ARKIB

FAVOURITE + AMBIL HATI

Lagu: The Sky Is Crying - SRV

Hari ini langit birunya cantik.

dengan hamparan rumput yang mempadang luas, Firdaus Abdillah terbaring berbantalkan tangannya, tepat memandang langit biru di atasnya.

Di sebelahnya, Fazura Omar turut terbaring memandang langit sambil tersenyum.

"Kalau awak terer, langit warna apa?" soal Fazura Omar.

Firdaus Abdillah membuka mulut hendak menjawab warna 'biru', tapi kemudian dia diam. Dia sedar dia sedang diperangkap.

"Tak tahu la tu..." Fazura Omar terus bersuara sambil mata terus tegak memandang ke atas.

"Saya SPM tak dapat 10A macam awak..." jawab Firdaus Abdillah datar.

"Eceh...nak tahu langit warna apa?"

+++

"Yang kau tanya warna langit dari tadi ni apa jadah? nak kena terajang?" jerkah Sarjan Hatta.

Firdaus Abdillah  menggelengkan kepala.

Kelihatan berderet enam orang askara sedang duduk di atas bukit memandang langit yang cerah membiru.

"Kasi la chan dia nak bermesra dengan kau Hatta..." Amar Amir bersuara.

"Kau pergi bermesra dengan Anip tu..." Sarjan Hatta menjuihkan bibir ke arah Prebet Anip SHiro yang sedang mengejar seekor arnab.

"Ceh..." Firdaus Abdilah membidas.

+++

"Awan tu bentuk macam arnab...kan?" Fazura Omar menunding jari ke arah satu gumpal awan di langit, masih terbaring di sebelah Firdaus Abdillah

"Mana?"

"Tu...tuuuu..."

"takde pun..."

"Ada, rupa arnab..."

"Macam rupa beruk kahwin dengan ular ada la..." jawab Firdaus Abdillah

"Ahhh...mata kena pakai spek!" Fazura Omar buat-buat merajuk.

"Lahhh, dah memang takde rupa arnab..."

"Malas la nak layan..."

Firdaus Abdillah mengangkat kepala memandang Fazura Omar.

Fazura Omar terus memandang ke atas

"Merajuk ke?"

"Tanya pulak..."

"Merajuk betul la ni?"

Fazura Omar tak jawab.

Kemudian secara tiba-tiba sekuntum bunga hinggap di hidung Fazura Omar.

Fazura Omar mengambil bunga itu. "Cantiknya..."

"Suka?"

+++

"Suka kepala anjing kau!" Sarjan Hatta bangun dan mengejar Firdaus Abdillah yang tadinya secara tiba-tiba mencampakkan sekuntum bunga ke muka Sarjan Hatta.

"Apa sakitnya si budak dua ekor ni?" soal Pidomat yang baru selesai menunaikan solat.

"Dah gila kot..." jawab Otam.

Kelihatan Anip Shiro masih terus mengejar arnab.

"Tapi memang gua nampak langit ni birunya cantik lain macam harini..." ucap Amar Amir.

Masing-masing diam.

"Kat situ je la birunya cantik..." kata Prebet Rozani pula.

+++

"Kita bela arnab nak?" tanya Fazura Omar

"Buat apa?"

"Saja, pet..."

"Saya dah ada pet..." jawab Firdaus Abdillah

"Dah ada? Mana?"

"Depan saya ni..."

"Huh! saya bukan pet!"

"Habis tu awak apa?"

"Saya..." Fazura Omar berbisik pada telinga Firdaus Abdillah.

Firdaus Abdillah tersenyum.

"Arnab pun arnab la..."

+++

Anip Shiro berjaya menangkap arnab yang dikejar tadi. DIa mengusap arnab itu dengan belaian kasih sayang.

"Woi, dari tadi kau asyik kejar arnab tu, kenapa?" soal Amar Amir

"Kapten dengan Korporal Jamal suruh tangkap,"

"Haaa, meh sini," korporal Jamal memanggil Anip SHiro.

Anip Shiro membawa arnab itu sambil membelainya.

Di serahkan kepada Korporal Jamal.

