai manusia, Otam mempunyai hati.

Dan hati itu tertaut pada nurse Amy di klinik pengkalan kami.

Comel jugak Amy ni. Kecik-kecik saja tubuhnya. Selalu tersenyum pada sesiapa yang mengunjungi klinik itu.

Klasik jugak cara Otam nak mendekati Amy ini.

Kehadiran Amy itu disedari Otam ketika dia membawa Amar Amir ke klinik. Amar Amir menderita cirit birit selepas memakan pulut yang dihantar oleh isterinya, Fazleena. Pulut yang dihantar melalui pos itu hanya sampai ke kem kami tujuh hari kemudian. Konvoi yang membawa pulut itu terkandas akibat serangan musuh. Namun demi cinta punya pasal, si Amar Amir pergi makan juga.

Tapi cerita pulut itu kita biarkan sahaja, sebab cerita Otam lebih penting.

Maka sewaktu menunggu Amar Amir mendapatkan rawatan, si Otam terpaku melihat nurse Amy menyusun ubat, mencatat inventori dan tersenyum pada setiap askar yang datang mendapatkan rawatan.

Hati Otam berbunyi loceng - bunyinya begini - Ting! Ting! Ting! - Saya Sudah Jatuh Cinta.

Tapi setengah jam di klinik itu, satu hapah perkataan pun Otam tak lontarkan pada si Nurse Amy itu.

Tiga hari kemudian, disebabkan nak tengok nurse Amy, Otam volunteer untuk bawak Sarjan Hatta ke klinik. Bukan keracunan pulut kerana isteri Hatta tidak pernah membelikan sebarang pulut untuk Sarjan Hatta. Kes Hatta lebih lucu. Kita cerita lain kali sebab cerita utamanya ialah Otam.

Dan sekali lagi, sepanjang setengah jam di klinik, Otam tak borak sepatah pun.

Tiga hari berlalu, seorang anggota platun pun tak sakit. Otam mencari sebab untuk ke klinik.

Lantas Otam buat-buat pening kepala. Kali ini dia berseorangan pergi.

Dan entah ganja mana dia hisap sebelumnya (agaknya), si Otam BERCAKAP dengan nurse Amy.

Walaupun mungkin tiga patah perkataan

yakni "Ya, Tak, Baiklah"

Itupun, ketika dia balik, senyum sampai ke subuh.

Esoknya Otam buat hal lagi. Dia pergi berdiri tengah padang, waktu hujan lebat. Dengan alasan, nak kasi demam, supaya dapat ke klinik, jumpa Amy.

Otam tak demam. Tapi dia ke klinik itu jugak esok pagi, bawak Firdaus Abdillah dan Prebet Shiro. Sebab kedua-duanya join Otam mandi hujan.

Hajatnya tetap sampai, walaupun bukan dia yang demam.

Tapi sudah ada progress. Otam sudah bercakap 34 patah perkataan (Firdaus Abdillah jadi saksi - dia kira setiap patah perkataan yang keluar dari Otam). Plus - Nurse Amy sentuh Otam. Tapak tangan Nurse Amy sentuh dahi Otam, nak rasa panas ke tak si Otam.

Jadi bayangkanlah macam mana punya happy si Otam masa balik ke bilik.

Baginya si nurse Amy sentuh dia tu dah kira declare la dah. Macam budak baru akil baligh dapat pegang tangan makwe.

Jadi begitulah, beberapa siri pertemuan lagi di klinik itu berlaku lagi untuk hari-hari mendatang.

Otam sudah jatuh cinta.

Kami tak sudah-sudah menasihati Otam - Go Otam! Go! Luahkan isi hatimu sebelum ada kapten atau mejar yang menyapu si nurse Amy.

Otam buat cool, katanya perempuan tak suka lelaki rushing ni.

eceh, baru nurse Amy pegang dahi dia, dia dah jadi expert dalam hal ehwal wanita ni?

Dalam konon cool itu, lima lirik lagu dah dikarang oleh Otam. Katanya nak kasi kat nurse Amy. Bila kami tanya bila nak kasi? Otam jawab - bila masa yang sesuai. Bila masa sesuai tu, soal kami. Otam buat-buat balas sms.

Suatu hari Otam dapat semangat. Dia kata hari ini dia nak luahkan isi hatinya.

Kami semua bersorak. Bukanlah sebab nak sokong dia sangat, tapi lebih kepada mengharap kami tak dengar lagi lagu-lagu yang dia karang untuk nurse Amy sepanjang malam. Beginilah - lagu itu, kalau nak buat makwe minta break, boleh lah kau dendangkan depan dia. tapi Otam tetap yakin lagu untuk Nurse Amy itu cukup kuat untuk kasitau apa dalam hatinya.

Jadi Otam tekad. Hari itu dia nak jumpa nurse Amy, dan ajak Nurse Amy makan di kedai Tom Yam luar kem.

Dia dah book satu meja paling tepi, menghadap sungai (sebenarnya bukan sungai, tapi longkang yang besar).

Tapi petang tu, ketika Otam datang klinik, Nurse AMy tak sambutnya.

Otam terpinga-pinga. rupanya Nurse Amy terpaksa dikerah ke Selatan membantu pasukan perubatan di sana akibat kekurangan nurse.

Otam angguk. Tak mengapa, cinta boleh ditunggu. Otam sabar dan anggap ini cabaran.

Dalam pada itu dia sering ke klinik, bertanyakan adakah nurse Amy dah balik.