"Mana arah kiblat?" soal Kapten Ismail Othman.

"Sana..." tunjuk korporal Jamal.

"Bismillahirrahmanirrahim..." Kapten Ismail Othman mengeluarkan pisau dan menyembelih arnab itu.

"Tidakkkkkk!!!" jerit Anip Shiro.

"Kau apahal?" jerkah Korporal Jamal

"Kenapa...bunuh...arnab ni?" soal Anip Shiro

"Kau tak lapo?" soal Kapten Ismail Othman, "semua kat sini lapo, ko tak lapo?"

"Lapo lapo lapo..."

Firdaus Abdillah dan Sarjan Hatta berhenti berkejar-kejar. Mereka kembali menyertai geng lain duduk memandang awan sambil menanti Kapten Ismail Othman dan Korporal memasak daging arnab.

"Langitnya yang biru sebelah sini je..." ujar Prebet Rozani, merujuk ke langit sebelah kanan mereka. Tatkala mereka menoleh ke kawasan langit sebelah kiri masing-masing, kelihatan langit warnanya bukan biru, sebaliknya merah dengan sekali sekala kelihatan cahaya terang berbalam-balam di sebalik kepulan-kepulan asap.

Merah langit di situ kerana di bawahnya sedang berlangsung satu pertempuran hebat antara dua kuasa. Mereka dapat mendengar bunyi dentuman demi dentuman mewarnai latar bunyi daerah itu.

Langit itu akan sentiasa merah, buat masa ini.

Masing-masing bungkam, memerhati dua warna pada satu langit yang sama.

Sambil dalam hati menanti daging arnab yang bakal siap dipanggang mengisi perut masing-masing

TAMAT

Walaupun jam menjengah ke pukul 3 pagi, nampak ramai benar orang di lapangan terbang. Entah kenapa suka benar pihak pengurusan lapangan terbang buat jadual kapal terbang waktu pagi-pagi buta.

Dia sudah bersedia dengan beg galasnya. Beg besarnya di di check in di kaunter.

Saya pandang dia antara wajah yang cantik pernah saya lihat.

Dan saya pasti, cantiknya akan terus kekal di mata saya. Selagi mungkin saya tidak buta.

Pada satu waktu yang singkat tidak lama dahulu, dia pernah menyerahkan hatinya kepada saya, pada mulanya saya ambil, kemudian saya serahkan kembali.

Atas alasan, hati saya ketika itu hendak saya serahkan pada seseorang di tanah asal saya, Malaysia.

Dia marah, katanya lelaki ini ajaib (sarkastik), sepatutnya dia menang kerana dia lebih cantik dari seseorang dari tanah asal saya itu. Tapi fikir saya, seseorang dari tanah asal saya itu punya daya tarikan yang lebih kuat darinya. Dan pada mata saya, meskipun dia lebih cantik, tidak semestinya menang.

Tapi, bak kata orang-orang tua, yang dikejar, sudah pun membenci kita, yang dikendong, hah, dah lama terbang ke serata dunia sana nun.

Pendek kata, demi mengejar yang tak pasti, saya terlepas sesuatu yang sebenarnya sudah dalam tangan saya.

Tapi mungkin itu hakikatnya.

"Time will tell..." ujarnya sambil tersenyum.

Saya angguk. "Funny..."

"Good, people less to hate each other if they see it in a funny way" balasnya.

"Will we cross each other path again?" soal saya lagi.

"Hardly, even if we do, it will be different..." dia senyum lagi.

Kami tenggelam dalam bunyi-bunyi pengumuman makwe airport.

"Do you regret it? the stuff you did?" soalnya pula

"I learn to live for my mistakes, regret, but, i must live nonetheless..."

Makwe pengumuman bersuara lagi, tanda kapal terbang untuk dia sudah boleh berlepas.

Kami bertukar-tukar pandangan.

Scene lapangan terbang jadi macam dalam filem, kecuali tiada orang yang tepuk tangan atau bersuara 'ahhhhhhh'

Dia hilang melepasi check point pegawai airport, meninggalkan saya berdiri bungkam.

Saya tak mahu putarkan masa, kerana saya fikir, ini pengajaran yang bagus untuk saya.

Saya tinggalkan dia, yang pernah menyerahkan hatinya kepada saya, untuk saya berharap pada yang tidak pernah ada hati kepada saya...

Tapi saya fikir ini satu pengalaman yang mendewasakan.

Untuk saya ingati ketika membuat keputusan-keputusan penting di kemudian hari.

Saya pulang dengan senyuman, dan berdoa dia selamat sampai ke destinasinya.

La La La La La

Keretapi bergerak laju menuju ke destinasi timur Malaysia.

Di celah-celah manusia di dalam deretan gerabak itu, seorang lelaki lengkap dengan uniform tentera melontarkan pandangan keluar tingkap.

Dia berharap agar segera sampai ke hentiannya - Kuala Lipis.

Dia memandang surat di tangannya.

Dia berharap agar segera sampai ke destinasi hentiannya, agar penerima surat ini segera membuka surat ini dan membacanya dengan tabah.

Terpalit darah di sampul surat itu.

Dia amat berharap, wanita yang bakal menerima surat itu mengerti.

+++

BOOMMMM!!!

"Kiri! Kiri!" jerit Kapten Ismail Othman.

Sarjan Hatta dan prebet Anip Shiro pantas bergerak.

Luka DK dengan mesin-gan gajahnya bangun dan menembak menghujankan musuh dengan peluru-pelurunya.

TRATTTT! TRATTT! TRATTT! TRATTTT!

Platun Arnab Liar bergerak menghampiri gerabak keretapi yang berhenti betul-betul di atas sebuah jambatan.

Kelihatan di satu sudut, Amar Amir dan Rizal Gunz cuba bergerak menghampiri gerabak itu.

Pelannya mudah, bom jangka dipasang di sekitar gerabak-gerabak keretapi itu dan diletupkan dengan alat kawalan radio. Gerabak-gerabak itu bakal memusnahkan jambatan besar seterusnya menghalang kemaraan musuh menerusi jalan itu.

Pentingnya kemaraan musuh dihalang kerana jalan itu kini satu-satunya jalan pintas menuju ke ibukota. Jika jalan itu dimusnahkan, kemaraan musuh dapat diperlahankan seterusnya memberi peluang tentera Malaysia mengatur kembali barisan mereka yang telah dimusnahkan oleh beberapa siri serangan sebelum ini.

Namun pelan yang mudah itu, menjadi rumit tatkala bom-bom yang dipasang tidak dapat diletupkan dari jauh akibat kerosakan teknikal. Firdaus Abdillah sebagai pakar bom lantas pergi memeriksa bom-bom yang dipasang dan ketika dia memeriksa gerabak paling jauh, ketika itu dia ditembak musuh dan terperangkap, tidak dapat kembali ke platun.

Platun Arnab Liar berusaha untuk melindungi Firdaus Abdillah. Namun Firdaus Abdillah mengalami kecederaan teruk di kaki mengakibatkan dia sukar untuk bergerak.

Kapten Ismail Othman memandang Otam yang memegang alat kawalan. Alat kawalan itu sudah rosak.

Kini bom-bom itu hanya boleh diletupkan secara manual dan punatnya berada berdekatan dengan Firdaus Abdillah.

Saya memandang Otam. Kemudian memandang Kapten Ismail Othman.

Kapten Ismail Othman menutup mata.

Ronaldo menepuk bahu saya. Saya memandang Ronaldo. Lelaki berkepala botak itu menunjukkan sekeping surat.

Saya gumam.

+++

DUA HARI SEBELUM ITU

Saya, Ronaldo dan Amar Amir menghendap.

Dari celah-celah semak itu kami memerhati kelibat seorang lelaki yang asyik menulis sesuatu di dalam gelap, hanya sedikit cahaya lampu suluh kecil buat membantu kerjanya.

Saya, Ronaldo dan Amar Amir saling berpandangan. Kami angguk.

Kami pantas keluar dari tempat persembunyian dan menyergah Firdaus abdillah, lelaki yang sedang menulis sesuatu itu.

"HOIIII!" jerit Amar Amir. Ronaldo pantas menangkap Firdaus Abdillah sementara saya merampas kertas di tangannya.