14 hari lepas tu baru Otam dapat tahu, konvoi yang membawa nurse Amy tak pernah sampai ke Selatan.

Mereka diserang hendap di Melaka. Serangan musuh menghancurkan keseluruhan konvoi. Khabarnya tiada seorang pun yang hidup.

Sejak dari itu, Otam simpan semua lagu-lagu untuk Nurse Amy dalam sebuah kotak kecil. Kotak itu kemudian dihanyutkan di sungai tepi kedai tomyam itu. Saya, firdaus Abdillah, Sarjan Hatta dan Kapten Ismail Othman menyaksikan upacara menghanyutkan kotak itu.

"Pergilah! Pergilah jauh-jauh wahai cintaku! Semoga kau belayar ke syurga dan bertemu dengan Nurse Amy...' ucap Otam.

Kotak itu tak pergi jauh.

ia tersangkut di celah ranting pokok di tepi sungai.

Puas kami jolok-jolok agar kotak itu hanyut, tak juga hanyut.

Akhirnya, Otam ambil semula kotak itu dan simpan dalam lockernya.

Itulah kisah cinta Otam dan Nurse Amy.

Nurse Amy - satu-satunya cinta hati Otam hingga akhir hayatnya.

TAMAT

Lagu: The Sky Is Crying - SRV

Hari ini langit birunya cantik.

dengan hamparan rumput yang mempadang luas, Firdaus Abdillah terbaring berbantalkan tangannya, tepat memandang langit biru di atasnya.

Di sebelahnya, Fazura Omar turut terbaring memandang langit sambil tersenyum.

"Kalau awak terer, langit warna apa?" soal Fazura Omar.

Firdaus Abdillah membuka mulut hendak menjawab warna 'biru', tapi kemudian dia diam. Dia sedar dia sedang diperangkap.

"Tak tahu la tu..." Fazura Omar terus bersuara sambil mata terus tegak memandang ke atas.

"Saya SPM tak dapat 10A macam awak..." jawab Firdaus Abdillah datar.

"Eceh...nak tahu langit warna apa?"

+++

"Yang kau tanya warna langit dari tadi ni apa jadah? nak kena terajang?" jerkah Sarjan Hatta.

Firdaus Abdillah  menggelengkan kepala.

Kelihatan berderet enam orang askara sedang duduk di atas bukit memandang langit yang cerah membiru.

"Kasi la chan dia nak bermesra dengan kau Hatta..." Amar Amir bersuara.

"Kau pergi bermesra dengan Anip tu..." Sarjan Hatta menjuihkan bibir ke arah Prebet Anip SHiro yang sedang mengejar seekor arnab.

"Ceh..." Firdaus Abdilah membidas.

+++

"Awan tu bentuk macam arnab...kan?" Fazura Omar menunding jari ke arah satu gumpal awan di langit, masih terbaring di sebelah Firdaus Abdillah

"Mana?"

"Tu...tuuuu..."

"takde pun..."

"Ada, rupa arnab..."

"Macam rupa beruk kahwin dengan ular ada la..." jawab Firdaus Abdillah

"Ahhh...mata kena pakai spek!" Fazura Omar buat-buat merajuk.

"Lahhh, dah memang takde rupa arnab..."

"Malas la nak layan..."

Firdaus Abdillah mengangkat kepala memandang Fazura Omar.

Fazura Omar terus memandang ke atas

"Merajuk ke?"

"Tanya pulak..."

"Merajuk betul la ni?"

Fazura Omar tak jawab.

Kemudian secara tiba-tiba sekuntum bunga hinggap di hidung Fazura Omar.

Fazura Omar mengambil bunga itu. "Cantiknya..."

"Suka?"

+++

"Suka kepala anjing kau!" Sarjan Hatta bangun dan mengejar Firdaus Abdillah yang tadinya secara tiba-tiba mencampakkan sekuntum bunga ke muka Sarjan Hatta.

"Apa sakitnya si budak dua ekor ni?" soal Pidomat yang baru selesai menunaikan solat.

"Dah gila kot..." jawab Otam.

Kelihatan Anip Shiro masih terus mengejar arnab.

"Tapi memang gua nampak langit ni birunya cantik lain macam harini..." ucap Amar Amir.

Masing-masing diam.

"Kat situ je la birunya cantik..." kata Prebet Rozani pula.

+++

"Kita bela arnab nak?" tanya Fazura Omar

"Buat apa?"

"Saja, pet..."

"Saya dah ada pet..." jawab Firdaus Abdillah

"Dah ada? Mana?"

"Depan saya ni..."

"Huh! saya bukan pet!"

"Habis tu awak apa?"

"Saya..." Fazura Omar berbisik pada telinga Firdaus Abdillah.

Firdaus Abdillah tersenyum.

"Arnab pun arnab la..."

+++

Anip Shiro berjaya menangkap arnab yang dikejar tadi. DIa mengusap arnab itu dengan belaian kasih sayang.

"Woi, dari tadi kau asyik kejar arnab tu, kenapa?" soal Amar Amir

"Kapten dengan Korporal Jamal suruh tangkap,"

"Haaa, meh sini," korporal Jamal memanggil Anip SHiro.

Anip Shiro membawa arnab itu sambil membelainya.

Di serahkan kepada Korporal Jamal.

"Mana arah kiblat?" soal Kapten Ismail Othman.

"Sana..." tunjuk korporal Jamal.

"Bismillahirrahmanirrahim..." Kapten Ismail Othman mengeluarkan pisau dan menyembelih arnab itu.

"Tidakkkkkk!!!" jerit Anip Shiro.

"Kau apahal?" jerkah Korporal Jamal

"Kenapa...bunuh...arnab ni?" soal Anip Shiro

"Kau tak lapo?" soal Kapten Ismail Othman, "semua kat sini lapo, ko tak lapo?"

"Lapo lapo lapo..."

Firdaus Abdillah dan Sarjan Hatta berhenti berkejar-kejar. Mereka kembali menyertai geng lain duduk memandang awan sambil menanti Kapten Ismail Othman dan Korporal memasak daging arnab.

"Langitnya yang biru sebelah sini je..." ujar Prebet Rozani, merujuk ke langit sebelah kanan mereka. Tatkala mereka menoleh ke kawasan langit sebelah kiri masing-masing, kelihatan langit warnanya bukan biru, sebaliknya merah dengan sekali sekala kelihatan cahaya terang berbalam-balam di sebalik kepulan-kepulan asap.

Merah langit di situ kerana di bawahnya sedang berlangsung satu pertempuran hebat antara dua kuasa. Mereka dapat mendengar bunyi dentuman demi dentuman mewarnai latar bunyi daerah itu.

Langit itu akan sentiasa merah, buat masa ini.

Masing-masing bungkam, memerhati dua warna pada satu langit yang sama.

Sambil dalam hati menanti daging arnab yang bakal siap dipanggang mengisi perut masing-masing

TAMAT

Keretapi bergerak laju menuju ke destinasi timur Malaysia.

Di celah-celah manusia di dalam deretan gerabak itu, seorang lelaki lengkap dengan uniform tentera melontarkan pandangan keluar tingkap.

Dia berharap agar segera sampai ke hentiannya - Kuala Lipis.

Dia memandang surat di tangannya.

Dia berharap agar segera sampai ke destinasi hentiannya, agar penerima surat ini segera membuka surat ini dan membacanya dengan tabah.

Terpalit darah di sampul surat itu.

Dia amat berharap, wanita yang bakal menerima surat itu mengerti.

+++

BOOMMMM!!!

"Kiri! Kiri!" jerit Kapten Ismail Othman.

Sarjan Hatta dan prebet Anip Shiro pantas bergerak.

Luka DK dengan mesin-gan gajahnya bangun dan menembak menghujankan musuh dengan peluru-pelurunya.

TRATTTT! TRATTT! TRATTT! TRATTTT!

Platun Arnab Liar bergerak menghampiri gerabak keretapi yang berhenti betul-betul di atas sebuah jambatan.

Kelihatan di satu sudut, Amar Amir dan Rizal Gunz cuba bergerak menghampiri gerabak itu.

Pelannya mudah, bom jangka dipasang di sekitar gerabak-gerabak keretapi itu dan diletupkan dengan alat kawalan radio. Gerabak-gerabak itu bakal memusnahkan jambatan besar seterusnya menghalang kemaraan musuh menerusi jalan itu.

Pentingnya kemaraan musuh dihalang kerana jalan itu kini satu-satunya jalan pintas menuju ke ibukota. Jika jalan itu dimusnahkan, kemaraan musuh dapat diperlahankan seterusnya memberi peluang tentera Malaysia mengatur kembali barisan mereka yang telah dimusnahkan oleh beberapa siri serangan sebelum ini.

Namun pelan yang mudah itu, menjadi rumit tatkala bom-bom yang dipasang tidak dapat diletupkan dari jauh akibat kerosakan teknikal. Firdaus Abdillah sebagai pakar bom lantas pergi memeriksa bom-bom yang dipasang dan ketika dia memeriksa gerabak paling jauh, ketika itu dia ditembak musuh dan terperangkap, tidak dapat kembali ke platun.

Platun Arnab Liar berusaha untuk melindungi Firdaus Abdillah. Namun Firdaus Abdillah mengalami kecederaan teruk di kaki mengakibatkan dia sukar untuk bergerak.

Kapten Ismail Othman memandang Otam yang memegang alat kawalan. Alat kawalan itu sudah rosak.

Kini bom-bom itu hanya boleh diletupkan secara manual dan punatnya berada berdekatan dengan Firdaus Abdillah.

Saya memandang Otam. Kemudian memandang Kapten Ismail Othman.

Kapten Ismail Othman menutup mata.

Ronaldo menepuk bahu saya. Saya memandang Ronaldo. Lelaki berkepala botak itu menunjukkan sekeping surat.

Saya gumam.

+++

DUA HARI SEBELUM ITU

Saya, Ronaldo dan Amar Amir menghendap.

Dari celah-celah semak itu kami memerhati kelibat seorang lelaki yang asyik menulis sesuatu di dalam gelap, hanya sedikit cahaya lampu suluh kecil buat membantu kerjanya.

Saya, Ronaldo dan Amar Amir saling berpandangan. Kami angguk.

Kami pantas keluar dari tempat persembunyian dan menyergah Firdaus abdillah, lelaki yang sedang menulis sesuatu itu.

"HOIIII!" jerit Amar Amir. Ronaldo pantas menangkap Firdaus Abdillah sementara saya merampas kertas di tangannya.

"Hoi! Hoi!" jerit Firdaus Abdillah.

Saya menyuluh kertas itu.

"Apa dia tulis? Apa dia tulis?" tanya Amar Amir.

Firdaus Abdillah mengelupur tapi Ronaldo erat memegangnya

"Kehadapan....pehhhhh, mana ada orang guna perkataan 'kehadapan' dah sekarang ni..." ejek saya.