"Hoi! Hoi!" jerit Firdaus Abdillah.

Saya menyuluh kertas itu.

"Apa dia tulis? Apa dia tulis?" tanya Amar Amir.

Firdaus Abdillah mengelupur tapi Ronaldo erat memegangnya

"Kehadapan....pehhhhh, mana ada orang guna perkataan 'kehadapan' dah sekarang ni..." ejek saya.

"Aku bunuh korang! Aku bunuh korang!" jerit Firdaus Abdillah.

"Apa lagi? Apa lagi?" tanya Amar Amir.

"Ni...ni...ada pantun, ada pantun..." saya membacakan pantun karangan Firdaus Abdillah.

"Pehhhhhhh! Tak nak mengaku lagi! Tak nak mengaku lagi!" Amar Amir bersuara.

"Aku dah cakap, memang dah sah, dah sah!" tambah Ronaldo.

"Kau jangan nak bocor rahsia Ronaldo!" gertak Firdaus Abdillah merampas kembali surat dari tangan saya.

"Cerita sikit Ronaldo, cerita sikit!" korek Amar Amir.

Tak banyak input yang kami tahu tentang makwe yang sedang bertahta di hati Firdaus Abdillah ketika ini. Cuma apa yang kami tahu, makwe ini adalah jururawat bulan sabit, Firdaus dan Ronaldo jumpa di ibukota ketika menghantar beberapa orang awam yang cedera. Hanya Ronaldo yang tahu cerita sebenarnya bagaimana cinta mula berputik di hati Firdaus Abdillah.

+++

Saya memandang surat di tangan Ronaldo.

"Aku tak tahu kenapa dia suruh aku pegang surat dia ni...macam tanda dia tahu yang dia nak..."

Saya segera memotong cakap Ronaldo, "dah! dah!, jangan cakap..."

Saya mengambil surat Firdaus Abdillah itu. Di sampul itu tertera satu nama. Nama seorang gadis.

"Aku nak dia sendiri kasi surat ni! Aku tak nak perempuan ni baca surat ni dengan linangan air mata..." ujar saya.

"Jom!" Ronaldo mengambil surat itu kembali dan memasukkan ke dalam koceknya. DIa mengangkat senjata.

Saya angguk.

Kami merapati Kapten Ismail Othman.

"Tak boleh!" tegas Kapten Ismail Othman bila kami memberitahu hajat kami untuk pergi menyelamatkan Firdaus Abdillah. "Terlalu bahaya!"

Ronaldo geleng kepala dan terus bergerak pergi. Saya pantas mengekori.

"Hoi! Hoi!" jeritan Kapten Ismail Othman tidak kami endahkan. Menyedari dua anggota platunnya berdegil untuk mara ke arah gerabak-gerabak yang dihujani peluru musuh, Kapten Ismail Othman pantas memberi arahan kepada anak-anak buahnya yang lain untuk memberi tembakan perlindungan pada Ronaldo dan saya.

Kami bergerak menghampiri gerabak-gerabak itu dengan segala doa agar hujan peluru itu tidak mengenai kami. Perlahan-lahan, lokasi Firdaus Abdillah yang bersandar di sebalik satu gerabak kami rapati.

"Korang datang buat apa?" sergah Firdaus Abdillah.

"Selamatkan kau," ujar saya.

Ronaldo dan saya berjaya mendapatkan Firdaus Abdillah.

"Pergi!" ujar Ronaldo.

Saya dan Firdaus Abdillah memandang Ronaldo, lelaki berkepala botak itu.

"Apa jadah?" soal saya. "kita gerak sekali,"

"Aku cover kamu berdua..." Ronaldo mengeluarkan surat dari koceknya dan memasukkan surat ke dalam baju Firdaus Abdillah. "Surat ni kau kau sendiri kasi kat makwe yang kau nak ngorat tu! Korang gerak sekarang!"

"Bahaya untuk kau ni!"

"Aku tau, jangan banyak cakap, gerak sekarang!"

Kami masih belum mahu pergi,

Ronaldo berasa jengkel.