"Aku bunuh korang! Aku bunuh korang!" jerit Firdaus Abdillah.

"Apa lagi? Apa lagi?" tanya Amar Amir.

"Ni...ni...ada pantun, ada pantun..." saya membacakan pantun karangan Firdaus Abdillah.

"Pehhhhhhh! Tak nak mengaku lagi! Tak nak mengaku lagi!" Amar Amir bersuara.

"Aku dah cakap, memang dah sah, dah sah!" tambah Ronaldo.

"Kau jangan nak bocor rahsia Ronaldo!" gertak Firdaus Abdillah merampas kembali surat dari tangan saya.

"Cerita sikit Ronaldo, cerita sikit!" korek Amar Amir.

Tak banyak input yang kami tahu tentang makwe yang sedang bertahta di hati Firdaus Abdillah ketika ini. Cuma apa yang kami tahu, makwe ini adalah jururawat bulan sabit, Firdaus dan Ronaldo jumpa di ibukota ketika menghantar beberapa orang awam yang cedera. Hanya Ronaldo yang tahu cerita sebenarnya bagaimana cinta mula berputik di hati Firdaus Abdillah.

+++

Saya memandang surat di tangan Ronaldo.

"Aku tak tahu kenapa dia suruh aku pegang surat dia ni...macam tanda dia tahu yang dia nak..."

Saya segera memotong cakap Ronaldo, "dah! dah!, jangan cakap..."

Saya mengambil surat Firdaus Abdillah itu. Di sampul itu tertera satu nama. Nama seorang gadis.

"Aku nak dia sendiri kasi surat ni! Aku tak nak perempuan ni baca surat ni dengan linangan air mata..." ujar saya.

"Jom!" Ronaldo mengambil surat itu kembali dan memasukkan ke dalam koceknya. DIa mengangkat senjata.

Saya angguk.

Kami merapati Kapten Ismail Othman.

"Tak boleh!" tegas Kapten Ismail Othman bila kami memberitahu hajat kami untuk pergi menyelamatkan Firdaus Abdillah. "Terlalu bahaya!"

Ronaldo geleng kepala dan terus bergerak pergi. Saya pantas mengekori.

"Hoi! Hoi!" jeritan Kapten Ismail Othman tidak kami endahkan. Menyedari dua anggota platunnya berdegil untuk mara ke arah gerabak-gerabak yang dihujani peluru musuh, Kapten Ismail Othman pantas memberi arahan kepada anak-anak buahnya yang lain untuk memberi tembakan perlindungan pada Ronaldo dan saya.

Kami bergerak menghampiri gerabak-gerabak itu dengan segala doa agar hujan peluru itu tidak mengenai kami. Perlahan-lahan, lokasi Firdaus Abdillah yang bersandar di sebalik satu gerabak kami rapati.

"Korang datang buat apa?" sergah Firdaus Abdillah.

"Selamatkan kau," ujar saya.

Ronaldo dan saya berjaya mendapatkan Firdaus Abdillah.

"Pergi!" ujar Ronaldo.

Saya dan Firdaus Abdillah memandang Ronaldo, lelaki berkepala botak itu.

"Apa jadah?" soal saya. "kita gerak sekali,"

"Aku cover kamu berdua..." Ronaldo mengeluarkan surat dari koceknya dan memasukkan surat ke dalam baju Firdaus Abdillah. "Surat ni kau kau sendiri kasi kat makwe yang kau nak ngorat tu! Korang gerak sekarang!"

"Bahaya untuk kau ni!"

"Aku tau, jangan banyak cakap, gerak sekarang!"

Kami masih belum mahu pergi,

Ronaldo berasa jengkel.

"Bendanya macam ni, gerabak ni memang kita kena letupkan dari sini, so salah seorang kena stay!" kata Ronaldo

"Baik aku je yang letupkan tadi!" marah Firdaus Abdillah

"Macam ni, korang berdua ada orang tunggu kat kampung, rugi kalau korang mati, aku tak apa, takde orang tunggu aku kat kampung..."

"Mana boleh kira macam tu," marah saya pula.

"Dah, jangan nak bertekak!" Ronaldo merenung kami berdua. "Tak pun aku letupkan sekarang, biar kita bertiga mampus? Lagi rugi..."

Kami terdiam.

"Pergi!!!"

Saya memapah Firdaus Abdillah pergi sementara Ronaldo bangun melepaskan das-das tembakan melindungi kami. Namun seperti yang dijangka beberapa butir peluru hinggap mengenai tubuhnya.

Saya dan Firdaus tidak menoleh tapi kami tahu apa yang terjadi kepada Ronaldo.

Ronaldo terus gagah menembak musuh walaupun peluru-peluru terus hinggap ke tubuhnya. Dia kemudian jatuh tapi sempat mencapai alat kawalan bom. Punat ditekan dan...

Semua anggota platun Arnab Liar memerhati dari jauh gerabak-gerabak itu dimusnahkan satu persatu dengan bom yang telah dipasang. Akibatnya, jambatan itu berjaya dihancurkan sama sekali.

Firdaus Abdillah memandang jambatan yang hancur itu dengan wajah yang hiba. Dia meraba koceknya dan mencapai suratnya. Surat itu terpalit darahnya.

+++

Firdaus Abdillah turun dari gerabak keretapi yang berhenti di stesen Kuala Lipis. Dia memandang sekeliling.

Terlihat akannya susuk seorang gadis berdiri memakai kebaya memandangnya dengan satu senyuman manis.

Firdaus Abdillah tersenyum. Dia menghampiri gadis itu. Surat di tangannya di serahkan kepada gadis itu.

"Untuk awak..." kata Firdaus Abdillah.

Gadis itu mencapai surat itu. Di sampulnya tertera nama Fazura Omar.

Gadis itu memandang Firdaus Abdillah. Dia tersenyum seraya mengucapkan "Terima kasih..."

-

TAMAT

Dua buah helikopter terbang rendah menyusur kota  Selatan Malaysia membawa platun Arnab Liar.

Saya menjenguk menerusi pintu helikopter yang ternganga luas, memerhati bangunan-bangunan yang rosak di bom musuh.

Saya memerhati Luca DK yang erat memegang mesigan gajahnya. Wajahnya tampak tiada perasaan.

Kemudian pandangan saya beralih pada Amar Amir. Beliau asyik menulis coretan di poskad yang hendak dihantarnya pada isterinya yang sarat mengandung di kampung. Katanya poskad itu mahu dipos sebaik sahaja kami tiba dipangkalan.

Kata Amar, peristiwa tadi membuatkan dia rindu pada isterinya dan pada anak dalam kandungannya.

Katanya lagi, dia tidak dapat membayangkan jika ditakdirkan tuhan, anak dan isterinya menerima nasib yang buruk akibat peperangan ini.

Saya angguk.

Saya pandang Firdaus Abdillah. Air mata yang tadinya mengalir di pipinya masih belum kering. Dia melontarkan pandangan entah ke mana. Saya biarkan sahaja. Biarkan sehingga dia sendiri selesa untuk bercakap.

+++

Operasi kami hari itu mudah sahaja. Satu rondaan di radius yang telah di tetapkan.

Namun pihak pangkalan menghubungi menerusi radio tentang satu isyarat kecemasan berpunca tidak jauh dari kawasan rondaan kami.

Mungkin perangkap, tapi kami harus pergi menyiasat.

Platun kami bergerak menyusuri bangunan-bangunan kota yang telah rosak. Semuanya berlubang angkara letupan bom, serangan jet pejuang dan entah apa-apa lagi.

Di jalan raya, bangkai kereta bersepah bagai sampah selepas penjaja pasar malam membungkus barangan jualan mereka.

Otam memberi isyarat bahawa kami telah tiba di koordinat yang diberi oleh pihak pengkalan.

Perlahan-lahan kami menerobos sepah-sepah batu bata yang bertaburan di kawasan itu. Bangunan-bangunan tinggi yang suatu ketika dahulu gah sebagai mercu tanda kotaraya Selatan ini, kini lesu umpama mayat hidup yang menanti masa untuk tumbang.

KRAKKK!

Kami dengar satu bunyi dan serta merta senjata masing-masing diangkat pada punca bunyi itu.

Amar Amir yang berada berhampiran bunyi itu segera menjengah. Dia tergamam. Kelihatan seorang kanak-kanak perempuan menyorok di celah satu lubang di sebalik zink berkarat. Kanak-kanak itu kelihatan sungguh takut tatkala melihat Amar Amir.

Kapten Ismail Othman memberi isyarat agar semua bersedia.

"Hey, jangan takut, jangan takut..." Amar Amir bersuara manja cuba mententeramkan kanak-kanak perempuan itu.

Amar Amir menghulurkan tangan. Pada mulanya kanak-kanak itu tidak mengendahkannya.

"Adik, adik selamat sekarang...."

Kanak-kanak perempuan itu memandang tangan Amar Amir. Perlahan-lahan dia menyambut pelawaan Amar Amir.

Amar Amir memeluk kanak-kanak itu dan mendukungnya.

"Siapa nama adik?" soal Amar Amir

"Nita" jawab kanak-kanak itu.

Mungkin kerana saya sudah terlalu lama berada di medan perang. Apa yang saya dengar saban hari adalah bunyi das tembakan, letupan bom dan enjin kereta kebal. Makanya suara kecil itu bagai terlalu indah buat saya.

"Mana mak ayah Nita?" soal Amar Amir

Nita geleng kepala.

Kapten Ismail Othman menghubungi pangkalan untuk melaporkan apa yang kami temui.

Nita akhirnya memberitahu sudah 3 hari dia terpisah dengan ibunya. Ayahnya mati akibat dibom jet musuh minggu lepas. Ibunya keluar satu pagi untuk mencari makanan dan menyusuruh Nita duduk bersembunyi di lubang itu. Namun sehingga kini, ibunya tidak lagi kembali.

Amar Amir nampak senang dengan Nita. Mungkin boleh dikaitkan dengan sentimen berita yang diterimanya bulan lepas. Fazleena, isterinya menghantar mesej bahawa setelah discan, sahih mereka sedang menanti kelahiran anak perempuan.

"Kalau aku dukung anak aku nanti, macam gini la gayanya," ujar Amar Amir pada Firdaus Abdillah. Firdaus Abdillah hanya mencebik bibir.

Sarjan Hatta bersama pasukannya yang membuat tinjauan di beberapa blok tidak jauh dari situ muncul memberi laporan.

Akhirnya Kapten Ismail Othman membuat keputusan untuk kembali ke helikopter.

"Macam mana dengan mak Nita?" soal Amar Amir

"Dah tiga hari dia tak balik...kau agak?" Kapten Ismail Othman memberi rumusan. Amar Amir angguk. Dia menurunkan Nita.