"Bendanya macam ni, gerabak ni memang kita kena letupkan dari sini, so salah seorang kena stay!" kata Ronaldo

"Baik aku je yang letupkan tadi!" marah Firdaus Abdillah

"Macam ni, korang berdua ada orang tunggu kat kampung, rugi kalau korang mati, aku tak apa, takde orang tunggu aku kat kampung..."

"Mana boleh kira macam tu," marah saya pula.

"Dah, jangan nak bertekak!" Ronaldo merenung kami berdua. "Tak pun aku letupkan sekarang, biar kita bertiga mampus? Lagi rugi..."

Kami terdiam.

"Pergi!!!"

Saya memapah Firdaus Abdillah pergi sementara Ronaldo bangun melepaskan das-das tembakan melindungi kami. Namun seperti yang dijangka beberapa butir peluru hinggap mengenai tubuhnya.

Saya dan Firdaus tidak menoleh tapi kami tahu apa yang terjadi kepada Ronaldo.

Ronaldo terus gagah menembak musuh walaupun peluru-peluru terus hinggap ke tubuhnya. Dia kemudian jatuh tapi sempat mencapai alat kawalan bom. Punat ditekan dan...

Semua anggota platun Arnab Liar memerhati dari jauh gerabak-gerabak itu dimusnahkan satu persatu dengan bom yang telah dipasang. Akibatnya, jambatan itu berjaya dihancurkan sama sekali.

Firdaus Abdillah memandang jambatan yang hancur itu dengan wajah yang hiba. Dia meraba koceknya dan mencapai suratnya. Surat itu terpalit darahnya.

+++

Firdaus Abdillah turun dari gerabak keretapi yang berhenti di stesen Kuala Lipis. Dia memandang sekeliling.

Terlihat akannya susuk seorang gadis berdiri memakai kebaya memandangnya dengan satu senyuman manis.

Firdaus Abdillah tersenyum. Dia menghampiri gadis itu. Surat di tangannya di serahkan kepada gadis itu.

"Untuk awak..." kata Firdaus Abdillah.

Gadis itu mencapai surat itu. Di sampulnya tertera nama Fazura Omar.

Gadis itu memandang Firdaus Abdillah. Dia tersenyum seraya mengucapkan "Terima kasih..."

-

TAMAT

Semalam saya mimpi kita berasmara di atas awan.

Ya, anda.

Awak.

You.

Saudari...

Ha Ha Ha...

Ah, sungguh seronok mimpi itu.

Ayuh jadikan ia realiti.

Tak perlu fikir-fikir, kita memang ditakdirkan bersama.

Dua buah helikopter terbang rendah menyusur kota  Selatan Malaysia membawa platun Arnab Liar.

Saya menjenguk menerusi pintu helikopter yang ternganga luas, memerhati bangunan-bangunan yang rosak di bom musuh.

Saya memerhati Luca DK yang erat memegang mesigan gajahnya. Wajahnya tampak tiada perasaan.

Kemudian pandangan saya beralih pada Amar Amir. Beliau asyik menulis coretan di poskad yang hendak dihantarnya pada isterinya yang sarat mengandung di kampung. Katanya poskad itu mahu dipos sebaik sahaja kami tiba dipangkalan.

Kata Amar, peristiwa tadi membuatkan dia rindu pada isterinya dan pada anak dalam kandungannya.

Katanya lagi, dia tidak dapat membayangkan jika ditakdirkan tuhan, anak dan isterinya menerima nasib yang buruk akibat peperangan ini.

Saya angguk.

Saya pandang Firdaus Abdillah. Air mata yang tadinya mengalir di pipinya masih belum kering. Dia melontarkan pandangan entah ke mana. Saya biarkan sahaja. Biarkan sehingga dia sendiri selesa untuk bercakap.

+++

Operasi kami hari itu mudah sahaja. Satu rondaan di radius yang telah di tetapkan.

Namun pihak pangkalan menghubungi menerusi radio tentang satu isyarat kecemasan berpunca tidak jauh dari kawasan rondaan kami.

Mungkin perangkap, tapi kami harus pergi menyiasat.