Kami lantas berjalan menuju ke helikopter. Amar Amir memimpin tangan Nita. Mereka berjalan beriringan sambil berbalas senyuman dengan Nita.

Tatkala jarak 50 meter ke helikopter, kami terdengar satu laungan sayup-sayup;

"Nitaaaaa..."

Kami semua berpusing.

Kira-kira 300 meter di belakang kami kelihatan seorang wanita sedang berdiri. Dia bergerak ke arah kami dengan keadaan tempang, nyata kakinya telah mengalami kecederaan, mungkin akibat ditembak.

"Ibuuuuuu..." Nita menjerit. Segera dilepaskan tangan Amar. Nita pantas berlari ke arah ibunya.

Entah kenapa kami semua terpaku memandang insiden menyayat hati itu.

Namun tiba-tiba Kapten Ismail Othman menjerit;

"ambil Nita! ambil Nita!!!"

Baru kami sedar sayup-sayup di belakang ibu Nita, pasukan tentera musuh yang jauh lebih ramai dari kami sedang mara. Juga kedengaran bunyi enjin kereta kebal sedang laju bergerak.

Amar Amir pantas berlari mendapatkan Nita diikuti Firdaus Abdillah dan saya.

Namun pasukan musuh telah melepaskan das-das tembakan menyebakan platun kami bergerak mencari perlindungan. Kami segera membalas tembakan musuh untuk melindungi Amar Amir dan Firdaus Abdillah.

Namun satu das tembakan tepat mengenai kepala si ibu. Si ibu rebah di atas jalan. Nita sampai dan segera memeluk si ibu.

Hujan peluru musuh makin menggila.

"Amar! Firdaus! balik! kita ke helikopter sebelum kereta kebal sampai!" jerit Kapten Ismail Othman

"Nita! Aku nak ambik Nita!" jerit Amar Amir.

"Tak sempat! Tak sempat!" jerit Ismail Othman.

Amar Amir tak peduli. Dia cuba bergerak mendapatkan Nita disebalik hujan peluru musuh. Firdaus Abdillah memberikan tembakan lindungan untuk Amar Amir.

"Nita! Ayuhhh!" jerit Amar Amir

"Mak! Mak! Nita tak nak tinggalkan Mak!" Nita menangis memeluk ibunya.

Platun Arnab Liar kini mula berundur. Mereka tidak boleh mengambil risiko untuk tunggu lebih lama atau helikopter mereka bakal dibedil kereta kebal.

Amar Amir sampai ke Nita dan segera menarik Nita. Nita meronta-ronta tidak mahu melepaskan ibunya. Namun Amar Amir berkeras dan mendukung Nita.

Saya tiba untuk membantu Firdaus Abdillah melindungi Amar Amir.

Amar Amir tiba di sebalik kubu batu tempat kami berlindung.

"Okey Nita, kita akan pergi..."" Amar Amir memandang Nita. Namun sesuatu tak kena.

Tangannya dirasakan basah. Mata Nita terpejam rapat.

Darah merah menitik laju membasahi seluar Amar Amir.

"Nita! Nita! Nitaaaaa!!!" jerit Amar Amir. Namun selaju mana digoncang tubuh kanak-kanak itu, Nita tidak lagi mampu membalasnya.

"Amar!" Firdaus menarik Nita dari Amar. Dibaringkan Nita. "Jom"

"Kita bawak Nita! Kita bawak Nita!"

"Tak guna dah, jommm!" Firdaus menarik Amar. Amar masih cuba untuk menarik Nita tapi saya dan Firdaus segera menepis tangannya.

"Kita kena pergi Amarrrr!!!" tempik Firdaus Abdillah.

Kami bertiga pantas berundur.

Sempat saya mengerling ke susuk Nita yang terbaring kaku semakin lama semakin menjauh.

Kami tiba di helikopter dan segera terbang meninggalkan musuh yang semakin hampir.

+++

Sepuluh minit lagi kami akan tiba di pengkalan.

Amar Amir usai mengarang nota di poskad untuk isteri dan anaknya. Darah Nita di seluarnya mula mengering.

Dia memandang saya.

Saya memandangnya.

Saya menepuk bahunya.

Dia tunduk dan menyimpan poskadnya. Saya lihat Firdaus Abdillah masih terus merenung jauh ke luar tingkap, memandang awan yang sepatutnya indah.

Kami bungkam.

Perang hari ini merobek dua lagi nyawa yang tidak sepatutnya pergi terlalu awal.

Dan saya hanya mampu berkata dalam hati, "semoga kita semua tiada lagi rasa benci..."

TAMAT

+++

Untuk kisah Platun Arnab Liar, boleh baca siri: Brothers In Arms

TING! TING! TING!

Dua rantai besi berlaga. Seutas lantas diserahkan kepada saya.

"Satu untuk awak, satu untuk saya..." gadis itu bersuara.

Saya yang terbaring di atas rumput memandang awan menoleh, menerima pemberian itu. Lagu 'I Don't want to miss a thing' nyanyian kugiran Aerosmith menghiasi suasana dan kelihatan semangkuk biskut bentuk haiwan-haiwan di sisi.

"Saya mana pakai rantai..." ujar saya sambil melihat rantai yang berbentuk panda itu.

"Kalau tak mahu, buang..." gadis itu yang tadinya duduk di sisi saya mengalihkan tubuhnya membelakangi saya.

"Eleh, merajuk..." saya bangun sedikit sambil menongkat dengan siku.