Platun kami bergerak menyusuri bangunan-bangunan kota yang telah rosak. Semuanya berlubang angkara letupan bom, serangan jet pejuang dan entah apa-apa lagi.

Di jalan raya, bangkai kereta bersepah bagai sampah selepas penjaja pasar malam membungkus barangan jualan mereka.

Otam memberi isyarat bahawa kami telah tiba di koordinat yang diberi oleh pihak pengkalan.

Perlahan-lahan kami menerobos sepah-sepah batu bata yang bertaburan di kawasan itu. Bangunan-bangunan tinggi yang suatu ketika dahulu gah sebagai mercu tanda kotaraya Selatan ini, kini lesu umpama mayat hidup yang menanti masa untuk tumbang.

KRAKKK!

Kami dengar satu bunyi dan serta merta senjata masing-masing diangkat pada punca bunyi itu.

Amar Amir yang berada berhampiran bunyi itu segera menjengah. Dia tergamam. Kelihatan seorang kanak-kanak perempuan menyorok di celah satu lubang di sebalik zink berkarat. Kanak-kanak itu kelihatan sungguh takut tatkala melihat Amar Amir.

Kapten Ismail Othman memberi isyarat agar semua bersedia.

"Hey, jangan takut, jangan takut..." Amar Amir bersuara manja cuba mententeramkan kanak-kanak perempuan itu.

Amar Amir menghulurkan tangan. Pada mulanya kanak-kanak itu tidak mengendahkannya.

"Adik, adik selamat sekarang...."

Kanak-kanak perempuan itu memandang tangan Amar Amir. Perlahan-lahan dia menyambut pelawaan Amar Amir.

Amar Amir memeluk kanak-kanak itu dan mendukungnya.

"Siapa nama adik?" soal Amar Amir

"Nita" jawab kanak-kanak itu.

Mungkin kerana saya sudah terlalu lama berada di medan perang. Apa yang saya dengar saban hari adalah bunyi das tembakan, letupan bom dan enjin kereta kebal. Makanya suara kecil itu bagai terlalu indah buat saya.

"Mana mak ayah Nita?" soal Amar Amir

Nita geleng kepala.

Kapten Ismail Othman menghubungi pangkalan untuk melaporkan apa yang kami temui.

Nita akhirnya memberitahu sudah 3 hari dia terpisah dengan ibunya. Ayahnya mati akibat dibom jet musuh minggu lepas. Ibunya keluar satu pagi untuk mencari makanan dan menyusuruh Nita duduk bersembunyi di lubang itu. Namun sehingga kini, ibunya tidak lagi kembali.

Amar Amir nampak senang dengan Nita. Mungkin boleh dikaitkan dengan sentimen berita yang diterimanya bulan lepas. Fazleena, isterinya menghantar mesej bahawa setelah discan, sahih mereka sedang menanti kelahiran anak perempuan.

"Kalau aku dukung anak aku nanti, macam gini la gayanya," ujar Amar Amir pada Firdaus Abdillah. Firdaus Abdillah hanya mencebik bibir.

Sarjan Hatta bersama pasukannya yang membuat tinjauan di beberapa blok tidak jauh dari situ muncul memberi laporan.

Akhirnya Kapten Ismail Othman membuat keputusan untuk kembali ke helikopter.

"Macam mana dengan mak Nita?" soal Amar Amir

"Dah tiga hari dia tak balik...kau agak?" Kapten Ismail Othman memberi rumusan. Amar Amir angguk. Dia menurunkan Nita.

Kami lantas berjalan menuju ke helikopter. Amar Amir memimpin tangan Nita. Mereka berjalan beriringan sambil berbalas senyuman dengan Nita.

Tatkala jarak 50 meter ke helikopter, kami terdengar satu laungan sayup-sayup;

"Nitaaaaa..."

Kami semua berpusing.

Kira-kira 300 meter di belakang kami kelihatan seorang wanita sedang berdiri. Dia bergerak ke arah kami dengan keadaan tempang, nyata kakinya telah mengalami kecederaan, mungkin akibat ditembak.

"Ibuuuuuu..." Nita menjerit. Segera dilepaskan tangan Amar. Nita pantas berlari ke arah ibunya.

Entah kenapa kami semua terpaku memandang insiden menyayat hati itu.

Namun tiba-tiba Kapten Ismail Othman menjerit;

"ambil Nita! ambil Nita!!!"

Baru kami sedar sayup-sayup di belakang ibu Nita, pasukan tentera musuh yang jauh lebih ramai dari kami sedang mara. Juga kedengaran bunyi enjin kereta kebal sedang laju bergerak.

Amar Amir pantas berlari mendapatkan Nita diikuti Firdaus Abdillah dan saya.

Namun pasukan musuh telah melepaskan das-das tembakan menyebakan platun kami bergerak mencari perlindungan. Kami segera membalas tembakan musuh untuk melindungi Amar Amir dan Firdaus Abdillah.

Namun satu das tembakan tepat mengenai kepala si ibu. Si ibu rebah di atas jalan. Nita sampai dan segera memeluk si ibu.

Hujan peluru musuh makin menggila.

"Amar! Firdaus! balik! kita ke helikopter sebelum kereta kebal sampai!" jerit Kapten Ismail Othman

"Nita! Aku nak ambik Nita!" jerit Amar Amir.

"Tak sempat! Tak sempat!" jerit Ismail Othman.

Amar Amir tak peduli. Dia cuba bergerak mendapatkan Nita disebalik hujan peluru musuh. Firdaus Abdillah memberikan tembakan lindungan untuk Amar Amir.

"Nita! Ayuhhh!" jerit Amar Amir

"Mak! Mak! Nita tak nak tinggalkan Mak!" Nita menangis memeluk ibunya.

Platun Arnab Liar kini mula berundur. Mereka tidak boleh mengambil risiko untuk tunggu lebih lama atau helikopter mereka bakal dibedil kereta kebal.

Amar Amir sampai ke Nita dan segera menarik Nita. Nita meronta-ronta tidak mahu melepaskan ibunya. Namun Amar Amir berkeras dan mendukung Nita.

Saya tiba untuk membantu Firdaus Abdillah melindungi Amar Amir.

Amar Amir tiba di sebalik kubu batu tempat kami berlindung.

"Okey Nita, kita akan pergi..."" Amar Amir memandang Nita. Namun sesuatu tak kena.

Tangannya dirasakan basah. Mata Nita terpejam rapat.

Darah merah menitik laju membasahi seluar Amar Amir.

"Nita! Nita! Nitaaaaa!!!" jerit Amar Amir. Namun selaju mana digoncang tubuh kanak-kanak itu, Nita tidak lagi mampu membalasnya.

"Amar!" Firdaus menarik Nita dari Amar. Dibaringkan Nita. "Jom"

"Kita bawak Nita! Kita bawak Nita!"

"Tak guna dah, jommm!" Firdaus menarik Amar. Amar masih cuba untuk menarik Nita tapi saya dan Firdaus segera menepis tangannya.

"Kita kena pergi Amarrrr!!!" tempik Firdaus Abdillah.

Kami bertiga pantas berundur.

Sempat saya mengerling ke susuk Nita yang terbaring kaku semakin lama semakin menjauh.

Kami tiba di helikopter dan segera terbang meninggalkan musuh yang semakin hampir.

+++

Sepuluh minit lagi kami akan tiba di pengkalan.

Amar Amir usai mengarang nota di poskad untuk isteri dan anaknya. Darah Nita di seluarnya mula mengering.

Dia memandang saya.

Saya memandangnya.

Saya menepuk bahunya.

Dia tunduk dan menyimpan poskadnya. Saya lihat Firdaus Abdillah masih terus merenung jauh ke luar tingkap, memandang awan yang sepatutnya indah.

Kami bungkam.

Perang hari ini merobek dua lagi nyawa yang tidak sepatutnya pergi terlalu awal.

Dan saya hanya mampu berkata dalam hati, "semoga kita semua tiada lagi rasa benci..."

TAMAT

+++

Untuk kisah Platun Arnab Liar, boleh baca siri: Brothers In Arms

Uses wordpress plugins developed by www.wpdevelop.com Blog Protected Using Content Protecter By PcDrome.