"Tolong saya pakaikan rantai ni," gadis itu menyerahkan rantainya, yang juga mempunyai panda. Saya duduk dan mengalungkan rantai itu dilehernya.

"Terima kasih..." ujar saya, "untuk rantai ini...umpamanya awak berada di sisi saya di medan perang nanti, rantai ini akan menyelamatkan saya..."

Gadis itu tersenyum. "Iyalah tu...dan selamatkan abang ipar saya juga ya?"

Saya angguk.

+++

TABOOMMM!

Satu letupan betul-betul hinggap berdekatan saya. Saya terkejut dan tunduk. Seketika kemudian saya menjenguk keluar. Terus memandang posisi Amar Amir. Saya menarik nafas lega bila melihat letupan itu tidak mencederakan Amar Amir. Besar dugaannya kalau pulang nanti. Macam mana nak menghadap muka isterinya dan juga muka tunang saya, adik iparnya (yakni adik isterinya).

Sebuah kereta kebal muncul lagi. Seperti biasa Luca pantas bangun sambil Sarjan Hatta memberi tembakan cover untuknya. Satu lagi roket dilancarkan membinasakan kereta kebal musuh.

"Ha ha ha! Ini Luca Bear la! Dont mess with me!" tempiknya sambil berdiri.

ZAPPP! Sebutir peluru terbenam di dadanya. Luca tersentak. Panzerfaust 3 terlepas dari tangan.

Serentak dengan itu sebuah lagi kereta kebal muncul. Luca tidak memperdulikan kecederaannya. Dia mengangkat Panzerfaust namun,

ZAPPP! ZAPPP! ZAPPP! bertubi-tubi tembakan mengenai tubuhnya.

"Aku peduli apppaaaaa!" Jerit Luca sambil melancarkan tembakan ke arah kereta kebal itu. Namun tembakannya tersasar dan Luca jatuh terlentang.

Sarjan Hatta yang berada di sisi mengetap bibir. Dia bangun mengambil alih peranan Luca.

Kereta kebal itu namun sudah bersedia dengan sasarannya. Satu tembakan dilepaskan ke arah menara tempat Jayzuan melancarkan serangan dengan mesin-gannya. Menara itu meletup bersama-sama Jayzuan dan senjatanya.

Sarjan Hatta melepaskan tembakan ke arah kereta kebal tersebut. Hancur berkecai namun bayarannya adalah peluru-peluru bagai hujan singgah di tubuh Sarjan Hatta.

"ARGHHHHH!" prebet Anip menjerit. Dia sudah mengalami sindrom 'Dean Sham'. Dia pantas membuka semua pakaiannya lantas melompat keluar dari perlindungan. Sambil berbogel dia berlari ke arah musuh.

"Anippp!" jerit Amar Amir. Amar Amir pantas bangun untuk menyekat Anip. Namun malangnya sebutir peluru hingga di kakinya. Amar Amir jatuh. Sementara dalam keadaan bogel, prebet Anip terus mara ke arah musuh. Tapi tidak lama. Seketika kemudian terlihat sekujur tubuh tanpa pakaian terbaring hancur dimamah bedilan-bedilan musuh.

Saya pantas bangun dan berlari ke arah Amar Amir. Belum sempat saya mencapainya sebutir peluru hingga di dadanya. Saya menarik Amar Amir dan sempat lagi sebutir hingga di belakangnya. Saya membaringkan Amar Amir di tempat selamat. Mulutnya sudah mengeluarkan darah.

"Kau akan selamat Amar, rilek di sini..." ucap saya.

Amar Amir pantas memegang lengan saya, "Faz...Faz..."

"Kau akan bertemu dengan Fazleena nanti, jangan risau..." saya mendongak, "medikkkk!!!"

"Anak aku...Faz..." Amar Amir terhenti. Dia tidak bergerak lagi. Saya tergamam. Buat seketika saya menjadi bingung. seolah-olah tidak mengerti apa yang sedang berlaku. Hati saya bagaikan tidak percaya dengan apa yang berlaku di depan mata.

+++

Kuala Lipis

BROMMMM! Kilat sabung menyabung.

Fazleena pantas mengangkat si anak kecil yang menangis sejak dari tadi. Dibuai perlahan-lahan.

Adiknya Fariza berdiri di tepi pintu bilik memandangnya dengan wajah penuh kerisauan.

Fazleena memandang adiknya, yang masih erat memegang kalung panda itu.

Masing-masing tidak bersuara. Masing-masing tidak mahu dipermainkan oleh hati mereka.

+++

DANG!

Satu tembakan dilepaskan oleh Razaisyam Rashid. Dia tidak pernah miss. Setiap sasarannya pasti mau dengan satu petikan picu. Posisinya sangat strategik sehingga menyukarkan musuh untuk mengesannya.

Menerusi teropong senapangnya, dia mencari sasaran seterusnya. Dari teropong itu dia dapat melihat susuk tubuh seorang askar musuh, yang sedang terlentang dengan senapangnya, di halankan betul-betul ke arahnya.

"Fuck!" getus Razaisyam Rashid.

DANG!

Satu tembakan sahaja dan Razaisyam Rashid gugur.

Sementara itu Firdaus Abdillah menarik teman platunya, Rizal Gunx yang juga sudah nazak. Dia memeriksa senapangnya. Sudah kehabisan peluru.

"Pipi, aku tahu kau sayangkan Melly Goeslow (nama senapang Firdaus Abdillah)...tapi kau boleh gunakan senapang aku...aku rasa...aku dah..." Rizal Gunx tidak dapat menghabiskan kata-katanya.

Firdaus Abdillah mencampakkan Melly Goeslow dan mencapai senapang Rizal Gunx. Dengan gaya seorang yang amat handal, beliau berlari sambil melepaskan tembakan bertalu-talu.

Kubu tempat Ismail Othman juga teruk dibedil. Letupan demi letupan saling bersambungan. Ismail Othman juga tidak ketinggalan menghujankan peluru-pelurunya ke arah musuh.

Dia memerhatikan keadaan kubunya. Matanya meliar mencari anak buahnya yang masih hidup. Apa yang dapat dilihatnya hanya setiap tubuh tidak bernyawa orang yang dikenalinya. Seakan seperti sudah hampir semua anggota platun Arnab Liar sudah gugur.

Ismail Othman bergerak mencari ruang yang lebih sesuai untuk bertahan. Dia naik ke atas satu tingkat di kubunya. Namun dia terperangkap dengan api yang mula marak membakar kubunya. Ismail Othman cuba untuk melepaskan diri namun...

ARGHHHHHH!

Itulah jeritan terakhir Kapten Ismail Othman sebelum tewas sepertimana Jins Shamsuddin tewas di dalam Bukit Kepong.

"Woiiii!" jerit Firdaus Abdillah ke arah saya yang masih di sisi Amar Amir. "Dia dah tak ada, jangan buang masa lagi! Banyak lagi musuh kat depan untuk kita settlekan ni!"

Saya angguk. Senjata saya diangkat dan segera bergerak masuk ke dalam kubu di mana Firdaus Abdillah berlindung.

"Siapa lagi yang tinggal?" soal saya.

"Aku, engkau....Mael, itupun kalau dia boleh hidup balik. Luca, sama juga, kalau dia boleh hidup balik..."

"Okey, kita saja la?"

Firdaus Abdillah angguk.

"Kau dengar tu?" saya mendongak, memandang ke arah utara, di belakang kubu kami. Sayup-sayup kelihatan tentera Malaysia sedang bergerak ke arah kami. Bantuan sudah tiba!!!

"Apa jadah!" ucap Firdaus Abdillah, "Sempat lagi ni aku nak settlekan sekurang-kurangnya 1000 orang musuh!"

"Ha! Ha! Ha!" saya ketawa.

Firdaus Abdillah ikut ketawa. Namun kemudian ketawanya reda. Dia teringatkan empat orang anaknya.

"Aku harap, anak-anak aku tak hisap rokok bila besar nanti. Aku tak ada dah nak kasi penyepak kat diorang..." ujar Firdaus Abdillah perlahan.

"Tak punya," balas saya. "Anak hero Malaysia, mesti ramai yang akan tolong menjaganya,"

"Aku harap diorang kahwin dengan lelaki-lelaki yang elok-elok, sebab aku takkan ada untuk belasah lelaki-lelaki tu kalau diorang sakitkan anak-anak aku..."

"Kau boleh jadi hantu dan pergi cekik diorang..." balas saya sambil bangun melepaskan beberapa das tembakan dan kembali tunduk.

"Kau rasa anak-anak aku akan selalu ingat pada aku?" soal Firdaus Abdillah.

Saya angguk. "Mereka mesti! Mereka anak seorang wira negara, kalau mereka tak ingat pada kau, aku yang akan jadi hantu dan ingatkan mereka siapa ayah mereka!"

Firdaus Abdillah menepuk bahuku. Dia terpandang kalung panda di leher saya.

Saya mengusap kalung panda itu.

Saya pasti akan merindu si dia, yang telah menghadiahkan kalung panda ini. Terkilan kerana masa saya bersama si dia amat singkat. Terlalu singkat untuk saya memberikan segala kudrat saya untuk membahagiakan si dia.

"Tak mengapa, kau dan dia jumpa saja di syurga, di situ bercintalah kamu selama-lamanya sampai naik muak..." ucap Firdaus Abdillah.

Saya ketawa dan dia ikut ketawa.

"Dah bersedia nak settlekan?"

Saya angguk.

Kami bingkas bangun dan bertempik sambil senapang-senapang kami tidak henti-henti memuntahkan peluru.

Dan hujan peluru tangkas melanda kubu kami.

Dan bak kata orang putih... it feels so gooooooddd!

DIRGAHAYU NEGARAKU MALAYSIA YANG TERCINTA

TAMAT

fakta:

+perang tamat 1 tahun kemudian hasil rundingan cease-fire yang ditandatangani di Bangkok.

+Battle Of Sungai Buloh yang mengorbankan keseluruhan anggota Platun Arnab Liar menjadi 'turning point' kemaraan askar Malaysia mengusir penceroboh.

+ Sebuah memorial peringatan telah dibina di tapak peperangan memperingati peristiwa di bulan Ramadhan tersebut.

+ 20 tahun kemudian sebuah filem berdasarkan peristiwa tersebut dibikin dengan tajuk "Arnab Liar". Filem tersebut diceritakan dari perspektif anak-anak Firdaus Abdillah. Diarahkan oleh Maimun Waheeda, anak pengarah legenda, Bainun Waheeda.

+++

Ini adalah sebuah fiksyen. Namun Al-Fatihah untuk askar-askar Malaysia yang gugur di medan perang di alam nyata. Semoga korbannya mereka mendapat ganjaran syurga oleh tuhan.

Uses wordpress plugins developed by www.wpdevelop.com Blog Protected Using Content Protecter By PcDrome.